Penduduk Selayang Suarakan Kemarahan Kepada Syabas Posted: 15 Jan 2013 02:00 AM PST SELAYANG 15 JAN : Sebuah sesi dialog bagi menerangkan gangguan bekalan air di Selayang antara penduduk dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) gagal menenangkan kemarahan penduduk yang tidak dapat menerima alasan daripada syarikat itu.
Sesi yang berlangsung semalam memlihatkan penduduk di Selayang Jaya, Selayang Baru dan Selayang Height menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada wakil Syabas Eksekutif Kanan (Teknikal) cawangan Gombak, Rahmat Bidin.
Antara alasan yang diberikan Syabas berhubung masalah bekalan air yang telah berlangsung sejak enam bulan dahulu adalah pembekuan program Perbelanjaan Modal (Capex) oleh Kerajaan Negeri dan proses penukaran paip lama yang memakan masa. Gangguan bekalan menjadi lebih teruk beberapa minggu lalu, apabila paip lama di kawasan tersebut pecah. Seorang penduduk Fakaruddin Tahir yang mengadu tentang tekanan air di rumahnya yang terlalu tinggi, berkata wakil Syabas gagal memberi respons kepada aduannya. "Apa yang saya tanya, encik tak jawab," Fakaruddin dipetik berkata kepada tiga pegawai Syabas. Apabila ditemui selepas sesi itu, Fakaruddin mengulangi pendiriannya bahawa Syabas kurang prihatin terhadap masalah di kawasan Selayang. "Puncanya Syabas lambat bertindak bagi mengatasi masalah. Sekarang ini bila masalah timbul macam paip pecah, bermacam alasan diberinya," kata Fakaruddin. Bagi Loh Thiam Fook pula, Syabas gagal menggunakan dana yang telah diperuntukan kepada syarikat itu. "Saya pun tidak tahu apa dibuat Syabas sedangkan peruntukan geran RM 250 juta diberikan untuk kerja proses Air Tidak Berhasil (NRW). "Memang tidak patut Syabas tidak selesaikan masalah bekalan air ini," ujarnya. Sebelum itu, MP Selayang, William Leong Jee Keen memberitahu peserta sesi itu bahawa Kerajaan Persekutuan telah memberi geran RM 24 billion untuk kerja-kerja pengurusan industri air. "Syabas syarikat swasta yang membuat untung malah mereka diberikan peruntukan geran RM 24 billion oleh Kerajaan Persekutuan. William juga menyangkal dakwaan Syabas bahawa Kerajaan Negeri telah membekukan capex kepada Syabas. Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga membayar Syabas bagi setiap 20 meter padu air percuma bernilai RM 11.44 yang diberikan kepada rakyat. "Alasan paip lama 40 tahun juga tidak boleh diterima kerana kenapa sebelum 2008 bila mengambilalih urusan bekalan air masalah ini tidak diatasi," kata William. Ini sebagai respons kepada Rahmat yang berkata gangguan bekalan air berpunca daripada paip berusia hingga 40 tahun dan proses penukaran paip lama kepada baru yang memerlukan masa. "Kita juga memberikan keutamaan bagi penyelesaian ini mengikut kawasan dengan yang kritikal didahulukan. "Proses penukaran dan baikpulih ini sudah berjalan sejak 2007 bila Syabas mula mengambilalih operasi air pada 2005 bagaimanapun terpaksa dihentikan bila Kerajaan Negeri membekukan perbelanjaan modal pada 2008," katanya.
Sumber: Selangorku |
Loji Semenyih Kembali Beroperasi: Gangguan Bekalan Air Dijangka Tidak Serius Posted: 14 Jan 2013 11:55 PM PST Operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang dihentikan sementara pada 14 Januari lalu selepas dikesan terdapat bau minyak melebihi parameter yang dibenarkan telah kembali beroperasi seperti biasa bermula 8 malam tadi.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, loji rawatan berkenaan sudah mula membekalkan air terawat sebanyak 554.52 juta liter sehari (JLH) kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebaik saja beroperasi semula.
