Kedua: Merendah-rendahkan martabat Islam
"Kita sedar bahawa terdapat juga di negara-negara Islam lain penggunaan perkataan Islam pada parti-parti politik. Tetapi di kesemua negara ini, perpecahan yang ketara berlaku di kalangan orang Islam.... Atas nama persaudaraan Islam, keganasan terhadap orang Islam dilakukan sehingga tidak ada keamanan sama-sekali. Dengan itu, hampir semua negara Islam ini menjadi lemah, mundur dan mudah diperalatkan oleh musuh-musuh Islam. Namun, masih lagi tidak ada kesedaran bahawa orang yang berselindung di belakang perkataan Islam adalah salah satu daripada punca kelemahan umat Islam."
- Ucapan Dr. Mahathir di Perhimpunan Agung Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 18 November 1994.
Ketiga: Mempertikaikan kesahihan hadith Nabi s.a.w.
"Koleksi hadis dan sunnah (oleh Imam Bukhari dan Muslim) ini diterima sebagai asli oleh sebahagian besar umat Islam dalam mazhab Ahli Sunnah. Golongan Syiah pula mempunyai hadis dan sunnah yang mereka sahkan sendiri. Kerana imam dan ulama bukannya nabi, tetapi hanya manusia biasa, mereka juga boleh terdedah kepada kesilapan. Hadis dan sunnah yang mereka tolak mungkin sahih dan apa yang mereka terima mungkin tidak asli. Sudah pasti ramai yang masih memetik hadis-hadis yang tidak disahkan."
- Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamed di Pusat Pengajian Islam, Universiti Oxford, United Kingdom pada?
"Kita tidak diberitahu bahawa Bukhari dan Muslim dan beberapa lagi manusia biasa yang terpelajar, tidak terima semua yang dikatakan hadis. Setelah mengkaji dengan teliti 600,000, Bukhari hanya menerima 7,000. Muslim pula mengkaji 300,000 hadis dan hanya menerima 4,000. Ada hadis yang diterima oleh Bukhari, tetapi tidak disahkan oleh Muslim, murid kepada Bukhari. Tetapi yang tidak diterima oleh Muslim, pihaknya menjelaskan bahawa mungkin ada yang sahih. Tetapi tentulah banyak daripada baki 296,000 yang tidak ditolak adalah tidak sahih dan mungkin ada hadis yang diterima sebagai sahih, tetapi mungkin tidak sahih. Jika kita tidak lupa bahawa Bukhari, Muslim, Tarmizi dan tokoh-tokoh Islam lain yang mengkaji hadis 200 tahun selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia biasa dengan segala kelemahan manusia, dan mereka bukan Nabi, tentulah kita tidak harus memecah-belahkan umat Islam daripada Ahli Sunnah hanya kerana tafsiran dan dakwaan kesahihan atau tidaknya hadis-hadis yang dikaji oleh pengkaji hadis ini.
- Ucapan Perasmian Timbalan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 5 Julai 1979.
Keempat: Membina tanggapan negatif terhadap ulama
"Malangnya, wujud satu kecenderungan di kalangan umat Islam untuk menganggap pengisytiharan ulama sebagai sesuatu yang tidak mungkin salah. Ramai orang yang mengaku tahu mengenai Islam dan mendakwa diri mereka sebagai ulama. Sebahagian daripada mereka jelas penipu dan orang yang mempunyai kepentingan termasuk, pastinya, ahli-ahli politik dengan cita-cita peribadi yang terlalu duniawi. Jika semua orang ini dianggap pewaris nabi serta mempunyai kelayakan dan tidak mungkin berbuat silap dalam penafsiran mereka mengenai Islam, mudahlah untuk melihat kekeliruan dan ketidakfahaman terhadap pengajaran Islam."
- Ucapan Dr. Mahathir di Pusat Pengajian Islam, Universiti Oxford, United Kingdom pada?
