Myanmar bebas 114 banduan Posted: 16 Nov 2012 12:25 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - Orang ramai mengerumuni pintu pagar Penjara Insein, Yangon bagi menyambut ahli keluarga mereka yang dibebaskan. YANGON - Myanmar membebaskan seramai 114 banduan, sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, mengadakan lawatan bersejarahnya pada hari ini. Bagaimanapun, menurut kumpulan pembangkang, pembebasan lebih 100 banduan, semalam, tidak melibatkan mana-mana tahanan politik. Sebahagian banduan yang dibebaskan, termasuk bekas tentera yang lari dari tugasan atau melakukan kesalahan ketenteraan. Sebelum itu, media tempatan melaporkan, lebih 400 banduan bakal dibebaskan dengan niat membantu memulihkan hubungan dan kebajikan rakyat.
Dalam satu kenyataan lain, pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi menyuarakan kekesalannya berikutan pembebasan itu tidak melibatkan ahli politik.
Sehingga kini, kira-kira 800 banduan politik dibebaskan sepanjang proses pembentukan semula kerajaan sejak tahun lalu dan lebih 100 pengamal politik masih ditahan. - Reuters |
Imej Bayi Maut Dapat Simpati Dunia Posted: 16 Nov 2012 12:21 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
Gaza – Kematian seorang bayi berusia 11 bulan yang juga anak kepada jurukamera BBC akibat serangan Israel, telah mencetuskan simpati orang ramai selepas gambar Jihad Misharawi memangku anaknya sambil menangis tersebar di internet.
Beribu-ribu mesej simpati telah diterima Jihad dalam internet, termasuk kecaman ke atas BBC yang hanya membuat laporan yang minimum terhadap pembunuhan berkenaan. "Apabila BBC sendiri tidak mempedulikan nasib anak kepada jurukameranya, apa lagi harapan untuk Palestin" demikian tulis satu blogger intifada dalam internet yang melihat BBC langsung tidak menghiraukan kematian tersebut.
Selain itu, media portal Al-Bawaba turut menghentam keras BBC kerana melaporkan Israel melakukan serangan itu bagi mensasarkan pengganas di Gaza.
"BBC gagal melaporkan bahawa bayi berusia 11 bulan itu juga merupakan antara kanak-kanak yang maut dalam serangan berkenaan,'' kata media tersebut. Sejurus menerima kecaman bertali arus itu, BBC telah membuat penerangan bahawa pada mulanya berita kematian bayi berkenaan tersebar dalam badan penyiaran berkenaan sahaja.
Malah editor BBC World, Jon Williams telah menghantar memo mengenai kematian bayi tersebut kepada semua rakan sekerjanya. "Kami bersama dengan Jihad dan seluruh pasukan di Gaza. Ia merupakan satu detik yang amat menyedihkan dan sukar bagi seluruh pasukan di Gaza.
Kami bernasib baik kerana mempunyai pasukan yang berani di sama. Ia merupakan satu peringatan kepada cabaran yang terpaksa dialami oleh rakan sekerja di sana.
Satu artikel dalam laman web BBC juga turut menyiarkan video Jihad bersama anaknya dengan keterangan `Apa yang anak saya lakukan hingga menerima nasib sebegini rupa'.
Bayi tersebut, Omar, maut selepas bedilan ganas Israel telah terkena rumahnya. Omar merupakan antara 16 penduduk di Gaza yang meninggal dunia, dua hari lalu akibat kekejaman Israel itu.
Sejak Rabu juga, zionis terus membedil penduduk di Gaza dengan alasan memburu pejuang Hamas selepas berjaya membunuh komander Hamas, Ahmed Jaabari. –
|
Posted: 16 Nov 2012 12:18 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
JASON memangku (dari kiri) Sidney, Jenson dan Elliot sambilrhatikan Brittany. SACRAMENTO: Seorang ibu di California melahirkan tiga bayi lelaki yang mencatatkan rekod baru sebagai kembar tiga paling berat di dunia.
Jason dan Brittany Deen dari Sacramento, California, menyambut kelahiran tiga bayi lelaki mereka pada 8 November lalu. Gabungan berat ketiga-tiga bayi itu ialah sembilan kilogram bermakna mereka mencatat rekod baru dalam Buku Rekod Dunia Guiness, menurut Sacramento Bee. Bayi sulong, Sidney adalah seberat 3.5 kilogram dan adiknya, Elliot seberat 3.3 kilogram, manakala anak bongsu Jenson mencecah 2.5 kilogram.
Pihak hospital telah merekod berat kelahiran kembar tiga itu dan kini keluarga itu telah menyerahkan dokumen berkenaan kepada Guiness untuk pengesahan. Rekod sedia ada dipegang sepasang suami isteri dari Carolina Utara yang mempunyai kembar tiga dengan jumlah berat keseluruhan ialah 8.2 kilogram pada tahun lalu.
Brittany, 32, yang memberi makan bayi itu secara normal menghadiri kelas mingguan di Sutter Memorial's Moms untuk mempelajari bagaimana memberikan penjagaan terbaik bayi baru lahir kepada kembar tiga miliknya.
"Menjadi ibu kepada bayi kembar tiga amat menakutkan," katanya kepada Sacramento Bee. "Anda dengar mengenai kesukaran dan cabarannya.