Hari ini, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang diurus operator air, Konsortium Abbas, mengeluarkan air bersih pada kadar 665 JLH hingga 670 JLH, walaupun mengikut reka bentuk hanya boleh mengeluarkan air sebanyak 545JLH.
Beliau berkata, penutupan sementara operasi loji itu selama enam jam akan menjejaskan bekalan air kepada pengguna di Subang, Puchong dan Sri Kembangan tetapi tidak seteruk seperti yang diramalkan oleh SYABAS.
"Loji Rawatan Air Sungai Semenyih telah beroperasi seperti biasa namun ia masih memerlukan masa untuk air terawat sampai kepada pengguna kerana sistem agihan air kepada pengguna adalah di bawah kawalan SYABAS sepenuhnya sebagai operator tunggal agihan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Justeru, SYABAS perlu memastikan mekanisma agihan air terawat kepada pengguna berjalan lancar untuk mengelak gangguan bekalan air yang serius," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.
Abdul Khalid berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAIS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melawat kawasan yang tercemar itu dan akan menghantar laporan untuk tindakan lanjut.
Menteri Besar berkata, Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor mempunyai data-data bekalan air dengan terperinci tanpa perlu bergantung kepada SYABAS untuk membekalkan maklumat-maklumat ini.
Beliau berkata, ini membuktikan kerajaan Selangor telah bersedia dan berkemampuan untuk mengambilalih operasi air daripada syarikat konsesi walaupun belum mendapat persetujuan kerajaan Persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar menegaskan gangguan bekalan air di Lembah Klang tiada kaitan langsung dengan pembinaan Loji Langat 2 sebaliknya ia berpunca kelemahan SYABAS yang dilanda krisis pengurusan.
Katanya, SYABAS sebuah syarikat yang diberi konsesi selama 30 tahun oleh Barisan Nasional untuk memonopoli agihan air terawat kepada pengguna di Lembah Klang tetapi syarikat ini tidak mempunyai kemampuan kewangan serta gagal mematuhi perjanjian konsesi.
Katanya, SYABAS gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) di bawah 30 peratus seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi. Justeru, masalah kekurangan air terawat tidak akan selesai walaupun Langat 2 dibina kerana ketidakmampuan SYABAS menurunkan kadar NRW.
"Masalah air di Lembah Klang hanya akan selesai sekiranya kerajaan Persekutuan memberi kerjasama dengan membenarkan kerajaan Selangor mengambilalih operasi air daripada konsesi.
"Namun, cadangan pengambilalihan ini tidak disokong kerajaan Persekutuan walaupun pengambilalihan operasi air oleh kerajaan-kerajaan negeri terkandung dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 yang diluluskan Barisan Nasional sendiri," katanya.
Menteri Besar juga mengulangi ingatan supaya pemimpin Barisan Nasional termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak berpolitik secara matang dengan tidak menggunakan isu air untuk mengugut rakyat Selangor supaya menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Dikeluarkan oleh SEKRETARIAT AKHBAR PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR |
Pelaburan KWSP & KWAP Dalam FGV Dipersoalkan Posted: 14 Jan 2013 11:53 PM PST KWSP dan KWAP adalah dana pencen negara kepunyaan penyumbang dan penjawat awam. Tujuan utama dana ini adalah untuk menyediakan simpanan persaraan yang cukup untuk mereka. Oleh itu, kerajaan dan pengurus-pengurus dana mempunyi satu tanggungjawab dan amanah yang tinggi menjaga pelaburan mereka.
Dalam kes pelaburan saham Felda Global Venture Holding Berhad ("FGV") saham oleh KWSP dan KWAP, KEADILAN berpendapat bahawa kedua-dua KWSP dan KWAP perlu membuat lebih banyak penjelasan. Seawal 9 Ogos 2012, pandangan majoriti besar penganalisis saham telah bertukar daripada positif kepada negatif terhadap saham FGV, dan rekomendasi membeli saham ini lesap hilang. Dari tarikh itu kepada 4 Januari 2013, walaupun pandangan terhadap FGV memang negatif dan harga saham itu jatuh mendadak, KWSP terus membeli saham dari pasaran. KWSP menambah lagi 46 juta saham kepada portfolionya. Bagi tempoh yang sama KWAP menambah lagi 10 juta saham. Tingkah laku pembelian KWSP dan KWAP adalah amat bertentangan (contrarian). Tingkah laku sedemikian tidak patut diamalkan oleh sesebuah dana pencen.
