:: cina islam | 2011 :: |
- Syarikat penerbangan perlu adil kepada penumpang
- Pembelian bas kempen PRU dibiayai sendiri oleh MB Selangor
- 32 negara layak tukar lesen memandu secara automatik
- 12 terbunuh kemalangan jalan raya kedua
- Sekalipun binti Anwar berkata begitu
- Air longkang melimpah
- PAS bukan parti kampung, sedia tadbir negara
- ‘Tak ku duga berpisah’
- Facebook satukan mempelai bisu
- Pejalan kaki anti Lynas hampiri sasaran
- UPSR 2012: 45,054 calon dapat semua A
- Jatuh tersungkur kerana wanita
- Kami sokong penuh Israel pertahan diri - Obama
- Bawa ‘beban’ 60kg
- Calon PM: Anwar pilihan Pakatan, kata DAP
- Pas tetap bersama Pakatan ke Putrajaya
- Norliana sah tidak mengandung
- Tiga kedai musnah kebakaran di Puchong
- Arah tanggal seluar
- Liga Arab hantar delegasi runding gencatan senjata
- Pengisian maklumat atas talian membebankan guru
- 44 saman dalam tempoh 3 jam
- Lima penjawat awam ditahan
Syarikat penerbangan perlu adil kepada penumpang Posted: 19 Nov 2012 12:26 AM PST AirAsia sebuah syarikat penerbangan tambang murah telah memberi banyak kemudahan kepada pengguna yang kurang berkemampuan untuk menikmati penerbangan tambang murah. Semua penerbangan AirAsia dikendalikan oleh Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT). Ramai yang bersyukur kerana dapat menggunakan khidmat penerbangan murah tersebut, walaupun dulu hanya terdapat sebuah syarikat penerbangan yang mengendalinya dengan mengenakan bayaran yang tinggi. Walaubagaimana pun ramai juga yang kurang berpuas hati cara pengurusan pihak AirAsia terutama sekali mengenakan caj atau penalti kepada pengguna yang lewat atau tersalah info tentang jadual penerbangan atau tempat berlepas terutama sekali di KL LCCT. Ada juga caj tersembunyi walaupun dikatakan tambang murah. Contoh penerbangan di KL LCCT untuk penerbangan domestik di mana ada setengah kuanter dibuka untuk penerbangan ke destinasi yang sama tetapi di tempat pintu perlepasan yang berlainan. Ada sesetengah penumpang yang baru datang agak keliru dengan tempat perlepasan dan ada yang tersilap tempat menunggu sehingga apabila mereka sedar yang pesawat sudah pun berlepas hanya dalam beberapa minit saja. Antara sebabnya adalah suara pengumuman kurang jelas dan tidak secara menyeluruh di kawasan tempat menunggu dan ada juga petugas tidak berada di kuanter sehingga waktu hendak berlepas barulah mereka muncul. Ada yang sudah datang awal tetapi tiba-tiba pula jadual penerbangan ditunda lebih dari 1 jam tetapi tiada sebarang bayaran balik atau sekurang-kurangnya kupon hidangan ringan diberikan oleh pihak pengurusan AirAsia. Apabila penumpang datang lewat sedikit atau 10 minit lewat dari jadual penerbangan mereka pula dilarang masuk dan akan dikenakan penalti kalau mahu meneruskan penerbangan. Inilah satu perkara yang tidak adil kepada pengguna, di mana hanya pihak syarikat yang untung dalam perjanjian yang agak berat sebelah ini. Kalau pihak syarikat yang membuat kesilapan, tidak pula pengguna dapat menuntut bayaran balik walaupun mereka terlewat setengah atau 1 jam lebih dari jadual penerbangan. Macam-macam syarat pula dikenakan oleh pihak syarikat kepada pengguna kalau mahu menuntut bayaran balik. Pihak pengguna juga berhak menuntut bayaran balik sekiranya mereka terpaksa terlewat penerbangan disebabkan oleh pihak penerbangan AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan yang menangguhkan penerbangan mengikut jadual. Kita mengesa agar pihak kerajaan mengkaji semula caj atau kos tersembunyi yang selalu dikenakan oleh pihak syarikat kepada pengguna. Jangan hanya pengguna saja boleh dicaj atau didenda sedangkan apabila berlaku sebaliknya pihak syarikat pula boleh bebas tanpa sebarang tindakan dikenakan. Kita mahu semua pihak dilayan dengan adil, bukan hanya pentingkan pihak korporat saja sehingga pengguna menjadi mangsa. Harap perkara ini dapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan dan mereka yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan rakyat. Kebajikan rakyat mesti diutamakan dari pihak yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Penulis ialah Yang Dipertua PAS Miri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak. | ||||
Pembelian bas kempen PRU dibiayai sendiri oleh MB Selangor Posted: 19 Nov 2012 12:02 AM PST SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau membiayai sepenuhnya kos pembelian bas dua tingkat yang akan digunakan pakatan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13 tanpa melibatkan dana kerajaan negeri. Abdul Khalid berkata beliau membayar sebanyak RM10,833 sebagai ansuran bulanan bas bernilai hampir RM650,000 yang dibuat melalui konsep sewa beli. "Bas untuk kempen pilihan raya ini pembeliannya dibuat secara persendirian. "Saya turut galakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk buat kajian dan saya (sanggup) memberikan dokumen berkaitan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini. Mohamad Satim bertanyakan sama ada kerajaan negeri melakukan proses audit bagi memastikan transaksi pembelian bas itu betul, telus dan bertanggungjawab. Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata kos sewa bas berkenaan ditanggung sendiri olehnya untuk tempoh enam bulan dan akan bergerak ke seluruh Semenanjung Malaysia khusus ke kawasan pedalaman bagi memperkenal pemimpin pembangkang kepada rakyat. Bas yang didaftarkan atas nama Abdul Khalid, dengan lesen diberikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan itu, boleh membawa sehingga 19 penumpang pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan pentas mini untuk kegunaan ceramah serta sistem audio yang canggih dan lengkap.- Bernama | ||||
