Mahathir seperti disindir anaknya Posted: 03 Jul 2012 09:55 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - APA sikap Marina, puteri sulung Dr. Mahathir terhadap kerajaan sekarang tidak diketahui, tetapi dia dan anaknya ikut sama dalam unjuk rasa Bersih 2.0. Memang ada komennya tidak selesa dengan reaksi polis dan kerajaan semasa terhadap demonstrasi itu. Saya tidak mengikuti perkembangannya dalam Bersih 3.0. Hingga ini tidak siapa dapat mengandaikan Marina termasuk dalam kumpulan orang tidak senang dengan kerajaan yang ada dan tidak diduga akan menyertai gerakan untuk menukar pentadbiran Putrajaya. Apa pun kehadiran Marina dalam Bersih 2.0 dulu boleh dikira menyindir bapanya yang mempertahankan kerajaan yang ada sekarang. Walaupun Dr. Mahathir tidak 100 peratus setuju dengan pentadbiran Najib, tetapi umumnya dia mempertahannya baik buruk mahu pun sebaliknya. Dia menentang semua siri demonstrasi Bersih dan tidak memberi muka kepada usaha Pakatan Rakyat mara ke Putrajaya. Siri demonstrasi Bersih ditujukan terhadap ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional dan ia tuntutan untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih. Apabila Marina dan anaknya menyertainya, atas apa alasan jua, dia boleh dikira menyokong tuntutan itu. Dia tahu bapanya tidak setuju dengan kegiatan Bersih itu tetapi dia hadir pada kegiatan yang bapanya tidak suka. Sekali pun Marina tidak mengkritik bapanya atau membuat pandangan yang berbeza dengan bapanya, kehadirannya dalam Bersih 2.0 boleh dikira menyindir bapanya sendiri. Mungkin dia tidak berniat begitu. Dia mungkin menggunakan kebebasan sekadar bersama dengan orang yang tidak senonok dengan pentadbiran Najib. tetapi keberadaannya itu dikira satu menyindir kerajaan dan menyindir bapanya. Dr. Mahathir berhak menyatakan tidak senang dengan penyertaan anaknya. Orang luar tidak tahu apakah keduanya anak beranak itu ada membincangkannya secara keluarga tentang pro dan kontra siri tunjuk perasaan Bersih itu, tetapi orang sudah menyaksikan Mahathir menegur penyertaan anaknya dalam Bersih 2.0 dulu. Sebagai negarawan dia dipercayai tidak mengongkong kebebasan berfikir anak-anaknya, tetapi dia tidak seronok dengan kehadiran anak dan cucunya itu. Mungkin dia sudah menyatakan kepada anaknya apa buruk unjuk rasa itu dan mengapa ia tidak wajar disokong secara anak beranak. Tetapi sebagai bapa dia telah membuat teguran terbuka kepada anak. Baiknya Marina tidak pula membuat komen atas teguran bapanya. Tidak diketahui dia terima teguran itu atau dia mengira apa yang dibuatnya betul. Sebagai anak Marina mengambil sikap yang betul apabila berdiam diri. Tidak elok anak dilihat berbalah dengan ayah dalam media. Apa lagi kalau anak itu memalukan bapa. Apa pun umum boleh membuat andaian bahawa anak Dr. Mahathir juga tidak semestinya setuju dengan dasar dan politiknya. Kalau anaknya ada pandangan berbeza dengan bapa tentang satu-satu perkara atau banyak perkara, maka Dr. Mahathir tidak boleh paksa semua orang mesti menerima pandangannya. Apa pun Dr. Mahathir tidak menyatakan apa buruknya kepada kerajaan, rakyat dan negara bila Marina menyertai Bersih 2.0. Yang dibantahnya sekadar ia boleh menjejaskan peluang adiknya, Mukhriz dalam politik. Jika itu saja, tidaklah bantahan itu dibuat atas kepentingan nasional, sedang penyertaan Marina dalam Bersih 2.0 itu ada kaitnya dengan kepentingan nasional, demokrasi, keadilan dan kebenaran. Harakah Daily |
Remaja curi motor dicekup Posted: 03 Jul 2012 09:39 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - IPOH - Walaupun pelbagai taktik dan helah digunakan untuk mengelak dicekup namun kegiatan seorang remaja berusia 15 tahun akhirnya tumpas di tangan sekumpulan ahli Persatuan Keselamatan Bandar Baru Pengkalan (PKBBP) dengan kerjasama polis selepas mendapati terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sejak setahun lalu. Remaja yang baru dibuang sekolah itu dipercayai melakukan kegiatan itu bersendirian dan menjual motosikal curi tersebut dengan harga murah iaitu antara RM300 ke RM500 kepada pelanggannya yang terdiri daripada mat rempit. Ketua PKBBP, Liew Hong Meng berkata, ahlinya mendapat aduan mengenai kecurian motosikal itu daripada salah seorang rakan remaja terbabit yang turut menjadi mangsa apabila motosikalnya dicuri baru-baru ini. Katanya, selepas mendapat maklumat tersebut, salah seorang daripada ahli persatuan menyamar berkawan dengan remaja terbabit dan meminta agar menjual motosikal kepadanya. "Helah itu menjadi apabila remaja terbabit terpedaya dengan kata-kata ahli kami yang kemudian membawanya ke tempat simpanan motosikal curi di dalam semak di Pengkalan Pegoh Seberang. "Bagaimanapun, rakan kami meminta remaja itu membawa motosikal yang hendak 'dibeli' ke rumah kelab di Taman Pakatan. "Lebih kurang jam 1.30 pagi kami menahan remaja terbabit dan menghubungi polis untuk menjalankan tindakan lanjut," katanya. Hong Meng berkata, remaja itu sudah mencuri 13 motosikal dan menerima ribuan ringgit sepanjang melakukan kegiatan tersebut. "Motosikal itu dicuri dan kemudiannya dijual kepada mat rempit yang lazimnya hanya mahukan alat ganti bagi tujuan mengubahsuai motosikal mereka. "Antara motosikal yang paling banyak menjadi 'habuan' remaja terbabit adalah daripada jenis Honda EX5," katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan pihaknya ada menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan curi motosikal. Menurutnya, remaja itu direman sehingga 5 Julai ini bagi membantu siasatan. Sinar Harian |
Bekalan elektrik terputus punca anak ayam mati Posted: 03 Jul 2012 09:37 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - TAIPING - Penternak ayam milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Gantang di Batu 6, Jalan Kuala Kangsar, di sini kesal apabila bekalan elektrik yang terputus akibat pokok getah tumbang masih tidak dipulihkan. Bekalan yang terputus lebih 24 jam apabila dua pokok getah tumbang ke atas talian elektrik sekali gus menghalang laluan ke reban ayam terbabit kira-kira jam 4 petang, kelmarin. Pengurus Pengeluaran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Gantang, Mohd Shah Rezza ketika melawat reban ayam terbabit berkata, sebanyak 16,000 anak ayam berusia dua minggu di reban ayam terbabit memerlukan siraman air melalui pam yang menggunakan elektrik dan memerlukan suhu kepanasan di waktu malam dengan penggunaan mentol. Katanya, penternakan ayam pedaging sangat sensitif dan memerlukan penjagaan yang rapi bagi mengelakkan ternakan berkenaan mati. "Kami sangat memerlukan bekalan elektrik bagi membolehkan ternakan hidup dan operasi di kawasan reban itu berjalan lancar. "Tetapi kini (semalam) sudah hampir 24 jam bekalan belum dipulihkan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. Katanya, kini berpuluhpuluh anak ayam terbabit mati akibat kehausan dan kesejukan. "Diharap pihak berwajib dapat membaiki segera talian elektrik ini demi kelancaran ternakan ayam ini," katanya. Sementara itu, Pemandu lori PPK Bukit Gantang, Rosli Salleh berkata, dia sepatutnya menghantar bekalan makanan untuk anak ayam, semalam. "Tapi kerana pokok getah ini, saya tidak dapat membawa makanan masuk ke kawasan reban ayam," katanya. Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian pada jam 5 petang semalam mendapati bekalan elektrik ke kawasan itu masih belum dipulihkan. Sinar Harian |