Di samping itu, pada keseluruhannya pembelian mereka dalam pasaran terbuka dari 29 Jun 2012 hingga 4 Januari 2013, telah menelan anggaran belanja sebanyak RM455 juta (KWSP) dan RM305 juta (KWAP). Pembelian ini telah mengakibatkan kerugian kertas anggaran RM40m untuk KWSP dan RM35m untuk KWAP.
KEADILAN percaya bahawa penyumbang KWSP dan penjawat awam mempunyai hak untuk mengetahui sama ada pembelian saham FGV, (yang sebahagian besar bertentangan dengan pandangan penganalisis dan pasaran) bermotifkan politik.
Oleh itu KEADILAN menuntut KWSP dan KWAP menjawab soalan ini: pernahkah badan anda menerima apa-apa arahan yang tersurat atau tersirat daripada kerajaan atau mana-mana ahli-ahli politik untuk membeli dan menyokong harga saham FGV.
Berikut adalah repot kad semasa: KWSP • Pada penyenaraian FGV, KWSP mempunyai 185 juta saham yang diperuntukkan. • Dari 29 Jun, 2012 hingga 4 Januari 2013, KWSP menambah 90 juta saham FGV, membelanjakan kira-kira RM455 juta. • Ini adalah satu peningkatan yang amat besar sebanyak 46% daripada saham peruntukkan. • 90juta saham telah dibeli pada anggaran harga purata berwajaran RM5.05 se-saham. • Pada harga saham semasa RM4.60, aktiviti jual beli saham selama enam bulan telah anggaran kerugian kertas RM40 juta.
KWAP • Pada penyenaraian FGV, KWAP mempunyai 194 juta saham yang diperuntukkan. • Dari 29 Jun, 2012 hingga 4 Januari 2013, KWAP menambahkan saham FGV sebanyak 59 juta, membelanjakan kira-kira RM305 juta. • Ini adalah peningkatan yang ketara sebanyak 35% daripada saham peruntukkan. • 59 juta saham telah dibeli pada anggaran harga purata berwajaran RM5.19 se-saham. • Pada harga semasa RM4.60, aktiviti jual beli saham selama enam bukan telah menyebabkan anggaran kerugian kertas RM35 juta.
Saham FGV, masa depan yang gelap:
Kes Senario Pangkal (Base case scenario)? Harga purata saham penganalisis untuk FGV adalah RM4.19. Jika saham FGV jatuh ke tahap itu, KWSP dan KWAP akan menimpa anggaran kerugian kertas RM146m (KWSP) dan RM129m (KWAP).
Kes Senario Paling Teruk (Worst case scenario)? Jika harga turun kepada sasaran Alliance Research iatu pada harga RM3.53 (kedua terendah antara 12 analisis terkini mengenai saham FGV), KWSP dan KWAP akan menimpa anggaran kerugian kertas RM327m (KWSP) dan RM295m (KWAP).
