Tamu Di Taman Tunku Tiada Bekalan Letrik Posted: 27 Dec 2012 12:29 AM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
MIRI – Tamu di Taman Tunku yang terletak dalam kawasan DUN Lambir masih dalam keadaan baru memang nampak cantik dan agak bersih. Majoriti penjaja di situ berbangsa Cina.
Walaupun masih baru tetapi sayangnya mereka menghadapi masalah bekalan elektrik yang sepatutnya dibekalkan oleh pihak yang berkenaan sebelum mereka dibenarkan berniaga di situ. Malangnya perkara ini sudah lama berlaku dan tiada pihak yang tampil untuk memberi bantuan.
Inilah masalah utama yang sudah sekian lama yang dihadapi oleh penjaja Tamu di Taman Tunku sehingga kini masih belum lagi dipasangkan bekalan eletrik untuk memberi mereka keselesaan berniaga di situ.
Mereka mengadu kepada pihak kami mengapa sampai sekarang pihak SESCO atau pihak yang berkenaan tidak memasang elektrik dalam tapak perniagaan mereka.
Seharusnya perkara semacam ini tidak berlaku sedangkan mereka membayar sewa tapak peniagaan setiap bulan tanpa ada sebarang kemudahan asas yang sepatutnya diberi kepada penjaja di situ. Mereka berniaga dari pagi sampai ke malam dalam keadaan yang kurang selesa terlebih lagi pada waktu malam tanpa bekalan letrik.
Mereka memohon agar pihak Majlis Bandaraya Miri dan pihak yang berkenaan dapat mengatasi masalah ini dengan segera. Kerjasama dengan pihak MBM dan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini dari berterusan sangat dihargai.
Jofri Jaraiee PAS Miri, Sarawak |
Terpaksa naik lori, bawa ibu sarat mengandung Posted: 27 Dec 2012 12:25 AM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
Seorang wanita sarat mengandung terpaksa dihantar ke hospital menaiki lori, malam semalam setelah laluan ke hospital ditenggelami air di sekitar kawasan simpang Paya Besar. KUALA BERANG - Seorang wanita sarat mengandung terpaksa menaiki lori milik Jabatan Pertahanan Awam Malayasia (JPAM) untuk ke hospital kira-kira jam 10.30 malam semalam, setelah laluan Kuala Berang -Ajil ditenggelami air di kawasan simpang Paya Besar. Difahamkan, wanita berkenaan yang dipercayai mengalami tanda-tanda ingin bersalin itu sebelum itu telah menaiki ambulans Klinik Kesihatan Mengkawang tetapi tidak dapat meneruskan perjalanan kerana laluan dinaiki air. Sinar Harian yang berada di lokasi kejadian mendapati, selain anggota keselamatan orang ramai juga turut sama membantu mengangkat wanita berkenaan untuk dipindahkan dari ambulans ke dalam lori tersebut. Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim yang turut berada di lokasi berkenaan meninjau perkembangan banjir berkata, keadaan sedemikian antara insiden yang berlaku ketika banjir dan ia menyukarkan orang ramai. "Laluan ini adalah jalan utama Kuala Berang-Ajil dan kawasan sekitar simpang Paya Besar ini ditenggelami air hingga tidak dapat dilalui kenderaan. Malah, faktor ini jugalah mengundang kesukaran terutamanya ketika waktu kecemasan," katanya. Menurutnya, pembinaan pembetung tidak dapat menampung air besar ketika musim tengkujuh apatah lagi dengan limpahan air dari Sungai Berang. "Ketika lawatan Menteri Besar ke Hulu Terengganu pada 2010 lalu, beliau telah bersetuju dengan cadangan Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail supaya sebuah jambatan dibina untuk mengelakkan laluan ini ditenggelami air ketika banjir. "Bagaimanapun, pihak yang terlibat hanya membina pembetung. Akibatnya, kawasan ini masih dinaiki air sebagaimana kini. "Pembinaan empat lorong dari Kuala Berang-Ajil untuk kemudahan pengguna tetapi sayangnya ia masih ditenggelami air. Malah, hospital juga terputus hubungan kerana kawasan di Batu 22 turut dinaiki air," katanya.
sinar/- |
Pengerang: MB membisu, NGO Mantap ke mahkamah Posted: 26 Dec 2012 11:45 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: PAS mempersoal sikap Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang masih membisu berhubung isu Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid). Menurut Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar), sehingga kini sudah beberapa kali surat dihantar malah kunjungan ke pejabat menteri besar juga telah dibuat namun Abdul Ghani tidak mahu bersemuka dengan wakil penduduk dan NGO yang memperjuangkan isu itu. Beliau yang juga Pengerusi Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) berkata, sekarang ini timbul pula masalah apabila kerja-kerja pengalihan kubur Islam dilakukan. Katanya,penduduk tidak berpuas hati dengan operasi menggali kubur itu yang didakwa dilakukan tanpa memaklumkan kepada waris dan juga penduduk. "Kenapa kerajan negeri khususnya menteri besar membisu. Tidak langsung mahu bertemu dengan penduduk dan NGO kita. "Mereka secara senyap-senyap telah melakukan pemindahan (kubur) ini," katanya. Semalam, seorang penduduk dari Kampung Langkah Baik didakwa ditahan polis ekoran aduan cuba menghalang wakil kontraktor menggali kubur di Kampung Punggai, kelmarin. Difahamkan perselisihan berlaku kerana salah satu kubur yang dipindahkan adalah kubur nenek beliau yang langsung tidak dimaklumkan kepada keluarga malah sebaliknya kubur tersebut dikategorikan sebagai kubur tidak berwaris. Mengulas lanjut Salahudin berkata, Mantap akan memfaikan kes Rapid Pengerang ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Januari nanti. Sebelum ini, Gabungan NGO Pengerang (GNP) turut mendedahkan kepincangan yang berlaku sepanjang operasi pemindahan kubur Islam di sini yang dibuat 'membelakangi' penduduk. Pada 22 Disember, seorang pemilik tanah di Kampung Sebong yang terlibat dengan pemindahan kubur membuat laporan polis kerana mendakwa tanahnya telah diceroboh. Ekoran laporan polis itu dua syarikat kontraktor menggali kubur itu menghentikan kerja-kerja mereka serta-merta setelah berjaya menggali lima kubur. "Sebuah kubur yang sedang digali juga dikebumikan semula sebelum mereka meninggal tapak perkuburan tersebut. "Kami juga mendapati beberapa batu nisan yang kontraktor tidak sempat ambil telah ditinggalkan di tempat tersebut," kata Naib Pengerusi GNP, Kapten Hasnul Ahmad. Selain itu katanya, sesetengah kubur berwaris di Kampung Jawa Darat juga telah digali tanpa dimaklumkan kepada waris. Waris-waris itu kemudian merancang untuk membuat laporant polis, tetapi telah ditangguhkan setelah beberapa ahli politik yang menghubungi mereka, kata Hasnul. Air bertakungSementara itu, GNP turut mendedahkan keadaan tanah perkuburan Islam baru di Kampung Punggai bertakung dengan air selepas hujan kerana aras tanah yang rendah. Menurut mereka, pengendalian kerja-kerja pemindahan kubur yang tidak sempurna menyebabkan ada antara batu nisan yang patah kerana kecuaian pekerja kontraktor. Mereka juga turut mempersoal tindakan kontraktor menggali kubur Islam di Kampung Jawa Laut, Kampung Jawa Darat dan Kampung Sebong dalam beberapa hari ini, mereka juga telah menggali kubur yang berwaris. Sedangkan kata mereka, lesen bagi penggalian semula kubur yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Negeri Johor, cuma membenarkan untuk menggali 198 buah kubur Islam lama yang tidak berwaris di Lot 5156 Kampung Telok Empang.
