Malaysiakini
Bukan sahaja dunia politik bergelora apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Reformasi pada 1998, tetapi pergolakan antara kaum intelektual dan budayawan juga yang tidak kurang hebatnya.
Bagaimanapun, dalam tempoh lima tahun kemudiannya – yang dilabelkan sebagai zaman getir dan pahit – golongan inilah yang dilihat sebagai ‘tidak berguna’, sekali gus mengumpul pelbagai gelaran negatif.
Dalam Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa, penulis Raja Ahmad Aminullah mengambil tindakan berani merekodkan semua gelaran itu, termasuklah pengampu, ‘pahlawan kesiangan’, laih, terkembiri dan terpalit dengan ‘sindrom cium tangan’.
“Sebenarnya terlalu ramai golongan intelektual apatah lagi yang disebut ‘era reformasi’ 1998-2003 memilih apa yang dianggap mereka sebagai jalan selamat tapi sebenarnya merupakan suatu penzaliman terhadap ilmu yang mereka miliki,” tulisan dalam bab “Ruang Ketiga” itu dipetik.
Raja Ahmmad – yang terkenal sebagai aktivis budaya dan pemilik galeri seni rupa terkenal di ibu negara – merumuskan, walaupun wujud gelombang subterranean (bawah tanah) melalui muzik, teater dan penulisan, golongan itu dipinggirkan di arus perdana.
Malah, tambahnya, bagi sebahagian ahli politik, ia dianggap sebagai “bahan bakar” dan “ramuan” apabila diperlukan.
Dalam buku setebal 127 halaman itu, Raja Ahmad bagaimanapun nampak segan-segan menyebut secara langsung pihak yang dikritianya.
Oleh yang demikian, membaca koleksi esei-esei budaya ini menyebabkan kita sering terjumpa pihak yang hanya dirujuk sebagai “bekas menteri itu”, “seorang teman” dan “penceramah agama dan motivasi itu”.
Fenomena ‘jangan petik saya’
Dengan gaya santai, Raja Ahmad banyak mengungkapkan kebisuan golongan budayawan dan intelektual melalui kisah dan anekdot ringkas bagi menggambarkan budaya takut pada masa itu.
Antaranya, beliau merakamkan sifat kritikal golongan itu yang gundah dengan perkembangan politik semasa tetapi ironisnya sering pula mengakhiri perbualannya dengan kata-kata “don’t quote me” (jangan petik saya).
Bagi Raja Ahmad, kumpulan itu lebih bertindak sebagai “pengumpul rungutan” daripada membentuk dasar, menulis buku atau mengimarahkan wacana.
Beliau sampai kepada kesimpulan itu apabila menghadiri sesi perbincangan semasa Pesta Buku Antarangsa Kuala Lumpur pada tahun 2005 yang didominasi pesara penjawat awam.
Ketika membincangkan tentang relevansi karya sastera klasik Melayu, bekas pegawai kerajaan yang hadir mengambil peluang “menyenaraikan rungutan” terhadap orang politik, jabatan awam, agensi budaya dan orang muda.
“Soalan yang saya rasa mendesak untuk keluar daripada halkum saya ialah: apakah yang telah mereka lakukan sewaktu menjawat jabatan-jabatan kanan di agensi-agensi dan jabatan-jabatan tersebut,” Raja Ahmad dipetik sebagai berkata.
Bagaimanapun, di sebalik kisah-kisah negatif itu, Raja Ahmad juga tidak lupa menyanjung tokoh akademik, antaranya seorang bekas naib canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dikatakan dituntut letak jawatan kerana menyindir menteri.
Profesor sindir menteri disingkir
Semuanya hanya gara-gara profesor itu Dr Zohadie Barjae dikatakan membaca pantun Sasterawan Negara Usman Awang dalam majlis makan malam universiti yang berbunyi:
“Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama jadi menteri”.
Bagaimanapun, membicarakan pergolakan antara 1998 hingga 2003, tidak lengkap tanpa menyentuh tentang Anwar dan perdana menteri pada waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ini kerana, perseteruan dua tokoh penting ini dilihat sebagai pencorak utama kepada keadaan politik pada hari ini.
Dalam buku ini, Dr Mahathir nampaknya dirakam sebagai antara penyumbang ke arah wujudnya “budaya takut” yang berpanjangan dalam masyarakat kita.
“Selepas berakhir zaman tersebut, sebahagian mereka masih lagi termangu-mangu mengenangkan apa yang berlaku sekitar tahun 1998-2003 tersebut,” tulisan dalam bab “Merentas Waktu” itu dipetik.
Malah, Anwar yang dikatakan menjadi mangsa “tindakan aib” pula digambarkan mempunyai wilayah pengaruh yang tersendiri, bermula dar zaman gerakan pelajar sekitar tahun 1970-an sehingga jadi “pembantu setia” Dr mahathir sehingga tahun-tahun 90-an.
“…pengaruh (Anwar) tetap ada walau tidak semestinya sama dengan pernyataan-pernyataan dan kenyataan politiknya,” tulis Raja Ahmad lagi.
Sama ada Anwar membuat comeback, Raja Ahmad tidak mampu memberikan jawapan pasti.
Bagaimanapun, katanya, terserah kepada pada masa, keupayaan diri sendiri serta kesediaan kawan dan penyokongnya untuk terus percaya pada perjuangannya