"Saya harap dengan menyaksikan saya dan mendengar pengalaman positif yang saya lalui akan memberi inspirasi kepada ibu lain agar tidak berasa takut dan membantu mereka menyedari bahawa mereka tidak sendirian," katanya. Brittany, seorang jururawat onkologi di Pusat perubatan Universiti California Davis berazam melanjutkan tempoh kehamilan kembar tiga itu dengan sempurna. Dia memberi perhatian khas mempelajari cara pemakanan untuk empat orang yang bermakna mengambil makanan hingga 6,000 kalori dalam sehari. - DM
|
Adun bebas Perak: Habis madu sepah dibuang Posted: 16 Nov 2012 12:14 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - IPOH: Habis madu sepah dibuang. Mungkin peribahasa itu yang sesuai untuk menceritakan nasib empat Adun Bebas di Perak yang berjaya menumbangkan kerajaan negeri Pakatan sebelum ini. Kalau sebelum ini jasa mereka sangat diperlukan, Adun yang sudah berpangkat datuk pun tidak mendapat kerusi untuk bertanding. Ekoran itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak sudah menjangkakan akan berlaku pelbagai pergolakan di dalam Komponen Barisan Nasional (BN) Negeri Perak di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 ini. Terkini adalah perkembangan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Jelapang yang disandang oleh Datuk Hee Yit Foong setelah 'melompat' parti dari DAP menjadi ADUN Bebas pada tahun 2009. Datuk Hee yang telah menyuarakan hasratnya mempertahankan kerusi tersebut atas tiket BN atau MCA telah mendapat bantahan keras dari Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Negeri Perak. Pengumuman yang dibuat oleh Datuk Hee itu, samada telah mendapat restu Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir atau tidak, dengan segera mendapat maklumbalas Datuk Seri Chua yang menafikan kedudukan kerusi DUN Jelapang yang sebelum ini ditandingi oleh MCA. Namun sehingga kini Datuk Seri Zambry masih membisu seribu bahasa. "Persoalannya apakah kedudukan Datuk Hee pada PRU 13 nanti? Apakah pendirian Datuk Seri Zambry sebagai Pengerusi BN Perak? Adakah juga Datuk Hee akan bertanding atas tiket Bebas pada PRU 13 nanti. "Bagaimana pula tentang kerusi DUN Bebas yang lain di DUN Behrang, Changkat Jering dan Malim Nawar?" soal Ketua Penerangan PAS Perak, Ahmad Nuri Al-Amin ( gambar). Sehubungan itu, beliau mewakili PAS Perak mencabar Datuk Seri Zambry menjelaskan kedudukan ADUN-ADUN Bebas tersebut yang menjadi 'faktor utama' dan 'kuasa ketiga' terhadap rampasan kuasa Negeri Perak yang dipilih rakyat. "Kami ingin melihat samada Datuk Seri Zambry akan menamakan mereka untuk bertanding atas tiket BN pada PRU 13 nanti atau pun bertanding atas tiket Bebas bagi membuktikan mereka masih releven buat rakyat yang telah memilih mereka. "Kami merasakan 'ujian besar' buat Datuk Seri Zambry sama ada 'menerima' atau 'menolak' ADUN-ADUN Bebas tersebut pada PRU 13 nanti!" katanya.
harakah/- |
Semua nama calon PAS sudah disahkan Posted: 16 Nov 2012 12:10 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - (Sidang media selepas majlis perasmian muktamar)
PENGKALAN CHEPA: Majlis Syura Ulama PAS sudah meluluskan semua nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, senarai nama tersebut sudah diteliti dan Majlis Syura Ulama sudah menapis nama-nama yang layak.
"Semua nama calon mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulama.
"Semua nama sudah diserah kepada pusat dan Majlis Syura sudah luluskan nama-nama yang layak bertanding, dan yang layak digugurkan," kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan PAS, di Putik hari ini.
Beliau turut menegaskan, PAS menekankan calon boleh menang, termasuk calon muslimat.
"Semua nama diluluskan Majlis Syura Ulama tapi untuk menentukan dia bertanding, kena lihat kepada akar umbi.
"Kita bukan sahaja nak letak calon tapi mahu calon boleh menang," katanya.
Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.
Sementara itu, Ustaz Hadi menegaskan calon hanya akan diumumkan selepas tarikh pilihan raya diketahui.
"Kebiasaannya PAS umum calon bila tahu tarikh pilihan raya, lepas itu kita tetapkan hari, sehari atau dua hari sebelum penamaan calon.
"Jadi kita minta PM umum awal pilihan raya supaya kita boleh umum calon," katanya.
Muktamar tahunan PAS kali ke-58 ini dihadiri 1116 perwakilan daripada 183 kawasan.
harakah/- |
Terbantut curi haiwan Posted: 16 Nov 2012 12:08 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
MAHAL...Chung bersama kucing baka benggal yang nyaris dicuri dalam kejadian pecah kedainya. KESAN PECAH...Chung menunjukkan siling yang ditembusi pencuri untuk melarikan binatang. IPOH: Cubaan tiga lelaki melarikan beberapa ekor kucing, arnab dan anak beruk dari sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di sini, awal pagi kelmarin, terbantut apabila usaha mereka digagalkan polis. Dalam kejadian jam 3 pagi itu, tiga lelaki berusia 17 hingga 28 tahun dikesan menceroboh premis berkenaan di Gunung Rapat sebelum disedari orang ramai. Ketiga-tiga suspek dicekup ketika membawa bersama masing-masing seekor kucing bengal dan kucing siam selain beberapa ekor arnab dan seekor anak beruk bernilai lebih RM3,000.
Polis turut merampas beberapa barangan berharga lain termasuk wang tunai RM300, sebuah komputer riba, dua tabung duit, dua beg makanan kucing seberat 1.5 kilogram dan dua sangkar kucing yang dilarikan dari premis berkenaan. Pemilik premis, Chung Weng Kee, 45, ketika ditemui berkata, dia menerima maklumat kejadian itu selepas dimaklumkan rakan yang tinggal berhampiran premisnya.