harakah/- |
20 terbunuh kereta kebal bedil kampung Posted: 26 Dec 2012 11:30 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
DAMSYIK - Seramai 20 orang termasuk lapan kanak-kanak terbunuh selepas kereta kebal tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad membedil sebuah kampung di wilayah utara Kahtaniyeh semalam, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia untuk Syria.
"Sekurang-kurang 20 orang termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita terbunuh selepas tentera rejim Bashar menyerang sebuah ladang di kampung Kahtaniyeh, barat bandar Raqa," kata kumpulan pemerhati itu.
Sebuah video amatur yang dimuat naik ke Internet oleh kumpulan aktivis menunjukkan beberapa mayat berlumuran darah dan mayat seorang kanak-kanak ditutup dengan selimut di dalam sebuah rumah. "Berpuluh-puluh orang lagi dilaporkan cedera di ladang itu," kata aktivis di Raqa.
Sementara itu, menurut kumpulan pemerhati sama, lebih 45,000 orang dilaporkan terbunuh di Syria sejak penentangan terhadap Presiden Bashar Al-Assad meletus pada Mac tahun lalu.
"Secara keseluruhan kami telah mendokumen kematian seramai 45,048 orang," kata pengarah badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman.
Tambahnya, lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh sepanjang minggu lepas. Katanya, mereka yang terbunuh termasuk 31,544 orang awam, 1,511 orang berpaling tadah, 11,217 tentera dan 776 tidak dapat dikenal pasti. - Agensi
|
PAS: Siasat dakwaan Deepak atau kami hantar memo pada Agong Posted: 26 Dec 2012 11:20 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
PAS mengulangi gesaannya supaya pihak berkuasa menyiasat dakwaan peniaga permaidani Deepak Jaikishin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib serta ahli keluarganya berhubung kontroversi kes pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu. "Jika tidak, saya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar (kiri). Bercakap dalam sidang akhbar di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini, Mahfuz mengecam Jabatan Peguam Negarak, Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa berdiam terhadap tuduhan yang serius itu. Perkara itu, tegasnya, membabit maruah perdana menteri, keluarga beliau, negara dan juga Yang di-Pertuan Agong. Deepak sebelum ini dalam temuramahnya dengan beberapa media antaranya Malaysiakini mendakwa Najib mempunyai peranan dalam isu penarikan balik pengakuan berkanun (SD) pertama penyiasat persendirian P Balasubramaniam pada tahun 2008 yang mengaitkan Najib dengan Altantuya.
Deepak juga sebelum ini mendedahkan beberapa perkara antaranya melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta adiknya Datuk Nazim Razak.
malaysiakini/- |
Penganjur jamin Himpunan Selamatkan Felda esok aman Posted: 26 Dec 2012 11:15 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Penganjur Himpunan Oren Selamatkan Felda 2.0, Gerakan Selamatkan Felda (GSF) memberi jaminan himpunan yang akan diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Ibu Pejabat Felda di Jalan Semarak esok adalah aman. Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata tujuan himpunan esok hanya mahu menyatakan bantahan terhadap Tan Sri Isa Samad dan mahu menyerahkan memorandum tuntutan kepada Pengerusi Felda itu sendiri. Menurut beliau lagi, pihak penganjur juga telah meminta bantuan Unit Amal Dewan Pemuda PAS untuk membuat kawalan keselamatan. "Kita memberi jaminan bahawa himpunan ini adalah aman dan jangan ada pihak buat provokasi. Jika ada provokasi, itu bukan daripada kita. "Kita akan menempatkan seramai 300 unit amal untuk membuat kawalan keselamatan," katanya kepada Harakahdaily. Bagi memudahkan keadaan esok katanya, Isa diharap dapat memberi kerjasama untuk menerima sendiri memorandum itu nanti. Mazlan berkata, beliau mendapat maklumat ada kumpulan lain yang juga berpakaian sama seperti mereka akan mengadakan perhimunan serupa esok. Bagaimanapun menurutnya, maklumat itu masih bersifat 'khabar angin' dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci. Mazlan yang juga AJK PAS Pusat memberitahu, pihaknya kini dalam proses persiapan terakhir menjelang himpunan itu esok. "Kita sudah sudah menerima pengesahan dari semua parti-parti politik Pakatan Rakyat dan juga NGO yang akan bersama kita esok. "Kita jangka esok adalah himpunan paling ramai dan beberapa pimpinan tertinggi politik dan NGO akan hadir bersama kita," katanya lagi. PAS sebelum ini telah mengeluarkan surat kerahan rasmi kepada semua pemimpin dan ahli di seluruh negara agar hadir ke himpunan itu esok. Himpunan esok antara lain mahu mendesak Isa meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Felda dengan segera. Selain itu, ianya juga bagi mendesak Kerajaan Malaysia menghentikan urus niaga dengan Israel, menghentikan campur tangan politik dalam KPF dan Felda dan mengembalikan tanah Felda Plantation kepada rakyat. hartakah/- |
Menteri Pengangkutan Pentingkan Kroni, Rompak Duit Rakyat Posted: 26 Dec 2012 11:00 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
Kenyataan Menteri Pengangkutan bahawa pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diteruskan, bukti beliau lebih pentingkan kroni berbanding bantahan dan kehendak rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang.
Mengikut Datuk Seri Kong Cho Ha, Putrajaya akan tetap teruskan operasi AES walaupun Jabatan Peguam Negara membeku semua prosiding kes saman, minggu lalu.
Beliau turut mengakui pelaksanaan sistem itu mendapat tentangan rakyat dan bermasalah dari sudut perundangan, tetapi tetap berdegil tidak akan berhenti mengeluarkan saman.
"Kedegilan menteri seperti Cho Ha jelas menunjukkan dia hanya menjaga kepentingan kroni, bukan rakyat. Padahal semua pihak berpandangan sistem itu ada masalah," kata Lih Kang ketika dihubungi.