Wanita Thailand dihukum gantung edar dadah Posted: 03 Jul 2012 09:35 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang wanita Thailand setelah didapati bersalah mengedar dadah dua tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Natcha Babkaew, 32, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu. Natcha yang bekerja sebagai penjaja makanan ringan didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 18,630 gram di lorong 2, Bahagian Kenderaan, Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Bukit Kayu Hitam pada 1.35 petang 19 Nov 2010. Mohd Zaki berkata keterangan pembelaan Natcha yang mengatakan bahawa dia tidak mengetahui bahawa beg yang dibawa berisi dadah, tidak boleh dipercayai kerana tertuduh ditawarkan upah yang mahal untuk membawa beg itu. "Secara umumnya tertuduh tidak menafikan bahawa dia membawa dua beg itu dari Bangkok, yang diterima daripada dua lelaki Afrika untuk diserahkan kepada seorang lelaki Afrika yang lain di pekan Changlun. "Keterangan tertuduh bahawa dia tidak tahu apa kandungan beg itu hanya diada-adakan bagi melepaskan diri, justeru tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah semasa pembelaannya," kata Mohd Zaki. Natcha yang menghidap sakit jantung berlubang dan mempunyai seorang anak berusia lapan tahun didakwa mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Radzi Shah Ab. Razak manakala tertuduh diwakili peguam Ai Cha Ran. - Bernama Sinar Harian |
Anak dakwa pelabur jual semula saham FGVH Posted: 03 Jul 2012 09:15 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa terdapat pemegang saham bertindak menjual semula saham mereka di Felda Global Ventures Holdings (FGVH) seleps dua hari ia disenaraikan. Presidennya, Mazlan Aliman (gambar) berkata pihaknya dimaklumkan terdapat pelabur yang menjual semula saham mereka dalam FGVH selepas dinasihatkan pihak 'remisier' (agen saham) sendiri. Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan tahap ketidakyakinan mereka kepada kedudukan FGVH biarpun tidak sampai dua minggu ia disenaraikan. "Dalam urusniaga saham ini, mana-mana orang yang membeli saham jarang mahu menjual saham ketika masih di awal penyenaraian. Dan mereka juga hanya akan membeli saham syarikat yang benar-benar mantap. Jadi perkara ini (jual semula) menunjukkan ketidakyakinan mereka terhadap FGVH," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily. Selain itu, tambah Mazlan, pihaknya juga dimaklumkan sebanyak 20 peratus saham yang diperuntukkan kepada mana-mana pihak yang berminat masih tidak dapat dipenuhi. Malah, dakwa beliau kerajaan juga dikatakan melarang mana-mana syarikat yang membeli saham FGVH itu menjual saham mereka dalam tempoh enam bulan selepas penyenaraian. Larangan tersebut difahamkan bagi memastikan kedudukan saham FGVH berada dalam keadaan stabil sepanjang enam bulan ini. Atas sebab-sebab dan risiko sedemikianlah, Mazlan berkata Anak dari awal menentang penyenaraian FGVH yang berorientasikan perkhidmatan ini ke Bursa Kuala Lumpur. Namun, segala yang diusahakan Anak tidak diberi perhatian oleh kerajaan biarpun telah menggunakan pelbagai saluran untuk mencari titik perbincangan. Mazlan, bagaimanapun berkata masih tidak terlambat bagi kerajaan untuk membatalkan penyenaraian bagi memastikan nasib peneroka yang dipertaruhkan masih boleh diselamatkan. Harakah Daily |
Geng pecah kilang tumpas Posted: 03 Jul 2012 09:06 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga lelaki dan seorang warga asing berusia lingkungan 25 hingga 44 tahun berhubung kes pecah masuk sebuah kilang di Pasir Gudang, 4 Jun lalu. Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim berkata, penahanan kesemua suspek membawa kepada penemuan semula barang-barang curi selepas polis mengadakan beberapa siri serbuan di Taman Johor Jaya, di sini, dan Negeri Sembilan. "Polis menerima satu laporan awal sebuah kilang di Pasir gudang telah dipecah masuk sekitar jam 8.17 pagi. Susulan itu, polis membuat beberapa siri serbuan dan tangkapan di Taman Johor Jaya dan Negeri Sembilan, seterusnya menahan empat lelaki terdiri tiga warga tempatan dan seorang warga asing. "Polis juga berjaya merampas semula dua klac lori; satu 'air bellows'; satu 'air dryer'; satu 'mounting'; empat komponen besi; lima batang besi silinder; lapan keping brek 'lining'; dua set 'bearing'; satu besi 'piston'; satu kotak 'coolant filter' dan lima gelung getah hitam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam. Menurutnya, salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai 13 rekod jenayah iaitu lima rekod 'dikehendaki'; tiga di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan; dua di bawah kesalahan samun; lapan di bawah Akta Dadah Berbahaya; satu kes di bawah Akta Senjata Berbahaya; satu di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Akta Pengangkutan Jalan. Ismail berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga 29 Jun lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun berserta denda jika sabit kesalahan. "Dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah kilang di Seri Alam," katanya. Sinar Harian |