Beliau berkata, sejurus tiba, dia terus menghubungi polis sebelum ketiga-tiga suspek berjaya diberkas tidak jauh dari premisnya.
"Sebaik memeriksa di dalam premis, beberapa haiwan didapati hilang dari sangkar pameran sebelum mendapati siling premis pecah dipercayai dilakukan suspek untuk menyusup masuk ke premis ini. "Ia kejadian samun pertama di premis ini sejak saya menjalankan perniagaan ini 14 tahun lalu," katanya.
Menurutnya, seorang suspek pernah datang ke premisnya Isnin lalu sebelum membeli seekor arnab bernilai RM60. Chung berkata, sebelum ini, ada beberapa kes pecah kedai di kawasan ini namun ia hanya membabitkan kecurian wang tunai namun kali ini berbeza kerana pencuri mensasarkan haiwan peliharaan yang bernilai tinggi di pasaran.
Saksi kejadian, Frankie Chin, 36, berkata, dia dikejutkan dengan bunyi bising anjingnya yang menyalak kuat sebelum melihat beberapa suspek memasuki premis menerusi siling.
"Saya terus menghubungi pemilik premis dan polis bagi memaklumkan kejadian itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Anuar Osman ketika dihubungi berkata, kejayaan itu hasil kerjasama orang awam yang melaporkan kepada polis selepas melihat kejadian.
"Ketiga-tiga suspek berasal dari Ipoh dan mereka akan direman sehingga esok (hari ini)," katanya.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
sinar/- |
Hadi: Beri Pakatan mandat, jangan takut untuk berubah Posted: 16 Nov 2012 12:00 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
PENGKALAN CHEPA - Sementara negara sudah mula bersiap sedia untuk melangsungkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan Pas bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR) sudah bersedia untuk menggalas amanah yang lebih besar bukan sahaja di peringkat negeri bahkan pusat - menggantikan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Presiden Pas memberi keyakinan bahawa peralihan kuasa akan berjalan dengan lancar sekiranya PR diberi mandat.
"Pas percaya dan yakin bahawa peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat akan berlaku dengan lancar dan aman sekiranya rakyat memberikan amanahnya kepada kita.
"Kepada rakyat keseluruhannya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik.
"Maka, sekiranya kita gagal melaksanakan amanah itu, rakyat bolehlah menghukum kami dalam pilihan raya yang seterusnya," kata Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan Negara Berkebajikan Teras Perpaduan pada Muktamar ke-58 parti itu di sini, hari ini.
Ia muktamar terakhir Pas sebelum PRU13 dipanggil. PRU13 disebut-sebut akan dipanggil bila-bila masa sementara mandat Kerajaan Pusat akan berakhir secara automatik pada 28 April.
Pas bersama DAP dan PKR membentuk PR sejak Mac 2008. Kerjasama ketiga-tiga parti itu membawa kepada kemenangan di lima negeri selain penguasaan 84 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2008. Keyakinan itu, menurut Abdul Hadi, tentunya berpaksikan kepada sokongan rakyat dan keahlian Pas yang merangkumi pelbagai bidang kepakaran, selain dari kalangan teknokrat yang boleh bekerjasama dengan kerajaan Pas dan PR.
"Sekiranya diberi amanah ini, maka Pas juga akan mengusulkan supaya dimansuhan akta-akta yang zalim, mengembalikan kewibawaan institusi penting dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), institusi pendakwaan dan kehakiman, Parlimen, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.
"Perjalanan pilihan raya yang lebih adil dan bebas akan terus diperjuangkan oleh Pas, walaupun setelah kita sampai ke Putrajaya nanti kerana inilah ciri sebuah negara demokrasi yang sihat," katanya lagi.
Menyedari bahawa tinggal beberapa lama sahaja lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pimpinan Pas digesa untuk mempertahankan negeri-negeri yang sudah dimenangi pada pilihan raya lalu dengan penuh keazaman.
"Kita juga menyedari bahawa sudah tentunya tempoh hampir lima tahun ini tidak mencukupi untuk kita lakukan perubahan yang besar yang kita citakan di negeri yang kita perintah, kerana dalam masa yang sama kita berdepan dengan konsep federalisme songsang yang memberikan kuasa negeri yang terhad.
"... campur tangan dan tekanan secara tidak adil oleh Kerajaan Pusat terhadap pemerintahan kita, tidak sempatnya kita menukar sistem pentadbiran menyusahkan rakyat yang berakar umbi dari peninggalan kerajaan BN sejak sekian lama, selain dari beberapa kelemahan kita sendiri yang perlu dibaiki secara berterusan dengan seni menyelesaikan masalah secara penuh hikmah," katanya lagi.
Abdul Hadi dalam pada itu mengingatkan pimpinan Pas supaya bersiap sedia ke tahap paling tertinggi untuk menghadapi PRU13 terutama dalam mendepani mainan nakal serta provokasi media dan seteru politik parti itu yang akan menggunakan pelbagai cara untuk menggugat hubungan baik bersama PR.
"Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa.
"Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat," katanya.
Seluruh pimpinan dan perwakilan kemudiannya diarah oleh Abdul Hadi untuk melaksanakan tugas pilihan raya dengan penuh hikmah.
"Bukan musuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan dan mendapat keredhaan ALLAH s.w.t," kata Abdul Hadi.
harakah/-
|
Saya puas hati dengan Harakah - Presiden Posted: 15 Nov 2012 11:26 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Disebalik kritikan yang dilemparkan kepada Harakah khususnya oleh Dewan Pemuda PAS dan Dewan Ulamak dalam muktamar kedua-dua dewan itu semalam, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini turut membuat penjelasan. Beliau yang ditanya wartawan berhubung perkara itu berkata, PAS bersedia menerima segala teguran yang dibuat mana-mana pihak terhadap lidah rasmi parti itu.