Dua syarikat yang mengendali AES ialah Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd, yang mempunyai hubungan dengan Umno Johor dan menteri dari MCA.
Kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun dan bakal mendapat keuntungan sehingga RM700 juta hasil kutipan saman.
Kerajaan berbelanja RM800 juta untuk menyediakan kamera di 831 lokasi.
Kerajaan juga didakwa menyediakan kos senggaraan sehingga RM3.8 bilion untuk lima tahun. Sepatutnya, kerajaan mengambil hasil saman AES, bukan bekerjasama dengan syarikat swasta.
"Jika Cho Ha menteri bermaruah, beliau patut malu dan letak jawatan. Jika tidak, rakyat sendiri akan pecat beliau dalam pilihan raya nanti," tegas Lih Kang.
Menurutnya, penerusan saman AES merupakan usaha pimpinan Umno BN untuk memeras wang rakyat.
"Kedegilan pemerintah yang tetap mahu laksana AES amat mencurigakan. Tiada sebab lain, mereka hanya mahu terus rompak wang rakyat," katanya.
Sejak dimulakan pada 23 September lalu, sebanyak 300,000 saman AES dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya.
AES ditentang ekoran terlalu banyak kelemahan termasuk had laju tidak relevan dan kamera di sepanjang lebuh raya yang terlalu banyak sehingga menyebabkan saman berganda. -KD |
Penafian Isa perlu difahami 'sebaliknya', kata Mazlan Posted: 26 Dec 2012 10:45 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Kenyataan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menafikan beliau melobi untuk jawatan pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) disifatkan sebagai 'baling batu sembunyi tangan'.
Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, beliau tidak pelik dengan penafian Isa itu malah menganggapnya 'skrip lama' yang digunakan untuk menempatkan diri beliau dalam jawatan tertinggi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).
"Sewaktu dia 'promote' FGV, dia juga nafi bahawa dia ada kepentingan. Tapi akhirnya dia yang jadi pengerusi FGV.
"Dia juga kata tidak akan sentuh sedikitpun aset peneroka. Akhirnya dia tubuh syarikat Felda Asset Holdings yang pegang 20% kepentingan peneroka dalam FGV yang dia sendiri jadi pengerusi," kata Mazlan kepada Harakahdaily.
Justeru itu kata Mazlan, penafian oleh Isa itu perlu difahami 'sebaliknya' seperti rekod yang telah berlaku sebelum ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penafian Isa yang dilaporkan media hari ini.
Isa dalam kenyataan itu dilapor menafikan beliau pernah melobi supaya namanya dicalonkan untuk bertanding sebagai pengerusi KPF.
"Itu (penafian) stail dia (Isa). Walaupun dia cuba nafikan, tapi beranikah dia menolak bukti-bukti yang ada pada kita. Kita ada bukti," kata Mazlan lagi.
Sebelum ini, Anak mendedahkan wujud konspirasi peringkat tertinggi dipercayai untuk membolehkan Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF bagi tujuan menyenaraikan KPF ke dalam FGV.
Konspirasi itu dakwanya bermula dengan mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), mengeluarkan surat menyatakan Mesyuarat Agung perwakilan (AGM) KPF pada 20 jun lalu tidak sah dan perlu diadakan semula.
AGM semula itu sepatutnya berlangsung pada 27 Disember iaitu hari ini namun ianya terpaksa dibatalkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu yang membenarkan permohonan KPF membatalkannya.
harakah/-
|
Serangan ala samseng dakwa dikasari polis, diugut anggota tentera Posted: 26 Dec 2012 10:40 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - Jak Wong menunjukkan rakaman CCTV kejadian kepada media di pejabatnya, semalam. BANDARAYA MELAKA - Seorang pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Batu Berendam bukan sahaja terpaksa berhadapan sumpah seranah sekumpulan pengunjung, malahan mendakwa turut dipukul mereka. Kekecohan ini tercetus gara-gara pengawal keselamatan berkenaan menghalang seorang pengunjung lelaki membawa keluar sepasang seluar yang belum dijelaskan bayarannya. Semuanya bermula apabila pengawal keselamatan berkenaan, K Sritharan, awal 50-an, yang ketika itu sedang bertugas di pintu masuk pasar raya, menahan lelaki berkenaan setelah alat penggera berbunyi apabila dia membawa seluar itu keluar. Apabila ditanya sama ada pembayaran telah dibuat, lelaki berkenaan memaklumkan dia hanya ingin menunjukkan seluar tersebut kepada seorang wanita yang sedang menunggu di luar pasar raya. Sritharan kemudian membawa lelaki berkenaan ke kaunter bagi membolehkannya membuat bayaran. "Sejurus selepas itu, lelaki itu datang kepada saya dan memohon maaf di atas kesilapannya," katanya di dalam laporan polis yang dikemukakan untuk perhatian DAP Melaka, semalam. Diugut ala samseng Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak berakhir begitu sahaja. Di dalam laporannya, Sritharan mendakwa, dia kemudian didatangi sekumpulan lelaki di mana salah seorang daripada mereka cuba membaling selipar ke arahnya. Selain itu, dia mendakwa, seorang lagi lelaki yang mengaku anggota tentera, mengugut akan mencederakannya jika bertemunya di luar. Dia mendakwa kekecohan berlanjutan sehingga ke dalam pejabat pasar raya, apabila semasa dia dan penyelianya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai insiden itu, mereka didatangi seorang lelaki yang mengaku sebagai polis. Dia mendakwa, lelaki berkenaan telah menolak lehernya sehingga terpaksa dileraikan beberapa pekerja pasar raya. Selain itu, Sritharan mendakwa, seorang lagi lelaki turut mengambil alat pemadam kebakaran dan cuba menghentak badannya, tetapi dihalang beberapa pekerja pasar raya. Bimbang dengan keselamatan diri, Sritharan membuat laporan di Balai Polis Malim. Adun gesa polis siasat Sementara itu, Adun Bachang, Lim Jak Wong menggesa polis menjalankan siasatan terhadap kejadian berkenaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertindak ala samseng. "Rakaman CCTV itu cukup jelas. Malahan, muka mereka yang terbabit dalam insiden itu juga dapat dilihat dengan terang. Jadi tiada alasan untuk tidak mengambil tindakan," katanya di sini, semalam. Sehubungan itu, Jak Wong berkata, dia bercadang memuat naik rakaman CCTV berkenaan di laman YouTube bagi membolehkan orang ramai membantu mengecam pihak yang terlibat supaya tindakan boleh diambil. "Ini suatu yang serius. Lebih-lebih lagi kalau mereka benar-benar tentera atau polis sebagaimana mereka dakwa. Kalau mereka bukan sekalipun, ianya tetap serius kerana mereka telah menyamar," katanya. Sementara itu, ketika dihubungi, seorang jurucakap polis mengesahkan laporan berkenaan sudah dibuat mangsa. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut. sinar/- |
Deepak: PAS cadang serah memo kepada Agong Posted: 26 Dec 2012 10:30 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: PAS bercadang menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung pendedahan usahawan Deepak Jaikishan.