Wong Chen Biro Pelaburan & Perdagangan PKR 11 Januari 2013 |
Masalah Air Di Selangor Adalah Sabotaj Politik, KEADILAN Akan Saman Syabas/Puncak Niaga Holdings Berhad Posted: 14 Jan 2013 11:00 PM PST Pengumuman Tan Sri Rozalli Ismail, Pengerusi Eksekutif Syabas/Puncak Niaga Holdings Berhad bahawa masalah bekalan air akan berlanjutan sehingga ke Tahun Baru Cina adalah bukti kegagalan projek-projek penswastaan Umno/Barisan Nasional kepada kroni yang akhirnya menyusahkan rakyat. Penjelasan yang diberikan bahawa oleh beliau yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan kelangsungan bekalan air di Lembah Klang adalah tidak masuk akal, seperti berikut: 1. Kerosakan pam air di rumah pam Wangsa Maju – Kegagalan Syabas memastikan dua pam simpanan (spare pumps) berfungsi dan berada dalam keadaan yang baik sudah tentu melanggar segala prosedur dan amalan terbaik industri (industry's best practices). Maklumat yang diterima bahawa keempat-empat pam di Wangsa Maju telah pun rosak buat beberapa ketika dan tiada tindakan berkesan yang diambil oleh Syabas membuktikan kecuaian dan kegagalan Syabas; 2. Tidak cukup bekalan air terawat (treat water) – Alasan Syabas yang cuba mempolitikkan perkara ini dengan menuding jari kepada Kerajaan Selangor tidak boleh diterima akal apabila Syabas berjaya pula mendapatkan bekalan air terawat yang dihantar melalui lori-lori. Oleh sebab itu, saya yakin bahawa ini permainan politik Umno yang direstui Dato' Seri Najib Tun Razak kerana mereka beranggapan satu-satunya jalan untuk mendapat undi dan memenangi Selangor adalah dengan menyusahkan hidup rakyat. Hayat politik Dato' Seri Najib sendiri bergantung kepada kemenangan Selangor. Tanpa Selangor, hampir sudah pasti pimpinan Umno akan menggulingkan beliau sebelum atau selepas pilihanraya umum yang akan datang. Sebab itu, dalam keterdesakan begitu, Umno yang direstui Dato' Seri Najib mengambil keputusan mensabotaj bekalan air di Selangor untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Justeru, sebagai pimpinan yang dipertanggungjawabkan bersama-sama dengan penduduk di Pandan, saya beranggapan sabotaj politik Umno ini diselesaikan secara politik jua. Saya telah diarahkan untuk memberi sepenuh perhatian dalam tempoh terdekat ini untuk berhadapan dengan sabotaj politik yang melibatkan Umno dan Syabas ini supaya masalah bekalan air dapat diselesaikan segera. Berikut adalah tindakan-tindakan yang akan diambil segera untuk berhadapan dengan sabotaj politik Umno dan Syabas: 1. KEADILAN dan PAS telah menubuhkan Skuad Air di setiap kawasan yang terkesan dengan masalah ini. Tumpuan skuad ini adalah untuk meringankan beban penduduk yang terpaksa mengangkut air dengan menyediakan kemudahan pam agar air boleh dihantar terus ke tingkat masing-masing. Operasi ini telah berjalan di bawah pimpinan YB Iskandar Abdul Samad dan seluruh jentera Pakatan Rakyat akan digerakkan untuk membantu penduduk 2. KEADILAN akan mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli pam-pam air untuk dibekalkan ke kawasan-kawasan yang diperlukan 3. Rundingan dengan pihak Syabas dan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan untuk mendapat komitmen supaya bekalan air melalui lori-lori yang dihantar adalah mencukupi dan mengikut jadual tetap 4. Satu kumpulan pakar yang pernah terlibat merancang dan membangunkan sistem air di Lembah Klang akan ditubuhkan secara sukarela untuk mengkaji aspek teknikal dan menjawab tuduhan-tuduhan Syabas 5. Kempen penerangan di seluruh kawasan terbabit akan dijalankan serentak untuk memaklumkan kepada penduduk bahawa dalang sebenar masalah ini adalah Umno dan Syabas
Lebih penting, masalah ini perlu ada penyelesaian politik supaya ia tidak berulang lagi. Oleh yang demikian, KEADILAN telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan peguam untuk menyaman Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad dalam masa terdekat atas kegagalan menguruskan khidmat air akibat kecuaian, seperti yang diperuntukkan oleh perjanjian konsesi. Mulai hari ini, KEADILAN akan mengumpul seberapa ramai penduduk, peniaga dan pihak yang ingin menuntut pampasan dari Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad untuk turut bersama dengan tindakan menyaman Syabas ini. Sementara menunggu tindakan mahkamah ini berjalan, KEADILAN juga akan menggerakkan Kempen Potong Gaji Rozalli Ismail di atas kegagalan beliau menguruskan Syabas sehingga menyusahkan rakyat. Mengikut Laporan Tahunan Puncak Niaga Holdings Berhad bagi tahun berakhir 31 Disember 2011, pengarah-pengarah eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad menerima pakej gaji sebanyak RM17.25 juta setahun: KEADILAN menuntut supaya RM10 juta dari gaji ini dipotong serta-merta dan disumbangkan ke satu tabung untuk memberi pampasan segera kepada penduduk yang terlibat. Satu demonstrasi menuntut potongan gaji ini akan diadakan di hadapan ibu pejabat Syabas di Shah Alam pada hari Rabu, 16 Januari ini jam 2 petang. RAFIZI RAMLI PENGARAH STRATEGI KEADILAN 11 JANUARI 2013 |
