Nelayan Pengerang fail saman ke atas k'jaan Johor Posted: 05 Apr 2012 01:50 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - Seramai 578 nelayan bot kecil dari 10 kampung di perairan pantai Pengerang, Kota Tinggi, hari ini memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi atas kerja penambakan laut berhubung projek pembinaan Terminal Petroleum Laut Dalam di kawasan perairan berkenaan. Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan melalui peguam Mohd Shujaa Halim daripada firma guaman Tetuan Shujaa Mazri & Co di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi, Menara MSC Cyberport, di Johor Bahru. Mohd Shujaa yang ditemui pemberita berkata tiga defendan yang dinamakan dalam tuntutan itu ialah Pengerang Independent Terminal Sdn Bhd, Dialog E&L Sdn Bhd dan Kerajaan Negeri Johor. Dalam pernyataan tuntutan itu, kesemua nelayan terbabit memohon ganti rugi RM500,000 setiap seorang kerana kehilangan pendapatan. Mereka turut memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan pertama dan kedua daripada meneruskan kerja sehingga tuntutan diberikan atau setelah perintah ganti rugi yang wajar diberikan. Terdahulu, sebahagian daripada nelayan berkenaan berhimpun secara aman di pekarangan menara itu sebelum proses penyerahan writ saman dan pernyataan tuntutan berkenaan. - Bernama |
Bersih 3.0: SPR tidak perlu rasa gelisah Posted: 05 Apr 2012 01:42 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 5 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Datuk Wan Ahmad Wan Omar supaya jangan panik dengan pengumuman Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk menganjurkan perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April 2012. Bagi Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor, kenyataan Wan Ahmad yang menyifatkan perhimpunan itu sebagai tindakan terburu-buru menunjukkan 'kegelisahan beliau dalam melindungi sesuatu'. Sepatutnya, kata beliau Wan Ahmad tidak perlu mengulas Himpunan Bersih 3.0 kerana itu bukan kerjanya. "Tugas utama beliau, adalah memastikan perjalanan pilihnraya berlangsung dengan adil dan bersih. Beliau tidak perlu bertindak bagi pihak Perdana Menteri atau kerajaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan. Riduan menambah, yang perlu mengulas isu himpunan Bersih 3.0 adalah kerajaan, sama ada Perdana Menteri, menteri terbabit atau pihak polis. Justeru, katanya kenyataan Wan Ahmad menyerlahkan lagi tahap kecondongannya kepada satu pihak. Beliau menambah, Wan Ahmad tidak perlu merasa cemas kerana himpunan Bersih 3.0 adalah perhimpunan aman. "Tujuannnya adalah untuk mengingatkan kerajaan dan SPR agar berlaku adil dalam PRU ke 13. Jangan menipu, jangan menyeleweng, jangan main wayang atau 'silap mata'," ujarnya. Justeru, ujarnya SPR jangan bimbang kerana hasil himpunan itu rakyat sendiri akan memerhati setiap pergerakan SPR mahupun kerajaan dalam PRU13 dan setiap penipuan pasti akan dapat dihidu dan dibongkarkan. Ini, ujar beliau kerana sudah banyak hints oleh banyak pihak sebagai gambaran PRU13 adalah pilihan raya yang paling kotor dan rakyat tidak bersedia mendengarnya. "Justeru, jika SPR yakin tidak ada unsur penipuan selama ini apa yang hendak ditakutkan," katanya. Beliau berkata, SPR patut ucap terima kasih kerana rakyat membantu melicinkan lagi usaha SPR mahu membersihkan sistem pilihan raya. Jelasnya, Bersih 3.0 juga membantu PSC dalam mendesak kerajaan mempercepatkan pembersihan pilihan raya, hanya dibimbangi rakyat usul PSC tidak sempat dilaksanakan kerana Perdana Menteri membubarkan parlimen mengikut hati beliau. Menurutnya, himpunan Bersih 3.0 juga adalah sebagai 'loceng amaran' kepada rakyat supaya bersedia menghadapai PRU13 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa. Katanya, himpunan Bersih 3.0 akan mengingatkan rakyat supaya mengosongkan tarikh pada 2 bulan terakhir ini (Mei dan Jun) agar jangan menyusun jadual ke luar negara. "Memandangkan Perdana Menteri tidak mahu mengumumkan tarikh awal pilihanraya, rakyat hidup dalam keadaan teraba-raba. "Justeru, Bersih 3.0 terpaksa diadakan bagi membina momentum rakyat menghadapi PRU13," katanya lagi. Harakah Daily |
Dr Rani: J/K Khas Sebagai Agen Kepada Jais Posted: 05 Apr 2012 01:30 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - Penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji kekuatan dan kemampuan khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam menyelesaikan konflik umat Islam termasuk isu murtad disifatkan sebagai cara terbaik untuk menangani masalah itu secara efektif. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri itu akan bertindak sebagai agen untuk memberi maklumat kepada Jais sebelum dipanjangkan kepada Majlis Agama Islam (Mais) sekiranya berlaku sebarang masalah akidah di kalangan umat Islam. Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu juga bukanlah kerana mempertikaikan kredibiliti Jais dalam menangani isu umat Islam di Selangor, sebaliknya ia bertujuan memberi penambahbaikan kepada jabatan itu untuk membela martabat Islam. "Saya berpandangan bahawa jawatankuasa ini adalah sebagai satu jalinan kerjasama bersama Jais dan Mais memandangkan kes akidah di kalangan umat Islam sekarang bertambah serius. Tidak hanya isu murtad, sebaliknya kes gejala sosial dan rasuah yang berlaku di kalangan masyarakat hari ini juga adalah disebabkan kurangnya pengetahuan atau pendedahan mengenai ajaran Islam. Jawatankuasa ini dibentuk bukanlah kerana meragui Jais tidak boleh buat kerja, tetapi ia hanya sebagai agen untuk bersama-sama membantu menangani isu akidah Islam," tegasnya. Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Husin, Pengarah Penguatkuasa Jais, Mohd Rais Rashid, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman serta dibantu dua pegawai undang-undang dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Jais. Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, anggota jawatankuasa yang dipilih ini bukan sahaja akan menilai kemampuan Jais, tetapi juga akan merangka mekanisma dan kaedah bagi memantapkan lagi peranan jabatan dalam mencari penyelesaian berkesan dan holistik. Sementara itu, ketika ditanya tentang pendedahan video murtad oleh bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kelmarin, Dr Rani menegaskan, isu berkenaan seharusnya dipantau pihak berkuasa sejak dulu lagi memandangkan ia adalah perkara serius. Jelasnya, isu murtad telah lama berlaku dan bukannya selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pemertintahan di Selangor pada 2008 seperti yang didakwa. "Isu ini sangat serius dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutama umat Islam termasuk ahli PAS, Keadilan (PKR) dan Umno-Barisan Nasional (BN) sendiri. Video yang ditunjukkan oleh Adun Gombak Setia (Hasan) itu dikatakan berlaku sekitar tahun 2002. Kenapa baru sekarang hendak didedahkan? Secara tak langsung, ia telah mempertikaikan tanggungjawab Hasan sebagai Exco Hal Ehwal Agama sebelum ini. Saya berharap, mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengenai isu murtad, tidak perlulah menunggu lama sebaliknya tampilkan bukti itu dengan segera kepada Mais, Jais atau pihak Kementerian. Jangan salahkan mana-mana pihak," jelas beliau lagi. selangorku/- |
Mahfuz pertahan dakwaan 'task force' wujud Posted: 05 Apr 2012 01:26 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 5 April: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan dakwaanya wujud task force dalam masa yang sama beliau bersedia mendedahkan butiran terperinci kepada Suruhanjaya Diraja nanti. Beliau juga bersedia membantu Suruhanjaya Diraja yang akan dibentuk untuk meneliti semua dakwaannya berhubung wujudnya 'task force' untuk memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti. Bahkan beliau sudah menjangka akan ada penafian oleh individu-individu yang dinamakannya semalam, antaranya Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar. "Saya sudah menjangka mereka yang saya sebut semalam akan menafikan. Penafian mereka membuktikan dakwaan saya benar. Mereka boleh menafikan, biar Suruhanjaya Diraja menjawab," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen. Hari ini, Wan Ahmad Wan Omar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Mahfuz, bahawa beliau terlibat dalam 'task force' yang didakwa memberi kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi. Wan Ahmad menyifatkannya sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Mahfuz. Mahfuz menegaskan Wan Ahmad hanya menafikan beliau tidak terlibat bukannya menafikan wujudnya 'task force' sebagaimana yang didakwanya semalam. Malah dalam masa yang sama katanya, Wan Ahmad juga tidak menafikan wujudnya pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing. Bersandarkan kenyataan itu, Mahfuz menyifatkan Wan Ahmad bersama-sama dengan beliau menyedari kewujudan pendaftaran warga asing dalam daftar pemilih. "Saya minta beliau duduk bersama saya (tubuh Suruhanjaya DiRaja) dengan segera," katanya. Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab juga menafikan beliau terlibat dan menyifatkan dakwaan Mahfuz adalah tidak benar. "Saya tidak tahu apa-apa," kata Thajudeen Abdul Wahab. Harakah Daily |
Waran tangkap terhadap MP Sabak Bernam Posted: 05 Apr 2012 01:25 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri, kerana gagal menghadiri prosiding mahkamah. Abdul Rahman adalah pengerusi Majuikan Sdn Bhd yang telah diperintahkan membayar RM2.3 juta pada November lalu, ekoran saman Benzteel Sdn Bhd Perdagangan terhadap United Arena (M) Sdn Bhd Ketika dihubungi, peguam plaintif, A Saha Deva berkata Abdul Rahman (kiri), sebagai salah seorang pengarah Majuikan, telah gagal menghadiri prosiding pelaksanaan. "Para pengarah gagal hadir di mahkamah untuk menjelaskan mengapa mereka tidak membuat bayaran bagi jumlah penghakiman tersebut," kata peguam itu. Berikutan itu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan waran tangkap baru-baru ini dan akan diserahkan hari ini. Saha Deva berkata bailif akan cuba menyerahkan waran tangkap itu hari ini. Semasa berita ini ditulis, Abdul Rahman tidak ada di Parlimen. Pada 1 Mac, Abdul Rahman dan pembantunya disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap kesalahan membuat tuntutan palsu ketika mejadi ahli dewan undangan negeri. Mereka masing-masing dihukum enam tahun penjara dan denda RM400,000. malaysiakini/- |
Skirt balet S'pura terlalu pendek di M'sia Posted: 05 Apr 2012 01:00 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - Kerajaan Malaysia menafikan permit untuk kumpulan Singapura untuk mempersembahkan tarian balet, termasuk "The Nutcracker" ekoran pakaiannya yang dikatakan menjolok mata. Ballet Illuminations sepatutnya dipentaskan tiga kali hujung minggu ini tetapi Singapore Dance Theatre diberitahu bahawa Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi menggantung permitnya tanpa penjelasan, lapor Reuters. Ia mengejutkan kumpulan itu yang sudah mementaskannya di Singapura - dengan pakaian ketat dan skirt pendek yang sama - sejak dua tahun lalu tanpa sebarang masalah. Bilqis Hijjas, presiden MyDance Alliance di Kuala Lumpur berkata, keputusan itu "amat dikesali" dan bakal merosakkan reputasi Malaysia sebagai tuan rumah persembahan seni. "Penyanyi Ballet di Baghdad pun dibenarkan memakai pakaian balet di pentas," beliau dilapor berkata kepada sebuah portal berita. Kementerian terbabit tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksi mereka setakat ini. malaysisakini/- |