"Kemungkinan kesalahan (ajaran Islam) berlaku menjadi lebih apabila orang bukan Arab tetapi faham bahasa Arab cuba menyampaikan ajaran Quran dan Hadis dalam bahasa bukan Arab. Kefahaman dan tafsirannya mungkin salah di samping penterjemahannya juga salah.... Justeru itu, janganlah sesiapa mendakwa bahawa ajarannya lebih tepat kerana ia faham bahasa Arab. Ianya juga mungkin salah sama seperti orang Arab yang menulis dalam bahasa lain. Orang yang mempelajari agama Islam yang tidak memahami bahasa Arab tidak semestinya selalu salah berbanding dengan orang yang memahami bahasa Arab. Semua pihak terdedah kepada kesalahan kefahaman atau tafsiran atau penterjemahan oleh diri sendiri atau oleh ulama."
- Ucapan Dr. Mahathir di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.
"Hukum hudud adalah berkenaan dengan jenayah. Ulama yang alim dalam ajaran Islam dan hukum-hakam Islam tidak semestinya pakar dalam bidang jenayah. Keadaan dan jenayah di zaman Nabi tidak sama di zaman ini. Demikian masyarakat di Madinah, bahkan masyarakat di negara-negara Islam semasa hukum hudud dilaksanakan sepenuhnya amat berbeza dengan masyarakat di Malaysia di waktu ini."
- Ucapan Dr. Mahathir di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.
"Mufti adalah jawatan yang diwujudkan oleh pemerintahan negara-negara Islam selepas Nabi wafat untuk membuat keputusan berkenaan dengan soal-soal agama. Jawatan mufti diperlukan kerana keghairahan mereka yang mendakwa diri sebagai ulama untuk membuat fatwa dan tafsiran sendirian yang kerap bertentangan antara satu dengan lain yang mengelirukan umat Islam."
"Saya ingin tegaskan bahawa perpecahan di kalangan umat Islam kepada berbagai-bagai mazhab dan kumpulan-kumpulan dengan berbagai-bagai amalan dan fahaman agama, sedangkan agama Islam hanya satu sahaja, adalah disebabkan oleh tafsiran dan ajaran oleh orang yang mengkhususkan dalam bidang agama dan faham bahasa Arab. Pengetahuan agama dan bahasa Arab tidak menjamin bahawa tafsiran dan ajaran mereka tepat, benar dan tidak berbeza. Sebenarnya kerana kepentingan tertentu ada di kalangan mereka yang kerap menyalahtafsirkan ajaran Islam."
- Ucapan Dasar Presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 5 September 1997.
"Tetapi ajaran yang kerap disampaikan kepada umat Islam tertumpu semata-mata kepada kebahagiaan di akhirat. Jika ada sesiapa yang bercakap dan berusaha untuk kebahagiaan di dunia, maka ada sahaja orang yang mendakwa diri mereka ulama yang akan hukum orang itu bersalah dan tidak Islam. Bagi mereka Ad-Deen bermakna cara bersedia untuk menghadapi kematian semata-mata.
"Ajaran ulama inilah yang menyebabkan umat Islam menghabiskan hayat mereka semata-mata membuat persediaan untuk akhirat. Dan untuk ini berbagai-bagai ibadat dicipta dan ditokok-tambah untuk memenuhi masa hidup mereka. Dan jika ada sesiapa yang tidak mengikut ibadat tambahan ini, mereka dianggap sebagai kurang Islam atau tidak Islam.
"Kerana takut dituduh tidak Islam, ramai orang Islam yang membisu atau ikut mengamal ibadat-ibadat yang dicipta ini sehingga tidak ada masa lagi untuk mengejar kejayaan di dunia atau menjalankan dengan sempurna tugas biasa yang diamanahkan kepada mereka."
"Tetapi yang lebih bersalah ialah mereka yang menafsir dan membawa ajaran yang dikatakan Islam yang menyebabkan umat Islam menjadi semakin lama semakin lemah, mundur, jahil dan mudah diperalat dan dipermainkan oleh musuh-musuh Islam. Mereka yang mengajar bahawa bagi umat Islam hidup di dunia hanyalah untuk persediaan bagi akhirat adalah orang yang bersalah besar. Umat Islam dan agama Islam tidak akan dihina jika tidak kerana ajaran ini."