349,000 Pengguna di Lima Lagi Kawasan Alami Gangguan Bekalan Air Posted: 14 Jan 2013 05:45 PM PST Belumpun reda kejadian gangguan bekalan air ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu, Syabas mengumumkan gangguan bekalan air tidak berjadual di lima kawasan lain yang disebabkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihentikan operasinya berikutan pencemaran di sungai itu. Ketua Pegawai Operasi Syabas Datuk Ir Lee Miang Koi berkata kawasan terlibat ialah Petaling membabitkan 118,000 akaun, Hulu Langat (125,000), Sepang (65,000), Klang (19,000) dan Kuala Langat (22,000). "Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang diurus oleh operator loji, Syarikat Konsortium Abass, terpaksa dihentikan operasi sekitar pukul 1.30 tengah hari tadi kerana mengesyaki berlaku pencemaran minyak kelapa sawit di Sungai Semenyih. "Pada masa ini, Syabas sedang mengenal pasti kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan ekoran langkah menghentikan operasi loji itu," katanya dalam satu kenyataan semalam. Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna supaya mengurangkan penggunaan air selain menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh gangguan. Lee berkata Syabas juga telah menghantar surat kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk mendapatkan kerjasama dalam menyediakan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik memandangkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih diurus oleh kerajaan negeri. Beliau berkata kerjasama itu juga perlu kerana aset Syabas masih terikat dengan insiden gangguan bekalan air yang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju. "Memandangkan sumber dan kualiti air mentah adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Seangor (LUAS), maka adalah wajar untuk Syabas mendapatkan kerjasama ini," katanya.
Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 24 jam 1800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL aduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222 selain menggunakan laman Twitter dan Facebook yang disediakan. Sumber: Bernama |
MB: Najib Takut Selangor Urus Air Lebih Baik Posted: 14 Jan 2013 01:45 AM PST SHAH ALAM 14 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak didakwa sengaja tidak mahu serahkan pengurusan perkhidmatan air kepada Selangor kerana bimbang Kerajaan Negeri akan lebih cekap dan kos efektif.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kecekapan Kerajaan Negeri akan membuktikan kegagalan Kerajaan Umno-BN dalam menguruskan utiliti penting ini.
Abdul Khalid berkata, catuan air yang dicadangkan pada Julai tahun lepas oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) adalah meragukan.
"(Kita) tidak menolak kemungkinan ia sengaja dilakukan untuk menyusahkan rakyat dan menanam sikap tidak puas hati terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat (PR). "Umno-BN lebih rela membela syarikat kroni konsesi yang ternyata gagal dan cuai dalam mengurus perkhidmatan air daripada memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri untuk mengambilalih pengurusan perkhidmatan air," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Syabas kini berdepan dengan krisis pengurusan yang boleh membawa masalah besar kepada rakyat jika konsesi ini terus dibenarkan menguruskan air di kawasan Lembah Klang. Malah, Najib sepatutnya sepatutnya bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri demi memastikan perkara ini tidak berulang. Sebaliknya, beliau (Najib) telah mengugut bahawa rakyat Selangor akan terus berhadapan dengan masalah air jika tidak menyokong Umno-BN dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang. Dalam pada itu, rakyat Selangor akan dimaklumkan mengenai maklumat terkini usaha Kerajaan Negeri untuk membantu memulihkan bekalan air bagi kawasan Lembah Klang di beberapa akhbar utama pelbagai bahasa mulai esok. Maklumat itu bagi membolehkan orang ramai mengetahui langkah yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk memulihkan bekalan air kepada lebih 28,000 pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur yang terjejas sejak awal tahun ini. Ini adalah hasil pemantauan dan pertemuan harian Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor dengan Syabas, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor dan pihak-pihak lain yang terlibat. Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi juga telah memantau Syabas setiap hari tentang pelan tindakan dan pemulihan air di beberapa kawasan yang terjejas.