Penyerahan itu akan dilakukan jika agensi berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara terus membisu dengan pendedahan Deepak tersebut.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata pihaknya memberi masa sehingga dua minggu untuk agensi-agensi terbabit memulakan siasatan terhadap pendedahan yang dilakukan usahawan karpet berkenaan.
"Kita memberi tempoh sehingga dua minggu untuk SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara memberikan respons berhubung pendedahan Deepak ini.
"Jika tidak, kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan memorandum ke bawah Yang Dipertuan Agong terhadap ketiga-tiga agensi," tegas beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.
Mahfuz berkata pendedahan Deepak itu merupakan satu pendedahan yang bukan sahaja menyentuh maruah perdana menteri, dan keluarga, sebaliknya turut menyentuh maruah negara dan Yang Dipertuan Agong itu sendiri.
Mana siasatan
Beliau turut membangkitkan persoalan mengapa tiada sebarang respons atau siasatan segera dilakukan terhadap pendedahan Deepak walaupun banyak pihak mendesak untuk melakukannya (siasatan).
"Saya hairan mengapa di saat kita dikatakan memiliki anggota polis yang cekap, SPRM yang telus, peguam negara yang hebat, dalam hal Deepak ini mereka ini seolah-olahnya telah 'disemadikan'.
"Saya tidak kata apa yang didedahkan Deepak itu benar atau tidak. Sebaliknya ia perlu disiasat segera memandangkan ia bukan satu perkara kecil," kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Mahfuz meminta Deepak membuktikan hubungan rapat yang didakwanya bersama Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi pengetahuan umum.
Katanya, Deepak boleh mendedahkan nombor telefon Najib, mahupun Rosmah kepada umum dan pihak polis agar disiasat segera.
"Deepak mengakui dia mempunyai hubungan yang rapat dengan Najib, Rosmah. Boleh telefon bila-bila masa. Jadi, saya minta Deepak buktikan dengan memberi nombor telefon kepada mereka kepada polis dan kemudiannya meminta syarikat telekomunikasi mendapatkan rekod perbualan antara mereka selama ini," tegas Mahfuz lagi.
Deepak, sebelum ini membuat pendedahan kepada media alternatif mengaitkan penglibatan Najib, Rosmah dan adik Najib berkaitan akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam.
harakah/- |
Sesi tinjauan DAP di Bentong dicemari pergelutan kecil Posted: 26 Dec 2012 08:48 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - Sesi tinjauan DAP Pahang di Kampung Baru Manchis, Bentong semalam telah dicemari oleh pergelutan kecil apabila kumpulan itu bertembung dengan sekumpulan ahli MCA. Ahli MCA, Lee Shu Hwa pergi menemui kumpulan yang diketuai pengerusi DAP Negri Sembilan, Anthony Loke DAP, dengan membawa keratan akhbar yang menyiarkan isu-isu yang membabitkan kawasan parlimen Rasah. Shu Hwa menuntut penjelasan Loke mengenai rancangan ahli parlimen DAP itu untuk menyelesaikan beberapa isu-isu tertunggak di kawasan Parlimen Rasah yang diwakilinya. Apabila Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah cuba campurtangan, abang Shu Hwa - Ah Kaw yang merupakan ketua MCA Kampung Manchis - didakwa mula bertindak kasar.
Satu klip video insiden yang dimuat naik oleh penyokong DAP memaparkan Ah Kaw menarik lengan baju Leong dari belakang.
Satu pergelutan pendek tercetus apabila ketua DAP Bentong, Ching See Tai cuba menghalang Ah Kaw. Shu Hwa bertindak balas dengan menolak Ching.
Ketika Dihubungi petang semalam, Ah Kaw menafikan dakwaan pemimpin DAP bahawa adiknya Shu Hwa cuba menolak Ching ke tanah dan telah merosakkan mikrofon DAP.
Katanya, beliau mempunyai bukti fotografi untuk menyokong dakwaannya.
malaysiakini/- |
Lihatlah perbezaan pemimpin BN dan PR Posted: 26 Dec 2012 08:15 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
Banjir punya penangan....habis semua orang kuat politik turun padang redah "ayor bah". Maka masa inilah orang politik berlumba lumba menunjuk bakti kepada pengundi. Cuma sini ada kelainan sikit .... Lihatlah photo di bawah dan tak perlu saya menulis cukup sekadar gambar berbicara... Di antara dua darjat... Pemimpin rakyat dengan pemimpin anak bangsawan.. Pemimpin Rakyat redah "ayor bah" tetapi pemimpin Parti Bangsawan tengok banjir dari awan awangan. kah kah kah...... harakah/-
|
Mendapatkan kerajaan yang adil dalam PRU13 Posted: 26 Dec 2012 08:00 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - 1. Allah beri petunjuk dalam kitab suci Al-Qur'an, surah An-Nissa, 4:58. Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat. 2.Perlembagaan Negara memberi kuasa, hak dan kebebasan kepada rakyat mengundi dalam pilihan raya umum untuk memilih atau menukar kerajaan. Mengundi kerajaan yang amanah, berhak dan adil. Sebaliknya, menulak kerajaan tidak amanah, berhak dan adil. 3.Kepimpinnan Perdana Menteri pertama, kedua dan ketiga, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein dan Tun Hussein Onn adalah model atau contoh kepada rakyat Malayisa, kepimpinan yang amanah, berhak dan adil. Amanah maksudnya, tidak rasuah atau salahguna kuasa, utamakan kepentingan diri, keluarga atau kroni. Berhak maksudnya, berkualiti meritokrasi seperti Barack Obama, iaitu lebih berkebolehan berbanding dengan kepimpinan kulit puteh. Adil maksudnya, tidak zalim atau berat sebelah apabila menetapkan hukum atau memberi bantuan kepada rakyat, tidak kira penyokong atau bukan menyokong. Kerajaan yang membeza-bezakan bantuan kepada penyokong dan bukan penyokong ialah prinsip kerajaan komunis. 1. Kepimpinan Perdana Menteri ke-empat, kelima dan ke-enam, Dr. Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak menyeleweng daripada perintah Allah, dalam kitab suci Al-Qur'an surah 4:58 yang saya sebutkan tadi. 2. Kerajaan ke-empat, kelima dan ke-enam bercanggah dengan Perlembagaan Negara kerana majoriti pengundi dalam negara ialah ahli-ahli Barisan Nasional atau BN. Sisterm politik BN sama seperti sistem politik komunis. Sungguh pun pilihan raya umum diadakan tetapi kerajaan BN atau komunis tidak tertakluk kepada perubahan (not subject to regime change) kerana majoriti pengundi ialah ahli-ahli BN iaitu sama seperti prinsip kerajaan komunis. Justeru itu, pilihan raya umum diadakan bukan untuk menukar kerajaan. Sebaliknya, pilihan raya umum diadakan ialah untuk menghalalkan pemerintahan seterusnya dan membayangkan kepada dunia, kerajaan komunis juga mengadakan pilihan raya umum seperti prinsip demokrasi. 