"Kita orang Islam diajar tiada yang sempurna, yang sempurna Tuhanyang satu. Saya pun tak sempurna orang boleh kritik.
"Dalam masa yang sama kita menerima nasihat dari semua pihak," katanya.
Bagaimanapun bagi beliau, peranan Harakah membawa suara parti setakat ini boleh dibanggakan walaupun berdepan tekanan dan kekangan dari pelbagai sudut.
"Sehingga ini saya berpuas hati dengan Harakah dan Harakahdaily.
"Kita kena faham bahawa Harakah berada dalam persimpangan, untuk ahli parti dan pada masa yang sama perlu sebarkan maklumat kepada umum. Jadi inilah yang menjadi dilema," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas usul yang dibawa Dewan Pemuda PAS Wilayah semalam yang mahu PAS membuat rombakan semula sidang editorial lidah rasmi parti itu kerana didakwa perjuangannya telah terpesong dari matlamat penubuhan asal.
Dalam usul itu juga, mereka mahu PAS menubuhkan satu jawatankuasa penapis bagi membuat saringan terhadap berita-berita yang dilaporkan.
Terdahulu sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pagi tadi, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kesemua jentera penarangan PAS iaitu Harakah, Harakahdaily dan Lajnah Penerangan, perlu terus diperkasakan dalam usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Beliau juga berbangga dengan wartawan dan petugas penerangan kerana sanggup dan setia bertugas dengan parti walaupun berpeluang mendapat lebih jika berkerja dengan organisasi lain.
Ditanya adakah PAS akan membuat pengstrukturan semula sidang editorial Harakah seperti desakan dalam usul Dewan Pemuda semalam itu, beliau berkata perkara itu akan dibincang dahulu secara dalaman.
"Itu masalah dalaman parti, jadi kita akan bincang di peringkat dalaman," katanya.
harakah/- |
Siap hadapi 'taufan wang' - Presiden PAS Posted: 15 Nov 2012 11:20 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
(Para tetamu, perwakilan dan pemerhati Muktamar PAS ke 58 di Putik, Pengkalan Chepa, Kelantan)
KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa ahli parti melakukan tindakan secara terancang bagi melawan serangan "taufan wang" yang bakal digunakan Umno BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Beliau berkata, PAS akan berdepan dengan ujian getir iaitu rakyat dipujuk dengan wang, projek dan sebagainya, selain daripada pelbagai cara penipuan yang menjadi senjata utama Umno BN. "Petugas PAS perlu banyak bersabar dan kekal bersiap sedia walaupun terganggu oleh strategi BN melambat-lambatkan PRU, sebab penundaan tarikh-tarikh PRU adalah sememangnya strategi BN untuk menurunkan moral serta melemahkan kedudukan kewangan kita, selain dari mereka juga cuba memancing isu yang akan memerangkap kita.
"Sepanjang tempoh ini jugalah, kita akan berdepan dengan tiupan api perkauman dan ketegangan oleh media arus perdana yang menjadi perkakas dalam mempertahankan kerakusan kerajaan Umno BN. Teguhlah dengan jemaah, nescaya kita akan terus selamat dan mampu menghadapi dengan cabaran ini," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-58 yang bertema 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' di Putik, dekat sini, hari ini.
Dewan Putik penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh negara untuk mengikut dan menyertai muktamar terakhir menjelang pilihan raya umum ke 13.
Terdahulu, Ustaz Hadi menerima tabik hormat dari pasukan Unit Amal serta dipersembahkan dengan kawad kaki dari Briged Amal.
Persiapan rapi
Ustaz Hadi turut meminta ahli membuat persediaan rapi menjaga Parlimen atau Dun masing-masing bagi menghadapi musuh yang amat licik.
Tambah beliau, petugas juga perlu bersedia menangani kedatangan orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak menzahirkan sokongan kerana menghormati ibu bapa mereka yang masih menyokong Umno.
"Sikap orang muda sekarang amat berbeza dengan generasi terdahulu. Fahamilah, bahawa mereka tidak suka ceramah yang mencaci-cela orang, mereka menyokong PAS tetapi tidak mahu menjadi ahli, mereka mahukan pimpinan PAS memperincikan agenda-agenda yang dijanji dan dan bukan sekadar retorik, mereka cepat cakna perkembangan semasa kerana sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi facebook, blog, sms dan lain-lain," katanya. Kerusi
Selain itu katanya, PAS juga harus memenangi sebanyak mungkin kerusi yang diamanahkan kepada parti itu dengan keutamaan mempertahankan semua kerusi Parlimen yang telah dimenangi dalam PRU 2008 (24 kerusi).
"Kerusi parlimen yang lain akan diberikan suntikan kerja yang tersusun dengan disokong oleh pimpinan pusat yang diamanahkan tugas tumpuan ini, semua parlimen yg ditandingi PAS di Sabah dan Sarawak akan juga diberi tumpuan khusus bagi menjamin kemenangan bersama," katanya lagi.
Justeru tegasnya, media parti seperti Harakah dan Harakahdaily bersama-sama jentera penerangan parti mesti bertindak membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan.
"Tempoh yang ada ini wajar dimanafaatkan sepenuhnya untuk menyampaikan maklumat pencapaian pemerintahan kerajaan kita kepada ahli-ahli kita, yang kemudiannya akan menyampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam pilihanraya. Konsep mendahulukan kebijaksanaan daripada kemusnahan atau kemarahan hendaklah diutamakan," katanya.