Kabel talian dicuri, ditemui terjuntai Posted: 03 Jul 2012 09:04 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - PENDANG - Kira-kira 300 penduduk dan 10 agensi kerajaan berhadapan kesukaran menjalankan tugas apabila kabel talian Telekom Malaysia (TM) di Jalan Sungai Tiang Pendang hadapan kediaman rasmi Pegawai Daerah di sini dicuri sejak awal pagi kelmarin. Kejadian menyebabkan penduduk Kampung Belakang Pendang, Banggol Petai, depan Sekolah Kebangsaan Pendang dan kampung berhampiran terputus hubungan untuk berkomunikasi dengan pihak luar. Sinar Harian turut difahamkan, kejadian juga menyebabkan 10 agensi kerajaan kawasan terbabit seperti Jabatan Penerangan, Pos Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Lembaga Kemajuan Kedah (Keda), Jabatan Pertanian, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan pejabat agama terjejas. Peniaga, Wan Salleh Ismail, 56, berkata, dia menyedari talian kabel tersebut dicuri ketika datang membuka premis perniagaan dekat kawasan itu dimana dia mendapati kabel itu berada dalam keadaan terjuntai. Menurutnya, kabel terbabit dicuri walaupun kira-kira 500 meter dari lokasi itu dikelilingi lampu jalan dan berdekatan dengan laluan utama. "Ketika jam 12 malam saya masih di kedai, namun tidak kelihatan perkara mencurigakan. Mungkin kecurian ini dilakukan ketika penduduk leka menonton perlawanan bola sepak awal pagi itu," katanya. Sementara itu, Ketua Operasi JPAM daerah Pendang, Mohd Izuddin Inus Meah berkata, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku hingga menyebabkan talian kecemasan di jabatan pihaknya gagal beroperasi. "Kecurian ini menjejaskan JPAM menjalankan tugas terutamanya berkaitan hal kecemasan hingga penduduk terpaksa datang mengadu di pejabat seperti kes pokok tumbang, sakit, kemalangan dan banyak lagi. "Ramai mengadu di pejabat mengatakan JPAM gagal menjawab panggilan telefon sedangkan mereka tak tahu talian itu gagal beroperasi disebabkan kecurian itu," katanya. Penduduk, Rokiah Ariffin, 47, dari Kampung Belakang Pendang berkata, kejadian itu menyebabkan penduduk gagal melayari Internet dan menjejaskan urusan dengan pihak luar. Menurutnya, dia menyedari talian itu tidak berfungsi ketika ingin membuat panggilan, namun menyangka telefonnya rosak memandangkan kejadian itu tidak pernah berlaku. Seorang lagi penduduk, Sharmi Zainol, 30, berkata, kecurian itu turut menyebabkan perniagaan secara talian yang diusahakannya terjejas. "Kira-kira jam 2 pagi talian Internet masih boleh guna, tapi sekitar jam 7 pagi, baru sedar talian itu gagal digunakan hingga saya terpaksa keluar mencari restoran atau tempat yang menyediakan perkhidmatan (jalur lebar tanpa wayar) WiFi," katanya. Sehingga lewat petang semalam, sistem talian berkenaan masih terganggu. Sinar Harian akan cuba mendapatkan ulasan pihak TM Daerah Kota Setar dalam masa terdekat. Sinar Harian |
Cari adik bongsu hilang Posted: 03 Jul 2012 08:56 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - REMBAU – Seorang kakak dari Kampung Tanjong Sena, di sini tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya apabila memikirkan keadaan adik bongsunya, Rohani Adam, 66, yang dikhuatiri hilang sejak petang kelmarin. Hawa, 82, berkata, sejak semalam, dia bersama anaknya, Yaakob Alias, 63, dan beberapa penduduk sudah mencari adiknya di sekitar kawasan kampung. Menurutnya, sebelum ini, adiknya yang mengalami gangguan mental sejak dua tahun lalu itu akan pulang ke rumah selepas keluar berjalan di kawasan Pekan Rembau dan kampung berdekatan. "Tak pernah Rohani tidak pulang ke rumah...kalau tiada di rumah pun anak saya akan mencarinya di Pekan Rembau ataupun kawasan berhampiran dan menyuruhnya pulang. Malah, adik juga akan pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 7 petang. "Oleh itu, diharap orang ramai ataupun sesiapa sahaja yang ada melihat adik saya dapat memberikan maklumat kepada kami mahupun pihak polis di balai terdekat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjong Sena, dekat sini, semalam. Sementara itu, Yaakob berkata, maklumat terakhir yang diperoleh mengenai ibu saudaranya adalah daripada penjual petai yang ternampak dia berjalan di Chembong Halt kira-kira jam 6 petang. Menurutnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah kilang di Chembong, sejurus mengetahui ibu saudaranya tidak pulang ke rumah, dia terus mencari ibu saudaranya selepas tamat waktu kerja pada jam 8 malam hingga 11 malam. "Sejak dua tahun lalu, inilah rutin harian saya bila ibu saudara yang sering keluar dengan berjalan kaki tanpa memakai selipar tidak pulang ke rumah. "Bagaimanapun sebelum ini, ibu saudara saya akan pulang ke rumah walaupun lewat tidak seperti kali ini," katanya. Berikutan kejadian itu, Yaakob membuat laporan di Balai Polis Rembau kira-kira jam 9 pagi, semalam. Sinar Harian |
Samun: Empat penjenayah bersenjatakan parang larikan wang, barang kemas Posted: 03 Jul 2012 08:55 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - LUKUT – Lima sekeluarga berhadapan dengan situasi mencemaskan apabila empat penjenayah yang bersenjatakan parang menyerbu masuk ke rumah mereka, pagi semalam. Ketika kejadian yang berlaku kirakira jam 7.45 pagi di Taman Bukit Tinggi Lukut itu, mangsa sedang bersiap untuk menghantar cucunya ke sekolah. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Cuan, 59, berkata, penjenayah berkenaan menyerbu masuk ke rumahnya melalui pintu utama yang ketika itu sudah dibuka kerana dia mahu menghantar cucunya ke sekolah. "Penjenayah itu bersenjatakan parang dan sebaik sahaja masuk ke rumah, mereka membawa kami ke dalam bilik. "Selepas itu, kami semua diarahkan baring di atas katil sebelum mereka menutup bahagian badan dan kepala kami dengan selimut," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. Cuan berkata, sebelum itu, salah seorang daripada penjenayah ada bertanya di mana dia menyimpan wang dan barang kemas. "Kemudian mereka yang kesemuanya memakai penutup muka menggeledah bilik sebelum melarikan diri bersama wang dan barang kemas kira-kira 10 minit kemudian. "Jumlah kerugian masih belum dikenal pasti dan semua ahli keluarga tidak dicederakan," katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Lukut. Sinar Harian |
Geng pecah rumah tumpas Posted: 03 Jul 2012 08:48 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - JASIN - Kegiatan jenayah empat remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun, yang memiliki ilmu dan kemahiran memecah masuk rumah dan kedai akhirnya tumpas. Mereka berjaya ditangkap selepas 24 jam laporan dibuat seorang pelajar Politeknik Merlimau dan seorang pemilik premis menjual serta membaiki telefon bimbit di Balai Polis Merlimau, Khamis lalu. Pemangku Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Shahidi Abdullah berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi remaja berusia 14 tahun, digelar Azizi Botak. "Polis menerima laporan kirakira jam 12 tengah hari pada 28 Jun lalu mengenai kes pecah rumah di Batu 15, Jalan Jasin-Merlimau dan kehilangan sebuah motosikal yang disimpan di dalam rumah tersebut, selain sebuah komputer riba, semuanya bernilai RM3,500. "Tiga jam kemudian, seorang lagi pengadu buat laporan kehilangan tiga telefon bimbit milik pelanggan dan 23 bateri telefon bimbit pelbagai jenama selepas premisnya di Bandar Baru Merlimau dipecah masuk," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, semalam. Shahidi berkata, semua barangan milik mangsa berjaya dirampas semula selepas keempat- empat suspek ditangkap di kediaman masing-masing di Merlimau keesokan harinya. "Susulan tangkapan, kami turut merampas empat basikal yang dicuri dan siasatan awal mendapati, mereka melakukan pecah rumah atau kedai melalui tingkap nako dan bumbung," katanya. Menurutnya, pihaknya percaya suspek turut terlibat dalam siri pecah rumah di daerah ini termasuk tiga lagi kes pecah rumah di Merlimau yang pernah dilaporkan sebelum ini. "Keempat-empat mereka kini ditahan reman sehingga esok (hari ini) dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan 379 A kanun sama kerana mencuri," katanya. Sinar Harian |