32 negara layak tukar lesen memandu secara automatik Posted: 18 Nov 2012 11:59 PM PST KUALA LUMPUR - Rakyat dari 32 negara layak menukar lesen memandu mereka kepada lesen memandu Malaysia secara automatik, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat. Beliau berkata ini selaras dengan 'United Nations Conference on Road and Motor Transport, Geneva 1949 and 1968' yang memperuntukkan negara anggota saling mengiktiraf lesen memandu masing-masing. "Sebanyak 115 negara tidak diberi secara automatik di bawah konvensyen itu yang mana mereka perlu membuat permintaan kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) di Dewan Rakyat hari ini. Ahmad mempersoal tindakan memberi lesen kepada pemandu warga asing sedangkan mereka tidak mahir undang-undang negara ini. Mengulas lanjut, beliau berkata antara sebab permohonan pertukaran lesen memandu warga asing tidak diluluskan ialah tidak mematuhi syarat tertentu yang ditetapkan JPJ. Syarat-syarat itu melibatkan tempoh sah pasport dan visa, lesen memandu yang sah, surat terjemahan lesen memandu jika tidak ditulis dalam bahasa Inggeris, pengesahan lesen memandu dari kedutaan negara pengeluar atau pengesahan daripada pihak berkuasa pengeluar lesen berkenaan, di samping mengisi lengkap borang JPJ beserta dokumen tambahan yang diperlukan termasuk gambar berwarna. "Bagi maksud pertukaran ini, permohonan akan dikenakan bayaran lesen memandu sebanyak RM30 setahun dan yuran proses sebanyak RM20," katanya Kata beliau, rekod JPJ menunjukkan daripada 13,252 permohonan, sebanyak 8,469 telah diluluskan antara 2010 dan 30 Okt lepas. - Bernama | ||||
12 terbunuh kemalangan jalan raya kedua Posted: 18 Nov 2012 11:04 PM PST KAHERAH - 12 orang terbunuh dan tiga lagi cedera selepas sebuah trak merempuh bas mini berhampiran ibu negara Mesir, semalam. Pegawai penyiasat berkata, trak itu dipercayai dipandu laju lalu memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh bas mini yang membawa 15 penumpang. "Pemandu lori ditahan di tempat kejadian dan operasi mengeluarkan mangsa giat dilakukan kerana kebanyakan mayat terputus anggota badan," katanya. Menurutnya, mangsa cedera dikejarkan ke hospital berhampiran. Kejadian tersebut adalah kemalangan maut kedua dalam tempoh beberapa jam selepas 50 orang, kebanyakannya kanak-kanak, maut dalam kemalangan membabitkan bas sekolah dan kereta api kelmarin. Kemalangan itu menaikkan kemarahan orang awam dan mendesak kerajaan supaya menangani masalah pengangkutan awam dan penyelenggaraan laluan kereta api dan jalan raya dengan segera. - AFP | ||||
Sekalipun binti Anwar berkata begitu Posted: 18 Nov 2012 10:58 PM PST NURUL Izzah Anwar (Puteri), Naib Presiden PKR sudahpun menjelaskan apa yang dimaksudkannya tentang kebebasan beragama untuk semua, tetapi ia tidak dipedulikan oleh banyak orang. Tetapi mereka mengira anak sulung Anwar itu seorang yang sudah berdosa. Begitulah dunia kita yang dikelilingi oleh orang-orang yang bebal yang sekaliannya tidak sedia belajar untuk mendengar hujah. Dia sudah membuat penjelasan. Yang dimaksudkannya tidak seperti yang ditohmah terhadapnya. Mengapa penjelasan itu tidak mahu didengar? Jika penjelasannya belum memuaskan, maka dilanjutkan soalan terhadapnya, tetapi tidak boleh dia dicap sebagai orang Islam yang sudah tidak boleh dipakai lagi. Sekalipun Nurul Izzah betul berkata begitu dan dia berdosa kepada Allah atas kejadian itu, Allah tidak menutup pintu taubat kepadanya. Dia boleh bertaubat dan Allah memang suka kepada hambaNya yang bertaubat. Tidakkah Allah itu maha menerima taubat orang-orang yang dikehendakinya. Kalau pun dalam apa yang ditohmah itu Izzah dikira murtad, hukum murtad yang disabitkan ke atas seseorang tidak terus dipancung saja. Dia diperintah taubat dulu oleh hakim. Jika dia sudah bertaubat, maka hukum tidak dijalankan ke atasnya. Apakah taubatnya Allah terima atau tidak, bukan kita sebagai makhluk boleh mendahului bagi mengatakan taubatnya diterima atau tidak. Hanya Allah yang berkuasa menentukannya. Bagi manusia, apabila diketahui seseorang itu bertaubat, maka tidaklah wajar ia ditakwil lagi. Jika puteri Anwar itu sah berdosa dalam tohmah terhadapnya, dosa itu adalah terhadap Allah, bukan terhadap manusia. Dosa terhadap Allah, Allahlah yang mengampunkannya. Dosa hamba terhadap Allah adalah lebih mudah terampun dari dosa terhadap manusia. Dosa terhadap manusia, kita terpaksa cari manusia itu sampai dapat untuk minta maaf kepadanya. Kalau orang itu mati sebelum kita minta maaf, maka bagaimana kita mahu lepas dari dosa itu. Tetapi dosa kepada Allah, Ia ada di mana-mana kita boleh bertaubat. Cuma kalau dosa yang kita buat itu menyebabkan orang lain terbabit, misalnya dia berdosa disebabkan oleh anjuran kita, maka taubat kita mesti dibuat di khalayak umum, umumkan apa dosa yang kita buat? Tidak boleh kita bertaubat kepada Allah saja seorang diri. Izzah telah minta peguamnya menyaman pihak yang mengikutnya telah memutar belit kenyataannya. Sebelum mahkamah memutuskan Izzah bersalah, kita anggap dia orang yang benar. Apapun kalau dia ada dosa, dosanya bukanlah rasuah, menggelap duit negara, membunuh orang dan sebagainya, dosa seperti itu tidak selesai dengan bertaubat, tetapi mestilah diserahkan kepada keputusan mahkamah. Bagi orang Islam mestilah mengikut perundangan Islam. Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz, Presiden PAS Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulama, Dato' Harun Taib mengelak dari menghukum Nurul Izzah tanpa usul periksa kerana tidak mahu mengata murtad kepada orang yang tidak diketahui murtadnya dan tidak mahu mengkafirkan orang yang tidak pasti kafirnya. harakah/- | ||||