3. Sistem politik BN yang sama seperti sistem politik komunis diamalkan selepas UMNO diharamkan dalam tahun 1987. Dr. Mahathir Mohamad tubuhkan UMNO BARU dalam tahun 1988. No. Pendaftaran UMNO BARU ialah 676/88. UMNO BARU ialah pertubuhan politik ahli-ahli. UMNO BARU membezakan bangsa Melayu ahli-ahli UMNO BARU dan bangsa Melayu bukan ahli UMNO BARU. Justeru itu, UMNO BARU tidak sama seperti UMNO yang telah diharamkan. UMNO yang telah diharamkan, ditubuhan dalam tahun 1946. UMNO yang telah diharamkan ialah pertubuhan politik bangsa Melayu. Berikutan daripada itu, BN ialah sistem politik ahli-ahli anggota komponen. Ahli-ahli BN ialah pengundi majoriti dalam negara. Justeru itu, sistem politik BN sama seperti sistem politik komunis. Majoriti pengundi dalam Negara komunis ialah ahli-ahli parti kerajaan komunis. Majoriti pengundi dalam Negara juga ahli-ahli BN. Buktinya, pada 9hb September, 2010, Adnan Mansor, Setiausaha Agong BN, membuat kenyataan dalam akhbar, The New straits Times, bahawa ahli-ahli BN berjumlah 7,000,000. Dalam pilihan raya umum tahun 2008, jumlah pengundi dalam Negara ialah 10,922,139 (SPR). Justeru itu, majoriti pengundi dalam Negara ialah ahli-ahli BN. Maka tidak syak lagi bahawa BN ialah sama seperti sistem politik komunis. Sebelum itu, Presiden UMNO, Mohd. Majib bin Tun Abdul Razak, membuat kenyataan dalam akhbar yang sama pada 28hb Mei, 2010 bahawa ahli-ahli UMNO berjumlah 3,159,484. Allah sahaja yang mengetahui sebab Adnan Mansor dan Mohd. Najib membuat kenyataan tersebut di atas. Pertama, sebelum itu, rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa BN mengamalkan sistem politik komunis atau sistem politik totalitarian (berkuasa secara total atau berkuasa mutlak). Kedua, rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa ahli-ahli UMNO ialah minoriti dalam BN. Apabila ditulak ahli-ahli UMNO daripada 7,000,000, maka ahli-ahli anggota komponen bukan ahli-ahli UMNO berjumlah 3,840,516, iaitu majoriti. Sekarang, rakyat keseluruhan nya, termasuk ahli-ahli BN bukan UMNO, sudah mengetahui bahawa sistem politik BN adalah sama seperti sistem politik kerajaan komunis, adakah rakyat dan ahli-ahli BN bukan UMNO akan mengundi BN dalam pilihan raya umum akan datang? Rakyat keseluruhannya, termasuk ahli-ahli BN bukan UMNO adalah pengundi majoriti. Apabila pilihan raya umum ke 13 diadakan, BN akan kehilangan kuasa kerana ahli-ahli BN hanya minoriti. Justeru itu, Dewan Rakyat belum dibubarkan sehingga kini kerana Perdana Menteri takut rakyat sudah mengetahui bahawa ahli-ahli BN ialah minoriti. BN tidak lagi berupaya mengamalkan sistem politik komunis atau sistem politik totalitarian (berkuasa secara total seperti kerajaan komunis). *Penulis adalah bekas timbalan menteri kerajaan pusat. Beliau meletakkan jawatan ketika PM Dr Mahathir dan baru-baru ini mengisytiharkan keluar dari Umno untuk bersama Pakatan Rakyat.harakah/- |
Morsi gesa perpaduan, pulihkan ekonomi Mesir Posted: 26 Dec 2012 07:27 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - Presiden Mesir, Mohamed Morsi menggesa semua kuasa politik untuk mengambil bahagian dalam dialog kebangsaan untuk menyelesaikan ketegangan yang berlarutan dan berjanji untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memulihkan ekonomi. Dalam ucapan pertamanya kepada rakyat Mesir sejak pelaksanaan perlembagaan baru, beliau berkata Rabu lalu bahawa beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan perubahan kabinet dan merancang untuk memperkenalkan insentif demi menjadikan Mesir sebuah destinasi pelaburan yang lebih menarik. "Di masa hadapan kita akan saksikan, Insya-Allah, pelancaran projek-projek baru, dan pakej insentif bagi pelabur untuk menyokong pasaran dan ekonomi Mesir," katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen. Morsi berucap selepas Majlis Syura Mesir (yang berfungsi seperti Dewan Negara Malaysia) bersidang untuk sesi pertama selepas meluluskan perlembagaan negara yang baru, tindakan pertama oleh institusi kerajaan selaras dengan dokumen yang kesahihannya masih dipersoalkan oleh pembangkang. Majlis Syura mengadakan sesi angkat sumpah untuk 90 ahli baru yang dilantik oleh Morsi. Piagam tersebut, yang diluluskan oleh 63.8% dalam dua pusingan referendum yang berakhir Sabtu lalu, memberikan Mahlis Syura - yang secara tradisinya tidak berkuasa - kuasa perundangan penuh sehingga pilihan raya untuk Majlis Rakyat (berfungsi seperti Dewan Rakyat di Malaysia) dipanggil dalam tempoh dua bulan. Majlis Syura telah mengambil alih dari Morsi, yang telah memberikan dirinya kuasa untuk meluluskan undang-undang yang membawa kepada protes ganas. Morsi menandatangani dekri menguatkuasakan piagam lewat Selasa lalu selepas pengumuman rasmi keputusan referendum yang meluluskan undang-undang asas, perlembagaan pertama Mesir sejak penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak. Presiden dijangka untuk berucap kepada Majlis Syura Sabtu ini. Majlis Syura yang didominasi golongan Islamis dijangka untuk menggubal undang-undang bagi mengawal selia pilihan raya parlimen yang akan datang. Perkara-perkara lain dalam agenda termasuk undang-undang ke atas bantahan dan media. (aljazeera.com)
harakah/- |
FELDA Disaman RM200 juta Oleh 351 Peneroka Posted: 26 Dec 2012 07:25 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
Seramai 351 peneroka Felda Mempaga 1, 2, dan 3 serta Felda Bukit Damar, Pahang hari ini memfailkan saman menuntut ganti rugi keseluruhan kira-kira RM200 juta terhadap Felda kerana menipu kadar perahan gred (KPG) sawit. Saman difailkan melalui Tetuan Daim dan Gamany di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang pagi tadi menamakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai defendan pertama dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defendan kedua. Plaintif dalam writ saman antara lain mendakwa, Felda Palm Industries berniat jahat dan sengaja menurunkan KPG sehingga enam peratus bertentangan dengan kadar sepatutnya dengan tujuan untuk menurunkan harga setiap tan buah sawit.