Dipenjara akibat buat laporan palsu Posted: 03 Jul 2012 08:40 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Seorang tukang masak yang juga pemilik motosikal dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Pekan Wakaf Tapai, Marang, November tahun lalu dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam. Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh, Jefridin Manan, 31, dari Jalan Tok Lam, di sini, mengaku membuat laporan tidak benar dengan menyatakan motosikal miliknya telah dicuri sedangkan hasil siasatan mendapati motosikal itu telah digunakan oleh tertuduh sendiri dalam rompakan berkenaan. Jefridin adalah antara lima suspek termasuk tiga anggota polis yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun Kedai Emas Swee Heng di Taman Bestari, Wakaf Tapai, Marang, 28 November tahun lalu. Dia mengaku pada 10 Disember 2011 jam lebih kurang 1.15 tengah hari di Balai Polis Kuala Terengganu dengan sengaja membuat maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain. Dengan itu, Jefridin mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang jika disabitkan kesalahan boleh di penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan seorang pemilik kedai emas dan dua kanak-kanak nyaris terkena tembakan dalam satu kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Pekan Wakaf Tapai, Marang. Sinar Harian |
Pencuri barang lusuh dicekup Posted: 03 Jul 2012 08:39 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - BALAI BESAR –Tindakan seorang kaki dadah melilau tanpa haluan di sebatang jalan raya dalam keadaan mencurigakan membawa padah apabila dia dicekup anggota polis dekat di sini, pagi semalam. Suspek terbabit, 33, ketika ditahan dikatakan sedang menunggang basikal dengan membawa pelbagai peralatan dipercayai barang lusuh sebelum terserempak tiga anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Dungun yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah. Suspek dikatakan cuba melarikan diri namun gagal apabila menyedari kehadiran tiga anggota polis berpakaian preman itu. Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui segulung kabel, wayar tembaga serta pelbagai barangan terbuang, dipercayai hasil barang curi. Pemeriksaan lanjut ke atas suspek juga turut menemui beberapa jarum suntikan dipercayai digunakan untuk mengambil dadah selain alat pemotong wayar dan pemutar skru. Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut. Hasil semakan rekod polis, suspek yang berasal dari Sungai Udang itu turut mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah. Sementara itu, suspek berkenaan yang tidak bekerja ketika ditemui mengaku sering mencari barang lusuh di rumah penduduk sekitar sebelum dijual di kedai barangan lusuh dekat Balai Besar. Katanya, dia memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM50 sehari setiap kali menjual barangan berkenaan dan duit itu akan digunakan untuk perbelanjaan harian selain turut membeli dadah jenis 'song' di sebuah klinik berdekatan. Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut dan suspek kini sedang disiasat polis. Sinar Harian |
Reman suspek palsu ijazah disambung Posted: 03 Jul 2012 08:37 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - GEORGETOWN - Polis mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman sehingga esok terhadap tiga individu yang dikaitkan dengan kes memalsukan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM). Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Aziana Azib untuk membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut kes itu. Kesemua suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 2.30 petang sebelum dibawa masuk ke bilik reman mahkamah untuk mendapatkan perintah. Ketiga-tiganya direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat atau denda. Tiga hari lalu, tiga individu itu ditahan polis di sebuah rumah di Kampar, Perak kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemalsuan ijazah USM. Suspek terdiri daripada dua wanita berusia 24 dan 25 tahun serta seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai menjual dokumen palsu itu kepada pihak ketiga pada harga tertentu. Polis turut merampas beberapa peralatan komputer dipercayai digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu berkenaan. Siasatan awal mendapati antara sijil yang dikeluarkan mereka adalah sijil diploma, sijil ijazah sarjana dan sijil ijazah sarjana muda. Kelmarin, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Omar Osman berkata, hanya seorang bekas penuntut USM didapati terlibat dengan kegiatan pemalsuan sijil akademik institusi pengajian tinggi itu, manakala dua rakannya bukan pelajar atau mempunyai kaitan dengan universiti tersebut Sinar Harian |
Polis maut dilanggar bas ekspres Posted: 03 Jul 2012 08:34 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - SEREMBAN - Seorang anggota polis berpangkat koperal maut dilanggar bas ekspres, selepas tercampak setelah merempuh bahagian belakang sebuah kereta rosak di lorong kecemasan. Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Kamarulzaman Abdullah, 50, yang berkhidmat di Balai PolisPudu, Kuala Lumpur, maut akibat parah di kepala dan kaki dalam kejadian di Kilometer 278 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Nilai, di sini, petang kelmarin. Jurucakap polis berkata,mangsa yang berasal dari Taman Panchor Jaya di sini, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas di Balai Polis Pudu. "Mangsa yang menunggang motosikal sendirian jenis Yamaha LC135, dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton Perdana di lorong kecemasan akibat rosak. "Rempuhan menyebabkan mangsa terbabas dan terjatuh di sebelah kanan jalan serta dilanggar sebuah bas ekspres," katanya, semalam. Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan kejadian itu. Sinar Harian |