Sumber: Selangorku |
KDEB Sangkal Dakwaan Ahli Akademik Selangor Boleh Kawal Syabas Posted: 14 Jan 2013 01:30 AM PST SHAH ALAM 14 JAN: Pengaruh Kerajaan Selangor di dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terhad kepada perwakilan dalam lembaga pengarah sahaja syarikat itu sahaja dan bukan di dalam operasi harian Syabas.
Ini dapat dilihat apabila pada Julai tahun lepas, Syabas mencadangkan catuan air di seluruh Lembah Klang dan Selangor tanpa persetujuan dan pengetahuan Kerajaan Selangor, kata Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
KDEB adalah sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang memiliki pegangan saham 30 peratus di dalam Syabas.
Dalam satu kenyataan hari ini, presiden KDEB Suhaimi Kamaralzaman membidas dakwaan seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), bahawa Kerajaan Negeri cuba menutup kelemahannya menangani isu air. Pensyarah itu, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri mendakwa Syabas dibawah kendalian kerajaan negeri dan Selangor cuba menutup fakta seolah-olah ia tidak mempunyai kepentingan di dalam Syabas. Suhaimi berkata, kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan harian, peralatan dan sistem pengagihan bekalan air dilaksanakan oleh pengurusan Syabas yang telah dilantik oleh pemegang saham majoriti iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad. "Pengaruh Kerajaan Negeri terhad dalam pengurusan Syabas boleh terlihat apabila pengurusan Syabas mencadangkan pencatuan air pada bulan Julai 2012 yang telah diputuskan oleh pengurusan Syabas tanpa merujuk Lembaga Pengarah terlebih dahulu," jelas Suhaimi. Kuasa terhad Kerajaan Selangor di dalam Syabas adalah antara sebab ia mahu mengambilalih industri air daripada Syabas kerana mendakwa syarikat itu gagal melaksanakan tugasnya sebagai syarikat pengedar air terawat di Selangor. Ini dibuktikan apabila lima pam air di rumah pam Wangsa Maju rosak akibat tidak diselenggara dengan sempurna sejak awal tahun lepas dan menyebabkan lebih 500,000 penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air. Dalam pada itu, wakil Kerajaan Negeri dalam lembaga pengarah Syabas akan menuntut penjelasan daripada pengurusan Syabas serta pelan tindakan untuk penyelenggaraan sempurna bagi mencegah kejadian seperti itu berulang. Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi juga telah memantau Syabas setiap hari terutamanya bagi pelan tindakan dan pemulihan air. Jawatankuasa tersebut dan juga wakil KDEB juga telah meminta penjelasan daripada Syabas mengenai kegagalan dan penyelesaian jangka pendek dan panjang mengenai isu ini. "Mereka ini telah dipertanggungjawabkan bagi mempastikan semua pelan tindakan dilaksanakan dengan pantas dan efisien," kata Suhaimi lagi.
Sumber: Selangorku |
MB : Najib Cuba Bela Kroni Dalam Masalah Air Selangor Posted: 14 Jan 2013 01:15 AM PST BATANG LUPAR, 14 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa cuba melindungi kroninya dengan terus menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor berhubung gangguan bekalan air di Ampang, Cheras dan Gombak sejak dua minggu lalu.
Mengulas perkara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk membantu membekalkan air terawat kepada rakyat di Selangor.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga tidak pernah melengahkan permohonan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) membina rumah pam baru bagi menyalurkan air kepada penduduk di ketiga-tiga kawasan tersebut.
