KUALA LUMPUR: Menjelang pemilihan Umno pada 19 Oktober depan, kedudukan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah terus menjadi sebutan sama ada beliau akan bertanding jawatan Presiden Umno atau sebaliknya.
Menurut penulis Shahbudin Husin, meskipun beberapa negeri sudah membuat ketetapan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan, keadaan itu sebenarnya hanya berlegar-legar di peringkat atasan sahaja.
Tulisan beliau di dalam blognya http://shahbudindotcom.blogspot.com semalam sebagaimana di bawah.
Menjelang pemilihan UMNO pada 19 Oktober depan, kedudukan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah terus menjadi sebutan sama ada beliau akan bertanding jawatan Presiden UMNO atau sebaliknya. Meskipun beberapa negeri sudah membuat ketetapan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, keadaan itu sebenarnya hanya berlegar-legar di peringkat atasan sahaja.
Sebaliknya, di peringkat bahagian dan cawangan, masih kedengaran suara-suara yang mahukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan. Ia bukan saja untuk menterjemahkan transformasi politik yang dilakukan oleh Najib yang sedia mengubah peraturan pertandingan tetapi juga untuk membuktikan amalan demokasi masih lagi subur dalam UMNO.
Dengan kedudukan BN yang hanya mempunyai 133 kerusi Parlimen saja, sementara kebanyakan pemimpin UMNO dilihat tidak mempunyai perubahan sikap yang ketara dengan sebahagiannya masih bersikap sombong, angkuh serta bangga diri, ramai ahli-ahli peringkat bawahan yang bimbang tentang nasib parti itu dalam pilihan raya ke 14 nanti.
Najib pula, walaupun menerima sokongan daripada Ketua-Ketua UMNO bahagian untuk terus mengekalkan jawatannya, sikap serta pendiriannya yang tidak tegas dalam beberapa isu berkaitan Melayu dan Islam, turut menambahkan lagi kebimbangan itu.
Setelah Najib tunduk dengan beberapa desakan pembangkang seperti pemansuhan ISA, Akta Hasutan dan Ordinan Darurat serta sikapnya yang terlalu lembut terhadap tuntutan kaum lain, semakin ramai yang bimbang nasib bangsa Melayu akan lebih tertekan dalam menghadapi fasa-fasa kritikal lima tahun akan datang ini.
Dalam konteks inilah yang menyebabkan suara-suara ke arah perubahan itu terlihat ketara. Memberi kemenangan percuma dilihat hanya akan membuatkan Najib terus selesa dengan sikapnya yang ada sekarang.
Golongan bawahan dan akar umbi juga menolak pertandingan kali ini boleh memberi membawa perpecahan kerana sebelum pilihanraya umum 2018 nanti, ada satu lagi pemilihan UMNO yang harus dihadapi iaitu pada 2016. Jika mahu mengekalkan perpaduan dan memantapkan kesatuan, pertandingan 2016 itulah yang harus dielakkan manakala pertandingan tahun seharusnya dibenarkan bagi memilih pemimpin sebenar dan mengukur tahap demokrasi yang sering dipertikaikan selama sejak sistem kouta diperkenalkan.
Meskipun Muhyiddin belum mengumumkan pendirian sebenar mengenai jawatan yang bakal ditandinginya, namun ramai yang percaya beliau lebih selesa untuk kekal dengan jawatan yang disandangnya sekarang.
Di sinilah yang membuatkan nama Tengku Razaleigh muncul sebagai tokoh yang sesuai untuk mencabar Najib. Walaupun beliau dilihat agak berusia berbanding Najib, rekod cemelang dan imej bersihnya semasa berada di dalam kerajaan dulu, termasuk jasanya menubuhkan Petronas dan Bank Bumiputra, sentiasa menjadi rujukan dan sering dietakkan sebagai neraca perbandingan.
Dalam menghadapi cabaran yang seterusnya pula, Tengku Razaleigh yang popular dengan Ku Li juga dilihat mempunyai jiwa Melayu dan Islam yang lebih kukuh tetapi dalam masa yang sama dipercayai mampu juga menarik sokongan bukan Melayu untuk berada bersama-sama dengannya jika diberi peluang memimpin UMNO.
Sehingga ini, desakan daripada seluruh seluruh negara yang mahukan beliau bertanding ternampak memberangsangkan. Pelbagai pihak dan kelompok dalam UMNO yang mempunyai undi tidak putus-putus menemuinya menyatakan keperluan untuk beliau bertanding menentang Najib dan memikirkannya demi kepentingan Melayu dan Islam.
Meskipun belum ada kata putus yang keluar daripada mulutnya sama ada akan bertanding atau sebaliknya, namun desakan dan permintaan yang bertali arus mehukannya khidmatnya itu mungkin membuatkan Ku Li akhirnya akur dengan semua permintaan dan desakan itu.
Namun kesediaan Ku Li bertanding itu bukanlah semata-mata kerana jawatan tetapi lebih kepada menyahut seruan perubahan yang dikehendaki oleh peringkat akar UMNO yang tidak putus-putus menemuinya sejak kebelakangan ini.
Dengan sistem baru pemilihan UMNO yang tidak lagi memerlukan kouta pencalonan dan perwakilan pula diperluaskan kepada hampir 150,000 orang, walaupun Pengerusi Perhungan UMNO negeri-negeri dan ketua bahagian lebih cenderung menyatakan sokongan terbuka kepada Najib tetapi arus perubahan yang sedang menggelegak di peringkat bawahan UMNO berikutan keputusan pilihanraya lalu dan sikap Najib sendiri yang tidak banyak berubah dalam beberapa isu, bahkan kekal dengan sikap tidak tegasnya, ianya mungkin memberi ruang kepada Tengku Razaleigh.
Sebelum tarikh pendaftaran pada 28 September depan, adalah dipercayai Ku Li akan membuat pengumuman mengenai jawatan yang bakal ditandinginya dan berdasarkan permintaan yang kian meningkat terhadap khidmatnya, kemungkinan beliau akan mencabar Najib bagi jawatan Presiden UMNO kali ini, sangat hampir menjadi kenyataan.