Posted: 18 Nov 2012 10:37 PM PST 5 Muharram 1433H. [MOD] - TAMPIN - Peniaga gerai Majlis Daerah Tampin (MDT) Taman Rekreasi Tampin, di sini terpaksa membasuh ruang di hadapan premis akibat air longkang melimpah masuk ke gerai. Tinjauan ke lokasi berkenaan mendapati, hujan lebat turut membawa aliran air berlumpur dari longkang yang rendah sehingga menyebabkan ia melimpah dan kawasan tempat duduk pengunjung basah. Peniaga, Rahimi Me, 46, berkata, dia berniaga di lokasi berkenaan sejak Mac lalu dan masalah air longkang melimpah berlaku sejak keadaan cuaca yang hampir setiap hari hujan lebat. "Kadang-kala saya segan juga kepada pelanggan yang datang ke sini kerana terpaksa melalui simen yang agak licin dan ada juga pelanggan hampir terjatuh. "Namun, saya tiada pilihan lain selain terpaksa membersihkannya hampir setiap hari bagi memastikan lokasi ini akan tetap dikunjungi pelanggan," katanya. Menurutnya, walaupun lokasi gerai itu seolah-olah terlindung daripada pandangan orang ramai kerana tidak terdapat papan tanda di hadapan simpang yang tertera Medan Selera MDT, dia enggan meninggalkan gerai itu kerana lokasinya sangat cantik dan tenang. Katanya, selain air longkang melimpah, dia juga terpaksa berdepan dengan masalah sukar mendapatkan pelanggan sehingga gagal membayar secara konsisten sewa gerai berkenaan yang mencecah RM200 sebulan. "Ada beberapa keadaan gerai yang perlu diberikan perhatian oleh pihak MDT antaranya tempias air hujan hingga ke bahagian dalam kedai dan perabung atapnya yang sudah bocor. Dua-dua masalah ini terpaksa ditanggung pelanggan. "Oleh itu, saya berharap pihak berkaitan dapat mengambil serius mengenai masalah ini demi kebaikan semua pihak terutamanya peniaga dan pelanggan setia yang sanggup berkunjung ke sini," katanya. Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar ketika dihubungi Sinar Harian menyatakan pihaknya akan menyiasat mengenai masalah berkenaan dan akan menilai tindakan bersesuaian untuk kebaikan semua pihak. sinar/- | ||||
PAS bukan parti kampung, sedia tadbir negara Posted: 18 Nov 2012 10:33 PM PST 5 Muharram 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: PAS bukan 'parti kampung' bahkan sebuah parti yang kini bersedia untuk mentadbir Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. Beliau berkata PAS kini didukung ahli dari pelbagai lapisan termasuk pegawai tinggi kerajaan dan pegawai keselamatan yang telah bersara. (Gambar: Husam bersama petugas Harakah di muktamar.) Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan berkata Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 meletakkan PAS bukan saja untuk PAS tetapi juga PAS untuk semua. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Muktmar Tahunan PAS ke-58 yang berakhir di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) dekat sini petang semalam. "Hendak membentuk sebuah kerajaan mesti ada pelbagai aliran kekuatan termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pegawai dari pasukan keselamatan yang telah bersara. "Dan ini membuktikan PAS tidak lagi sebuah 'parti kampung' tetapi sebuah parti yang bersedia untuk mentadbir kerajaan secara yang baik," ujarnya. Katanya,, ucapan penggulungan Presiden PAS menunjukkan beliau seorang pemimpin sudah teruji, bahkan bersedia untuk memimpin rakyat Malaysia pelbagai kaum serta menguasai isu-isu governance dengan cekap. Beliau turut mengulas isu 'pengkhianatan Umno' terhadap Melayu. Husam mendakwa itu merupakan isu besar yang akan diikuti follow-up program-program yang lain selepas ini. Ini, ujarnya penting supaya rakyat di luar bandar boleh faham bahawa sebenarnya selama ini mereka adalah terpinggir kerana kecuaian atau pun pengkhianatan Umno. Mengenai calon PAS untuk PRU13, beliau berharap calon itu mestilah seorang berbudi baik dari perspektif Islam, beriman, bertaqwa dan ada track record serta rapat dan mesra dengan pengundi. harakah/- | ||||
Posted: 18 Nov 2012 10:22 PM PST 5 Muharram 1433H. [MOD] - TOLONG...orang ramai membantu mengangkat mayat mangsa nahas. PEKAN: Seorang ayah tidak menyangka gerak hati untuk menatap wajah anak bongsunya sepuas hati ketika tidur, kelmarin, rupa-rupanya petanda dia bakal kehilangan remaja itu yang maut bersama dua rakan baik dalam kemalangan di Kilometer 29.5 Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai, tengah malam kelmarin. Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mahmud Mat, di sini, Hasroy Haniff Hamsah, 17, serta dua rakan, Shahrul Azwan Jaafar Shah, 18 dan Mohd Faqih Mohd Nor, 18, mati di tempat kejadian. Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka, Mohd Hasri Razali, 19, hanya cedera ringan. Semua mangsa yang berasal dari Peramu Jaya 3 dikatakan tercampak keluar dari Proton Wira mereka naiki yang dipandu Shahrul Azwan terbabas sebelum melanggar penghadang jalan dan terbalik ketika memotong sebuah van jenazah. Ketika kejadian, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju Kuantan. sinar/- | ||||
Facebook satukan mempelai bisu Posted: 18 Nov 2012 10:21 PM PST 5 Muharram 1433H. [MOD] - BAGAN SERAI - Dilahirkan bisu bukan halangan kepada Hasmadi Hassan, 41, dan pasangannya, Norazizan Masran, 36, untuk menjadikan laman sosial Facebook sebagai medium mengenali hati budi sekali gus hidup bersama melalui ikatan perkahwinan. Pasangan istimewa itu melangsungkan pernikahan di rumah keluarga pengantin lelaki di Taman Seri Serai kelmarin dengan Hasmadi melafazkan akad nikah menggunakan bahasa isyarat. Majlis akad nikah disempurnakan jurunikah, Sabri Sabran lebih kurang jam 5 petang sambil disaksikan sanak saudara kedua-dua mempelai. Pasangan terbabit dipertemukan buat pertama kali sewaktu keluarga Hasmadi datang ke rumah kakak Norazizan di Selinsing, di sini, untuk merisik setahun lalu. Hasmadi yang berasal dari Kangar, Perlis tidak menyangka perkenalan dengan Norazizan ketika itu melahirkan perasaan mahu mengenali gadis itu secara lebih dekat. Menurutnya, sikap Norazizan yang lemah lembut membuatkannya terpikat dan kedua-duanya mula cuba mengenali hati budi masing-masing melalui laman sosial Facebook sejak pertemuan itu. "Luahan rasa hati melalui Facebook menguatkan perasaan cinta dan setiap kali berkomunikasi, saya dapat rasa keserasian yang wujud di antara kami. "Walaupun kami berdua golongan orang kurang upaya (OKU) tapi saya berharap jodoh kami berpanjangan dan ikatan perkahwinan ini diberkati ALLAH SWT," katanya menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan seorang ahli keluarga. Dalam pada itu, Norazizan berkata, sejak bertemu Hasmadi, dia mula menyimpan perasaan sayang kepada pemuda itu. "Kali pertama berjumpa, saya rasa bimbang sekiranya keluarga Hasmadi tidak dapat menerima kekurangan diri saya kerana tidak tahu bakal suami juga OKU. "Bagaimanapun, saya bersyukur pertemuan kali pertama akhirnya membawa ke jinjang pelamin dan berharap dikurniakan sekurang-kurangnya lima cahaya mata," katanya. Sementara itu, ibu Hasmadi, Che Rokiah Bakar, 64, berkata, dia tidak menghalang anak istimewanya itu memilih pasangan hidup demi kebahagiaannya. "Dia juga insan biasa yang memerlukan perhatian daripada seorang wanita bergelar isteri," katanya. Bagi kakak sulung, Nor Kamaliya Masran, 41, pula, dia berasa terharu dan bersyukur kerana adiknya bertemu jodoh dengan jejaka sepertinya walaupun jarak perhubungan di antara kedua-dua mempelai begitu jauh. "Saya berharap Norazizan mencapai kebahagiaan hakiki bersama pasangan hidupnya dan percaya kedua-duanya mampu menempuh cabaran alam perkahwinan dengan tabah," katanya. sinar/- | ||||
Pejalan kaki anti Lynas hampiri sasaran Posted: 18 Nov 2012 10:10 PM PST 5 Muharram 1433H. [MOD] - TEMERLOH: Kumpulan Hijau Anti Lynas yang berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuantan untuk ke Dataran Merdeka dan parlimen, tengah hari semalam sampai ke Lanchang iaitu setengah perjalanan. Rombongan disertai 200 orang itu memulakan perjalanan pagi Selasa dari Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, sebelum berhenti dan bermalam di beberapa lokasi iaitu Gambang, Sri Jaya, Maran dan Mentakab. (Gambar: Sebahagian peserta jalan kaki anti Lynas berjalan kaki dari Mentakab ke Lanchang.) Perjalanan tersebut dianjurkan oleh beberapa buah pertubuhan (NGO) anti Lynas berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan 8 November lalu yang menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) sekali gus memutuskan kilang tersebut dibenarkan beroperasi di Gebeng. Menurut pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tuck, yang mengetuai kempen berjalan kaki itu berharap, kempen akan berlangsung selama 10 ke 13 hari dengan sasaran jarak perjalanan ditetapkan sekitar 30 kilometer sehari untuk sampai ke Dataran Merdeka pada 25 November ini. "Kami mendapat sokongan padu sepanjang perjalanan setakat ini termasuk disediakan makan minum, penginapan dan penyokong setempat yang sanggup memberi sokongan moral berjalan sama. Setiap malam dianjurkan ceramah dan forum anti Lynas. "Pagi esok kami akan meneruskan berjalan kaki ke Karak dan lusa ke Bentong hinggalah sampai ke Dataran Merdeka dan bangunan parlimen untuk menyampaikan bantahan," katanya. Turut menyertai kempen jalan kaki itu ialah NGO anti Rapid Pengerang, anti Sinida Raub, 12 orang Pribumi Sarawak yang membantah projek Hidroelektrik di negeri itu, ahli jawatankuasa Pemandu BERSIH dan wakil dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang. harakah/- | ||||
UPSR 2012: 45,054 calon dapat semua A Posted: 18 Nov 2012 10:09 PM PST PUTRAJAYA — Sebanyak 45,054 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mencatat A dalam semua mata pelajaran, menurun 0.54 peratus berbanding 46,012 calon pada tahun lalu. Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran, Dr. Na'imah Ishak berkata, pencapaian keseluruhan juga menurun sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.30 tahun lalu kepada 2.31 tahun ini. "Sebab penurunan ini masih belum diketahui dan jabatan pelajaran negeri dan sekolah-sekolah akan membuat kajian mengenainya selepas ini," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR, di sini hari ini. Sebanyak 517,139 calon menduduki UPSR tahun ini, iaitu meningkat 3.9 peratus berbanding 497,691 tahun lalu, dan daripada jumlah itu 98.2 peratus atau 507,783 adalah calon sekolah kementerian manakala baki calon sekolah swasta. Peperiksaan UPSR dijalankan serentak di seluruh negara pada 11, 12 dan 13 September lalu di 8,284 pusat peperiksaan.— BERNAMA | ||||
Jatuh tersungkur kerana wanita Posted: 18 Nov 2012 10:04 PM PST Skandal terbaru di Amerika Syarikat (AS) seakan serupa dengan jalan cerita dalam filem perisikan yang sering dihasilkan industri hiburan negara itu. Hanya beberapa hari selepas Presiden Barack Obama mengekalkan kuasa untuk satu penggal lagi selepas memenangi pilihan raya umum AS, negara itu dikejutkan dengan peletakan jawatan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Jeneral David Petreaus. Petreaus, 60, bukan calang-calang orangnya. Mempunyai karier selama 37 tahun dalam tentera AS dan menjadi pemimpin tertinggi tentera, Petreaus adalah komander yang bertanggungjawab mengendalikan perang di Afghanistan. Kehebatannya dalam aspek ketenteraan dan perisikan tidak boleh dinafikan sehingga Petreaus dilantik Obama menjadi ketua CIA, agensi perisikan paling terkenal di dunia. Dengan latar belakang sehebat itu, Petreaus sepatutnya lebih tahu wanita adalah senjata paling berbahaya yang boleh menjatuhkan reputasi seseorang. Tetapi siapa sangka, ketua perisik itu sendiri menjunamkan dirinya ke kancah kemusnahan hanya kerana perhatian yang diberikan oleh seorang wanita. Petreaus meletak jawatan pada 9 November lalu selepas mengakui mempunyai hubungan sulit dengan penulis biografinya, Paula Broadwell, 40. Broadwell yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak menghabiskan banyak masa di Afghanistan pada 2010 ketika Petraeus berkhidmat di negara itu sebagai komander tertinggi tentera AS. Wanita itu diberi kebenaran menulis buku biografi Petraeus bertajuk "All In" yang dianggap pengkritik sebagai buku yang hanya penuh dengan pujian. Hubungan sulit itu diketahui selepas Broadwell menghantar emel mengugut seorang kenalan Petraeus, Jill Kelley yang dianggap cuba menarik perhatian komander itu, menyebabkan Kelley berasa terancam mengadu kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI). "Selepas berkahwin selama 37 tahun, saya membuat pertimbangan sangat buruk dengan melibatkan diri dalam hubungan sulit. "Kelakuan seperti ini tidak boleh diterima, sebagai seorang suami dan sebagai pemimpin organisasi seperti ini. Hari