Mayat tergantung di jeti Bukit Kepong Posted: 03 Jul 2012 08:32 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - MUAR - Seorang lelaki ditemui mati tergantung di sebuah jeti di Bukit Kepong berhampiran jambatan Durian Condong, Ledang, dekat sini, semalam. Mangsa, Tan Inn Seng, 57, yang masih bujang ditemui kira-kira jam 8 pagi oleh seorang pekebun yang kebetulan melalui tempat kejadian untuk pergi ke kebunnya. Abang mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya kelihatan murung sejak beberapa minggu lalu dan kali terakhir mereka bertemu pada Ahad lalu. Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, dia mengesyaki Inn Seng menghidap penyakit kerana tubuh badannya menunjukkan perubahan sangat ketara. "Namun, apabila ditanya keadaannya itu, Inn Seng hanya mendiamkan diri dan mengubah topik perbualan kami. "Selama ini Inn Seng langsung tidak beritahu masalah dihadapinya dan saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung pada jam 8.30 pagi, mengatakan dia (Inn Seng) ditemui mati tergantung di jeti," katanya. Menurutnya, di tempat kejadian, dia sekali lagi terkejut apabila menemui sepucuk surat yang dipercayai ditulis sendiri oleh Inn Seng mengatakan tertekan dengan penyakit kanser usus dihidapinya. Katanya, dia diberitahu oleh beberapa penduduk kampung bahawa Inn Seng agak tertekan apabila dua rakannya meninggal dunia kerana menderita akibat penyakit kanser. "Saya rasa perkara ini membuatkan Inn Seng runsing, meskipun keputusan pemeriksaan perubatan ke atasnya hanya diketahui pada 16 Julai ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan insiden tersebut. "Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya. "Kematian mangsa tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. Sinar Harian |
Laga bahu bawa padah Posted: 03 Jul 2012 08:30 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - BAGAN SERAI - Tindakan seorang buruh ladang berlaga bahu dengan seorang pemuda ketika berlangsungnya upacara sembahyang di Tokong Sri Maha Mariamman, Ladang Chersonese, di sini membawa padah apabila mangsa dibelasah sehingga mati oleh sekumpulan lelaki. Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam 29 Jun lalu, mangsa, T Eharajoo, 34, yang berasal dari Ladang Chersonese dikatakan berselisih faham dengan salah seorang suspek kerana didakwa cuba mencetus pergaduhan ketika upacara sembahyang berlangsung. Menurutnya, perselisihan faham itu membawa kepada pertikaman lidah sebelum mangsa bersama adik lelakinya dibelasah dan dipukul dengan benda keras oleh 15 pemuda di hadapan Dewan Ladang Chersonese, Jalan Siakap, Kuala Kurau ketika pulang ke rumah. "Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka serta meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Taiping. "Manakala adik mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan muka. Bagaimanapun, polis difahamkan, keadaan adik mangsa stabil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian semalam. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radwan Bachik. Mat Fauzi berkata, berikutan kejadian itu, polis melancarkan operasi menjejak semua suspek dan 13 pemuda berusia lingkungan 20-an, ditahan di Parit Buntar dalam tempoh 24 jam bagi membantu siasatan kes terbabit. Menurutnya, polis turut percaya kumpulan itu didalangi dua pemimpin yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian berkenaan. "Polis kini sedang mencari dua individu iaitu M Raj Kumar, 25, dan Mohamad Anuar Mohd Yusof, 26, yang berasal dari Ladang Soon Lee untuk membantu siasatan. "Kedua-dua individu itu didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes di bawah kanun keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1957," katanya. Beliau berkata, semua suspek ditahan reman di lokap IPD Kerian sehingga 6 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori. Empat pengedar leka bungkus dadah dicekup MANAKALA dalam kejadian 25 Jun lalu, sekumpulan lelaki diberkas di sebuah pangsapuri di Bukit Merah Lake Town, di sini, ketika sedang leka membungkus dadah pelbagai jenis, kira-kira jam 8.30 malam. Mat Fauzi berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis diketuai Asisten Superintendan Tan Boon Hai memberkas empat lelaki, berusia lingkungan 23 hingga 32 tahun itu. Menurutnya, kesemua mereka tidak sempat melarikan diri ketika serbuan setelah pintu pangsapuri dibuka secara paksa. "Kita menjumpai satu peket lutsinar berisi 810 pil ektasi seberat 180.30 gram bernilai RM24,300, dua peket lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 14.72 gram bernilai RM3,000 dan satu ketulan mampat ganja seberat 29.49 gram bernilai RM100. "Pada masa sama, kita turut menemui satu peket plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 57.22 gram bernilai RM3,000 di ruangan bahagian brek tangan kereta selain merampas wang tunai berjumlah RM8,130, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, alat timbang elektronik, alat membungkus serta satu pelet plastik lutsinar," katanya. Mat Fauzi berkata, siasatan lanjut turut mendapati seorang suspek cuba menyembunyikan satu anak kunci kereta jenis Proton Gen-2 yang diletakkan di hadapan premis dan jumlah keseluruhan nilai rampasan bernilai RM38,530. Menurutnya, polis mengesyaki bekalan dadah diambil dari sekitar daerah Selama memandangkan ketiga-tiga suspek berasal dari Taiping dan dibungkus di pangsapuri itu yang dijadikan transit pengedaran dadah. Katanya, keempat-empat suspek kini di reman sehingga 9 Julai ini untuk membantu siasatan. "Dua daripada suspek ini mempunyai kesalahan jenayah lampau. Berdasarkan kes itu, kita akan meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti pengedaran dadah di daerah ini bagi mengelakkan usaha mewujudkan makmal dadah di sini. "Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori sekiranya disabitkan kesalahan," katanya. Van rokok ditemui, suspek masih diburu SEMENTARA itu, van rokok dilarikan sekumpulan penyamun dalam satu rompakan bersenjata di hadapan sebuah kedai runcit Jalan Taiping, di sini berjaya ditemui polis di bahu jalan Sungai Baru, Semanggol minggu lalu. Bagaimanapun, Mat Fauzi menegaskan puluhan karton rokok jenama Dunhill bernilai hampir RM20,000 di dalam van itu 'lesap' dipercayai dilarikan pada hari kejadian. "Pada masa sama, kita masih menjejaki ketiga-tiga suspek yang dipercayai masih bebas dan satu pasukan tugas khas ditubuhkan bagi menyelesaikan kes ini. "Polis turut memohon jasa baik orang ramai untuk melaporkan jika terdapat sebarang kegiatan mencurigakan melibatkan jenayah samun di kawasan masing-masing," katanya. Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sekumpulan tiga penjenayah menyamun seorang pekerja sebuah syarikat rokok dan melarikan van mengandungi berpuluh karton rokok jenama Dunhill bernilai hampir RM20,000 ketika mangsa sedang mengedarkan stok bekalan rokok di sebuah kedai runcit, berdekatan Jalan Taiping di sini, 24 Jun lalu. Lebih mencemaskan, pekerja terbabit turut diculik sebelum ditinggalkan di Jalan Bukit Merah bagi membolehkan mereka melarikan van bernilai RM80,000, wang tunai RM2,700 dan empat keping cek belum ditunaikan bernilai RM6,000 menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM100,000. Sinar Harian |