Memandangkan pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang melibatkan perang siber, persiapannya bukan lagi seperti pilihan raya yang pernah dilalui sebelum sebelum ini.
Sebaliknya, petugas di semua peringkat mesti melakukan reformasi cara bekerja dengan menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutamanya dalam menghadapi fenomena perang siber menerusi media baru ICT sekarang ini.
"Kerjasama penerangan dan ICT perlu diperkukuhkan segera untuk menghadapi PRU-13 ini dengan mewujudkan satu urusetia berkaitan media baru sebagaimana yang diresolusikan dalam Persidangan ICT dan Media Baru 2011 pada tahun lepas.
"Saya menyeru kepada semua pimpinan PAS terutamanya yang terlibat dengan Lajnah Penerangan dan Jabatan Pilihanraya disemua peringkat melihat potensi ICT dan Media Baru ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan kempen dan dakwah melalui laman sesawang, youtube, facebook, twitter, webtv, selain dari ceramah dan bahan-bahan media cetak," katanya
HARAKAH/- |
Suami durjana tipu isteri Posted: 15 Nov 2012 11:18 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
JOHOR BAHRU - Detik perkenalan seorang jururawat dan seorang doktor hingga membawa ke gerbang perkahwinan disangkakan membawa bahagia berpanjangan tetapi rupa-rupanya mengundang derita berpanjangan.
Demikian nasib malang seorang janda kerana dia bukan saja ditinggalkan suaminya tanpa diberi nafkah malah lelaki yang pernah bersumpah sehidup semati dengannya itu turut bertindak kejam memalsukan tandatangannya untuk membuat pinjaman sehingga membuatkan wanita itu bakal diisytiharkan muflis.
Nora Ahmad, 42, yang merupakan jururawat di sebuah pusat hemodialisis di Senai dekat sini ketika menceritakan kisah perit hidupnya berkata, kepincangan hidupnya bermula ketika rumah tangga yang dibina oleh suaminya yang juga merupakan seorang doktor mengalami keretakan sejak tahun 2005.
"Hampir lapan tahun lamanya dia meninggalkan saya dan empat orang anak tanpa pesan dan rupa-rupanya dalam tempoh itu dia sudah berkahwin tiga iaitu pada tahun 1998, 2006 dan pada tahun 2009, saya difahamkan dia melangsungkan perkahwinan di Thailand bersama pasangannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon di sini semalam.
Pada 12 Jun lalu, ibu tunggal ini dikejutkan dengan surat berdaftar yang dikirimkan oleh sebuah bank di sini yang menyatakan dia bakal diisytiharkan muflis dan namanya akan disenaraihitamkan oleh Bank Negara jika hutang pinjaman tidak dilangsaikan.
"Saya tertanya-tanya apa kesalahan saya dan bila semakan dibuat, rupa-rupanya bekas suami saya telah meletakkan nama saya sebagai penjamin tanpa pengetahuan saya untuk membeli mesin pengimbas berharga RM35,000 pada 3 Januari 2007 yang lalu.
"Yang lebih membuatkan saya marah, dia telah memalsukan tandatangan saya. Sekarang, pihak bank terus memburu saya untuk membayar semula pinjaman itu yang kini sudah mencecah RM58,000," kata jururawat yang baru saja bercerai dengan suaminya yang berumur 44 tahun yang berasal dari Pontian pada Februari lalu.
Apabila tembelang jahat lelaki beristeri empat itu pecah, Nora memberitahu, bekas suami yang pernah memiliki dua buah klinik di Senai terus menyembunyikan diri dan kali terakhir dia sempat bercakap dengan suaminya ialah pada Jun lalu dengan pelbagai alasan diberi.
"Saya sudah tak mampu menanggung bebanan ini, ia bukan masalah saya tetapi saya telah diperdaya dengan bekas suami dan saya minta dia tampil selesaikan kemelut ini," rayunya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Senai di sini.
Mengulas lanjut mengenai kemelut ini, Michael berkata, pihaknya akan membantu Nora untuk mendapatkan peguam bagi memohon agar menangguhkan seketika prosiding kes yang akan berlangsung pada 19 Disember ini.
"Selain menggesa bekas suami Nora supaya tampil, saya ingin meminta penjelasan pihak bank berkenaan mengapa pihak penjamin tidak dipanggil bersama ketika surat perjanjian ditandatangani?," soalnya.
METRO/-
|
Abby Abadi Saman Utusan Malaysia RM5 Juta Posted: 15 Nov 2012 11:15 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
Baru-baru ini, hasil daripada nasihat peguam, Fadiah Nadwa, pelakon Abby Abadi atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan akan memfailkan saman dan tuntutan sebanyak RM5 Juta ke atas akhbar pemegang rekod paling banyak kalah saman di Malaysia kerana memfitnah, iaitu Utusan Malaysia. Abby turut meluahkan kekecewaannya dan mendedahkan bahawa akhbar milik Umno itu sering melakukan fitnah ke atas dirinya meskipun sebelum beliau menyertai Pakatan Rakyat.
Menurut peguam, pihak Abby Abadi menuntut RM5 juta dan permohonan maaf dalam masa tujuh hari yang mesti disiarkan dalam Utusan Malaysia kerana memfitnah pelakon itu.
|
Tanah Runtuh: Jalan Ampang-Hulu Langat Ditutup Sementara Posted: 15 Nov 2012 08:53 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Jalan Ampang-Hulu Langat ditutup sementara berikutan tanah runtuh di kawasan berdekatan Menara Tinjau, Bukit Ampang petang Khamis.
Ketua Polis Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaludin berkata runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat beberapa hari lepas.
