Petikan Hansard Dewan Rakyat Pada 17 Mac 2011 (Khamis) / Sumber: www.parlimen.gov.my
A) Reporters without border: Malaysia di antara negara senarai The Enemies of Internet
Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk menjunjung kasih atas Titah Tuanku Yang Dipertuan Agong. 12 Mac merupakan World Day Against Cyber Censorship dengan izin, tahun ini sempena sambutan World Day Against Cyber Censorship, the reporters without border dengan izin telah melancarkan satu laporan The Enemies of Internet ataupun musuh Internet. Dalam laporan tersebut 10 negara telah disenaraikan sebagai musuh Internet, manakala Malaysia bersama 15 buah negara lain lagi telah disenaraikan sebagai negara di bawah pengawasan, syabas kepada kerajaan Barisan Nasional. Bukan itu sahaja kedudukan Malaysia dalam World Press Freedom Index dengan izin pada tahun 2010 telah jatuh daripada kedudukan 131 pada tahun 2009 kepada kedudukan ke-141 pada tahun 2010, tahniah sekali lagi kepada kerajaan BN.
Tuan Yang di-Pertua kedudukan Malaysia yang begitu teruk dan imej yang begitu memalukan adalah diakibatkan oleh tingkah laku kita sendiri. Sebagai contoh semasa perhimpunan Anti Perkauman yang telah dianjurkan pada 27 Februari yang lalu, PDRM telah menangkap 109 orang peserta, isu pertama adalah kenapa pihak polis perlu menangkap mereka yang berhasrat untuk menyertai perhimpunan anti racist itu. Adakah kerana kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah negara yang menyokong perkauman?
B) Polis menahan 3 wartawan yang meliput berita Demonstrasi Hindraf menentang perkauman
Isu yang kedua ialah isu yang lebih penting adalah kenapa pihak polis menahan dan menangkap tiga orang wartawan yang bertugas pada hari tersebut? Mereka berada di sana untuk record apa yang telah berlaku sahaja.
Sebenarnya tanggungjawab PDRM adalah untuk melindungi wartawan dan bukan tangkap mereka. Jadi, untuk memperbaiki imej Malaysia di mata masyarakat antarabangsa, saya haraplah bahawa kerajaan kita bolehlah memberi satu penjelasan yang munasabah kenapa ketiga-tiga orang wartawan tersebut telah ditangkap dan memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak akan ganggu kerja wartawan pada masa yang akan datang.
C) Kementetian Dalam Negeri bercadang memperluaskan pengaruh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ke dunia Internet
Satu langkah lagi yang boleh memperbaiki nama baik negara kita adalah mengulang kaji atau memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri telah berkata bahawa pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu sama ada ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook, dan lain-lain. Pindaan-pindaan yang dicadangkan oleh beliau hanya akan menghakiskan nama baik negara kita.
(More......)