SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memberi diskaun 20 hingga 25 peratus bayaran cukai pintu kepada semua penghuni rumah pangsa kos rendah di negeri itu selepas diputuskan oleh Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri, Rabu ini. 

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata bagaimanapun diskaun itu hanya layak diterima oleh pemilik yang menghuni rumah pangsa mereka dan mendaftar dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

"Pemilik dan penghuni boleh membuat permohonan melalui JMB masing-masing dan mereka boleh menikmati diskaun ini selepas exco meluluskannya pada minggu ini," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan 50 buah Lori Kompaktor oleh Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) di sini hari ini.