Labah-labah 'menghuni' telinga wanita Posted: 11 Aug 2012 05:18 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
BEIJING 11 Ogos - Kita biasa mendengar atau terbaca kisah manusia termakan atau tertelan labah-labah ketika tidur.
Namun, lain pula kisah di China, apabila seekor labah-labah didapati 'menghuni' di dalam telinga seorang wanita selama lima hari.
Labah-labah itu dipercayai masuk ke dalam telinga wanita itu ketika dia sedang tidur.
Wanita tersebut yang enggan dikenali menemui doktor Liu Sheng di Hospital Pusat Changsha selepas mengadu sakit gatal di dalam telinganya.
Pemeriksaan Sheng mendapati, seekor labah-labah bersembunyi di dalam lubang telinga wanita itu.
Sheng berkata, wanita itu bernasib baik kerana dia tidak cuba menggaru telinganya yang boleh menyebabkan labah-labah itu menggigit atau masuk lebih jauh lagi ke dalam lubang telinganya.
Sheng berkata, pada mulanya dia dan pasukan perubatan merancang untuk mengeluarkan serangga berbisa itu menggunakan penyepit kecil, namun mereka membatalkan hasrat itu kerana khuatir labah-labah terbabit akan menyengat pesakit.
Sebaliknya, Sheng memasukkan air garam ke dalam telinga wanita itu dan menunggu labah-labah tersebut keluar dengan sendirinya.
"Dia bernasib baik kerana tiada telur labah-labah ditemui di dalam telinganya," kata Sheng. - AGENSI |
Amerika kecam Hezbollah yang bantu Syria Posted: 11 Aug 2012 05:14 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
SYRIA: Ameriksa Syarikat mengecam Hezbollah, parti politik Lebanon, kerana memberi sokongan kepada Presiden Syria Bashar al-Assad,dan menyenaraikan parti politik itu dalam senarai organisasi yang dikenakan sekatan kerana hubungan mereka dengan kerajaan Syria.
Amerika Syarikat sebelum ini sudah megklasifikasikan Hezbollah sebagai "organisasi pengganas" dan di bawah sekatan US, tetapi langkah yang diambil Amerika Syarikat Jumaat lalu betul-betul mengaitkan parti ini dengan keganasan yang berlaku di Syria, di mana Assad sedang cuba mematahkan serangan kumpulan penentang.
Hezbollah adalah sebuah parti politik tentera bersenjata yang kuat dan mendapat sokongan padu dari kalangan puak Syiah Lebanon.
"Tindakan ini mendedahkan aktiviti Hezbollah di Syria dan peranan pentingnya dalam meneruskan keganasan yang dilakukan rejim Assad terhadap rakyat Syria," kenyataan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat Jumaat lalu.
Hezbollah telah dimasukkan dalam senarai hitam kerajaan Amerika Syarikat di bawah arahan eksekutif yang ditandatangani Presiden Barack Obama Ogos tahun lepas, menjadikan kerajaan negara jiran Syria dan penyokongnya itu sebagai sasaran.
Sekatan itu dilaksanakan untuk memberi tekanan kepada Syria setelah Amerika Syarikat buat pertama kalinya meminta Assad untuk menghentikan serangan pihak tenteranya kepada kumpulan penentang.
Amerika Syarikat turut mengenakan sekatan terhadap Sytrol, syarikat minyak negara Syria kerana membekalkan minyak kepada Iran, lapor Jabatan Negara Amerika Syarikat.
"Walaupun sekatan ini adalah kesan langsung pembekalan gasolin Syria kepada Iran, Amerika Syarikat tetap melihat sokongan Iran terhadap rejim Assad sebagai sesuatu yang tidak munasabah," Patrick Ventrell, jurucakap Jabatan Negara, dalam satu kenyataan bertulis.
Bekas Menteri ditahan
Dalam perkembangan lain, pihak keselamatan Lebanon menahan Michel Samaha, bekan Menteri Penerangan, yang dianggap rapat dengan kerajaan Syria, berkenaan sebuah kes yang dikaitkan dengan rancangan letupan, lapor media tempatan.
Penahanan beliau pada hari Khamis lalu dikaitkan dengan rampasan bahan letupan yang akan digunakan di kebanyakan tempat di Utara Lebanon, kawasan yang dikaitkan dengan konflik di Syria, beritahu seorang pegawai kanan kerajaan yang enggan namanya didedahkan kepada agensi media AFP.