Wabak H7N3 menular di Mexico Posted: 03 Jul 2012 08:27 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - MEXICO CITY - Mexico mengisytiharkan darurat terhadap status kesihatan haiwan selepas 1.7 juta haiwan ternakan dijangkiti wabak selsema burung. Kementerian Pertanian dalam kenyataan memberitahu, lebih separuh ayam dan itik dijangkiti virus itu mati dan dimusnahkan. "Kami terpaksa mengisytiharkan darurat ke atas kesihatan haiwan bagi mengawal, mencegah dan membasmi virus Type A, selesema burung Sub-Type H7N3," menurut kenyataan itu. Kumpulan pegawai kesihatan Mexico kini dalam keadaan berwaspada bagi mengelak berulangnya wabak H1N1 yang pernah menyebabkan kematian 17,000 manusia. Terkini, virus dikesan di Mexico adalah H7N3, yang berpotensi mengakibatkan manusia dijangkiti. Wabak berkenaan mula dikesan pada 20 Jun lalu dengan dua juta ternakan telah dijangkiti. Sinar Harian |
Himpunan seniman bantu Lebuhraya Rakyat Posted: 03 Jul 2012 08:09 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan kerjasama PAS Kawasan Batu akan mengadakan perhimpunan seniman dan artis untuk membantu pembinaan Lebuhraya Rakyat di Kelantan. Himpunan ini akan diadakan pada 6 Julai di Dewan Besar KUIZM, Taman Melewar, Kuala Lumpur bermula pada jam 9.30 malam. Inilah julung-julung kali program seperti ini dianjurkan oleh Paksi yang teruja dengan saranan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memohon supaya rakyat jelata turut terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Rakyat ini. Himpunan ini bertujuan untuk mengutip derma pembinaan Lebuhraya Rakyat di Kelantan. Himpunan yang bertemakan 'Semarak Seni, Lebuhraya Rakyat' akan diisi dengan pelbagai acara kesenian dan kebudayaan termasuk deklamasi sajak, lagu puisi, pantun seloka selain ceramah. Jualan dan lelongan lukisan dan buku juga akan diadakan pada malam tersebut. Beberapa orang tokoh sasterawan dan artis terkenal telah bersetuju hadir untuk menjayakan hasrat murni ini. Antara mereka ialah SN. Datuk A. Samad Said, Dinsman, Pyanhabib, HMS Abu Bakar, Rahamad Haron dan beberapa tokoh lain. Di kalangan artis dan pelakon penyanyi Wan Aishah, Bob Lokman, Leman Raja Lawak akan turut sama menjayakan program ini. Turut sama nanti ialah pelakon Hairi Othman dan Zulkifli Ismail. Tokoh politik yang akan hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Datuk Husam Musa yang mewakili kerajaan Kelantan. Hasil kutipan malam itu dijangka akan diserahkan oleh Pengerusi PAKSI, Dinsman kepada Husam Musa dalam bentuk, mock cheque. Rakyat disaran supaya datang beramai-ramai menghadiri program ini sambil berhibur sambil menderma. Bawalah kawan-kawan, sahabat andai, keluarga dan teman-teman datang bagi menjayakan usaha murni yang dianjurkan oleh para Seniman. "Jangan lupa bawa duit untuk menderma. Ini saham Akhirat," kata Cikgu Ishak Surin, Yang Dipertua PAS Kawasan Batu. Sinar Harian |
Adun hilang akal: Mana keris pemuda Umno? Posted: 03 Jul 2012 08:06 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Pemuda Umno bolehlah dianggap sebagai dayus jika terus berdiam diri ekoran ejekan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek (gambar) kepada seorang Adunnya di Johor. Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Fadli Shaari berpandangan, Umnokhususnya pergerakan pemudanya tidak wajar berdiam diri sahaja apabila tuduhan sebegini dilontarkan kepada ADUN Umno hanya kerana mencadangkan hukum hudud di Johor. "Di manakah maruah pemimpin Umno yang sanggup melihat sebegini hina label yang diberikan kepada pemimpin mereka?" kata Ahmad Fadli dalam kenyataannya hari ini. Menurut beliau, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menggesa Umno khususnya kepimpinan pemudanya agar tidak menjadi dayus dengan berdiam diri terhadap label yang dilontarkan oleh Presiden MCA itu. Ini ekoran kenyataan Chua Soi Lek kepada salah seorang ADUN Umno Johor sebagai out of his mind atau hilang akal. Ia berikutan cadangan ADUN tersebut, Datuk Ayub Rahmat yang disuarakan di dalam Dewan Undangan Negeri Johor minggu lalu agar Johor menjadi negeri yang pertama melaksanakan hudud mendahului Kelantan. Perkataan hilang akal, katanya, juga boleh diertikan sebagai gila dan kurang siuman itu merupakan satu perkataan yang sangat serius dan ia dilontarkan oleh presiden sebuah parti secara terbuka dan disiarkan di dalam akhbar The Star melalui laman webnya pada 3 Julai 2012. Bahkan di dalam masa yang sama Chua Soi Lek menyebut dengan tegas bahawa 'MCA will definitely object' (MCA dengan pastinya akan membantah). Fadli bertanya, di mana pula NGO-NGO pro Umno yang selama ini mendakwa kuat menyokong perjuangan memartabatkan Melayu, Islam dan Raja? "Kenapa tidak diadakan perarakan dan tunjuk perasaan besar-besaran membantah kenyataan Chua Soi Lek ini?" soal beliau. Bagi pihak PAS, katanya, kenyataan-kenyataan telah dikeluarkan oleh pemipin utama PAS menyokong cadangan ADUN Umno Johor ini. "Namun di pihak Umno, kelihatan pemimpin-pemimpin utama diam menikus 'dijerkah' oleh Presiden MCA," sindir Fadli yang juga Setiausaha Akhbar MB Kelantan. Beliau seterusnya bertanya, di mana keris tajam Umno yang sering dijulang ke udara dengan penuh semangat perwira mempertahankan maruah Melayu itu? "Sudah tumpul berkarat atau hilang kudrat untuk dijulang lagi?" terjah beliau. Jika Umno khususnya pergerakan pemudanya terus berdiam diri dalam isu ini, DPPNK berpandangan amat sesuai Umno dan seluruh kepimpinannya disifatkan sebagai dayus dan tidak bermaruah. Harakah Daily |
Dompet Tok Guru Hanya Sampul Surat Posted: 03 Jul 2012 08:04 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - JOHOR BAHRU – Sifat merendah diri dan zuhud terserlah ketika Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS ingin mengeluarkan wang lalu dompetnya terjatuh di atas lantai pada program Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat Negeri Johor di Dataran Dahlia, dekat sini, baru-baru ini. Menariknya, apabila dompetnya itu hanyalah sekeping sampul surat biasa telah membuatkan ramai yang terkejut dan sukar untuk mempercayai seorang yang bertaraf menteri besar hanya memiliki sesuatu seperti demikian. Ibn bacoks ketika merakamkan gambar tersebut sempat mendengar bisikan-bisikan ramai dengan pelbagai ungkapan takjub kerana teruja dengan peribadi yang ditonjolkan secara sepontan oleh tokoh pujaan ramai itu. Aksi spontan itu disaksikan lebih 10,000 orang ketika Menteri Besar Kelantan itu ingin menurunkan tandatangan pada signbord simbolik kepada kepulangan Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS ke Johor. Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan ringkas, Salahuddin menceritakan pengalamannya sewaktu memenuhi undangan makan malam daripada sebuah keluarga miskin di utara semenanjung. Katanya, dua keping getah yang disidai di tempat yang berasingan itu difahamkan untuk sara hidup anak beranak, manakala selebihnya untuk perjuangan. Beliau yang terharu dengan pengorbanan seorang yang dianggap dhaif, tetap mahu berjuang sekalipun tinggal hanyalah sekeping getah demi kelangsungan jemaah. "Pakcik itu boleh berjuang hidup mati hanya untuk Islam, apalah yang ada pada diri saya. Saya serahkan diri pada Allah. Balik ke Johor untuk bertanding. Itu niat (ikhlas) saya," katanya lagi bernada merendah diri. Harakah Daily |
