Abd Shukur Harun,03 Mac 2013
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa buat masa ini tidak perlu timbul sebarang isu mengenai jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang PRU akan datang.

"Yang penting sekarang ini ialah memberitahu rakyat mengenai pemerintahan yang adil jika Pakatan berkuasa," kata beliau ketika berucap di Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya PAS Negeri Selangor 2013 di sini semalam.

Berucap di depan lebih 800 petugas pilihan raya PAS Selangor dalam suasana yang sangat ceria, Presiden PAS itu dengan suara paling tegas berkata, "yang penting sekarang kita hendak menang pilihan raya dulu untuk memerintah secara adil.

"Jika menang, barulah kita fikirkan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri."

Menurutnya, masa ini tidak berbangkit lagi isu jawatan tersebut kerana kita hendak tumpukan perhatian kepada gerak kerja pilihan raya, memberitahu rakyat akan manifesto Pakatan Rakyat iaitu hendak memerintah dengan adil kepada semua rakyat berbilang kaum.

Selanjutnya beliau berkata, setiap petugas PAS dan Pakatan Rakyat perlu menumpukan perhatian untuk memberitahu kandungan manifesto Pakatan kerana manifesto tersebut adalah dokumen Pakatan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan memerintah secara adil.

Presiden PAS itu berkata lagi bahawa perjuangan PAS/Pakatan rakyat bukan hendak merebut jawatan dan bukan kerana ketokohan seseorang individu, tetapi untuk menegakkan keadilan dan mereka yang mengundi Pakatan bukan mengundi individu tetapi mengundi dasar perjuangan yang dibawa oleh Pakatan.

"Kita menerima tahaluf siyasi dengan persetujuan Malis Syura Ulama dan Muktamar PAS, kerana itu ia adalah suatu jihad untuk melaksanakan cita-cita perjuangan yang telah kita sepakati," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tegas disambut dengan takbir oleh para hadirin.

Menurutnya, sepanang sejarah PAS menyertai tahaluf siyasi sejak dengan Semangat 46 dulu hingga kini, PAS tidak pernah rugi, malah banyak menguntungkan Islam.

"Jika PAS banyak memenangi kerusi dalam PRU akan datang baik di peringkat Parlimen dan Dun, maka insya Allah, PAS akan dapat menggantikan Umno," ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan pendukung PAS, bahawa dalam perjuangan ini "kita hendaklah melakukannya dengan sungguh-sunguh, istiqamah, bertawakkal dan berserah kepada Allah menentukannya".