"Tuduhan terhadap Samaha adalah berkaitan dengan bahan-bahan letupan, yang telah dirancang untuk diletakkan di sebahagian tempat dalam negara ini, terutamanya di bahagian Utara," ujar pegawai itu.
Pegawai tersebut enggan menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan dakwaan itu, tetapi menyatakan bahawa bahan letupan itu tidak dirampas dari rumah Samaha di mana tangkapan terhadap Samaha dibuat.
Tiada kenyataan rasmi berkenaan penahanan Samaha ataupun pengakuannya seperti yang dilaporkan oleh salah sebuah stesen TV di Lebanon.
Samaha ditahan di bawah perintah Peguam Negara Lebanon di kediamannya di Khenshara, 30km arah utara dari Beirut, pegawai kanan itu memberitahu AFP.
Iran sokong Syria
Sementara itu, seorang pegawai kanan kerajaan Iran melawat Damaskus Selasa lalu di mana pegawai itu bertemu Assad.
Saeed Jalili, pembantu kanan kepada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberitahu Assad bahawa Iran akan terus menyokong kerajaan Syria.
Dalam perbincangan dengan Assad, Jalil berkata apa yang berlaku di Syria bukanlah "isu dalaman".
"Dari satu segi, ia adalah konflik antara pemberontak dan kerajaan, tapi dari sudut yang lain ia adalah konflik antara kerajaan dan musuh globalnya," ujar Jalili.
Isnin lalu, dalam lawatannya ke Beirut, ibu kota Lebanon, Jalili mengeluarkan amaran kepada negara yang menyokong kumpulan pemberontak itu.
"Mereka yang percaya bahawa, dengan menimbulkan kekacauan dalam negara lain dengan menghantar senjata dan mengeskport pengganas, akan memberi keselamatan kepada negara sendiri adalah salah," Jalili dilaporkan berkata demikian oleh agensi berita IRNA kepada Adnan Mansor, Menteri Luar Lebanon.
(Dari video warga Iran yang ditahan)
Dalam perkembangan lain, Iran mendakwa tentera yang sudah bersara adalah antara rakyat Iran yang ditawan pemberontak.
Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi berkata Rabu lalu, bahawa ahli Tentera Revolusi Iran (Iran's Revolutionary Guards) yang "telah bersara" adalah antara 48 rakyat Iran yang ditahan di Syria oleh pihak pembangkang.
Salehi berkata tentera yang "sudah bersara" itu dalam perjalanan mengerjakan ibadah di Damaskus apabila mereka ditawan Sabtu lalu.
"Beberapa tawanan Iran adalah tentera yang "sudah bersara". Sebahagian lain pula adalah dari kementerian.," Salehi dilaporkan berkata demikian kepada pemberita dalam perjalananan pulang dari Turki, di mana beliau meminta pertolongan untuk membebaskan rakyat Iran yang ditawan.
harakahdaily/- |
41 terbunuh bas jatuh gaung Posted: 11 Aug 2012 05:11 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
SHIMLA (India): Sekurang-kurangnya 41 orang maut apabila sebuah bas penumpang tercampak ke dalam gaung di kawasan pergunungan di utara negara ini, semalam, kata pihak berkuasa.
Bas berkenaan tergelincir daripada jalan raya di negeri Himachal Pradesh, kata Timbalan Komisioner polis daerah, Sunil Chaudhary kepada media.
"Setakat ini, kami mengesahkan 41 maut dan 17 lagi cedera dalam kemalangan itu di mana bas berkenaan jatuh ke dalam gaung sedalam 76 meter," katanya.
Nahas berlaku di daerah Chamba, kawasan pergunungan kira-kira 191 kilometer dari Shimla. - AFP |
Gempa bumi di Iran; 50 terkorban, 400 cedera Posted: 11 Aug 2012 05:07 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
DUBAI 12 Ogos - Dua gempa bumi sederhana berukuran 6.4 pada skala Ritcher melanda barat laut Iran semalam, menyebabkan 50 orang terkorban manakala 400 yang lain mengalami kecederaan.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa itu berpusat kira-kira 60 kilometer dari timur laut bandar Tabriz.