Artis Cina Turut Berkempen Untuk Pakatan Rakyat Posted: 03 Jul 2012 08:03 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - Jikalau penyertaan Bob Lokman, Aishah, Dayang Ku Intan, Hairie Othman, Abby Abadi, Iwan dan lain-lain ke dalam Pakatan Rakyat menimbulkan gelombang dalam arena politik kebelakangan ini, dunia hiburan Cina tempatan juga tidak kesepian, apabila penyanyi popular tempatan pada zaman 1980-an dan 1990-an, Ceng Wei Shan berkempen secara terbuka di pentas DAP pada malam 29 Jun. Ceng Wei Shan (gambar) mempersoalkan, "Berapa 'tempoh lima tahun' yang kita miliki sebagai manusia? Berapa lagi 'tempoh lima tahun' untuk anda menggarap masa depan negara? Jadi, jangan lepaskan peluang anda, hargailah tempoh lima tahun ini sebaik-baiknya, lakukanlah perubahan sebaik-baiknya. Dalam masa lima tahun, kes misteri Teoh Beng Hock perlu didedahkan. Hati saya perit membaca beritanya. Saya penyanyi Malaysia. Saya tidak terkata apa-apa. Saya gagal melakukan apa-apa. Saya hanya gelisah dalam hati. Begitu juga dengan anda semua." Ketika menyanyikan lagu "Mimpi Keemasan Kota Bersejarah" (terjemahan), Ceng berkata, "Kota yang lama memiliki mimpi yang baru. Mimpi hari ini adalah untuk membawa perubahan pada masa depan, membawa perubahan untuk anak-anak. Jadi, mahu berubah? Berani untuk berubah? Saya sudah all out! Jikapun filem Kepong yang saya lakon itu diharamkan, saya pun tak kisah!" Demikianlah ucapan Ceng Wei Shan ketika berkempen secara sukarela di ibu pejabat DAP Melaka pada malam 29 Jun, di depan kira-kira 2,000 hadirin. Ianya dipercayai kali pertama untuk penyanyi lagu Cina berkempen untuk pembangkang, selepas Auguste Kwan yang berkempen untuk Hew Kuan Yau dari DAP di DUN Bukit Gasing pada tahun 1999. Auguste Kwan adalah penyanyi Cina tempatan paling popular pada zaman 1990-an. Baru-baru ini, beberapa artis popular dunia hiburan Cina mulai menunjukkan sokongan secara terbuka dalam isu seperti BERSIH 3.0, Hentikan Lynas dan sebagainya. Malah, seorang pengarah filem independen, Ho Yuhang telah memakai baju kuning "Kill Bill" (Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman) untuk menghadiri Majlis Perlancaran Filem Ah Beng The Movie: Three Wishes, yang dirasmikan Perdana Menteri Najib Razak, awal tahun 2012. BN tidak menyara hidup saya Ceng Wei Shan menulis di laman sosial Facebooknya kemudian, mendakwa bahawa dirinya sangat gembira kerana telah melakukan persembahan yang paling bermakna dalam hidupnya pada malam tersebut. "Berapa 'tempoh lima tahun' yang kita miliki? Saya akan kesal untuk seumur hidup seandainya saya tidak melangkah keluar pada hari ini." "Untuk sekian tahun saya hidup, untuk sekian lama saya berada dalam dunia hiburan... Dulu saya terikat dengan kontrak syarikat, jadi saya tidak boleh membuat keputusan ke mana harus saya pergi untuk lakukan persembahan. Sekarang, saya sebagai individu yang bebas. Jadi, apa perlunya saya untuk mengambil peduli pandangan orang? Buatlah apa yang saya rasa patut, dan apa yang bermakna!" sambungnya. Ceng Wei Shan mendakwa dirinya benar gembira dengan persembahan pada malam 29 Jun, kerana berkempen untuk DAP-Pakatan Rakyat secara sukarela. Beliau melihat petugas yang ghairah, dan gelombang untuk membawa perubahan. Segala-gala ini telah membuatkan Ceng merasakan keputusannya untuk lakukan persembahan ini dengan "all out" adalah memadai. Penyanyi ini sedar bahawa beliau berdepan dengan risiko beritanya dipadamkan media, atau kehilangan peluang persembahan lantaran keputusannya berkempen untuk Pakatan Rakyat. Ceng Wei Shan yang sudah dua kali berada di pinggiran maut kerana kemalangan dan penyakit, berkata dirinya tidak kesal kerana tiada sesiapa yang mampu meramalkan masa depan dirinya. Berulang kali beliau berkata tidak banyak "tempoh lima tahun" dalam hidup seseorang manusia. Ceng yang prihatin dengan perhimpunan BERSIH gagal turun ke jalan raya kerana keadaan kesihatannya yang tidak membenarkan. Beliau menitiskan air matanya apabila melihat gambar di tempat kejadian. Jadi, beliau tidak menyelindung hasratnya kali ini, untuk berkempen di pentas DAP dan menyeru agar semua orang menyertai arus perubahan. "Apakah BN akan menyara hidup saya bila saya tidak bernyanyi?" Ceng Wei Shan meluahkan segala-gala yang terpendam dalam hati, sebagai seorang penyanyi Cina yang tidak menerima layanan adil dalam dunia hiburan. Beliau berkata, tidak kurang penyanyi Cina tempatan yang memperolehi anugerah di peringkat antarabangsa, tetapi tidak diiktiraf di Malaysia. Layanan jauh berbeza apabila artis dunia hiburan Melayu membuat persembahan di Indonesia dan Jepun. Di samping itu, Ceng Wei Shan juga bersimpati dengan keluarga mendiang Teoh Beng Hock, pendidikan Cina yang tidak mendapat pembelaan dan sebagainya. Beliau marah apabila kekayaan negara dirampas perasuah yang menzalimi rakyat. Beliau persoal, "Untuk membantu orang saya boleh membuat 160 persembahan tanpa syarat dan tanpa upah. Apakah saya tidak boleh mengorak selangkah ke depan untuk perubahan? Walaupun saya artis, tapi saya juga anak watan Malaysia! Apakah artis bukan warga negara?" Ceng menambah, 95% daripada penyanyi popular yang dirinya kenal cenderung untuk "pertukaran kerajaan", namun mereka terikat dengan kontrak syarikat. Lagipun, peluang liputan mereka telah berkurang, seandainya "dipadamkan" sepenuhnya, maka hancurlah masa depan mereka. Itu puncanya mereka tidak menyatakan pendirian secara terbuka. *Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 2 Julai 2012. - Merdeka Review Harakah Daily |
Warga India rentung kena hempap dinding rumah terbakar Posted: 03 Jul 2012 08:01 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki warga India ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Lebuh King lewat petang kelmarin. Ketua Balai Bomba Lebuh Pantai, Ismail Md Zin berkata, mangsa dikenali sebagai Arokkiaraj, 34, berasal dari Tamil Nadu, dipercayai maut akibat dihempap siling salah sebuah bilik rumah kedai dua tingkat ketika kejadian. "Kami terima panggilan mengatakan ada kebakaran di sebuah rumah kedai kira-kira jam 6 petang. Difahamkan ada seorang mangsa masih terperangkap dalam rumah berkenaan. "Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba yang bertugas menjalankan operasi memadam api sebelum masuk menyelamatkan mangsa. Sebaik tiba di tingkat dua, kita dapati mangsa sudah meninggal dunia akibat dihempap siling," katanya di tempat kejadian kelmarin. Menurutnya, mangsa difahamkan bekerja sebagai seorang penjahit pakaian tradisional India di kawasan berdekatan. "Mayat lelaki malang itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan melecur hampir 80 peratus. Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang tidur di dalam salah satu bilik yang diubahsuai. "Siasatan awal mendapati, mangsa tidak menyedari kebakaran itu sekali gus terperangkap, kerana sedang nyenyak tidur," katanya. Beliau berkata, struktur rumah kedai yang diperbuat daripada papan juga menjadi salah satu faktor menyebabkan api merebak begitu pantas. Bagaimanapun, bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit dan siasatan awal mendapati api bermula dari bahagian tengah rumah kedai itu yang menempatkan bilik mangsa. Ismail berkata, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Sinar Harian |
Bata 'press' lebih murah Posted: 03 Jul 2012 08:00 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - BACHOK – Ketiadaan sumber tanah liat berkualiti untuk pembuatan batu bata, menyebabkan ramai kontraktor pembinaan kini bertukar kepada penggunaan bata 'press'. Di Bachok, keadaan yang sama berlaku apabila kos pembuatan bata tanah liat juga semakin meningkat, dan memaksa pengusaha mencari alternatif lain untuk pembinaan. Bagi seorang pengusaha bata press, Mustaffa Sidik, 49, berkata, bata tanah liat perlu menggunakan tanah sawah yang semakin sukar diperoleh menyebabkan dia mula menceburkan diri dengan pembuatan bata 'press' "Tanah liat dari sawah semakin sukar diperoleh dan kosnya juga tinggi. Harga sebiji bata tanah liat ialah 40 sen, sedangkan harga bata 'press' cuma 23 sen (termasuk kos penghantaran). "Sebab itulah, sejak 2008 saya mulakan perniagaan ini untuk memberi pilihan dan kos lebih murah kepada orang ramai membina bangunan dan kediaman," katanya kepada Sinar Harian. Mustaffa berkata, sejak membuka perusahaan di kawasan Beris Lalang, ia juga memberi peluang kerja kepada penduduk tempatan apabila seramai 28 anak tempatan diupah sebagai pekerjanya. Menurutnya, semua kerja di kilang batanya mengikut piawaian yang mempunyai sijil pengiktirafan dari Kumpulan Ikram Sdn Bhd. "Semua bata kami mengikut piawaian dan dipantau menggunakan sistem berkomputer. "Bahan mentah kami juga mengikut kualiti ditetapkan dengan 30 peratus bahan campuran adalah 'kuari dust' yang diperoleh dari kuari Gunong dan Pasir Puteh. "Sebab itu, kami sering mendapat kepercayaan untuk menghantar bekalan bata ke projek perumahan dan bangunan agensi kerajaan dan swasta," katanya yang juga ahli Dewan Perniagaan Melayu Islam Kelantan. Mustaffa berkata, kilangnya mempunyai stok sehingga dua juta bata 'press'' pada satu-satu masa untuk memudahkan permintaan dihantar kepada pelanggan bila-bila masa. Katanya, setiap bata 'press' yang diproses perlu dijemur di bawah terik matahari sekurang-kurangnya selama satu jam. Sinar Harian |
Sime Darby terus hambat Pahang Posted: 03 Jul 2012 07:55 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - PASUKAN berstatus kelab Sime Darby yang kian serasi dengan jolokan The Giants Killers terus memberi tekanan kepada anak didik Dollah Salleh dalam perebutan tangga kedua Liga Perdana yang kini berbaki dua perlawanan. Perebutan tangga kedua kini masih terbuka dengan Pahang empat mata di hadapan di tangga kedua, sementara anak didik Ismail Zakaria di tangga ketiga dengan 39 mata hasil 20 perlawanan yang dilalui sehingga kelmarin. Bagi Ismail, kemenangan menewaskan Pos Malaysia 4-0 dalam perlawanan malam kelmarin, adalah suntikan semangat anak didiknya untuk terus mempamerkan aksi cemerlang sehingga saingan tamat. "Sasaran mencapai tempat kedua dalam Liga Malaysia tetap ada walaupun kini Pahang empat mata di depan Sime Darby, berbaki dua perlawanan. "Sambil mengharapkan Pahang tercicir mata dalam baki saingan dan kemenangan berpihak Sime Darby, tidak mustahil kita mampu menduduki tempat kedua," katanya. Berbaki dua perlawanan yang bakal berlangsung 6 dan 13 Julai nanti, Sime Darby bakal menjadi tuan rumah berhadapan PDRM dan pelawat kepada NS Betaria dalam perlawanan terakhir mereka. Sinar Harian |
Rozaimi diintai kelab luar negara Posted: 03 Jul 2012 07:54 PM PDT 14 Syaaban 1433H. [MOD] - NAMA penyerang Sabah, Rozaimi Abdul Rahman kini meniti di bibir peminat tempatan selepas mencipta kejutan mengetuai senarai penjaring terbanyak kejohanan kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar. Ledakan sembilan gol dihasilkan pemain berasal Bongawan, Sabah setakat ini cukup melegakan kem negara sekali gus membuktikan kita tidak kekurangan bakat pelapis muda. Selepas kemunculan Nazmi Faiz Mansor, Ahmad Hazwan Bakri, Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (sekadar menyebut beberapa nama), Rozaimi mampu menjadi bintang bola sepak negara pada masa depan. Malah, tidak keterlaluan mengatakan dia sebenarnya mampu memikat pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal untuk disenaraikan menjelang kempen Piala AFF Suzuki, penghujung tahun ini jika mampu mengekalkan momentum permainannya. Sebenarnya, penyerang berusia 20 tahun ini bukanlah asing dalam saingan liga tempatan. Dia pernah bermain untuk pasukan Sarawak pada 2010 sebelum mengambil keputusan menabur bakti negeri kelahirannya, Sabah pada tahun lepas. Kelincahannya bersama skuad Sabahawks menambat perhatian jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee untuk disenaraikan dalam perlawanan antarabangsa menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada Julai tahun lalu. Semenjak dari itu, Rozaimi berusaha gigih dan sentiasa mencari peluang menyarung kembali jersi negara. Bagaikan sudah menjadi rezeki untuk bermain dengan pasukan Malaysia, namanya berada dalam senarai untuk dibawa Kim Swee ke Myanmar. Sebelum itu, Rozaimi sempat menyumbang satu gol ketika Harimau Muda menang 4-0 mengatasi Qatar Bawah 22 Tahun dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Jun lalu yang merupakan jaringan pertamanya di pentas antarabangsa. Dua kali mencipta hatrik ketika menumpaskan Filipina (7-0) dan Vietnam (3-0) meletakkannya antara penggempur baru yang digeruni saat ini. Malah, Kim Swee turut mengesahkan Rozaimi bakal mengikut jejak Nazmi, Wan Zaharulnizam dan Wan Zack Haikal untuk menjalani ujian pemilihan bersama kelab luar negara. Jika gagal bermain di pentas luar sekali pun, saham Rozaimi tetap 'laku' kerana barangkali tetap diintai pasukan gergasi tempatan lain selepas ini. Sinar Harian |