- Ucapan Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 8 November 1991.
Kelima: Menjanjikan syurga adalah rasuah
"Menjanjikan syurga jika parti disokong juga merupakan satu jenis rasuah. Ia lebih murah dan mudah dibuat bagi mereka yang tidak takutkan Tuhan, tetapi lebih berkesan di kalangan orang yang kuat pegangan kepada agama. Dengan ini, bukan sahaja mereka kotor, agama juga turut dikotorkan."
- Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Khas Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 Jun 1994.
Keenam: Riba harus kerana darurat
"Keadaan yang dihadapi oleh masyarakat Islam sekarang ini adalah cemas dan merupakan darurat. Pengambilan faedah (riba) adalah untuk maslahat umat Islam, kerana sekiranya faedah itu tidak diterima oleh orang Islam, wangnya mengeluarkan faedah kepada bank atau institusi lain. Jika bank itu bukan kepunyaan orang Islam, maka keuntungan dan faedah yang didapati itu akan pergi kepada orang bukan Islam. Sebenarnya banyak bank Zionis mendapat untung dari menyimpan wang orang Islam dan keuntungan ini sebahagiannya tentulah digunakan untuk kepentingan Israel."
- Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1987.
Ketujuh: Janggut bukan sunnah?
"Kalau kita hendak simpan janggut, simpanlah. Saya kata bukan tak boleh simpan. Saya tak simpanlah, tapi jangan kata saya kurang Islam sebab tak simpan janggut. Siapa tahu janggut Nabi macam mana? Siapa pernah tengok? Ada gambar ke? Kita tidak tahu. Ada pula kata janggut mesti sampai ke pusat. Apakah kita hendak jadikan ini ukuran agama Islam kerana kita berjanggut ikut Sunnah Nabi? Kita tak tahu! Kita tahulah dia ada janggut tapi tak tahu janggut dia macam mana. Zaman itu nak cukur mudah? Bukan ada gillette. Zaman Nabi ada gillette? Tak ada! Pisau cukur pun tak ada masa tu. Masalah hendak cukur. Kemudian dia pi jalan sana-sini naik unta bukan dapat air banyak, kawasan padang pasir."
- Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam.
Kelapan: Gambaran negatif orang berkopiah
"Pakai kopiah belum tentu lagi Islam. Pergilah ke Sumatera tengok orang pakai kopiah lilit kain tebal-tebal, tapi masuk gereja. Di Pulau Bali, pakai kopiah bukan ada kena-mengena denga agama."
"Bukan saya kata tidak boleh tudung kepala. Tetapi apa guna tudung kepala tetapi perkosa anak. Misalnya suami perkosa anak. Masuk dalam mahkamah pakai ketayap putih, isteri pula pakai tudung kepala. Tapi buat kerja apa?"
- Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam.
"Bukan semua orang yang pakai kopiah putih baik-baik belaka. Yang pakai kopiah hitam macam inipun (wakil di Perhimpuna Agung Umno) ini kadang-kadang baik juga.... Ada sebuah parti lain, kalau kita pergi tengok mesyuaratnya, nampak putih sahaja. Bukan setakat putih, wanita duduk di sebelah, tidak boleh campur (dengan lelaki seperti dalam Umno) kerana tidak dibenarkan oleh parti itu... Tetapi bila kita dengar syarahan-syarahannya, tidak ada lain selain dari mengata orang, bahawa orang itu tidak Islam, orang itu kafir. Adakah mereka (yang berkopiah putih) itu lebih Islam daripada yang pakai kopiah hitam ini? Jelas sekali kopiah putihkah, serbankah, tudungkah tidak menentukan paras keislaman kita."
- Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.
Kesembilan: Pertikai hukum menutup aurat wanita
"Yalah kita kena tutup auratlah. Tapi definisinya pun yang mana satu? Ada setengah kata kena tutup semua muka baru betul. Jadi adakah yang tak tutup muka kurang Islam? Kalau tutup pun setakat mana yang kita tutup? Dan kalau kita tidak tutup, adakah kita tidak Islam?
- Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam.
"Tujuan menutup aurat (wanita) ialah kerana di zaman nabi, Arab jahiliyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat. Tetapi di zaman ini di Malaysia kita amat keras berkenaan dengan menutup aurat. Hukuman keras disediakan terhadap mereka yang melanggar larangan ini. Bahawa orang yang menutup aurat ini membuang bayi, mendera dan membunuh anak, merogol dan melakukan berbagai-bagai jenayah seks tidak kita kaitkan dengan tujuan menutup aurat."
"Dan jangan kita lupa orang yang menutup kepala juga melakukan jenayah seks tidak kurang daripada yang tidak menutup kepala. Sebabnya ialah kerana kita mengutamakan menutup kepala dan bukan pencegahan jenayah. Asalkan kita menutup kepala, sempurnalah amalan kita."
- Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 5 September 1997.
"Setengah daripada kita hendak pakai tudung dan setengah tidak pakai tudung. Kita tidak boleh ukur sama ada orang yang pakai tudung lebih Islamnya daripada yang tidak memakai tudung, kerana yang pakai tudung pun...."
- Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.
Kesepuluh: Pertikai Hukum Syahid
"Saidina Hamzah yang gugur syahid di Uhud tidak dimandikan kerana tidak ada air, kerana terkorban di tengah-tengah padang pasir."
- Ucapan Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Ketil, Kedah pada tahun 1986 selepas tragedi Memali.
Kesebelas: Ruang maksiat sebagai menguji keimanan
"Kalau kita tutup langsung semua peluang untuk membuat jenayah dan maksiat, kita tidak boleh kata orang-orang dalam masyarakat itu sudah baik dan sudah menerima segala nilai-nilai Islam. Mereka cuma tidak dapat melakukan perkara yang tidak baik kerana tidak terdedah kepadanya. Sebaliknya, kalau seseorang itu sudah menerima dan menerap nilai-nilai Islam, di mana juga ia berada, tidak akan membuat sesuatu yang dilarang oleh agama Islam."
"Sebab itu kadang-kadang kita berpendapat bahawa adalah lebih baik kalau kita menguji sedikit diri kita. Sepertimana di dalam negara kita ini, ada arak tetapi kita tidak minum, ada babi tetapi kita tidak makan. Begitu juga kalau ada judi, kita tidak berjudi. Kalau kita cuma tidak berjudi kerana (undang-undang), belum tentu kita berpegang kepada nilai itu. Tetapi jika kita nampak judi ada di sini dan kita tidak membuatnya, kita tahu sama ada kuat atau tidak kuat iman kita."
"Kita tidak mahu menjadi manusia yang tidak terdedah sama sekali kepada maksiat, kepada peluang untuk berjenayah dan sebagainya. Kita perlu didedah, tetapi kukuhkanlah iman kita supaya kalaupun kita terdedah, kita boleh tahan."
- Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.
Keduabelas: Tidak sembahyang pun baik juga
"Ada wakil (Perhimpunan Agung Umno) yang bercerita tentang seorang wanita yang bersembahyang tidak berhenti-henti, tetapi mulutnya bercakap macam-macam sehingga batal habis sembahyangnya itu. Jadi kita tidak boleh mengatakan orang yang sembahyang itu adalah lebih Islam daripada orang yang tidak sembahyang. Orang yang tidak sembahyang mungkin tidak mengumpat, tidak mengatakan macam-macam terhadap orang lain lagi. Mereka ini juga orang baik."
- Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.
Dalam konteks politik tanahair, lebih-lebih lagi di Terengganu, tindakan Umno memperbesar-besar dan menghidupkan kembali isu 'Amanat' sebenarnya tidak memberikan apa-apa keuntungan politik baginya. Malah, seperti yang dikatakan tadi, ia mengundang tindak balas daripada pihak PAS yang nyata amat sukar bagi Umno menepisnya kembali. Bukankah itulah yang terserlah melalui petikan-petikan ucapan para pemimpin Umno di atas?
(Artikel ini adalah Bab 6 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)