Sementara itu, kejadian kedua pula berlaku kira-kira 49 kilometer di timur laut Tabriz berdekatan bandar Varzgan, kira-kira 11 minit daripada kejadian pertama. - REUTERS |
Bayi lelaki berkepala 2 Posted: 11 Aug 2012 05:04 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
BRAZILLIA: Seorang wanita dilapor melahirkan bayi berkepala dua. Bayi lelaki seberat 4.5 kilogram itu dilahirkan menerusi pembedahan di sebuah hospital di Anajas, negeri Para di utara Brazil.
Keputusan imbasan menunjukkan, walaupun bayi itu mempunyai dua kepala yang sempurna, dia mempunyai satu jantung dan semua organ pentingnya berfungsi secara normal.
Menurut doktor, bayi berkenaan sihat dan kedua-duanya sudah mula berfungsi secara normal.
Wanita berusia 25 tahun itu yang tinggal di kawasan pedalaman Para, tidak menjalani pengimbasan ultra- sound sepanjang kehamilannya dan hanya mengetahui mengenainya beberapa minit sebelum melahirkan kandungannya pada awal pagi Isnin lalu.
Pengarah hospital, Claudionor Assis de Vasconcelos, memberitahu akhbar O Povo, wanita berkenaan mengambil keputusan untuk ke hospital kerana mengalami sakit perut yang teruk.
"Apabila doktor menjalankan pengimbasan terhadapnya, mereka mendapati bayi dalam kandungan itu mempunyai dua kepala dan kelahiran biasa membahayakan si ibu dan juga anaknya. "Proses pembedahan mengambil masa sejam kerana kepala bayi itu berada di atas.
"Walaupun berdepan dengan masalah kerana hospital kami kecil dan terletak di kawasan pedalaman, kami berjaya menyelamatkan si ibu dan anak. Itu yang menjadi matlamat kami. "Dan bagi kami, ia sesuatu yang mengejutkan untuk mendapati bayi itu sihat," kata de Vasconcelos.
Menurutnya, wanita itu tidak menunjukkan sebarang keresahan selepas mengetahui anaknya berkepala dua.
"Bayi itu disambut gembira oleh keluarganya. Si ibu menyusukan kedua-dua mulut bayinya yang berada sepanjang masa dengannya di dalam bilik. Dia ingin membawa pulang bayi itu terus ke rumah," katanya.
Wanita berkenaan dibawa dengan ambulans udara semalam ke sebuah hosptal pakar di Belem, ibu negeri Para, untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Mereka dijangka dibenarkan pulang, minggu ini. Ini adalah kali kedua bayi berkepala dua dilahirkan di Brazil tahun ini.
Sebelum ini, Sueli Ferreira, 27, melahirkan bayi berkepala dua di negeri Paraiba tetapi ia meninggal dunia beberapa jam kemudian kerana satu daripada kepala itu tidak menerima oksigen secukupnya. – Agensi |
Kembar siam bintangi rancangan realiti TV Posted: 11 Aug 2012 04:42 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
WASHINGTON - Doktor mengesahkan pasangan kembar siam perempuan yang dilahirkan 22 tahun lalu di Minnesota, Amerika Syarikat (AS) hanya mampu hidup kurang dari dua hari.
Namun, Abigail dan Brittany Hensel menyangkal andaian itu, apabila kedua-duanya masih hidup sehingga ke hari ini.
Pasangan kembar yang berkongsi badan tetapi mempunyai jantung, paru-paru dan kepala berasingan menarik perhatian sebuah stesen televisyen apabila ditawar menjadi pelakon utama sebuah rancangan realiti.
Program itu memaparkan situasi selepas bergelar graduan Universiti Bethel Minnesota, mencari pekerjaan dan mengembara merentasi Eropah bersama rakan-rakan.
sinar harian/- |
13 maut dipanah petir ketika Tarawih Posted: 11 Aug 2012 04:35 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
DHAKA: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan 15 lagi cedera apabila sebuah bangunan yang dijadikan masjid di desa terpencil di negara ini, disambar petir.
Ketika itu penduduk sedang bersolat Tarawih, kata polis semalam. Petir menyambar bangunan beratap jerami itu di desa Saraswatipur di timur laut negara itu kira-kira 200 kilometer dari Dhaka malam semalam.