Peneroka terbabit turut mendakwa wujud konspirasi antara defendan pertama dan kedua menyalahgunakan kaedah penggredan untuk memastikan KPG diturunkan, selain menjual buah sawit dibawah KPG yang sepatutnya tanpa pengetahuan plaintif.
Disebabkan itu, plaintif mendakwa setiap mereka mengalami kerugian sebanyak RM30,912 pada tahun 2008.
Manakala bagi buah yang ditahan tapi tak dilupuskan, setiap peneroka telah kehilangan pendapatan sebanyak RM1345.63 (RM560.
08 setan).
"Kerugian kesemua plaintif untuk tahun 2008 lebih kurang RM11.322 juta," writ saman itu menyebut.
Ganti rugi
Sehubungan itu, plaintif memohon mahkamah untuk mendapatkan printah supaya Felda dan Felda Palm Industries membayar ganti rugi khas kepada plaintif berdasarkan jumlah keluaran dan harga sawit untuk setiap tahun bermula tahun 1995.
Selain itu, peneroka terbabit turut meminta ganti rugi am dan teladan untuk penipuan dan pecah amanah, kadar faedah empat peratus setahun dikenakan keatas jumlah ganti rugi khas bemula dari tahun 1995 serta empat peratus jumlah ganti rugi am dari tarikh pemfailan writ sehingga kes selesai sepenuhny dan lain-lain kos.
Saman difailkan wakil peneroka Abdul Rashid Abdul Wahab sebagai plaintif pertama dan Din Mohd Arif (plaintif ke-331).
Mereka diwakili Ketua Biro Guaman PKR Latheefa Koya dan Timbalan Pengerusi Biro Peneroka Felda dan Orang Asal PKR T Kumar.
Turut hadir Pengerusi Biro Peneroka Felda dan Orang Asal PKR Suhaimi Said serta timbalannya Bob Manolan. -FMT
|
Terjun kereta dipandu 100km/j Posted: 26 Dec 2012 07:00 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
KUCHING – Seorang wanita tidak menyangka sehelai jubah hitam pemberian suami yang dibeli di Mekah semasa menunaikan haji pada tahun ini menjadi perisai apabila dia hanya cedera ringan ketika nekad terjun dari kenderaan yang sedang bergerak laju kelmarin.
Wanita yang ingin dikenali sebagai Nor, 41, itu bertindak demikian selepas menyedari kenderaan jenis Mitsubishi Pajero milik suaminya dipandu seorang pencuri dengan kelajuan 100 kilometer sejam dalam kejadian pukul 11 malam di Jalan Main Bazaar, Kuching Waterfront di sini.
Selepas berguling beberapa kali di atas jalan, ibu kepada lima anak itu hanya cedera di lengan, siku, kedua-dua lutut dan kaki.
Mengimbau semula kejadian itu, peniaga gerai makanan itu mendakwa, dia terlena di kerusi penumpang depan dalam kenderaan yang diletakkan di bahu jalan kira-kira 20 meter dari gerainya dalam keadaan enjinnya hidup manakala pintu tidak dikunci. Dia dan suami berniaga di Kuching Waterfront.
metro/- |
‘Simpan duit beli baru’ Posted: 26 Dec 2012 06:40 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
TOLAK TANAH...kerja membersih tanah yang runtuh giat dilakukan di Kampung Air Putih. KEMAMAN: "Nampaknya, saya kena simpan duit untuk beli kereta baru kerana Perodua Viva saya mungkin tidak boleh digunakan lagi," kata Rafliza Hussin, 25, pemilik sebuah daripada lima kenderaan yang ditimbus tanah runtuh di Kilometer 139 Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran persimpangan masuk Kampung Air Putih, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, lima kereta dan sebuah lori ditimbus tanah yang runtuh dari tebing setinggi kira-kira 20 meter akibat hujan lebat melanda kawasan itu sejak dua hari lalu. Rafliza yang bertugas sebagai juruteknik sebuah syarikat penapisan minyak di Melaka berkata, dia sedang bercuti dan tiba di kampung jam 6 petang kelmarin. Menurutnya, dia menyedari kejadian itu apabila dimaklumkan jiran kira-kira jam 5 pagi semalam.
"Saya tidak dapat meletakkan kereta di kawasan rumah keluarga saya kerana jalan masuk ke kampung kami dinaiki air sehingga paras pinggang.
"Berikutan itu, saya dan beberapa penduduk meletakkan kenderaan di tepi tebing berkenaan, kira-kira dua kilometer dari kampung kerana lokasi itu sering menjadi tempat kami meletak kenderaan ketika banjir.
metro/-
|
Nik Aziz lelong barang peribadi kutip dana PRU13 Posted: 26 Dec 2012 06:30 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
Nik Aziz Nik Mat SEREMBAN – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka melelong beberapa koleksi barangan peribadi beliau sempena Majlis Makan Malam Pas Negeri Sembilan yang akan diadakan malam esok.
Setiausaha program, Mohd Hassan Thamby berkata, majlis yang akan diadakan di dewan Hotel City Kingdom di Taman AST bermula jam 8 malam itu bertujuan mengutip dana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Acara yang paling dinantikan ialah apabila Tuan Guru Nik Aziz melelong barangan miliknya termasuk koleksi buku peribadi," katanya di sini, semalam.
Mohd Hassan berkata, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abdul Ghani dan beberapa pemimpin tinggi Pas negeri turut hadir dan memberi ucapan pada majlis tersebut.