ini, Presiden (Obama) menerima peletakan jawatan saya," kata Petreaus dalam suratnya kepada semua pegawai CIA bertarikh 9 November lalu. Dengan pengakuan dan peletakan jawatan itu, dia menyertai senarai panjang pemimpin AS, dari presiden kepada wakil rakyat, yang menyaksikan karier mereka musnah kerana seks. Skandal seks pemimpin Emel cemburu dari Broadwell itu bukan hanya menjatuhkan Petraeus tetapi turut melibatkan seorang lagi pemimpin tinggi tentera AS. Minggu lalu, Pentagon mengumumkan Jeneral John Allen, 58, yang sepatutnya dilantik sebagai Komander Tertinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Eropah, sedang disiasat atas dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan Kelley. Jaringan skandal itu kelihatan semakin rumit dan menyamai twist dalam filem Hollywood. Namun sejak dahulu lagi, politik dan pentadbiran AS dicemari banyak skandal seks, termasuk melibatkan presiden dan wakil rakyat. Antara yang paling awal diperkatakan adalah skandal bekas Presiden John F Kennedy dengan ramai wanita, termasuk pelakon terkenal tahun 1960-an, Marilyn Monroe. Walaupun Kennedy tidak pernah mengakui sifat kaki perempuannya, buku tulisan seorang bekas pekerja Rumah Putih, Mimi Alford yang diterbitkan Februari lalu memberi jawapan kepada soalan itu. Di dalam buku Once Upon a Secret: My Affair With President John F. Kennedy and Its Aftermath, Alford menceritakan hubungan sulit selama 18 bulan antara dia dengan Kennedy pada 1962, ketika wanita itu berumur 19 tahun. Kemudian siapa yang tidak ingat dengan Monica Lewinsky, pekerja sementara di Rumah Putih yang mendedahkan dia mempunyai hubungan sulit dengan Presiden AS, Bill Clinton pada 1998? Clinton mengadakan sidang akhbar khas dan menegaskan: "Saya tidak pernah mempunyai hubungan seksual dengan wanita itu, Cik Lewinsky". Namun Clinton kemudian disiasat atas dakwaan menipu di bawah sumpah sebagai presiden apabila beliau menafikan hubungan dengan Lewinsky yang berumur 22 tahun pada waktu itu. Clinton akhirnya mengaku dalam keterangan kepada Senat AS, diikuti dengan pengumuman terbuka di televisyen bahawa beliau mempunyai hubungan seksual dengan Lewinsky. Beliau bagaimanapun terselamat apabila Senat AS enggan memecatnya dan terus berkhidmat sebagai presiden sehingga akhir penggal pemerintahannya. John Edwards, bekas Senator yang pernah dua kali menjadi calon presiden dalam pilihan raya AS pula mengaku mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita pada 2008 sehingga menghasilkan seorang anak. Skandal membabitkan pemimpin di AS semakin pelik apabila seorang anggota Kongres, Anthony Weiner mengaku menggunakan akaun sosial Twitter untuk menghantar pautan gambar bogelnya kepada seorang wanita berumur 21 tahun. Beliau kemudian meletak jawatan selepas skandal itu didedahkan media. Keselamatan AS terjejas? Hubungan sulit bukan sesuatu yang asing dalam kalangan pemimpin paling berkuasa di Washington tetapi skandal seks Petraeus, seorang jeneral tentera bertaraf empat bintang, melibatkan persoalan keselamatan negara serta kestabilan politik AS. Menurut penganalisis, tiada bukti berlaku pencerobohan keselamatan akibat hubungan sulit itu namun itu tidak menghentikan persoalan sama ada Broadwell mempunyai akses kepada maklumat sulit ketenteraan. Persoalan itu semakin kuat, minggu lalu, dengan penyiaran rakaman ucapan Broadwell di Universiti Denver yang dirakam bulan lalu. "Saya tidak tahu kalau anda pernah mendengar hal ini, tetapi pejabat CIA (di kedutaan AS di Libya) menahan dua orang militan Libya dan mereka (CIA) percaya serangan ke atas konsulat itu adalah usaha puak militan untuk membebaskan tahanan ini," kata Broadwell, merujuk kepada serangan di kedutaan AS di Benghazi yang membunuh duta AS, Chris Stevens dan dua pegawai CIA pada 11 September lalu. Dakwaan Broadwell itu dinafikan pegawai perisikan yang ditemu ramah agensi berita CNN namun tiada bukti maklumat diperoleh Broadwell itu datang daripada Petraeus. Sementara itu, akhbar The New York Times melaporkan penyiasat menjumpai dokumen rahsia di dalam komputer bimbit Broadwell tetapi Petraeus menafikan dia memberi sebarang maklumat rahsia kepada Broadwell. Seorang bekas jeneral tentera AS, James Marks berkata, dia yakin tiada sebarang pencerobohan maklumat berlaku sepanjang skandal itu. "Hampir kosong peratus kemungkinan bahawa keselamatan negara terancam akibat hubungan sulit ini," katanya. Peletakan jawatan Petraeus turut memalukan CIA yang telah pun dikritik akibat serangan di kedutaan AS di Libya serta menimbulkan lebih banyak persoalan oleh Kongres berhubung integriti agensi itu. Siasatan FBI yang membawa kepada kemusnahan karier Petraeus juga menggambarkan hubungan tegang antara kedua agensi kerajaan paling berkuasa di AS. Namun bekas penolong pengarah FBI, Chris Swecker berpendapat kejadian terbaru ini tidak akan menjejaskan operasi CIA. "Realitinya, CIA akan sentiasa dikelilingi kontroversi kerana kedudukannya sebagai agensi perisikan," katanya. sinar/- | ||||
Kami sokong penuh Israel pertahan diri - Obama Posted: 18 Nov 2012 09:50 PM PST Presiden Barack Obama berkata Ahad lalu bahawa Israel mempunyai "hak" untuk mempertahankan dirinya daripada serangan peluru berpandu oleh militan di Gaza tetapi memberi amaran bahawa memesatkan serangan dengan menggunakan tentera darat Israel akan menjejaskan harapan proses damai dengan Palestin. (Gambar: Presiden Barack Obama berucap mengenai pergolakan di Timur Tengah semasa lawatan ke Asia.) "Mari kita fahami kejadian yang merupakan punca krisis sekarang dan ia adalah kerana serangan peluru berpandu yang dilancarkan bukan sahaja ke wilayah tentera Israel tetapi di kawasan yang didiami orang awam, tiada negara di dunia ini yng akan bertolak ansur dengan serangan peluru berpandu merentas sempadan kepada rakyatnya," ujar Obama ketika sidang akhbar di Thailand, permulaan lawatan tiga negara beliau di Asia. "Jadi, kami menyokong sepenuhnya hak Israel untuk mempertahankan dirinya daripada pendaratan peluru berpandu di rumah dan tempat kerja orang awam yang berpotensi membunuh orang awam." Beliau menambah: "Israel mempunyai setiap hak untuk mengharapkan bahawa mereka tidak mendapat serangan peluru berpandu yang dilancarkan ke wilayahnya. Jika harapan itu dapat dicapai tanpa menambahkan aktiviti ketenteraan di Gaza, maka itu adalah lebih baik. Ia bukan hanya lebih untuk rakyat Gaza. Ia juga lebih baik untuk rakyat Israel, kerana jika tentera Israel berada di Gaza, mereka berisiko tinggi untuk mati atau tercedera. | ||||