Ketika kejadian, kira-kira 35 orang sedang solat Tarawih, kata Ketua Polis Bayes Alam.
"Semua 13 jemaah, termasuk imam masjid mati di tempat kejadian. Sesetengah mayat dan wajah mangsa hangus terbakar," katanya kepada media sambil menambah sekurang-kurangnya 15 orang cedera, termasuk enam yang sedang dirawat di hospital.
Penduduk menjadikan bangunan itu sebagai masjid kerana akses untuk bangunan masjid konkrit yang lebih kukuh di desa itu sukar dikunjungi ekoran hujan lebat sejak beberapa minggu lalu yang menyebabkan air sungai Saraswati melimpah.
Petir menjadi ancaman utama di Sunamganj, tempat bagi beberapa tasik terbesar di Bangladesh. Kebanyakan insiden berlaku ketika musim angin monsoon antara Jun hingga September apabila daerah itu menerima taburan hujan yang tinggi. - AFP |
Tamrin keluar Umno, serah borang sertai PAS Posted: 11 Aug 2012 04:28 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Selepas kerap tampil di pentas PAS dan Pakatan Rakyat, bekas ahli Umno, Datuk Tamrin Ghafar (gambar) akhirnya meninggalkan parti itu dan secara rasmi menyertai PAS malam ini.
Anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba itu menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis peringatan Badar Al Kubra di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUISZM), Taman Melawar malam ini.
Tamrin merupakan bekas Adun Ayer Molek dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam selain bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) suatu ketika dahulu.
Tamrin dalam ucapannya berkata, beliau tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan Umno.
Sebaliknya beliau mula memikirkan tindakan tersebut selepas melihat Umno tergelincir daripada landasan membela rakyat.
"Saya tidak buat keputusan ini terburu-buru tapi sejak lama dah saya fikir. Umno terkeluar daripada landasan membela nasib rakyat sejak 90-an lagi.
"Pelbagai perkara dilakukan termasuk menghina ulama. Walaupun ketika itu saya masih dalam Umno tapi saya tak setuju mereka hina ulama," katanya.
Tamrin turut berjanji akan membantu PAS dengan bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
"Saya berjanji akan berkempen berhabis-habisan bersama tuan-tuan kerana saya lihat perjuangan PAS sangat ikhlas. Saya yakin kemenangan berpihak kepada PAS," katanya.
Beliau turut mengakui pemimpin-pemimpin PAS tidak boleh dijual beli.
"Saya kenal Mat Sabu dan (Tuan Guru) Datuk (Seri) Abdul Hadi (Awang) dah lama.
"Mat Sabu tak pernah pun ajak saya masuk PAS tapi saya yang selalu suruh dia tinggalkan Umno," katanya.
harakahdaily/- |
Ingin temu empat anak Posted: 11 Aug 2012 04:11 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
BELAJAR... Nur Haina (dua dari kanan) bersama penghuni Rumah Solehah dibimbing tenaga pengajar.
KUALA LUMPUR: "Setiap kali Ramadan, saya rindukan anak. Saya harap sangat dapat bertemu mereka menjelang Aidilfitri, walaupun sekali, sebelum saya menghembuskan nafas terakhir," kata Nur Haina Muhammad, 59 (bukan nama sebenar) ketika ditemui di Rumah Solehah, sebuah pusat penjagaan penghidap Aids di sini, baru-baru ini.
Haina yang lima tahun disahkan menjadi pembawa HIV berkata, dengan usia makin lanjut dan sampai di penghujung, dia berharap sangat untuk bertemu empat anak kandungnya bagi melepaskan rindu.
"Sudah terlalu lama saya tak jumpa anak, saya minta mereka jangan lupakan saya. "Saya tak pasti umur masih panjang atau tidak. Dengan penyakit dihidapi, saya takut kalau sampai masanya tak dapat berjumpa mereka.
"Tambahan pula dua rakan saya yang juga penghidap Aids sudah dijemput Ilahi, menyebabkan saya kini menghitung hari menunggu detik hilang nyawa," katanya yang berasal dari utara Semenanjung.
metro/- |
Monorel KL rosak, 183 penumpang cemas Posted: 11 Aug 2012 03:54 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR - Kira-kira 183 penumpang berdepan detik mencemaskan apabila monorel yang dinaiki rosak dan tersangkut di atas landasan di Brickfields hari ini.