"Apa yang dikatakan Najib itu tiada kena mengena dengan gangguan bekalan air yang berlaku sekarang. Najib boleh jadi kurang faham tentang keadaan ini kerana Najib ingin membantu kroninya. "Tan Sri Rozali Ismail ialah kroni Najib. Jadi bermakna, kalau kroninya buat salah, Najib tidak akan kata dia salah. "Najib sanggup menyalahkan rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor demi mempertahankan kroni," katanya semasa mengadakan lawatan kerja di Sarawak petang tadi. Gangguan bekalan air itu melibatkan 500,000 penduduk di tiga kawasan itu yang terpaksa mendapatkan air untuk tugas harian daripada lori air Syabas. Syabas berkata masalah gangguan itu mungkin akan berlarutan sehingga tahun baru Cina. Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mencabar Najib untuk melihat sendiri bekalan air di Selangor dengan memanggil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bertanggungjawab mengelola perkhidmatan air. Abdul Khalid berkata, Najib juga gagal menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri secara profesional apabila masih menuding jari kepada Kerajaan Negeri. "Rakyat tidak mahu lagi kroni, rakyat tidak mahu rasuah, rakyat tidak mahu Umno-BN terus membodohkan rakyat," katanya lagi. Pada Sabtu lalu, Najib mendakwa masalah bekalan air di Selangor semakin meruncing ekoran keengganan Kerajaan Negeri memberi kelulusan untuk membina stesen pam tambahan dan tidak memberi 'development order' kepada Kerajaan Pusat. Sebelum ini, Najib mendakwa Kerajaan Selangor suka menunding jadi dan menyalahkan pihak lain berhubung krisis air yang berlaku di Selangor.
Sumber: Selangorku |
PR Selangor Tunaikan Janji, Bina Rumah Panjang Di Sarawak Posted: 14 Jan 2013 01:15 AM PST SARATOK, 14 JAN : Keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dalam membela nasib rakyat benar-benar terbukti apabila tidak hanya membantu penduduk di Selangor, malah menabur bakti di daerah Saratok, Sarawak.
Terbaru, Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunaikan janji untuk membina rumah panjang baru bagi lebih 200 penduduk di Sungai Jirak, di sini.
Rumah mereka hangus dalam kebakaran dua tahun lalu.
Lebih lagi, PR Selangor boleh menyumbang tiga kali ganda daripada apa yang ditawarkan oleh Kerajaan Umno-BN yang hanya mahu menyumbang RM 12,000 sahaja kepada penduduk di situ. Rumah panjang yang dikenali sebagai Rumah Unding itu memiliki 20 buah "pintu" atau dan dibiayai Kerajaan Selangor dengan nilai RM360,000. Adun Krian, Ali Biju dalam ucapannya berkata, janji untuk membina semula rumah panjang itu mula disuarakan Exco Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar semasa tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada April 2011. "Dengan pertolongan Kerajaan Negeri Selangor, rumah panjang Unding ini dapat disiapkan dalam tempoh singkat. "Semasa Dr Xavier turun padang untuk membantu Pakatan Rakyat berkempen, tiada siapa yang percaya pada kata-kata beliau. "Namun, ternyata ia bukan janji kosong. Dengan terbinanya rumah ini, maka ia membuktikan keikhlasan dan kejujuran Pakatan Rakyat untuk membantu rakyat di Ulu Kerian, Saratok di sini," katanya semasa menghadiri Majlis Perasmian Rumah Unding, di sini. Majlis itu dirasmikan sendiri oleh Menteri Besar Selangor dan turut dihadiri Dr Xavier yang merupakan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin. Tambah Ali, rumah panjang itu dibina hasil gotong royong oleh penduduk setempat secara berperingkat tanpa menggunakan khidmat kontraktor. Menurutnya, peruntukan Kerajaan Negeri Selangor itu juga jauh lebih baik berbanding apa yang ditawarkan Kerajaan Persekutuan. "Kerajaan Pusat tawarkan bantuan RM 12,000 untuk membina rumah-rumah panjang di sini. "Dengan nilai itu, apa yang boleh rakyat dapat? Bayaran kontraktor sahaja sudah mahal. "Sudah tentu rumah yang dibina nanti tidak mampu untuk menampung ramai keluarga," katanya lagi.
Sumber: Selangorku |