Posted: 18 Nov 2012 09:12 PM PST SEMAKIN BESAR...Hassan menunjukkan ketumbuhan di bahagian belakang bahu Rohaya. TANJUNG KARANG: "Nak berjalan pun susah. Kadang-kadang nak ke rumah jiran yang tak sampai 100 meter pun ambil masa setengah jam," kata Rohaya Mohamed Ariffin, 41, yang mempunyai benjolan menyamai ketumbuhan kronik atau dikenali sebagai lipoma di bahagian perut, belakang bahu kanan dan bawah paha kanan sejak 37 tahun lalu. Rohaya berkata, akibat ketumbuhan itu, berat badannya kini meningkat hampir 130 kilogram (kg) dan berat lipoma itu saja dianggarkan hampir 60 kg. Ibu kepada dua anak yang tinggal di Kampung Parit Empat, Ban Tiga, Sekincan, di sini, berkata, masalah lipoma itu bermula sejak dia berusia empat tahun. Ia semakin membesar terutama selepas dia berkahwin lapan tahun lalu. Masalah itu juga membuatkan tidur Rohaya tidak pernah lena. Setiap malam dia hanya mampu tidur tidak lebih daripada tiga jam sebelum terjaga kerana bahagian lipoma itu menjadi kebas. "Saya tak boleh tidur dalam keadaan telentang dan mengiring, jadi saya terpaksa baring dalam keadaan senget. Bahagian lipoma itu kemudian akan menjadi kebas mengakibatkan saya terjaga dari tidur," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Rohaya juga sukar bergerak kerana cepat berasa penat disebabkan terpaksa membawa 'beban' yang berat itu. Dia juga tidak boleh duduk atau tidur di atas lantai kerana ia akan menyukarkannya untuk bangun. "Saya pernah menjalani pembedahan membuang beberapa bahagian yang membengkak itu ketika berusia 11 tahun, tetapi ia semakin membesar," katanya. Katanya, dia pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh beberapa tahun lalu dan doktor memaklumkan ketumbuhan itu boleh dibuang dengan kos mencecah RM50,000. Rohaya berkata, pendapatan suaminya, Hassan Zakaria, 47, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah di sini, tidak mampu menampung kos kehidupan mereka sekeluarga termasuk dua anak perempuan iaitu Nurul Hasanah Sathiah, 7, dan Nurul Hasanah Faziha, 4, apatah lagi untuk kos pembedahan berkenaan. Katanya, beberapa bulan lalu dia menghidap demam panas hingga mengakibatkan ketumbuhan di badannya melecet dan berair. "Mujur saya tidak mengalami penyakit kencing manis atau darah tinggi. Saya reda dan pasrah kerana segalanya ketentuan Ilahi," katanya. Orang ramai yang ingin membantu Rohaya boleh menghubungi nombor telefon 019-6405286. sinar/- | ||||
Calon PM: Anwar pilihan Pakatan, kata DAP Posted: 18 Nov 2012 09:11 PM PST KUALA LUMPUR - DAP hari ini mengulangi pendirian calon Perdana Menteri apabila menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah seperti yang telah disepakati Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya telah bersepakat dalam memilih calon Perdana Menteri iaitu Anwar sendiri dan tiada perubahan dalam keputusan itu setakat ini. Menurutnya, PR telah mempunyai kesepakatan dalam pemilihan calon pihaknya dan isu siapa menjadi Perdana Menteri tidak perlu dibangkitkan lagi. "DAP tidak mempunyai calon sebagai Perdana Menteri walaupun Pas dan PKR telah mempunyai calon. "Kita telah sepakat mengatakan Anwar menjadi Perdana Menteri, jadi kalau ada parti lain ada mahu mencalonkan pemimpinnya, itu terpulang. "Apa yang penting, keputusan antara pemimpin yang sepakat memilih Anwar sebagai Perdana Menteri apabila PR berjaya menawan Putrajaya dan tiada perubahan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini. sinar/- | ||||
Pas tetap bersama Pakatan ke Putrajaya Posted: 18 Nov 2012 09:07 PM PST 5 Muharram 1433H. [MOD] - KOTA BHARU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi menegaskan, misi ke Putrajaya bersama komponen Pakatan Rakyat tidak akan terlaksana sekiranya mendapat sokongan orang Islam sahaja. Justeru, Hadi berkata, menyedari hakikat itu Pas tetap bersama dengan rakan kongsinya, PKR dan DAP - dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk memenangi hati masyarakat majmuk. Bahkan katanya, Umno juga memahami bahawa tidak boleh bersendirian dan mesti bergabung dengan parti lain. "Semua kaum di negara ini juga mengakui pemerintahan perlu secara masyarakat Majmuk. Cuma kami berbeza dengan Umno dan BN yang mempunyai cara untuk tangani masyarakat majmuk dinegara ini melalui peruntukan Perlembagaan dan resolusi yang ditetapkan bersama Pakatan," katanya. Menurutnya, apa yang telah ada dalam Perlembagaan iaitu Islam agama persekutuan, keadilan kepada agama lain, hak istimewa bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan raja berperlembagaan sudah disepakati. "Kita menerima kerana ini sudah ada dalam Perlembagaan. Apa yang dihalal agama lain sebaliknya diharam agama Islam, kita tidak boleh ganggu. Amalan ini sudah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu. "Kita halalkan perkara halal dan haramkan perkara haram," katanya. Menurut Hadi lagi, Pas akan terus melaksanakan tahaluf siyasi (kerjasama politik) kerana mengikut peraturan hubungan antarabangsa dalam Islam damai perlu didahulukan. Katanya, ulama di alam Melayu telah menyampaikan Islam dan kefahaman politik kepada pemerintah di negeri-negeri Melayu termasuk membenarkan orang Buddha menjadi rakyat bersama-sama orang Islam dalam masyarakat majmuk. Katanya, tidak mungkin rakyat dapat disatukan atas dasar perkauman, sekali gus mengkritik parti yang berasaskan kaum seperti Umno, MCA dan MIC sebagai "tidak relevan." "Mereka mainkan semangat kaum masing-masing.Ia sudah tidak sesuai lagi," katanya