Pemandu teksi ditemui mati di bilik hotel Posted: 05 Apr 2012 12:45 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUANTAN - Seorang pemandu teksi ditemui mati dalam sebuah bilik hotel bajet di Jalan pasar di sini, hari ini. Mayat Mat Rosli Abdul Karim, 56, berasal dari Kijal, Kemaman, Terengganu itu ditemui pekerja hotel berkenaan dalam keadaan terbaring kira-kira pukul 12 tengah hari. Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata mangsa sepatutnya mendaftar keluar dari hotel itu tengah hari tadi. "Pekerja hotel itu memeriksa bilik tempat mangsa menginap bagaimanapun pintunya berkunci dan tiada sebarang jawapan selepas dipanggil beberapa kali. "Pekerja terbabit kemudiannya bertindak membuka pintu bilik mengunakan kunci pendua dan mendapati mangsa terbujur kaku di dalam bilik berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Beliau berkata siasatan awal polis mendapati tiada kesan pergelutan atau unsur jenayah dan kematian mangsa diklasifikasi sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. - Bernama Sinar Harian |
3 sekolah di Sarawak diarah hentikan agihan susu Posted: 05 Apr 2012 12:41 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUCHING - Tiga sekolah di Sarawak telah diarahkan memberhentikan buat sementara agihan susu kepada murid susulan kejadian keracunan makanan yang berlaku baru-baru ini. Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata arahan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sacred Heart, SK Temenggong dan Sk Koran. Kejadian keracunan makanan itu yang dipercayai berpunca daripada susu yang dibekalkan melibatkan keseluruhan 212 murid, katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini. Katanya kejadian pertama berlaku di SK Sacred Heart pada 28 Mac melibatkan 44 murid, manakala dua lagi berlaku pada 30 Mac membabitkan 55 murid di SK Temenggong dan 113 murid SK Koran. Langkah pemberhentian sementara itu adalah bagi menunggu hasil siasatan, katanya. Beliau turut meminta guru yang bertanggungjawab mengedarkan susu terbabit agar memastikan murid menghabiskan susu berkenaan di sekolah serta tidak disimpan lama bagi mengelakkan kejadian berulang.- Bernama |
Asid: Dari Wanita Cantik Kepada Jembalang Posted: 05 Apr 2012 12:30 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - LONDON – Mangsa serangan asid, Patricia Lefranc, menganggap insiden malang yang berlaku ke atas dirinya menjadikan dia "jembalang" walaupun sebelum ini pernah memiliki paras menarik. Ibu kepada tiga anak itu disimbah asid sulfurik oleh kekasihnya, Richard Remes, pada 22 Mac 2009. Semalam, dia menceritakan pengalamannya secara terbuka untuk kali pertama. Menurut Patricia, serangan itu meninggalkan kesan abadi pada fizikal dan emosinya. Akibat simbahan berkali-kali itu, hidung dan kelopak mata Patricia cair dan dia turut kehilangan jari. Satu daripada mata dan telinga Patricia pula hilang keupayaan untuk berfungsi selama-lamanya. Ketika asid sulfurik itu memusnahkan tubuh Patricia, 48, perlahan-lahan, dia berada di ambang maut kerana cecair itu hampir membakar jantung dan paru-parunya. Namun, Patricia bernasib baik kerana implan payudaranya menghalang kerosakan organ penting itu berlaku. Selepas melalui 86 pembedahan dan 30 lagi pemindahan kulit, Patricia terus mengalami kesakitan berpanjangan. "Azam mahu melihat anak-anak gembira menguatkan semangat saya," katanya. Bercakap mengenai pengalamannya kepada majalah Closer, Patricia berkata, Remes bertanggungjawab menukar dirinya menjadi "jembalang." Pada ketika tertentu, katanya, dia hanya mampu menangis. "Orang ramai merenung dan mempersendakan penampilan begini. Ia bagaikan hukuman seumur hidup untuk saya," katanya. Patricia bertemu Remes, 57, kali pertama ketika mereka tinggal di apartmen sama di Brussels, Belgium, pada Disember 2008. Selepas berbual seketika dalam lif, Remes mempelawa Patricia minum dan hubungan itu kemudian menjadi lebih serius. Bagaimanapun, selepas beberapa pertemuan, Patricia mendapat tahu Remes sudah berkeluarga dan dia nekad memutuskan hubungan itu. Kata Patricia, dalam keadaan begitu, hubungan itu sepatutnya tidak lebih daripada kawan biasa. "Tambahan pula kami tidak pernah tidur bersama, justeru perpisahan itu sepatutnya tidak sukar," katanya. Sejak itu, mereka bertemu dua kali seminggu di rumah Patricia. Pada satu ketika, isteri Remes mengetahui skandal berkenaan dan dia diusir, tetapi lelaki terbabit kembali ke keluarganya tidak lama kemudian tanpa memutuskan hubungan dengan Patricia. Hanya ketika bercuti di Mesir pada 2009, Patricia menyedari sifat jahat yang ada pada Remes apabila lelaki terbabit mula bercakap mengenai filem ganas, termasuk membabitkan penyeksaan ke atas wanita. Apabila pulang ke Brussels, Patricia enggan bertemu Remes lagi, menyebabkan lelaki itu semakin obsesif. Patricia mengadu kepada polis dan dia dinasihat supaya berpindah. Empat hari selepas pindah ke Molenbeek-Saint-Jean, Remes mengunjungi kediaman Patricia dengan menyamar sebagai penghantar bungkusan. Remes dihukum penjara 30 tahun atas kesalahan cuba membunuh. – DM |
Malaysia,Thai perketat kawalan sempadan Posted: 05 Apr 2012 12:25 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - Militan lebih profesional lakukan serangan bom terbaru di selatan Thailand PHNOM PENH: Malaysia dan Thailand bersetuju meningkatkan kerjasama dan memperketat kawalan keselamatan di sempadan selepas letupan bom berlaku di Yala dan Songkhla dengan siasatan mendapati penyerang menggunakan pendekatan lebih profesional dalam keganasan terbaru. Menteri Luar Thailand, Surapong Tovichakchaikul, berkata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan Datuk Seri Najib Razak yang bermesyuarat di sidang ASEAN di sini, mempersetujui kerjasama itu khususnya dalam memeriksa identiti individu dan kenderaan yang memasuki kawasan sempadan dua negara. Jurucakap Kementerian Luar, Thani Thongphakdi berkata Yingluck juga memberitahu pemimpin ASEAN bahawa kerajaannya akan memberi penjagaan sepenuhnya kepada mereka yang cedera dalam serangan Sabtu lalu selain menghadapkan pihak bertanggungjawab ke pengadilan, lapor akhbar Bangkok Post. Seorang pelancong Malaysia maut dalam serangan itu, Low Tsian Hock dan beberapa lagi cedera kerana bom kereta di Hotel Lee Gardens di Hatyai. Di Pattani, polis menahan seorang suspek yang dituduh terbabit dalam serangan bom itu di sebuah restoran di depan balai polis Mae Lan. Suspek dikenali sebagai Samlee Huluduerae dan dia menafikan terbabit dalam keganasan itu. Seorang lagi lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam serangan di Yala ialah Anuwat Tohjeh yang turut menafikan terbabit dalam kejadian itu. Pegawai polis berkata, Anuwant dikenal pasti sebagai orang dalam rakaman kamera keselamatan memandu kereta di belakang sebuah kenderaan yang membawa bahan letupan dalam serangan itu. "Kami lihat cara mereka lakukan serangan kali ini lebih profesional," kata Surapong mengenai letupan bom yang meragut 15 orang dan mencederakan beratus-ratus lagi termasuk pelancong. "Agensi keselamatan yang menjaga situasi di selatan perlu lebih berhati-hati dan berusaha lebih baik," katanya. Surapong, bagaimanapun, menolak dakwaan bahawa keganasan di selatan semakin meningkat selepas kejadian terbaru itu. "Kami melihat keadaan di rantau selatan sentiasa begitu," katanya. Berikutan kejadian serangan di Hatyai dan Yala, kawalan keselamatan akan diperketatkan di semua kawasan berisiko sepanjang tiga bulan akan datang. Di Songkhla, askar diminta untuk membantu polis mengawal sekatan jalan raya dan melakukan rondaan di kawasan utama, kata komander kanan polis, Leftenan Jeneral Jakthip Chaijinda yang mengakui bahawa kehadiran tentera mungkin akan menakutkan pelancong asing. Dalam perkembangan berkaitan, polis juga cuba menjejaki kenderaan yang dilaporkan hilang kerana bimbang ia boleh digunakan dalam serangan akan datang. Beliau berkata, antara suspek yang dikenal pasti dua mempunyai nama yang sama iaitu Jehmah Wani. "Mereka adalah dua orang dalam kumpulan usia berbeza disyaki terbabit tetapi saya tidak boleh katakan siapa yang lebih disyaki pada masa ini," katanya. – AFP/Agensi |
PAS sertai himpunan 'Duduk Bantah' Bersih 3.0 Posted: 05 Apr 2012 12:18 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 5 April: PAS hari ini secara rasmi menyatakan sokongan penuh terhadap perhimpunan Bersih 3.0 bagi menuntut reformasi pilihan raya pada 28 April ini. Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkata, PAS akan mengerahkan seramai mungkin ahli untuk 'Duduk Bantah' di Dataran Merdeka, jam 2 petang. "Saya menyeru ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat turun beramai-ramai bagi menuntut pilihan raya yang bersih. "Saya menjangkakan setengah juta akan hadir pada 28 April ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini. Turut bersama pada sidang media Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Rani Osman, Setiausaha Dewan Pemuda, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Timbalan Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud. Harakah Daily |
Murtad: Mapim sambut baik kesediaan Selangor Posted: 05 Apr 2012 12:16 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 5 April: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyambut baik kesediaan Kerajaan Negeri Selangor menyiasat aduan kes murtad. "Tindakan ini adalah wajar memandangkan isu ini menjadi perhatian yang amat sensitif dikalangan umat Islam," Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar). Katanya, aduan yang dilaporkan mengenai wujudnya pihak yang telah memurtadkan orang Islam perlu diambil tindakan tegas jika benar mempunyai bukti yang kukuh. Tegasnya, Mapim berpendirian bahawa soal murtad bukan sahaja soal pelanggaran undang-undang negara, malah ia adalah soal maruah agama dan kemuliaan hukum Allah. "Keputusan Kerajaan Selangor menubuhkan jawatankuasa khas adalah wajar agar pemantauan dan tindakan dapat diambil dengan tepat berdasarkan undang-undang yang wujud," katanya kepada Harakahdaily. Sehubungan itu, ujarnya Mapim menggesa umat Islam perlu peka dengan kelemahan dan kecuaian yang telah lama menjangkiti mereka akibat leka dengan kehidupan materialistik sehingga pihak lain mengambil kesempatan untuk mengubah pegangan Islam yang dianuti selama ini. Beliau berkata, agenda pihak tertentu yang mahu menggugat aqidah umat Islam akan dapat dikekang jika peruntukan undang-undang dikuatkuasakan dan pendidikan diperkukuhkan. Di samping itu, kata beliau semua agensi agama Islam semada agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan perlu diperkasa supaya program pengukuhan aqidah dapat dilaksanakan dengan lebih dinamik dan kreatif. Katanya, kesungguhan pihak lain berperanan untuk menghulurkan bantuan dan menangani keperluan mereka yang menghadapi kesempitan hidup menunjukkan betapa kesalahan harus juga diletakkan ke atas agensi-agensi Islam yang bertangunggjawab. "Mapim menegaskan bahawa selagi pihak berkuasa dan pelbagai badan dakwah gagal bekerjasama untuk mengukuhkan pendidikan penghayatan Islam di kalangan masyarakat selagi itu umat Islam akan terdedah kepada gugatan aqidah," ujarnya lagi. Menurutnya, sudah sampai masanya setiap institusi Islam di peringkat akar umbi seperti masjid dan surau bertindak lebih bersungguh mendidik anak qaryah masing-masing agar kefahaman dan penghayatan Islam disemarakkan. Harakah Daily |
FAM: Pemuda PAS simpati Annuar Musa digantung Posted: 05 Apr 2012 12:15 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) melahirkan simpati terhadap nasib yang menimpa Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang digantung selama dua tahun enam bulan dari terbabit dalam aktiviti sukan bola sepak di negara ini sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun di peringkat negeri. Beliau dikenakan tindakan demikian setelah Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati beliau bersalah membuat kenyataan media tanpa izin dan melanggar arahan mesyuarat. DPPNK secara dasarnya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku badan induk tertinggi sukan bola sepak Malaysia itu namun di dalam masa yang sama melihat bahawa keputusan ini merupakan satu kerugian kepada sukan bola sepak negara. Ini kerana beliau dilihat sebagai seorang individu yang berpotensi untuk memajukan sukan bolasepak tanah air sebagaimana yang dilakukan oleh beliau di Kelantan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). Rakyat tentunya amat kecewa sekiranya ada unsur politicking di dalam keputusan ini. DPPNK sejak dulu lagi menentang sebarang unsur mempolitikkan sukan khususnya bola sepak yang diminati ramai dalam apa jua bentuk sekalipun. Justeru, DPPNK satu ketika dulu mengecam tindakan mengarak Piala Malaysia yang dimenangi oleh pasukan Kelantan pada tahun 2010 ke kawasan pilihanraya kecil DUN Galas untuk kepentingan politik pihak tertentu. DPPNK amat berharap agar kemelut pergantungan yang melibatkan Tan Sri Annuar Musa ini dapat dijernihkan. Sesungguhnya, pergantungan beliau merupakan satu kerugian yang besar kepada bola sepak negara khususnya negeri Kelantan. Kepada Tan Sri Annuar Musa, DPPNK ucapkan semoga bersabar dan menempuhi saat-saat ini dengan tenang dan tabah. Ahmad Najib Deris, Pengerusi Bahagian Sukan, Seni dan Budaya (DACS) Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. Harakah Daily |
Umno Putrajaya koyak Harakah, tak jadi bakar Posted: 05 Apr 2012 12:13 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - PUTRAJAYA, 5 April: Kerja-kerja PAS Putrajaya untuk menyebarkan fikrah PAS melalui pengedaran Harakah secara percuma kepada penduduknya mula memberikan kesan. Ia dapat dilihat apabila Umno Putrajaya merancang untuk membakar akhbar yang menjadi suara rasmi PAS itu hari ini di food court Presint 8 tengahari ini. Wakil Harakahdaily sedang menunggu peristiwa itu untuk merakamkan keberkesanan kerja yang dibuat oleh petugas PAS di Putrajaya. "Penduduk Putrajaya akan membakar surat khabar Harakah sebagai tanda protes terhadap pihak PAS yang mengedar dan menggangu kententeraman penduduk di Putrajaya. "Tarikh 5/4/2012 jam 1.00 tghr. Bertempat di Presint 8, berdekatan dgn medan selera. Dato/tuan/puan dijemput buat liputan," kata satu SMS yang diedarkan oleh pemimpin Umno tempatan. Ketua Penerangan PAS Putrajaya, Uzir Abdullah berkata, beliau bersama petugas PAS di sana mengedarkan 1,000 hingga 1,500 akhbar Harakah setiap minggu secara percuma kepada penduduk Putrajaya. Ia diedarkan dari rumah ke rumah untuk memberikan maklumat tambahan kepada penduduk di kota pentadbiran negara yang kebanyakannya didiami oleh kakitangan kerajaan itu. "Orang kuat Umno Putrajaya sudah ada di sini tetapi belum nampak lagi akan adanya majlis pembakaran ini," kata Uzir kepada Harakahdaily. Harakah Daily |
Bersih 3.0: Pemuda sedia, tunggu pendirian PAS Posted: 05 Apr 2012 12:10 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 5 April: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPM) menyokong himpunan Bersih 3.0 bagi menuntut reformasi pilihan raya pada 28 April ini dan bersedia mengerahkan semaksimum ahli untuk turut serta. Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, DPPM bersedia membatalkan semua program melibatkan pemuda di peringkat negeri atau pusat bagi memberi laluan kepada Bersih 3.0 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, jam 2 petang. Namun katanya, DPPM tetap bersama pendirian PAS Pusat yang akan mengeluarkan kenyataannya petang ini. "Pemuda akan mengerahkan semaksima mungkin ahli dan akan membatalkan semua program kawasan, negeri mahu pun nasional supaya mereka boleh bersama-sama Bersih 3.0. "Walau bagaimanapun, pemuda bersama dengan pendirian PAS Pusat," katanya kepada Harakahdaily hari ini. Nasrudin juga menegaskan, "format" Bersih 3.0 dengan "Duduk Bantah" lebih dekat dengan rakyat dan tidak ada sebab rakyat takut untuk menyertainya. "Format Bersih yang baru ini lebih lunak dan santai, jadi tidak ada sebab rakyat tidak mahu turun. "Saya yakin format ini menjadi ibu kepada himpunan-himpunan selepas ini," katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, Bersih 3.0 sangat penting kerana lapan tuntutan rakyat ke arah penambaikan pilihan raya belum dilaksanakan kerajaan. "Kita kena berusaha menjayakan Bersih 3.0 ini kerana kerajaan dan pihak betanggungjawab masih bersikap acuh tak acuh dan mempersenda tuntutan rakyat seperti pembersihan daftar pemilih dan akses kepada media yang adil," katanya. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan mengumumkan secara rasmi pendirian parti berhunung perkara ini pada jam 2 petang ini di ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini. Harakah Daily |
Tarikh PRU: Ini kena tanya Rosmah Posted: 05 Apr 2012 12:08 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU, 5 April: Rakyat Malaysia perlu bertanya kepada Datin Seri Rosmah Mansor samada suaminya Perdana Menteri Najib Razak sudah mendapat satu tarikh yang sesuai untuk pilihanraya umum ke 13 (PRU13). "Beliau berkerja bersama-sama dengan Rosmah bukan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir atau sesiapa saja dalam Umno, Najib sedang mencari satu tarikh yang boleh memberikan ganjaran 2/3 majoriti di PRU13. "Bagi Rosmah dan Najib, perkara ini bukanlah susah kerana semua bekas perdana menteri Umno, termasuklah Pak Lah telah memenangi PRU mereka melebihi 2/3 majoriti apabila pertama kali mereka menerajui Barisan Nasional (BN). "Ini adalah kali pertama untuk Najib dan mereka berdua adalah pendekar, sudah tentu mereka tidak mahu kehebatan politik mereka kelihatan tidak sehebat para pemimpin terdahulu yang membawa BN ke arah kemenangan," kata Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily hari ini. Namun, kata Mustafa, Najib sebenarnya dalam dilemma untuk memilih satu tarikh yang sesuai untuk pilihanraya, kerana seandainya silap, teori RAHMAN akan menjadi kenyataan. Ini kerana, menurut teori RAHMAN, Najib adalah perdana menteri terakhir daripada Umno. Teori RAHMAN adalah khabar angin yang sering diperkatakan orang mengenai rancangan menyusun turutan perdana menteri di Malaysia. Teori RAHMAN merupakan singkatan kepada nama perdana menteri Malaysia yakni Tunku Abdul (R)ahman, Tun (A)bdul Razak, Tun (H)ussien Onn, Tun Dr (M)ahathir, Tun (A)bdullah dan (N)ajib. "Najib kini sebenarnya tersepit mencari tarikh yang sesuai untuk PRU13. Terlalu awal, negeri-negeri Pakatan Rakyat mungkin tidak ikut. "Terlalu lambat, segala faktor feel good yang dijana melalui pemberian duit seperti RM100 kepada sekolah rendah, RM200 baucar buku dan RM500 melalui BR1M akan dilupakan," kata Mustafa. Mustafa berkata pemberian duit bantuan yang bertujuan untuk menunjukkan bahawa pengundi telah mendapat pembelaan tidak akan bertahan lama. "Untuk kekal perasaan feel good itu, pilihanraya tidak boleh dilengahkan. Seperti kata Mahathir, Melayu mudah lupa," kata Mustafa dengan seloroh. "Jadi apakah tarikh sesuai untuk Najib? Rasanya Jun hingga pertengahan Julai kerana selepas itu ialah bulan Ramadan, Hari Raya dan orang bersiap hendak pergi menunaikan haji – ia adalah tidak sesuai dan perasaan feel good dah hilang," kata beliau. Negeri Selangor, pusat pertembungan dalam pilihan raya ini telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan ikut serta PRU13 sekiranya ia diadakan sebelum bulan Jun. Negeri Pakatan Rakyat (PR) yang lain, selain Kelantan belum menyatakan hasrat samada akan turut mengadakan pilihanraya serentak atau tidak. Dengan itu, Mustafa berkata Najib kini berdepan dengan satu lagi dilemma di mana beliau akan berlawan di PRU13 kemungkinan tanpa hadiah utama, Selangor yang dihajatkannya. "Kini, PR telah menemui jumlah pengundi hantu yang besar di Selangor, modus operandi yang sama digunakan BN untuk mengalahkan PAS di Terengganu pada 2004. "Tidak mustahil untuk negeri Pakatan Rakyat untuk menangguhkan pilihanraya ke Mei 2013 untuk membersihkan daftar pemilih terlebih dahulu. "Najib boleh meneruskan untuk pillihanraya parlimen, dan mungkin menang tapi negeri PR masih kekal," kata Mustafa. Namun dengan prediksi bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya selamat di tiga negeri iaitu Pahang, Melaka dan Johor, Mustafa bertanya samada Najib berani memanggil PRU13 sekiranya negeri-negeri PR tidak ikut serta. "Teori RAHMAN akan menjadi kenyataan sekiranya tarikh yang salah dipilih, dan Najib mungkin adalah perdana menteri terakhir daripada Umno dan ketika itu berakhirlah BN," Mustafa memberikan amaran. Siapakah yang Najib patut rujuk untuk mendapat tarikh PRU13. "Saya rasa Rosmah. Beliau juga ingin kekal terus berkuasa, jadi beliau mungkin memanggil pilihanraya sekiranya rasa BN boleh menang di peringkat parlimen. "Peranan Rosmah mungkin ialah mengumpulkan segala prediksi daripada ahli astronomi, nujum, bomoh dan feng shui untuk mendapat tarikh yang sesuai," sindir beliau. Harakah Daily |
MCA dicabar keluar BN jika Lynas diteruskan Posted: 05 Apr 2012 12:07 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 5 April: PAS mencabar Presiden MCA memberikan kata dua kepada Barisan Nasional (BN) untuk keluar parti jika kilang Lynas teruskan operasinya di Gebeng, Kuantan. Cabaran itu dibuat Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar dalam satu kenyataan medianya. "Sekiranya MCA tidak menarik diri, ini menunjukkan bahawa Presiden MCA dan juga MCA tidak ada kredibiliti atau prinsip memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat," kata Zulkefly dalam kenyataan itu. Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua SoiLek, yang menyatakan bahawa MCA bersetuju dan menyarankan agar Kilang Lynas ditutup disebabkan rakyat tidak bersetuju dengan pembinaan kilang tersebut di Malaysia. "Saya selaku Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia beranggapan bahawa kenyataan Presiden MCA tersebut sebagai kenyataan rhetorik politik kerana MCA sebagai gabungan kerajaan Barisan Nasional boleh bertindak lebih awal lagi dalam menghalang pembinaan kilang tersebut, sebelum tindakan mahkamah yang diambil oleh rakyat," katanya. Bagi beliau, kenyataan Presiden MCA itu adalah kenyataan terdesak kerana beliau sedar bahawa masyarakat cina tidak lagi menyokong MCA dan beliau sedar bahawa masa depan MCA bergantung penuh kepada sokongan masyarakat Cina bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 13. Semalam, beliau bersama beberapa pihak lagi berkesempatan bersama-sama rakyat di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta untuk mendengar semakan kelulusan TOL Lynas di mahkamah. Mahkamah dibanjiri semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum, umur dan peringkat yang turun untuk memberi sokongan kepada plaintiff. Hakim yang mendengar kes ini, Datuk Rohana Yahya dan beliau menyatakan bahawa keputusan mahkamah akan diumumkan pada 12hb April, 2012. "Sehubungan itu, kami berharap rakyat yang bersimpati dan tidak bersetuju dengan kewujudan Lynas ini akan turun ke mahkamah pada tarikh tersebut untuk memberikan sokongan kepada plaintiff dan juga rakyat Kuantan," kata Zulkefly. Di samping itu, Solidariti Hijau SeMalaysia yang dianggotai oleh pelbagai NGO telah menyatakan pendirian mereka bahawa mereka menolak PSC (Parliamentary Select Committee) dan pemberian lesen TOL kepada Lynas dengan mengisytiharkan Himpunan Solidariti Hijau SeMalaysia – Stop Lynas pada 13hb April 2012 di seluruh negara. Tempat utama perhimpunan tersebut adalah Dataran Shah Alam, Selangor. Harakah Daily |
Bazar Tok Guru terima urusniaga dinar, dirham Posted: 05 Apr 2012 12:05 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KOTA BHARU, 5 April: Sempena Tahun Melawat Kelantan 2012, rakyat serta pelancong yang berkunjung ke negeri itu boleh merasai pengalaman membeli belah di Bazar Tok Guru (BTG) dengan menggunakan matawang syariah dinar dan dirham. Atas inisiatif anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade (KGT), kedai-kedai di BTG kini menerima urusniaga menggunakan mata wang syariah itu sejak pertengahan bulan Mac lalu. (Gambar: Seorang peniaga Bazar Tok Guru menunjukkan logo 'Kami Terima Dinar dan Dirham') Untuk kemudahan pengunjung dan pembeli, kedai-kedai yang menerima dinar dan dirham boleh dikenalpasti dengan dengan melihat kertas penanda bercetak 'Kami Terima Dinar dan Dirham' yang ditampal di dalam kedai atau bertanyakan terus kepada peniaga. "Sebanyak 50 peratus peniaga di Bazar Tok Guru, Kota Bharu sudah menerima dinar dan dirham dalam jualan harian mereka dan ini adalah satu perkembangan positif ke arah mengembalikan matawang syariah kepada ummah. "ini satu usaha murni Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," kata Pengurus Besar KGT, Mahadi Mokhtar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Sementara itu, KGT juga katanya akan menganjurkan Souq Dinar Dirham bagi memberi lebih peluang kepada orang ramai membeli belah dengan menggunakan dinar dan dirham. Beberapa program diluar Kelantan juga turut diadakan termasuk penganjuran pasar terbuka yang menjalankan jual beli menggunakan dinar dirham yang telah diadakan di Shah Alam dan Bangi baru-baru ini. Terbaru katanya, ianya akan diadakan di Masjid Bandar Sunway, berdekatan dengan Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 7 April ini. "KGT menjemput peniaga barangan halal untuk menyertai Pasar Terbuka Dinar Dirham tanpa yuran penyertaan dan sewaan tapak hanya perlu bawa kerusi meja sahaja," katanya. Harakah Daily |
Cubaan terbaik Posted: 05 Apr 2012 12:03 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - PENYERANG Marseille, Loic Remy mengakui tuah tidak menyebelahi pasukannya selepas mereka tidak berjaya menebus kekecewaan tewas 0-2 dengan Bayern Munich dalam saingan kedua suku akhir Liga Juara- Juara. Tersingkir untuk meneruskan saingan ke separuh akhir dengan agregat 4-0, Remy bagaimanapun tetap bersikap realisitk dan menganggap perlawanan tersebut merupakan medan ujian buatnya untuk meneruskan saingan akhir La Liga Coupe, 14 April nanti. "Kami sudah menjangkakan keputusan ini memandangkan kami berdepan dengan pasukan yang hebat. Ternyata kami bukan pesaing Bayern," katanya yang tekad mahu menebus kekecewaan dalam pertemuan dengan Lyon nanti. Ahad ini Marseille akan bertemu musuh tradisi, Paris Saint-Germain dalam saingan Ligue 1 sebelum bertemu Montpellier seminggu lagi. Sinar Harian |
Dua gerila pemisah Thai ditangkap Posted: 05 Apr 2012 12:01 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - GAMBAR fail menunjukkan lokasi pusat beli-belah dan Hotel Lee Gardens Plaza yang rosak akibat letupan bom di Hatyai pada Sabtu lalu. BANGKOK – Polis menyatakan dua anggota kumpulan pemisah Islam ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pengeboman di selatan Thailand pada Sabtu lalu. Ketua Polis Thailand, Jeneral Priewpan Damapong semalam berkata, dua suspek itu adalah antara 20 anggota pemisah yang dipercayai bertanggungjawab melakukan serangan bom kereta ke atas Hotel Lee Gardens Plaza di bandar Hatyai pada Sabtu lepas. Sebanyak tiga orang terbunuh manakala lebih 200 yang lain cedera dalam serangan itu. Polis turut percaya bahawa serangan tersebut memiliki kaitan dengan pengeboman pada hari yang sama di wilayah Yala. Siri pengeboman di Yala meragut nyawa lebih 11 orang. Lebih 5,000 orang terbunuh di tiga wilayah selatan Thailand sejak gerakan pemisah Islam tercetus pada 2004. Kejadian letupan bom itu menandakan peningkatan serangan kumpulan tersebut. Penentangan yang berlaku di selatan Thailand telah meragut nyawa ribuan penduduk Thailand sejak tahun 2004. Serangan bom atau tembakan yang berlaku hampir pada setiap hari disasarkan terhadap askar dan orang awam sama ada penganut Islam atau Buddha. Ketua Tentera Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha menyatakan sebelum ini terdapat lebih 3,000 militan Islam terlibat dalam keganasan di selatan Thailand. Militan terbabit dipercayai bukan sebahagian daripada gerakan jihad global tetapi menentang apa yang didakwa mereka sebagai diskriminasi turun-temurun terhadap etnik Melayu Islam yang dilakukan kerajaan Thai. Gabenor Songkhla, Grisada Boonrach kelmarin menawarkan ganjaran 500,000 baht (RM49,196) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan setiap seorang daripada dua suspek yang terlibat dalam letupan bom di hotel tersebut. – Agensi |
Penghantar surat dituduh cederakan dua pelajar Posted: 05 Apr 2012 12:01 AM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR - Seorang penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua orang pelajar tingkatan tiga. Zulkarnaen Azmi, 24, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap N.Saktivel, 15, dengan memukul di bahagian kepala dan badannya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak, pada 5.30 petang, 8 November lepas. Tertuduh juga dituduh atas pertuduhan yang sama terhadap M. Indaran, 15, dengan menendang perut dan memukul kepalanya. Zulkarnaen yang ditangkap pada 8 Nov 2011 didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Majistret Suzarika Sahak membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April untuk sebutan kes. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nom Phot manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama Sinar Harian |
Sunderland bakal hadapi hukum FA Posted: 04 Apr 2012 11:58 PM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - SUNDERLAND bakal berdepan dengan hukuman berat Persatuan Bola Sepak Inggeris berikutan kegagalannya mengawal tindak tanduk pemainnya ketika pertemuan menentang Manchester City dalam persaingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu. Pemain Sunderland dikatakan tidak berpuas hati dengan pengadilan Phil Dowd yang didakwa memihak kepada Manchester City. Keputusan Dowd memberi sepakan penalti kepada Manchester City menimbulkan perasaan marah sehingga berlaku suasana tegang di stadium Etihad. Dalam perlawanan tersebut, Sunderland hanya mampu seri tiga gol dengan Manchester City. Bagaimanapun, Sunderland masih mempunyai peluang untuk mengemukakan respons berhubung tuduhan yang dibawa selewat-lewatnya 11 April. Sunderland pernah berhadapan dengan hukuman Persatuan Bola Sepak Inggeris bulan lalu. Sinar Harian |
Kontraktor terbunuh, kereta masuk gaung Posted: 04 Apr 2012 11:56 PM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - SEREMBAN – Seorang kontraktor terbunuh apabila kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam lima meter di Jalan Mambau-Port Dickson berdekatan Kampung Bemban, di sini, semalam. Mangsa, J Ravindran, 41, yang berasal dari Kuala Lukut, Port Dickson dalam perjalanan pulang ke rumah. Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam, sebelum seorang saksi memaklumkan kemalangan itu kepada polis jam 11.40 pagi, semalam. "Saksi melaporkan kepada polis selepas ternampak sebuah kereta terjunam ke dalam gaung dengan keadaan empat tayar ke atas. "Saksi ketika itu dalam perjalanan untuk menebang pokok pisang di lokasi berdekatan tempat kejadian, katanya. Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kereta jenis Proton Satria Neo yang dipandu Ravindran dipercayai terbabas sendiri. "Apabila sampai di satu selekoh, mangsa yang masih bujang dan memandu sendirian itu tiba-tiba gagal mengawal kenderaannya, lalu merempuh sebatang pokok sebelum terjunam masuk ke dalam gaung. "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat namun setakat ini punca kematian belum dikenal pasti," katanya. Sementara itu, Pegawai Kanan 2 Balai Bomba Seremban 2, Khairuddin Mohamad, berkata, satu jentera dan 10 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kemalangan terbabit, jam 11.55 pagi. "Kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya. Sinar Harian |
Sidang DUN Perak hangat dalam isu Kilang Asean Red Erth di Perak Posted: 04 Apr 2012 11:54 PM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - Perbahasan ADUN DAP dari Canning mengenai kematian yang didakwanya sebagai akibat dari kebenaran mendirikan kilang Asean Red Erth di Bukit Merah Ipoh. Mendiang Chia Kok Leong yang meninggal dunia pada 29 Mac 2012 yang disebutkan oleh ADUN Caninng telah dibantah oleh ADUN Sungai Rapat, pengkalan Hulu dan Trong yang dianggap sebagai tuduhan yang tidak ada bukti dan hanya seorang magsa sahaja. Namun ADUN mengelebu yang bangun memberi penjelasan mengatakan jumlah yang terlibat ialah sebanyak 13 orang semuanya dan yang hidup cuma tingga 2 orang sahaja. |
"Task Force" Beri IC Kepada Rakyat Asing, Peringatan Besar Untuk Najib & Sekutunya Posted: 04 Apr 2012 11:50 PM PDT 13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - Kuala Lumpur - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah orang yang paling bertanggungjawab atas kewujudan 'task force' yang memberi taraf kerakyatan kepada warga asing, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. "Apabila 'task force' itu memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti, tak mungkin mereka diberi kerakyatan untuk memilih mana-mana parti. Tentulah mereka dikehendaki memilih Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Najib sahaja. "Lebih penting lagi, tak mungkin 'task force' seperti itu boleh wujud tanpa keizinan dan persetujuan Perdana Menteri memandangkan sebahagian dari yang terlibat itu adalah pegawai-pegawai kerajaan berprofil tinggi," katanya. Bagi Salahuddin, apa yang berlaku itu adalah satu pengkhianatan yang sangat keji ke atas kedaulatan negara dan undang-undangnya. "Lebih malang lagi, bolehkah kita mendakwa bahawa Perdana Menteri bukanlah boss besar kepada 'task force' itu? "Apabila berlaku pengkhianatan, bolehkah kita mendakwa Perdana Menteri tidak mengetuai pengkhianatan terhadap negara itu?" katanya. Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga yakin projek memenangkan BN yang melibatkan 'task force' itu pasti menggasak wang rakyat dalam jumlah yang sangat besar. "Selepas diberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti, tentulah wajib diadakan sistem pemantauan dan ugutan untuk memastikan warga asing berkenaan mengundi BN. "Semua itu tentulah menggasak begitu banyak wang rakyat. Tak mungkin Najib dan para pemimpin Umno dan BN mahu mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk membiayai projek memenangkan BN itu," kata Salahuddin. Malah, katanya, pelbagai kesan dan akibat dari tindakan membanjirkan negara ini dengan warganegara asing yang diberi taraf kerakyatan itu juga akan memakan belanja yang luar biasa besar. "Dengan taraf sebagai warganegara semata-mata kerana hendak memenangkan Umno dan BN, mereka juga akan mendapat pelbagai keistimewaan yang sememangnya dinikmati oleh rakyat negara ini. Semua itu akan memakan belanja berterusan yang sangat besar jumlahnya. "Negara terpaksa menangung beban tambahan berterusan semata-mata kerana hendak memenangkan Umno dan BN. Itu belum lagi diambilkira kesan dan masalah sosial yang tidak dapat dielakkan akan tercetus," kata Salahuddin. Sebab itulah beliau yakin, 'task force' tersebut akan menjadi pencetus kemarahan rakyat dan mereka akan membanjiri ibu negara dan tempat-tempat perhimpunan lain yang ditentukan di seluruh negara pada 28 April ini. Bersih 3.0 menetapkan 28 April ini untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran duduk bantah di Dataran Merdeka dan di tempat-tempat lain yang ditentukan di seluruh negara. "Task force' itu pasti menjadi satu lagi penyebab utama yang mendorong seramai-ramai rakyat berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 seluruh negara 28 April ini. "500,000 duduk dan bantah di ibu negara bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini," kata beliau. Salahuddin tidak menolak kemungkinan besar PAS akan menubuhkan 'task force'nya sendiri bagi menghadapi kerja jahat 'task force' itu. -HD |