TINGKATKAN AMAL IBADAT MENUJU KEREDHAAN ALLAH - PJ PERAK Posted: 31 Jul 2011 08:09 AM PDT Semoga Ramadhan tahun ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya, InsyAAllah dengan bantuan Allah SWT, PAS Perak akan memimpin rakyat Perak kearah keredhaan Allah SWT. |
KESILAPAN KERAP MUSLIM PADA BULAN RAMADHAN Posted: 31 Jul 2011 02:08 AM PDT
Oleh Ust. Dr. Hj. Zaharuddin Bin Hj. Abd Rahman
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.
5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa . Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.
6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih . Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah . Malanglah mereka kerana setiap amalan dikira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.
9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang dicadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)
11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Semoga kita semua diberi kesempatan menyambut Ramadhan...amin |
USIA NAJIB SEBAGAI PM AKAN BERAKHIR - SALAHUDDIN Posted: 31 Jul 2011 01:42 AM PDT
SHAH ALAM, 31 Julai: Perkembangan politik yang berlaku mutakhir menampakkan usia Najib sebagai Perdana Menteri dari BN bakal berakhir dalam masa terdekat.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, antara faktor paling ketara adalah bagaimana Najib dibiarkan menerima kesan negatif ekoran kegagalan beliau menangani isu Bersih 2.0 dengan baik.
Salahuddin menyatakan bacaan politik ini melalui ucapan dalam Majlis Ceramah Istiqbal Ramadhan di Markas PAS Seksyen 18, dekat sini malam tadi.
Pada sebelah siang, program menjual 500 batang lemang diketuai Ketua PAS cawangan, Haji Halim Omar telah berjaya mengisi dana Ramadhan sebanyak RM6000.
Menjelaskan isu Najib, Salahuddin berkata, amat malang sebagai seorang perdana menteri apabila beliau gagal menunjukkan sikap negarawannya berhubung isu demontrasi dan tuntutan Bersih.
Katanya, sewajarnya sebagai seorang perdana menteri, beliau boleh mengatasi isu ini dengan mudah sahaja kerana tuntutan Bersih hanya lapan sahaja, bukan lapan ratus atau lapan ribu.
Namun Najib mengambil sikap untuk berhadapan dengan rakyat sendiri menerusi cara keganasan seperti mana yang dirakamkan oleh berbagai media alternatif.
"Malah saya beranggapan isu tidak perlu tunaikan tuntutan Bersih ini sengaja dicipta oleh pihak dalaman Umno sendiri yang ingin menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri kerana mereka sudah bosan dengan tingkah laku beliau mutakhir.
"Apatah lagi dengan sikap isteri beliau yang sangat berlawanan dengan apa yang ditunjukkan oleh semua isteri perdana menteri sebelum ini.
"Jika Muhyiddin pernah sebutkan agar Pak Lah berhenti sebagai perdana menteri dalam mesyuarat tertinggi Umno, tidak mustahil sekali lagi beliau akan berbuat demikian kepada Najib," tegas Salahuddin.
Menurutnya, terdapat banyak pihak di dalam Umno yang tidak berpuas hati dengan tingkah laku pasangan itu dalam membawa diri sebagai perdana menteri dan isteri.
Lebih-lebih lagi, bila munculnya isu cincin berharga RM24 juta, beg tangan RM1 juta dan sikap isterinya dalam membeli belah ketika di luar negara, meskipun diragui kebenarannya, tetapi ramai orang Umno yang tidak suka.
Meskipun perkara ini dinafikan oleh Najib, persoalan yang timbul sekarang, kenapa beliau terus melakukan lawatan ke negeri-negeri yang didahuluikan dengan membatalkan cuti di luar negara.
"Saya melihat ada sesuatu yang sedang dibimbangi Najib sehingga beliau terpaksa turun ke negeri-negeri sekarang bagi melihat dan memastikan tahap sokongan kepadanya kembali pulih.
"Jika beliau sendiri menghadapi masalah dalaman dalam parti sendiri, bagaimana mungkin beliau akan terus mampu menjadi seorang pemimpin negara yang baik dan berkesan," soal Salahuddin.(harakahdaily) |
E06 : TAK PERLU UCAP TERIMA KASIH Posted: 30 Jul 2011 07:26 PM PDT
KUALA LUMPUR, 30 Julai: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menegaskan bahawa tidak perlu untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana membebaskan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berita yang menyatakan bahawa pihak polis membebaskan 6 aktivis PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO).
"Kita mengalu-alukan pembebasan tersebut tetapi tak perlu kita ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana penahanan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan yang memberikan jaminan hak kebebasan kepada rakyat," tambah beliau yang juga Adun Manir.
Kata beliau, nampaknya kerajaan sedar dan terpaksa akur terhadap kesalahan mereka dan akhirnya terpaksa membebaskan aktivis tersebut.
Beliau berkata, aktivis tersebut mempunyai haknya yang dijamin oleh Perlembagaan dan kerajaan tidak berhak merampas hak tersebut.(harakahdaily) |