bahawa Pas sudah lama bertahaluf siyasi dengan DAP dan PKR sejak tahun 2000 dan ia bukan perkara baru," katanya. Dalam pada itu, Hadi mengingatkan perwakilan supaya bersiap sedia membuat persiapan pilihan raya mengikut kemampuan dan kewangan yang ada. Tetapi katanya, dengan kesediaan dan keikhlasan yang ada, pasti akan datang pertolongan daripada ALLAH SWT. "Kena ingat, BN jadi kuat dan menang pun sebab mereka pakai tongkat, dengan penipuan, politik wang, guna jentera kerajaan," katanya. Oleh itu, Hadi mengajak semua perwakilan terus yakin dengan parti kerana Pas merupakan bahtera yang paling kukuh dan kuat kerana mampu bertahan sehingga ke hari ini. "Bahtera Pas terus bertahan walaupun menghadapi perjalanan yang jauh dan dilanda ribut. Tetapi jangan kita terjun! Kalau mabuk makan ubat, kalau pening rehat sebentar. Jangan terjun sebab di bawah ada jerung!," katanya. sinar/- | ||||
Posted: 18 Nov 2012 08:23 PM PST ALOR SETAR – Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar mengesahkan Norliana Manaf dari Kampung Kelut, Jabi, Pokok Sena dekat sini yang sebelum ini mendakwa kandungannya hilang secara misteri pada Isnin lalu sebenarnya tidak hamil. Jurucakap pejabat kesihatan tersebut memberitahu, wanita itu ada mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pokok Sena pada 12 November lalu dan pemeriksaan mendapati tiada tanda-tanda dia mengandung. Katanya, jururawat klinik itu kemudian merujuk perkara tersebut kepada pegawai perubatan, namun wanita terbabit tidak mendapatkan rawatan doktor sebaliknya terus pulang. "Pihaknya juga menghubungi Klinik Kesihatan Bukit Jambul, Pulau Pinang tempat dia mendakwa mendapatkan rawatan sebelum ini dan dimaklumkan bahawa tiada rekod pesakit tersebut di sana," katanya ketika dihubungi di sini semalam. Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan Norliana berada dalam kebingungan apabila mendapati bayi kembar berusia sembilan bulan yang dikandungnya didapati hilang secara misteri. Kosmo | ||||
Tiga kedai musnah kebakaran di Puchong Posted: 18 Nov 2012 08:21 PM PST KUALA LUMPUR - Tiga kedai musnah dalam kebakaran di Batu 11, Puchong dekat sini hari ini. Kebakaran di deretan kedai papan itu, antaranya memusnahkan kedai makan dan kedai runcit. Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Haswan Mohd Wasir berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 9.55 malam. Tiga jentera dengan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Subang Jaya dan Seksyen 7 Petaling Jaya mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke premis berhampiran. Jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih disiasat, katanya ketika dihubungi di sini. — BERNAMA | ||||
Posted: 18 Nov 2012 08:16 PM PST 5 Muharram 1433H. [MOD] - LAPOR...Amir menunjukkan laporan polis yang dibuatnya. JOHOR BAHRU: Hanya kerana memuat naik satu klip video hasil kreativiti mereka ke laman video Youtube, 17 pelajar sebuah sekolah berasrama di sini, mendakwa dipaksa menanggalkan seluar oleh guru hingga seorang daripada mereka berbogel kerana tidak memakai seluar dalam. Mereka turut mendakwa dipaksa melakukan tekan tubi 700 kali selain ditampar, diterajang dan ditumbuk di beberapa bahagian badan serta muka apabila gagal mematuhi arahan berkenaan. Kejadian itu berlaku Isnin lalu, kumpulan pelajar terbabit baru pulang ke asrama pada jam 5.30 petang selepas keluar ke pusat beli-belah berhampiran sebelum ditahan tiga guru. Kemarahan guru terbabit berpunca daripada tindakan kumpulan pelajar berkenaan memuat naik hasil kreativiti mereka selepas selesai menduduki kertas Matematik bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Video klip selama tiga minit dua saat yang dimuat naik dalam Youtube pada 5 November lalu itu memaparkan gelagat kumpulan pelajar terbabit melepaskan tekanan masing-masing selepas tamat mengambil kertas berkenaan dengan meniru sebahagian aksi lawak sebuah program realiti televisyen. metro/- | ||||
Liga Arab hantar delegasi runding gencatan senjata Posted: 18 Nov 2012 08:15 PM PST Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby telah berikrar untuk menyokong rakyat Palestin menentang "pencerobohan Israel" dan untuk menamatkan sekatan Gaza semasa rundingan antara menteri luar Arab di Kaherah. Para pemimpin berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sabtu lalu bahawa ketua Liga Arab akan mengetuai delegasi ke Semenanjung Gaza pada hari Ahad dan menyokong usaha Mesir untuk berunding berkenaan gencatan senjata. Agensi Berita Maan melaporkan delegasi yang diketuai oleh Elaraby akan disertai Riyad Al-Malki, Menteri Luar Palestin, dan empat menteri luar lain. Hamas tidak lagi mengesahkan penyertaan dalam lawatan tersebut. Mesyuarat Sabtu lalu telah diadakan selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran bermula Rabu lalu kononnya bertujuan menghalang Hamas, kumpulan Palestin yang mengawal Gaza, daripada melancarkan roket salvo merentas sempadan. Pesawat Israel mengebom bangunan kerajaan Hamas Sabtu lalu di wilayah Palestin, selepas kabinet Israel memberi kebenaran mobilisasi sehingga kepada 75,000 pasukan simpanan, bersedia untuk pencerobohan darat. Mesir telah menaja gencatan senjata tidak rasmi Oktober lalu, yang kini gagal. Mesir berkata mereka sedang mengusahakan satu perjanjian baru. Presiden Mesir Mohamed Morsi berkata Sabtu lalu terdapat "beberapa petunjuk" gencatan senjata boleh dicapai tidak lama lagi antara Israel dan Gaza Palestin tetapi dia tidak dapat memberi jaminan yang pasti. - (aljazeera.com) | ||||