sinar/-
|
Penduduk Dakwa Hak Mereka Dicabuli Posted: 26 Dec 2012 06:25 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - SKUDAI – Beberapa orang penduduk daripada Pangsapuri Jasa, Mutaiara Rini bangkit menyuarakan hak mereka apabila sebuah kawasan hijau yang dimaklumkan untuk didirikan sebuah tadika telah dibangunkan sebuah premis perniagaan, Pasar Mini Masz Be 24 Jam. Menurut penduduk setempat, aduan telah diadakan kepada pihak Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) pada 11 Disember yang lalu berhubung isu ini. Dalam satu keterangan, Puan Siti Habibah telah menjelaskan bahawa petisyen untuk meminta tandatangan penduduk di situ telah pun dibuat, namum ada pihak yang menghalang. "Kami dah buat petisyen minta tandatangan penduduk kat sini, tapi terpaksa berhenti sbb dapat ugutan daripada pelbagai pihak", jelas beliau yang juga merupakan penduduk di Pangsapuri Jasa tersebut. Beliau juga terasa amat kecewa dengan Timbalan Ketua Wanita UMNO di situ kerana tidak mengambil endah aduan yang dilontarkan malah mengambil langkah untuk lepas tangan dalam isu ini. "Kami dah tunjukkan surat aduan yang dibuat kepada Timbalan Ketua Wanita UMNO, tapi mentah-mentah dia tolak aduan kami. Kami amat kecewa dengan pemimpin macam ni. "Ada juga kami bawa kepada ketua kampong, tapi katanya dia tak mampu nak buat apa-apa sebab payung 'diorang' lagi kuat", jelas beliau lagi. Penduduk di situ juga menyatakan kebimbangan mereka kerana projek yang didirikan di antara blok R dan S Pangsapuri Jasa ini telah membuat pendawaian elektrik dan penggunaan sumber air secara yang diragui. Kerisauan mereka ini mempunyai asas yang kukuh apabila Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Nusajaya hadir ke tapak projek dan melihat tidak ada sebarang papan tanda projek secara sah dinaikkan sekitar tapak projek. Justeru Penyelia PAR Nusajaya menyarankan untuk ditubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi memudahkan urusan ini dibawa ke pihak MPJBT secara lebih kukuh dan professional. "Kita minta supaya Puan dapat mengumpulkan penduduk di sini untuk kita tubuh satu jawatankuasa bertindak khas untuk tangani isu ini. "Saya bimbang ada permainan yang tidak sihat melibatkan orang dalam berlaku di sebalik pembinaan premis perniagaan ini. Selepas kita tubuh jawatankuasa, kita akan bawa ke pihak majlis. Kalau masih ada yang kita ragui kita akan minta SPRM buka kertas siasatan untuk kes ini," tegas beliau lagi yang juga merupakan YDP PAS Kawasan Gelang Patah. Menurut Puan Siti Habibah, dalam usaha beliau mengumpul tandatangan sebagai suara bantahan penduduk, kebanyakkan hanya kaum Cina yang menyatakan kesungguhan mereka untuk menyokong isu ini namun sebaliknya bagi penduduk Melayu. Tambah beliau lagi, sebelum ini telah ada maklumat secara lisan yang dikhabarkan daripada pihak MPJBT untuk arahan perobohan premis berkenaan, namun sehingga kini tiada sebarang bentuk tindakan diambil. Turut hadir dalam pertemuan bersama penduduk Pangsapuri Jasa itu adalah Ketua Pemuda PAS Kawasan Gelang Patah, saudara Zaifiddin Isa. selatan online/- |
Pakatan Rakyat jangan gopoh ambil bola tanggung Posted: 26 Dec 2012 06:20 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - Sama ada negara itu kekal sebagai sebuah negara yang aman dan sentosa buat selama-lamanya, bergantung kepada rakyatnya. Rakyatlah yang boleh membina dan rakyat jugalah yang boleh memusnahkannya. Setiap negara, apatah lagi negara yang majmuk seperti Malaysia ini, perpaduan semua kaum itu adalah ultimate dan jika kurang dari itu ia tidaklah sebuah negara yang aman untuk didiami. Rakyat semua kaum tidak boleh menyalahkan di antara satu dengan lain kerana kewujudan kaum yang berbilang itu adalah kewujudan ciptaan Tuhan yang Maha Esa. Menyalahkan keadaan itu serupalah menyalahkan Tuhan yang Maha Pencipta. Bukankah kita dicegah dari mengeluh dan murung dengan kejadian Tuhan ini? Jika kita akui hakikat ketuhanan ini, maka kita wajar berusaha untuk mengenali rakyat senegara yang terdiri dari semua kaum ini dan berusaha untuk menghormati dan hidup bersama-sama dengan aman dan berbaik sangka di antara satu dengan lain. Maka perjuangan untuk bersama-sama hidup dengan aman damai di antara kaum itu merupakan ibadah yang amat besar nilainya di sisi agama dan Tuhan. Usaha ini bukannya usaha yang mudah kerana politik perkauman yang dijaja oleh setengah pihak menyebabkan tidak dapat tidak kita terpaksa akui yang rakyat masih menyebelahi satu-satu tindakan politik berdasarkan perkauman. Walaupun pada zahiriahnya pimpinan UMNO bercakap lantang tentang perpaduan kaum tetapi bagi pengikut-pengikutnya ia tetap bermain dengan isu perkauman. Tindakan saya menyertai DAP awal tahun ini telah menyebabkan banyak komen-komen dari ahli-ahli UMNO dalam blog saya membidas saya kerana mereka tidak suka saya bersama DAP kerana DAP itu kata mereka adalah parti Cina. Banyak juga saya menerima e-mail yang membidas saya dan menganggap saya sebagai petualang kepada bangsa Melayu kerana saya menyertai parti yang mereka tuduh sebagai parti yang rasis Cina itu. Saya selalu menjawabnya dengan mudah. Saya perkatakan yang DAP sedang berusaha untuk menjadi parti multi-racial dan ia memakan masa untuk menjayakannya. Tetapi saya selalu memberitahu mereka dalam jawapan saya yang saya tidak akan lari dari berjuang untuk melihat DAP benar-benar sebagai parti yang multi-racial kerana itu adalah janii dan matlamat parti itu dan ia termaktub di dalam perlembagaan sebagai parti muli-racial. Saya percaya DAP tidak memungkiri janji-janji ini kerana memungkiri janji itu akan membuatkan rakyat khususnya orang bukan Cina tidak mempercayai parti itu pada masa yang akan datang. Saya bersetuju dengan setengah pendapat jika DAP masih lagi mahu menjadi parti untuk orang Cina sahaja maka parti yang selayaknya disokong oleh orang Cina ialah MCA kerana MCA sesungguhnya parti chauvinis Cina. Kalau benar-benar pemimpin-pemimpin kaum Cina mahukan sebuah parti khas untuk dominasi orang Cina maka MCA lah parti yang sesuai. Segala-galanya ini menjadi perhatian dan tumpuan rakyat terutamanya pengundi di atas pagar yang pada bila-bila masa boleh mengubah haluan dan patern pengundian dalam pilihanraya nanti. Bagi pengundi Melayu pula yang kini sedang bertambah-tambah menyokong DAP sekarang ini adalah disebabkan DAP telah menunjukan