Malaysiakini
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan yang lebih meriah daripada penyokong Pakatan Rakyat berbanding perdana menteri yang turut hadir ke rumah terbuka anjuran Dong Zong hari ini.
Datuk Seri Najib Razak diraikan dengan tarian singa oleh tuan rumah namun ketibaan Anwar sejam kemudian disambut dengan tepukan dan sorakan bergemuruh serta laungan ‘Reformasi’ oleh penyokong Pakatan di majlis itu.
Beberapa orang daripada mereka juga dilihat mengibarkan slogan ‘I Love New PM Anwar (Saya Sayang PM Baru Anwar)’ di majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang itu.
Slogan tersebut diolah daripada slogan ‘I Love PM (Saya Sayang PM)’ yang diedarkan di majlis tersebut untuk menyambut ketibaan Najib sebelum itu.
Penyokong tersebut menambah perkataan “new” dan “Anwar” pada slogan yang diedarkan untuk meraikan Najib itu dengan menggunakan pena dakwat hitam.
Salah seorang individu bertanggungjawab, Jimmy Wong Chee Wai, 34, berkata beliau berbuat demikian untuk menunjukkan sokongannya kepada Anwar, yang diyakininya sebagai bakal menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum akan datang.
Beliau berharap ketibaan tahun tahun baru Cina ini juga membawa maksud bahawa perdana menteri akan datang bukan lagi dari BN.
“Beliau (Anwar) sepatutnya jadi PM kita selepas ini,” kata beliau yang hadir dengan memakai baju-T BERSIH.
Najib yang tiba lebih awal daripada Anwar tidak membuat sebarang ucapan atau memberikan kenyataan kepada media walaupun ini merupakan kunjungan bersejarah sebagai perdana menteri pertama yang hadir ke majlis Dong Zong.
Najib beredar selepas meluangkan masa selama kira-kira 45 minit untuk menikmati hidangan, menyaksikan persembahan, menyertai acara menggaul yee sang dan menulis kaligrafi.
Pengerusi Dong Zong, Dr Yap Sin Tian pula, yang tidak membuat ucapan sewaktu kehadiran Najib, mengambil peluang untuk berucap sewaktu Anwar berada di majlis itu.
Dalam ucapannya, beliau antara lainnya merayu agar “rakan” Dong Zong terus menyokong usaha yang dijalankan pertubuhan berkenaan.
“Kita dalam tahun baru ini semuanya akan berubah. Jadi di sini saya harap semua rakan-rakan sokong Dong Zong sampai mencapai kita punya matlamat,” kata Yap.
Yap yang berucap dalam bahasa Melayu itu turut menyampaikan penghargaan kepada Najib kerana sudi hadir ke majlisnya.
Tindakan Yap yang menyebut nama Najib itu bagaimanapun disambut dengan laungan “boo” oleh para penyokong Pakatan.
Kumpulan sama turut melaungkan “Reformasi” sekali lagi sewaktu Anwar beredar daripada majlis tersebut.
Hadirin yang menikmati hidangan secara lambak sejak ketibaan Najib juga mula beransur-ansur meninggalkan majlis sebaik sahaja Anwar beredar.
Turut bersama Anwar pada majlis tadi adalah penasihat DAP, Lim Kit Siang, naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, dan ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, serta presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah.