Kerajaan negeri Selangor hari ini mengumumkan untuk merombak barisan pegawai pengurusan kanan Syarikat Bekalan Air Selangor melalui tindakan campur tangan ke atas pentadbiran syarikat tersebut.

Exco yang bertanggungjawab dalam tindakan itu, Dr Xavier Jayakumar berkata, tindakan bagi memantau perkhidmatan operasi SYABAS itu adalah mengikut Perkara 32 dalam perjanjian konsesi air.

"Semua kakitangan SYABAS di bawah kategori teknikal dan kakitangan serta pegawai pengurusan dan pentadbiran pertengahan akan dikekalkan manakala pegawai di peringkat pengurusan kanan akan dirombak semula.

"Jadi kita harap kakitangan SYABAS yang banyak pengalaman serta berdedikaasi kepada syarikat agar tidak berasa cemas terhadap masa depan mereka dalam proses 'step-in' (campurtangan) kerajaan negeri tidak berapa lama lagi," kata Jayakumar dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu sidang media hari ini berkata surat makluman berhubung tindakan itu akan dihantar kepada Menteri Tenaga, Teknologi dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui pagi esok.

"Exco Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok akan mengetuai delegasi untuk menghantar surat ini ke Putrajaya (pagi esok) secara peribadi kepada KETTHA kerana kerajaan negeri berpendirian bahawa isu ini penting diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Selain itu, Selangor juga akan menghantar satu kumpulan profesional bagi melihat operasi SYABAS berhubung masalah air terawat di negeri berkenaan.

"Kumpulan ini dianggotai oleh Shuhaimi Kamaruzaman (ketua pegawai operasi eksekutif KDEB), Ir Abas Abdullah (pengarah ABASS), Karim Endut (pengurus besar pengurusan air, Kumpulan Perangsang Selangor) dan Kevin Lee (ketua perancangan strategik dan pelaburan, Perangsang Selangor).

"Kumpulan ini dihantar kerana SYABAS gagal memberi penjelasan terperinci dan memuaskan dalam beberapa isu ketika syarikat tersebut memberi taklimat kepada setiausaha kerajaan negeri pagi tadi," katanya.