Jurucakap bilik gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira 2.18 petang.
"Monorel itu tersangkut berhampiran Stesen Tun Sambanthan sejurus keluar dari stesen tersebut menuju ke Stesen seterusnya, iaitu Maharajalela," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata seramai 35 anggota bomba dan enam jentera dari Balai Bomba Hang Tuah, Taman Desa, Pantai, Sri Hartamas bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan.
"Kami menyelamatkan 63 mangsa menggunakan kren bomba dan selebihnya menggunakan kaedah 'train-to-train evacuation' untuk menolak tren terbabit ke stesen Tun Sambanthan," katanya sambil menambah operasi menyelamat tamat pada kira-kira 4 petang.
Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Azhar Ghazali berkata kejadian berlaku pada 1.58 petang ekoran masalah 'traction Control' yang menyebabkan enjin berhenti secara automatik.
"Bagaimanapun, operasi berjalan seperti biasa pada 4.30 petang selepas operasi membaik pulih monorel selesai," katanya.
Beliau berkata seramai tiga penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana seorang daripada mereka pengsan manakala dua lagi sesak nafas berikutan kejadian itu.
Sementara itu, seorang penumpang, Nur Izzah Nazihah Hasnul Bahrin, 14, dari Nilai, berkata sejurus sebelum insiden itu, tren yang bergerak seperti biasa tiba-tiba berhenti secara mengejut.
"Enjin tren berhenti secara tiba-tiba dan penghawa dingin juga tidak berfungsi," katanya.
Beberapa minit kemudian, beliau berkata semua penumpang mula cemas apabila terlihat dua orang pengsan akibat sesak nafas, selain keadaan yang panas di dalam tren itu.
"Satu jam kemudian, kami semua amat gembira apabila melihat anggota bomba tiba dan menyelamatkan semua penumpang," katanya.
Sementara itu, seorang pelancong dari England yang hanya ingin dikenali sebagai Matthew, 27, berkata keadaan di dalam tren amat sesak sebelum beliau menaikinya di Stesen Tun Sambanthan untuk ke Stesen Maharajalela.
"Ketika tren tiba-tiba berhenti masih ada penumpang yang ketawa kerana tidak menyedari apa yang sebenarnya berlaku," katanya. - Bernama |
Buka puasa air mineral Posted: 11 Aug 2012 03:43 PM PDT 23 Ramadhan 1433H. [MOD] -
MELAKA: Hasrat dua keluarga menyambut Aidilfitri di rumah pusaka mereka tidak kesampaian apabila kedua-dua kediaman itu hangus dalam kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Limbongan, dekat sini, kelmarin.
Malah, kebakaran menyebabkan mangsa, Murad Loyot, 48, bersama penduduk sekitar hanya sempat berbuka dengan air mineral kerana bertungkus-lumus membantu anggota bomba dan penyelamat mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berdekatan.
Kebakaran mengakibatkan dua rumah, termasuk satu milik Azizah Salleh, 78, yang dijaga Murad musnah sepenuhnya manakala tiga lagi mengalami kerosakan 10 peratus.
Kejadian jam 6.30 petang itu turut mengakibatkan hampir 20 keluarga di sekitar kawasan itu bergelap selepas talian elektrik terpaksa dipotong bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Malah, usaha menyelamat menemui kesukaran berikutan jalan sempit menyukarkan jentera bomba memasuki kawasan kebakaran.
Murad berkata, dia hanya menyedari kebakaran itu selepas mendengar bunyi sampah terbakar di rumah bersebelahan.
"Saya berada di dalam rumah selepas baru pulang dari kerja jam 5.30 petang sebelum terdengar bunyi seperti sampah terbakar dan apabila keluar, saya terkejut melihat api menjulang di dalam bilik bersebelahan dapur di rumah sebelah," katanya. Menurutnya, dia yang tidak sempat menyelamatkan barangan berharga, termasuk dokumen penting, berlari mendapatkan bantuan jiran untuk menghubungi bomba.
Katanya, kebiasaannya Azizah yang pulang sebulan sekali akan menyambut Aidilfitri di rumah itu setiap tahun bersama anaknya.
metro/- |