keinginannya menjadi sebuah parti multi racial dan jika mereka kedapatan yang janji-janji itu hanyalah janji-janji bohong untuk pilihanraya sahaja maka mereka lebih selesa untuk mengekalkan sokongan terhadap MCA yang sudah biasa dengan mereka. Saya begitu berkeyakinan DAP memahami isu ini dan ia bukannya satu isu yang kecil. Orang Melayu juga sedang serius berfikir maka itulah sebabnya ramai orang Melayu termasuk ahli-ahli UMNO sendiri sedang beralih sokongan mereka dan sedang memberikan harapan dan sokongan terhadap PAS. Fenomena penghijrahan orang Melayu dari UMNO kepada PAS memang satu fenomena yang jelas dan PAS dijangka akan mendapat sokongan yang besar dalam pilihanraya kali ini dari kaum Melayu. Itulah sebabnya kita hairan bagaimana Ketua Penerangan UMNO begitu yakin yang UMNO akan dapat merampas 20 kerusi dari Pakatan Rakyat kerana penghijrahan sokongan Melayu dari UMNO kepada PAS begitu menggalakkan dan sangat memberangsangkan. Saya telah memberikan banyak jawapan kepada persoalan ini kepada mereka yang masih was-was dengan usaha DAP itu melalui e-mail. Saya memahami yang sesiapa yang bertanya melalui e-mail dengan serius itu, adalah dari mereka yang benar-benar ingin melihat ada usaha yang bersungguh untuk menamatkan zaman politik yang dilandaskan kepada premis perkauman ini. Mana-mana pihak tidak boleh memandang ringan terhadap pandangan dan persepsi pengundi atas pagar ini kerana jumlahnya bukannya kecil. Kata perpatah, 'sekilas ikan di air kita tahu jantan betinanya'. Itulah sebabnya saya tidak henti-henti mengingatkan yang mana-mana pihak yang melakukan sedikit kesilapan dan boleh dibaca oleh ramai dengan mudah, maka pihak itulah yang akan kecundang di dalam pilihanraya ini. Perkara yang paling pokok ialah tidak ada pihak yang berbohong politik yang mudah dilihat. Rakyat sedang memerhati dengan begitu rapi dan kesilapan UMNO dahulu ialah kerana permainan politik kepimpinannya yang telah dapat dibaca oleh orang ramai dan hasilnya UMNO semakin hari semakin tidak diyakini lagi. Pilihanraya kali ini bukan seperti pilihanraya-pilihanraya yang lalu kerana ini merupakan ibu kepada semua pilihanraya. Rakyat berkehendakan perubahan dan kepada pihak yang mahu melakukan perubahan itu sendiri mesti melakukannya dengan jujur dan telus. Asas untuk melakukan perubahan itu semakin kuat. Terpulang kepada pihak yang ingin melaksanakan perubahan itu sahaja untuk menentukan kejayaannya. Jangan melakukan kesilapan dan jangan tunjukkan keghairahan yang keterlaluan untuk mendapatkan kuasa itu. Kesalahan bukan lagi kesalahan UMNO dan BN kerana BN telah memberikan ruang untuk Pakatan mengambil alih kuasa dengan tindakan parti pemerintah itu yang melakukan banyak kesilapan demi kesilapan setiap waktu dan masa. BN sekarang ibarat memberikan bola tanggung kepada pembangkang. Tetapi ada kalanya bola tanggung pun tidak dapat dimanfaatkan oleh pihak yang mendapatnya semata-mata kerana kesilapan dan kelalaian sendiri. Keghairahan untuk mengambil bola tanggung itu kadang kala membawa padah. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/ |
Goncang bayi sampai koma Posted: 26 Dec 2012 06:00 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] -
PADANG BESAR: Seorang bayi perempuan berusia 38 hari kini terlantar koma di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dipercayai akibat didera termasuk digoncang badannya dengan kuat oleh bapa kandungnya. Mangsa yang dikenali Sofia Juliana dimasukkan ke hospital itu jam 5 pagi Isnin lalu, selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri selepas diperlakukan dengan kasar termasuk ditepuk belakang badan dengan kuat oleh bapanya berusia 20-an.
Difahamkan, bayi itu diperlakukan sedemikian selepas bapanya berang kerana dia tidak berhenti menangis.
Datuk mangsa, Mahamud Hassan, 58, ketika menceritakan perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki terbabit berkata, dia juga percaya anak perempuannya yang juga ibu mangsa, Junita Mahamud, 23, turut dipukul suaminya jika dia cuba menghalang perbuatan mendera bayi mereka itu. Mahamud dari Jalan Padang Besar, dekat sini, berkata, dia diberitahu mengenai kejadian itu oleh abang Junita ketika berada di Songkhla, Thailand.
metro/-
|
Kereta Api Laju Beijing-Guangzhou mula beroperasi Posted: 26 Dec 2012 03:18 PM PST 13 Safar 1433H. [MOD] - Landasan kereta api laju terpanjang di dunia, landasan kereta api Beijing-Guangzhou yang jaraknya 2,298 kilometer mula beroperasi hari ini. Panjang keseluruhan landasan kereta api laju di China kini mencecah 9,300 kilometer. . BEIJING 26 Dis. - China hari ini melancarkan perkhidmatan kereta api laju di laluan terpanjang di dunia, dengan industri pengangkutan itu semakin berkembang tetapi sering berdepan dengan masalah.
Pembukaan laluan antara Beijing dan Guangzhou sejauh 2,298 kilometer akan membolehkan perjalanan antara kedua-dua bandar tersebut memakan masa hanya selama lapan jam berbanding 22 jam sebelum ini.
Badan penyiaran China Central Television melaporkan kereta api laju pertama bergerak pukul 9 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia) dari Stesen Kereta Api Beijing Barat.
Stesen televisyen berkenaan juga melaporkan secara langsung keadaan di dalam kereta api itu yang menunjukkan penumpang bergambar kenang-kenangan sempena pelancaran perkhidmatan kereta api laju tersebut.
Agensi berita Xinhua pula melaporkan sebuah lagi kereta api berlepas dari Guangzhou ke ibu negara ini kira-kira pukul 10 pagi.
Kereta api itu akan bergerak dengan kelajuan purata 300 kilometer sejam yang meliputi 35 hentian di bandar-bandar utama seperti Zhengzhou, Wuhan di Sungai Yangtze dan Changsha.
Media rasmi melaporkan hari ini dipilih bagi memulakan perkhidmatan kereta api laju Beijing-Guangzhou sempena tarikh kelahiran pemimpin China, Mao Zedong yang dilahirkan pada 1893.
Laluan Beijing-Guangzhou dilengkapkan dengan penyelesaian pembinaan laluan antara Zhengzhou dan Beijing kerana laluan Zhengzhou-Wuhan-Guangzhou sudah beroperasi.
Rangkaian kereta api laju China dibina pada 2007 namun menjadi industri paling berkembang pesat di dunia. Xinhua melaporkan, China kini mempunyai laluan kereta api laju sejauh 9,300 kilometer.
Akhbar rasmi, China Daily hari ini melaporkan, laluan perkhidmatan kereta api laju itu akan meliputi sejauh 50,000 kilometer menjelang 2020. - AFP
|