"Justeru, orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif lain," katanya kepada Bernama malam Khamis.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyatakan runtuhan lereng bukit seluas kira-kira 50 meter persegi itu didapati telah menutupi jalan berkenaan, menyebabkan lalu lintas tergendala.
Dalam sistem pesanan ringkas, jurucakap jabatan itu berkata pihaknya menerima maklumat mengenai runtuhan itu pada 6.11 petang Khamis.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya juga telah menutup keseluruhan jalan dan polis peronda berada di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas.
"Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini," katanya. -BERNAMA
|
Buat perangai lepas popular Posted: 15 Nov 2012 08:43 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
KAJANG: Dia digelar ustaz selepas diangkat menerusi sebuah rancangan realiti TV berkonsepkan agama yang popular di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Namun perwatakan sebagai suami penyayang dan menantu yang paling disayangi ibu mentua kini berubah sekelip mata apabila dikatakan tergamak mengugut mahu melakukan sesuatu yang buruk terhadap ibu mentua sehingga wanita itu kini bersembunyi di tempat lain.
Ustaz yang berjawatan tinggi dalam sebuah syarikat petroleum terkemuka negara itu dikatakan mengugut isteri dan keluarga mentua apabila menuntut wang RM140,000 daripada isterinya atas alasan membayar kembali kos sara hidup dia bersama isterinya, termasuk perbelanjaan ketika membawa anak saudara keluar bersiar-siar.
Kemuncak drama gila lelaki terbabit berlaku apabila dia memberanikan diri pergi ke rumah ibu mentuanya di Pahang, pada Isnin lalu. Dia menunggu di luar rumah untuk menuntut wang berkenaan.
metro/-
|
UMNO Itu Melayu Dan Melayu Itu Islam? Tidak Benar Samasekali! Posted: 15 Nov 2012 08:38 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
Adakah parti UMNO itu khusus untuk Melayu seperti namanya "Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu?" dan apakah semua ahli UMNO itu Islam? Sepertimana didakwa oleh ramai pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO? TIDAK samasekali. Gambar diselah kiri ini ialah Datuk John Ambrose, ketua UMNO bahagian penampang yang beragama Kristian. Sekaligus membuktikan bahawa UMNO bukan parti Melayu jauh sekali sebuah parti Islam!
Sellain John Ambrose, ramai lagi yang menjadi ahli berdaftar UMNO itu yang bukan Melayu dan bukan Islam.
Sebagai contohnya, Charern Intachat (gambar kanan) Ketua Cawangan UMNO Kota Giam Sungai Baru Bahagian Kubang Pasu, adalah seorang penganut Budha.
Bukan dia sorang…. Charem Intrachat ini adalah Pengerusi Persatuan Siam Malaysia. Persatuan ini bernaung di bawah UMNO.
|
Gaza makin meruncing, dua roket melanda Tel Aviv Posted: 15 Nov 2012 08:36 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - Keadaan semakin tegang di Timur Tengah dengan Israel dan Hamas, terus berbalas tembakan dalam keganasan terburuk sejak serangan Israel ke atas wilayah itu hampir empat tahun lalu. Tiga rakyat Israel meninggal dunia di bandar utara, Kiryat Maleakhi Khamis lalu selepas roket yang dilancarkan dari Gaza melanda sebuah bangunan apartmen. Sumber Israel berkata dua roket dilancarkan ke Tel Aviv - dengan sebuah peluru berpandu mendarat di laut manakala peluru berpandu lain melanda kawasan yang tidak didiami , kawasan pusat komersial Israel. Siren serangan udara menyebabkan penduduk mencari perlindungan di Tel Aviv, sebuah bandar Mediterranean yang tidak pernah diserang roket sejak Perang Teluk 1991. Jihad Islam, satu lagi kumpulan yang berpangkalan di Gaza berkata mereka telah melancarkan salah satu roket yang menyerang Tel Aviv. Walaupun kawasan selatan Israel berhampiran Gaza telah lama berhadapa situasi tersebut, namun serangan ke atas kawasan Tel Aviv menggambarkan keupayaan Hamas yang telah meningkat. Pejuang Palestin pernah menyerang Rishon Lezion sebelum ini tetapi tidak pernah sampai ke Tel Aviv, kira-kira 70 km utara Sttrip Gaza. Sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, telah terbunuh dan lebih 150 yang lain cedera Khamis dalam pertempuran yang bermula dengan serangan udara yang membunuh Ahmad Jabari, komander tentera Hamas yang dituduh Israel menjadi dalang serangan terhadap orang awam. "Ia adalah penting untuk memahami satu perkara yang mudah: tiada moral yang simetri antara pengganas di Gaza dan Israel," ujar Binyamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, Khamis lalu. "Mereka telah melakukan jenayah perang berganda: mereka menyerang orang awam Israel dan bersembunyi di belakang orang awam Palestin." (aljazeera.com)
harakah/- |
Manfaatkan muktamar, p'raya sudah dekat Posted: 15 Nov 2012 08:14 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengaharapkan Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 yang berlangsung bermula hari ini menjadi medan memperkuatkan parti berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan datang.
Berucap memberikan aluan pada muktamar di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) pagi ini beliau berkata, para perwakilan harus menggunakan peluang muktamar ini sebaik mungkin kerana PAS sudah tidak banyak masa untuk menghadapi PRU13.
Ini kerana menurutnya, PRU13 mesti diadakan paling lewat pada tarikh 27 Jun 2013 manakala parlimen akan terbubar secara automatik pada tarikh 29 April jika tiada sebarang pembubaran lebih awal dari itu. Justeru katanya, muktamar ini adalah masa paling penting yang ada untuk melakukan penambahbaikan dan persediaan untuk parti. "Muktamar ini mesti digunakan untuk memberi kritikan membina kerana kita sudah tidak banyak masa untuk PRU13," tegasnya. Menurt beliau lagi, semua pihak meyakini bahawa pilihan raya akan datang ini adalah paling sengit dalam sejarah politik negara ini. Ianya boleh dilihat dari kenyataan pemimpin-pemimpin Umno BN yang mendakwa pilihan raya kali ini adalah hidup mati bagi mereka. "Sabab itu kita meyakini bahawa Umno BN akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa mereka," tegasnya lagi. Sehubungan itu gesanya, semua pihak dalam parti perlu bersiap sedia pada taham paling tinggi berdepan segala manipulasi yang akan berlaku. Beliau juga memberi peringatan bahawa menawan Putrajaya 'bukan matlamat akhir' PAS dalam menyertai politik negara ini. Namun ujarnya, matlamat lebih besar adalah mengisi kemenangan selepas itu dengan perinsip keadilan Islam dalam pemerintahan. Sementara itu, hampir 5000 perwakilan dan pemerhati hadir pada muktamar PAS kali ini.
Selain pemimpin PAS, pimpinan Pakatan Rakyat lain yang hadir termasuklah Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Timbalan Pengerusi DAP Tan Seng Giaw.
Wakil-wakil gerakan Islam antarabangsa juga turut hadir pada muktamar ini dan antaranya Hamas Syria dan gerakan Islam dari Sri Lanka.
Muktamar kali ini juga turut dihadiri ahli baru PAS khususnya dari kalangan bekas pegawai kerajaan, seniman dan artis, ahli kademik dan aktivis masyarakat.
Pada sesi pagi ini akan berlangsung Ucapan Dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dijangka memberi fokus khusus kepada beberapa isu termasuk persiapan PRU13.
harakah/- |
Pramugari Egypt Air Mula Pakai Hijab Posted: 15 Nov 2012 08:12 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
Kaherah – Semua krew wanita pesawat Egypt Air memakai hijab buat kali pertama sejak syarikat penerbangan nasional itu diasaskan pada 1932. Egypt Air berkata, etika pemakaian itu perlu dipatuhi selepas menerima saranan daripada ulama.
"Beliau sarankan pemakaian itu dan hukumnya wajib, terutama penerbangan ke Jeddah," katanya.
Ketika pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, hijab dianggap janggal, terutama mereka yang bertugas di stesen televisyen dan syarikat penerbangan nasional.
Namun, selepas beliau diganti dengan Mohamed Mursi, wanita diberi kelonggaran mengenakan hijab. – AFP
|
Kehangatan pilihan raya 13 bermula di Putik Posted: 15 Nov 2012 08:07 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Debar dan penantian pemerhati politik untuk melihat sejauh mana keseriusan PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi piilihan raya umum ke-13, hari ini mulai tertumpu ke Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik). Muktamar kali ke-58 bermula dengan suasana ceria biar pun Kelantan memasuki musim tengkujuh. Ketibaan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di celah-celah kehadiran orang ramai kira-kira jam 9 pagi. Putik yang agak sunyi selepas berlalu muktamar dua tahun lalu, hari ini kembali menjadi meriah semula dengan agenda muktamar yang akan berlangsung sehingga Ahad ini. Sejurus ketibaan, Presiden melakukan pemeriksaan pasukan anggota Unit Amal dan Nisa'. Paluan kertuk, rebana dan gendang Cina memeriahkan kelangsungan muktamar. Muktamar diceriakan lagi dengan kehadiran Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Penasihat DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke. Turut hadir wakil-wakil gerakan Islam dari luar Negara, antaranya Hamas diwakili Ibrahim Yussof, Ahmad Kassir, Muslim Abu Omar, manakala Ikhwan Muslimin Syria diwakili, Dr Mohd Walid, Dr Riduan Alami, Dr Asalam Alamah. Selain itu wakil Jemaah Islam Sri Lanka. Tokoh lain termasuk bekas Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin, bekas anggota Batu Berendam, Datuk Thamrin Ghaffar, veteran-veteran PAS termasuk Ismail Ahmad dan Ustaz Ahmad Awang. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, penantian untuk mengikuti muktamar lewat sikit diadakan tahun ini kerana mengambil faktor pilihan raya yang diuar-uarkan diadakan Jun lalu. "Ia khabarnya diadakan pada Jun lalu. PRU ke-13 diadakan tidak lewat daripada 27 Jun 2013 berikutan tempoh penggal parlimen ke-12 akan berakhir dengan mengambil kira tarikh 28 April 2008 bermula sidang pertama parlimen," katanya pada ucapan aluan. Ekoran itu katanya, perwakilan hendaklah menggunakan medan muktamar kali ini untuk bermuhasabah dengan memberi teguran bagi kebaikan jemaah. "Lagi pun kita tidak ada banyak masa sekarang. Kita yakin PRU 13 pertaruhan paling sengit dalam sejarah pilihan raya kita. PRU 13 jadi penentu kepada hidup atau mati Umno, mereka melakukan apa sahaja bagi mempertahan kuasa yang ada. "Oleh itu PAS dan Pakatan siap siaga dengan kekuatan spiritual diperlukan. Bagaimanapun kejayaan menawan Putrajaya bukan matlamat akhir bagi PAS," ujarnya.
harakah/-
|
Kembar hilang di malam hari Posted: 15 Nov 2012 07:35 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
POKOK SENA – Penantian lima tahun seorang suami untuk menimang cahaya mata sulung musnah apabila kembar perempuan dalam kandungan isterinya didakwa hilang secara misteri pada Isnin lalu.
Kejadian tidak diduga itu didakwa menimpa Norliana Manaf, 28, semasa dia bermimpi ketika dia tidur di rumah ibunya, Che Som Endut, 57, di Kampung Kelut, Jabi di sini malam kelmarin.
Lebih mengejutkan, rekod pemeriksaan bulanan kandungannya di Klinik Kesihatan Bukit Jambul, Pulau Pinang turut dipercayai hilang pada malam yang sama.
"Pada malam berkenaan, saya bermimpi lima wanita berjubah mendekati saya sambil membacakan sesuatu sebelum mereka hilang selepas azan Subuh berkumandang.
"Apabila terjaga, saya mendapati perut yang selama ini besar dan berat, tiba-tiba berasa ringan dan kempis. "Saya mula syak ada benda yang tidak kena berlaku lalu mengejutkan suami saya, Aziz Hussein untuk memberitahu apa yang berlaku.
"Apabila saya pergi ke Klinik Kesihatan Pokok Sena untuk tujuan pemeriksaan pada kira-kira pukul 9 pagi esoknya, bayi dalam kandungan saya disahkan sudah hilang. Saya hanya mampu menangis," cerita Norliana kepada pemberita di sini semalam.
Dia yang tinggal di Bukit Jambul, Pulau Pinang, dijadual bersalin pada 3 November lepas.
Berikutan itu, dia mengambil keputusan untuk tinggal di rumah ibunya sejak sebulan lalu untuk tujuan bersalin. Menjelaskan lebih lanjut, Norliana berkata, suaminya yang berusia 27 tahun telah membawanya membuat ujian pengimbasan di Klinik Kesihatan Bukit Jambul sebelum ini yang memaklumkan dia mengandung kembar perempuan.
"Bagaimanapun semasa kakitangan Klinik Kesihatan Pokok Sena menghubungi Klinik Kesihatan Bukit Jambul untuk mengesahkan dakwaan saya itu, mereka dimaklumkan bahawa rekod tersebut telah hilang," ujarnya.
Norliana turut dibawa menemui pengamal perubatan tradisional oleh keluarga dua hari lalu untuk mendapat kepastian mengenai kejadian itu.
"Mereka memaklumkan perkara sama seperti doktor iaitu anak saya hilang dalam kandungan," katanya.
kosmo/- |
Jurujual wanita ditahan kerana sembunyi kelahiran Posted: 15 Nov 2012 07:23 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - Polis menahan seorang wanita yang disyaki menyembunyikan kelahiran dalam kejadian di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Meru, di Klang semalam. Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong berkata kejadian itu disedari kakak suspek yang tinggal serumah dengan wanita berusia 24 tahun tersebut, selepas curiga dengan tingkah laku adiknya.
"Kakaknya yang berusia 27 tahun kemudian masuk ke bilik adiknya dan menemui mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat di atas tilam tengah hari tadi. Dia kemudian membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi di Klang. Siasatan awal polis mendapati bayi berkenaan lahir mati, katanya. Menurutnya wanita yang bekerja sebagai jurujual itu dipercayai melahirkan bayi tersebut pukul 4 petang semalam. "Polis turut menemui tali pusat bayi itu di dalam sebuah beg plastik dan kita percaya suspek bertindak memotong sendiri tali pusat itu selepas melahirkannya," katanya. Menurut Mohd Shukor, soal siasat ke atas suspek mendapati bapa bayi itu adalah warga Bangladesh yang telah pulang ke negara asalnya pada Mac lepas. "Wanita itu dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan. Dia akan didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi," katanya. Menurutnya jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. - Bernama
|
Pengundi warga asing bakal adili BN Posted: 15 Nov 2012 07:08 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -
Sejak hari dilaporkan berlakunya kes rogol oleh tiga anggota polis Malaysia terhadap mangsa seorang TKI atau tenaga kerja Indonesia, media di Indonesia selama dua hari berturut-turut mengangkat isu tersebut sebagai isu nasional yang telah mencalarkan maruah mereka.
Bahkan turut diungkit tentang isu 'Indonesian Maid For Sale' yang dikatakan masih belum meredakan panasnya telinga para TKI. Saluran TV Swasta yang paling hangat membicarakan kes ini sehingga diforumkan adalah TVOne, diikuti MetroTV dan TVInspirasi.
Dalam satu wawancara TVInspirasi dengan seorang bekas pembantu rumah TKI di Malaysia, dinyatakan oleh TKI tersebut bahawa selama bekerja di Malaysia, perkara yang dijanjikan tidak pernah dipatuhi. Isu ini sesungguhnya boleh memanaskan kembali hubungan Malaysia-Indonesia yang selama ini panas dingin.
Bagi saya sebagai orang awam dan rakyat Malaysia melihat kes ini sesuatu yang sangat memalukan. Suatu jenayah kemanusiaan. Pihak berwajib sepatutnya melindungi orang ramai bukannya melakukan jenayah terhadap mereka. Menyemak dialog dalam filem Ahmad Albab,
Syawal mengingatkan Sarjana, "Ente polisi mesti jaga keamanan, bukan bikin rusuhan". Kita berharap kerajaan Barisan Nasional mampu menangani masalah ini seadilnya. Syabas diucapkan kepada kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) Pulau Pinang yang sangat mengambil berat terhadap mangsa.
Apapun kita tahu, rakyat Indonesia mempunyai ikatan kenegaraan yang amat kukuh dalam kalangan mereka. Mungkin mereka yang telah mendapat keistimewaan sebagai pengundi di Malaysia bakal menghukum Barisan Nasional dalam PRU 13 nanti.
Oleh Annuar Kamaruddin. |