Pengisian maklumat atas talian membebankan guru Posted: 18 Nov 2012 08:00 PM PST Saya merupakan guru data sekolah yang bertanggungjawab menyelaraskan data dan maklumat guru di atas talian. Yang mengecewakan ialah terdapat pelbagai aplikasi yang berbeza-beza dan guru perlu mengisi maklumat yang sama berulang-ulang kali. Contohnya, seseorang guru perlu melaporkan kursus dan seminar yang dihadiri dalam aplikasi eSPLG, e Operasi dan Emis Online. Tiga aplikasi yang berbeza namun maklumat yang diminta lebih kurang sama sahaja. Di sini saya senaraikan pelbagai macam aplikasi yang diwujudkan oleh KPM untuk diisi oleh guru-guru. 1. Emis Online (Maklumat peribadi pegawai, bilangan murid, kelas dan sekolah untuk statistik dan analisa ) 2. E operasi (Untuk kiraan hak perjawatan guru dan pertukaran guru ) 3. E pangkat (Untuk kenaikan pangkat ) 4. E SPLG (Laporan kursus dan bacaan ilmiah) 5. OPMEN (Operasi Menengah / untuk pengiraan hak guru di sekolah-sekolah)) 6. HRMIS (Untuk kegunaan rawatan di klinik atau hospital kerajaan) Setiap tahun guru-guru perlu menyemak dan mengemaskini maklumat masing-masing iaitu maklumat peribadi, perkhidmatan, gaji, elaun, kursus, sinopsis bacaan buku dan banyak lagi. Yang membebankan ialah sebahagian daripada aplikasi ini hanya boleh diakses untuk tujuan pengemaskinian data oleh guru data sahaja. Guru data perlu mengisi perkara yang sama berulang-ulang kali dengan capaian internet yang sangat perlahan di sekolah. Memanglah jumlah waktu mengajar bagi seorang guru data ialah separuh daripada guru-guru biasa, namun bagi sekolah yang bilangan gurunya 150 orang ke atas sangat membebankan. Prosesnya sangat remeh iaitu mencetak maklumat guru dari sistem, menyerahkan kepada setiap guru untuk semakan dan mengemaskini data. Setelah data selesai dikemaskini, guru data perlu mencetak semula untuk setiap orang guru dan staf sokongan bagi tujuan pengesahan data. Kenapa tidak diwujudkan satu sahaja sistem data yang selaras yang dapat dihubungkan kepada aplikasi lain yang diperlukan oleh unit lain di kementerian? Saya percaya semua guru yang memegang jawatan sebagai guru data sebolehnya ingin melepaskan jawatan ini kerana beban tugas yang melampau dan kami tidak mampu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran dan pembelajaran. Ini tidak termasuk statistik dan analisa data yang diminta oleh pihak Pejabat Pelajaran dari semasa ke semasa. Tumpuan kami terhadap P & P sangat terganggu kerana guru-guru sering merujuk dan bertanya hal-hal yang berkaitan dengan ICT, aplikasi di atas talian dan lain-lain perkara diluar bidang tugas seorang guru data. Sepatutnya seorang pegawai dilantik khas (kerani) disetiap sekolah bagi menjalankan tugas ini. Minat saya hanya untuk mendidik anak-anak di sekolah dengan sepenuh jiwa dan raga dan memberikan sepenuh tumpuan terhadap mereka. Saya yakin pihak Pakatan Rakyat akan membela nasib para pendidik apabila berjaya menakluki Putrajaya selepas PRU13 nanti.
| ||||
Posted: 18 Nov 2012 07:07 PM PST KUALA LIPIS - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan sebanyak 44 saman atas pelbagai kesalahan am dalam operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain di dua sekatan laluan ke Bandar Kuala Lipis, kelmarin. Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Pahang, Mohamat Johari Mat Nor berkata, operasi selama tiga jam yang berakhir pada jam 12 tengah hari itu membabitkan pemeriksaan ke atas 509 kenderaan. Menurutnya, pihaknya turut menyita sebuah motosikal kerana kesalahan tanpa cukai jalan. "Secara keseluruhan, sebanyak 15 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tanpa lesen memandu, tiada lesen vokasional untuk kenderaan perdagangan (lima kes), dan motosikal tanpa cukai jalan (tujuh kes). "Kami turut mengeluarkan saman bagi kesalahan cermin gelap (lima kes), nombor plat (tujuh kes), kenderaan tidak diperiksa Puspakom (satu kes) dan empat untuk lain-lain kesalahan," katanya sempena Ops Bersepadu, di sini, kelmarin. Hadir sama, Ketua Penguat Kuasa Cawangan JPJ Raub, Dasiman Mat Zain. Mohamat Johari berkata, operasi bersepadu itu disertai seramai 60 anggota JPJ, polis trafik, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Menurutnya, Polis Unit Narkotik turut menguji sebanyak 16 sampel urin pemandu dan penumpang kenderaan. "Daripada jumlah itu, dua orang dikesan positif dadah jenis morfem," katanya. Menurutnya, operasi itu turut membabitkan anggota JPJ cawangan Bentong, Raub dan Kuantan untuk memastikan penguatkuasaan keselamatan kenderaan serta jalan raya membabitkan pemeriksaan lesen pemandu, cukai jalan dan lesen vokasional bagi kenderaan perdagangan. "Kita akan melaksanakan modus operandi sama di Jalan Persekutuan dan lebuh raya pada penghujung tahun ini khususnya pemeriksaan treler, bas persiaran serta motosikal," katanya. SINAR/- | ||||
Posted: 18 Nov 2012 06:54 PM PST 5 Muharram 1433H. [MOD] - KUANTAN - Lima penjawat awam ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes menyamar polis sebelum melakukan peras ugut ke atas tiga pekerja warga Bangladesh, termasuk seorang wanita di sebuah rumah kongsi Batu 33, dekat Ringlet, Cameron Highlands, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, suspek berusia antara 23 hingga 30 tahun merampas wang tunai RM5,700 daripada mangsa yang berusia 23 hingga 45 tahun sebelum menculik wanita terbabit dan dibawa ke sebuah premis di kawasan Tanah Rata. Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, wanita terbabit diikat dan dikurung dalam sebuah bilik sebelum dirogol secara bergilir-gilir. Menurutnya, selepas memuaskan nafsu masing-masing, suspek menghantar dan melepaskan mangsa yang berusia 23 tahun itu berhampiran kawasan rumah kongsi sebelum ini. "Sebelum itu, kedua-dua lelaki Bangladesh yang menjadi mangsa terserempak dengan anggota polis Unit Ronda lalu memaklumkan berhubung kejadian, disusuli dengan satu laporan polis. "Hasil siasatan yang dijalankan, polis berjaya mengenal pasti dan menjejaki suspek sebelum kesemua mereka berjaya diberkas," katanya ketika dihubungi, semalam. Wan Zahari berkata, suspek ditahan reman selama seminggu sehingga hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands untuk siasatan lanjut. "Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan pemerasan, Seksyen 170 KK (menyamar penjawat awam), Seksyen 365 KK (culik) dan Seksyen 376 KK (rogol)," katanya. sinar/- |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan