22 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
Setelah hampir sebulan sunyi sepi, National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), yang menjadi sasaran dalam parlimen dan di luar parlimen, akhirnya membuka mulut.
Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, pengerusi NFC dan suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menganjurkan sidang akhbar pada 17 November lalu bagi mempertahankan NFC.
Beliau menjelaskan bahawa segala-galanya berjalan dengan baik, syarikat sedang menuju ke arah mencapai sasarannya dan tidak berlaku sebarang penyelewengan.
Tetapi fakta-fakta beliau jauh dari meyakinkan. Malahan, ia hanya satu percubaan untuk menutup skandal, dengan beberapa penafian yang telah pun dibuat oleh para pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum beliau.
Sebelum kita pergi kepada subjek utama, mari kita sentuh dua isu. Pertama, sidang akhbar Salleh dibuat secara eksklusif kerana hanya membenarkan enam organisasi media sahaja, iaitu akhbar berbahasa Melayu dan saluran-saluran televisyen membuat liputannya.
Akhbar berbahasa Cina dan lain-lain diharamkan dari sidang akhbar itu. Jika NFC benar-benar ikhlas mahu menyatakan yang benar, mereka tidak harus bimbang kepada para wartawan selain dari media yang dikawal oleh BN, yang pada kebiasaannya dianggap perkakas propaganda BN?
Jelas kelihatan NFC tidak mempunyai keyakinan untuk menjawab soalan-soalan dari para pemberita dari media yang tidak dikawal oleh BN? Tidakkah ini jelas menunjukkan BN mahu rakyat membaca apa yang BN mahu mereka membacanya?
Pembelian kondo tidak boleh diterima
Kedua, Salleh mahu kita mempercayai bahawa pembelian dua unit kondominium mewah berjumlah RM14 juta itu adalah usaha menggunakan pinjaman mudah itu secara sah dengan menyatakan kedua-dua kondo ini memberi pulangan yang tinggi.
Beliau berkata, pulangan sewa dari sebuah kondo ialah RM70,000 tetapi tidak ada sesiapa yang mempercayainya.
Selain dari kredibilitinya tercabar, siapakah dia Salleh yang memikirkan dirinya membuat rakyat tidak keberatan untuk meminjamkan wang kepada keluarganya pada tempuh jangka panjang dengan kadar faedah 2% supaya mereka dapat meraih pulangan berlipat kali ganda hasil dari pelaburan dalam hartanah?
Alasannya bahawa ini (pembelian dua kondo) merupakan pelaburan sementara atas lebihan wang yang boleh digunakan kemudian nanti untuk projek lembu feedlot adalah tidak boleh diterima.
NFC tidak sepatutnya membuat permohonan dan kerajaan juga tidak sepatutnya memberi kebenaran untuk mengeluarkan wang yang banyak itu, yang tidak digunakan dari Akaun Pinjaman Khas. Pengeluaran wang dari akaun sepatutnya dikawal ketat dan diteliti
Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Atau, adakah NFC memberitahu kita bahawa mereka tidak menyediakan unjuran aliran tunai dan akaun untung rugi untuk projek ini ketika membentangkannya kepada kerajaan sebelum kontrak ini diperolehi?
Salah guna dana awam yang berlaku mencerminkan kegagalan kerajaan untuk melindungi dana awam, atau lebih buruk, terdapat konflik kepentingan berunsur jenayah (disebut rasuah) kerana memberi kontrak kepada kroni tanpa pertimbangan yang saksama melalui kertas kerja projek yang lengkap..
Sekarang, mari kita lihat kepada fakta-fakta yang dikemukakan oleh Salleh untuk menyokong dakwaannya bahawa projek ini berjalan dengan baik.
Projek 'berjaya' satu ilusi
Salleh berkata, ini merupakan tahun ketiga operasi dan masalah remeh temeh adalah dijangka. Salah. Anaknya sendiri, Wan Shahinur Izran, ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif berkata, ketika majlis menandatangani perjanjian kemudahan pinjaman RM250 juta itu pada 6
Disember 2007 bahawa "operasi dijangka bermula bulan Februari tahun depan." Maka empat tahun sudah berlalu sejak perjanjian itu.
Kata Salleh lagi, syarikatnya telah menternak 8,016 ekor lembu pada tahun 2010, "mengatasi sasaran 8,000 ekor lembu". Salah.
Kriteria yang harus dipertimbangkan ialah jumlah lembu yang disembelih, bukan "diternak", kerana projek ini adalah projek pembekalan daging lembu.
Jumlah lembu feedlot tidak boleh diukur dengan pengeluaran, kalau tidak, bilangan banyak lembu yang banyak yang tiba dari luar negeri dikira sebagai "pengeluaran".
Maka Ketua Audit Negara adalah betul dalam laporannya bahawa sebanyak 3,289 ekor lembu yang disembelih pada 2010 menyumbang hanya 41% dari sasaran, satu jumlah sasaran yang telah pun dikurangkan. Sasaran asal ialah 60,000 ekor lembu setahun seperti yang diumumkan oleh CEO Izran ketika majlis menandatangani perjanjian pinjaman itu.
Seterusnya Salleh berkata, "dari operasi tahun 2009, NFC masih belum mendapat pasaran dan tempat penyembelihan hanya diluluskan pada bulan April tahun tersebut, sijil halal diperolehi dua bulan kemudian dan Piawaian Kesihatan Veterinar, adalah wajib sebelum daging dapat dijual, dalam tahun 2010."
Salleh menambah, NFC perlu menghantar para pekerjanya untuk menjalani latihan untuk mendapatkan kepakaran bagi mengendalikan operasi ternakan lembu.
Perkataan yang disebut Salleh ini nampak seperti seorang yang amatur dalam bidang ini, merayu supaya kita memahami masalah ini akibat prestasinya yang mengecewakan.
Ini berbeza dengan ucapan Izran pada 2007 apabila beliau berkata, "kami ingin memainkan peranan penting untuk memimpin, struktur dan mentransformasi industri daging lembu bagi mencapai 40% keperluan negara."
Izran juga berkata, aktiviti-aktiviti syarikat termasuk "lembu feedlot dan pengeluaran makanan melalui kontrak dan perladangan satelit, penyembelihan, pemprosesan, pemasaran dan lain-lain aktiviti hiliran dan huluran."
Untuk perladangan kontrak, NFC akan "membantu pihak-pihak terpilih untuk mendapatkan pinjaman, untuk memula projek dan latihan lanjutan dalam bidang pengeluaran dan pentadbiran perniagaan termasuk menyediakan lembu, bahan pemakanan dan perkhidmatan veterinar. Skop aktiviti ini terdapat dalam laman web NFC.
Ekuiti yang cukup?
Maka amat jelas wujudnya jurang di antara realiti dan retorik dalam kisah NFC ini.
Salleh berkata, NFC hanya memulakan operasi pada 2009. Tetapi kenapa tidak pada 2008 memandangkan syarikatnya telah memperolehi pinjaman besar ini lebih awal?
Secara tidak langsung, operasi syarikat ini bergantung sepenuhnya kepada pinjaman mudah ini tanpa mempunyai ekuiti yang mencukupi dari para pemegang sahamnya. Jika ini benar-benar terjadi maka terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam penganugerahan projek ini.
Salleh memberitahu bahawa permintaan dalam pasaran menjadi penghalang hingga membantutkan perkembangan projek ini sehinggalah pada 2010. Tetapi bagaimana mungkin ini terjadi sedangkan negara kita telah mengimport 80% daging lembu dari luar negara?
Aduan serupa ini hanya mendedahkan kelemahan mereka untuk mengendalikan perniagaan ini.
Dengan mendawa pihak yang memberi projek melambatkan kelulusan-kelulusan yang diperlukan hanya sebagai alasan sahaja.
Hakikatnya, sukar untuk menolak kemungkinan berlakunya salah guna kuasa dalam pemberian projek ini, termasuk kecuaian jenayah (oleh pihak kerajaan) dan pecah amanah (pengendali projek) dalam menyalah guna dana awam.
Langkah yang sebaik-baiknya ialah dengan mendakwa pihak yang terlibat, mendapatkan semula dana itu dan melantik usahawan yang benar-benar berwibawa untuk mengendalikan projek ini.
Adakah kerajaan BN sanggup melakukannya, atau perkara yang sama, seperti biasa akan dibiarkan terus berlaku? FMT/-