Rabu, 4 Julai 2012

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Apa jadi pada janji bina landasan pesawat kecil di Rembau?

Posted: 03 Jul 2012 05:38 PM PDT

Menteri Besar Negeri Sembilan nampaknya keliru antara pembinaan lapangan terbang dan landasan pesawat kecil di Rembau yang disiar akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Feb 2008 yang memetik Mohamad Hasan berkata "Kita akan buat landasan untuk Kelab Penerbangan Awam Negeri Sembilan yang jaraknya lebih kurang 700 meter. Ia sesuai untuk digunakan oleh pesawat kecil seperti Cessna atau mikrolite."

Akhbar Sinar Harian 3 Julai 2012 pula memetik Mohamad Hasan berkata "Kerajaan Negeri hanya memberi rizab tanah seluas dua hektar kepada Kelab Penerbangan Negeri Sembilan untuk mengadakan aktiviti".

Apakah tanah seluas 2 hektar tersebut telah diberikan kepada Kelab Penerbangan Negeri Sembilan, di mana? Siapa dia "kita" yang dimaksudkan oleh Mohamad Hasan yang akan membina landasan pesawat kecil tersebut?

******************
Sinar Harian 3 Julai 2012

Dalam pada itu, Mohamad turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang menuduhnya menipu rakyat mengenai dua isu di Rembau.

Katanya, isu pembinaan Hospital Rembau dan lapangan terbang di daerah itu adalah tidak berasas.

"Negeri Sembilan antara negeri yang mempunyai hospital di setiap daerah dan pembinaan Hospital Rembau sudah pun ditenderkan.

"Manakala mengenai isu pembinaan lapangan terbang di Rembau ia sesuatu yang tidak masuk akal kerana Rembau daerah yang kecil.

Kerajaan Negeri hanya memberi rizab tanah seluas dua hektar kepada Kelab Penerbangan Negeri Sembilan untuk mengadakan aktiviti," katanya.

**************
Landasan pesawat kecil dibina di Rembau
Utusan Malaysia 21 Feb 2008

Rembau akan terus membangun apabila kerajaan negeri bercadang untuk membina landasan pesawat kecil untuk kegunaan Kelab Penerbangan Awam Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tapak untuk landasan itu telah pun dikenal pasti iaitu di Batu Hampar, Rembau.

"Kita akan buat landasan untuk Kelab Penerbangan Awam Negeri Sembilan yang jaraknya lebih kurang 700 meter. Ia sesuai untuk digunakan oleh pesawat kecil seperti Cessna atau mikrolite."

"Kawasannya juga telah dikenal pasti iaitu di Batu Hampar, Rembau. Di situ nanti, ia akan menjadi pusat latihan penerbangan untuk kelab berkenaan," kata beliau di sini semalam.

Tambah Mohamad, buat masa ini kajian terhadap tanah di situ sedang dilakukan kerana ia merupakan tanah kampong.

Harapkan pagar, pagar makan pagar?

Posted: 03 Jul 2012 05:36 PM PDT

Anggota Polis Tembak Rakan Setugas Perbuatan Jenayah - PDRM

Julai 3, 2012 : Kes seorang anggota polis menembak rakan setugasnya akibat perselisihan faham ketika menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Euro 2012 menerusi skrin besar sebuah premis hiburan di Johor Baharu awal pagi semalam merupakan satu kes jenayah.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata ini kerana kes itu melangkaui disiplin pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan boleh disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Kes itu akan disiasat oleh Polis Kontinjen Johor Baharu berdasarkan cadangan atau keputusan Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen itu sendiri," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas kejadian itu.

Sehubungan itu beliau menasihatkan setiap pegawai dan anggota PDRM supaya bijak dan berhemah ketika menggunakan senjata api walau dalam keadaan apa sekalipun.

"Penggunaan senjata api ini tidak boleh disalah gunakan kerana ia (penggunaan senjata api) tertakluk kepada peraturan PDRM yang telah ditetapkan.

"Antaranya, pistol atau senjata api hanya diguna ketika menjalankan tugas-tugas rasmi serta perlu dipulangkan dan disimpan semula di tempat khas apabila tidak digunakan," katanya.

Dalam kejadian itu seorang konstable polis yang koma akibat terkena tembakan empat das yang dilepaskan rakan setugasnya selepas mereka berselisih faham ketika menonton perlawanan akhir bola sepak Euro 2012 antara Sepanyol dan Itali semalam. - BERNAMA

Sekolah di Malaysia selamat?

Posted: 03 Jul 2012 05:34 PM PDT

Ditikam depan sekolah adik
4 Julai 2012

KUALA TERENGGANU: Usaha seorang abang untuk mendamaikan pertelingkahan adik perempuannya dengan rakan sekolah bertukar tragedi apabila dia parah akibat ditikam dua kali di depan sebuah sekolah di Bukit Tunggal, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Shuhadan Usop, 22, dikatakan menunggu bapanya, Usop Embong, 50-an, pergi berjumpa guru disiplin sekolah berkenaan untuk berbincang mengenai kes adiknya yang bergaduh dengan seorang pelajar perempuan lain.

Ketika menunggu bapanya di pondok pengawal, mangsa tiba-tiba didatangi abang kepada pelajar perempuan yang dikatakan bergaduh dengan adiknya dan lelaki terbabit terus meluru ke arahnya.

Suspek yang marah sebaik ditanya tujuannya terus memukul mangsa dengan topi keledar sebelum menggunakan belati untuk menikam perut dan dagu mangsa.

Shuhadan yang masih lemah ketika ditemui di Wad Pembedahan Lelaki, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, selepas menikamnya, suspek meninggalkan tempat kejadian sebelum datang semula dengan membawa senjata dipercayai pedang samurai.

Longkang berbuih, busuk

Posted: 03 Jul 2012 05:33 PM PDT

3 Julai 2012

Kota, Rembau – Keadaan longkang berbuih dan saliran air yang tidak baik di pekan ini yang menimbulkan bau busuk mendatangkan ketidakselesaan kepada pengunjung kedai makan, dekat sini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, saliran air yang tidak baik itu mencemarkan pemandangan dan memberi reaksi buruk kepada orang luar yang menjadikan lokasi berkenaan sebagai persinggahan membeli makanan.

Salah seorang penduduk, Mat Rahim, 59, dari Kota berkata, sememangnya pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sering melakukan kerja gotong-royong di lokasi berkenaan.

Namun katanya, masalah longkang berbuih dan berbau tidak pernah selesai.

"Kami berharap agar pihak berkaitan dapat meneliti kaedah bersesuaian bagi mengatasi masalah ini memandangkan lokasi ini sememangnya menjadi tumpuan penduduk mahupun pengguna jalan raya yang terletak di tepi jalan utama Seremban-Tampin.

"Selaku penduduk dan pengunjung kedai makan, saya berharap masalah longkang ini dapat diatasi bagi memberikan keselesaan kepada penduduk.

Malah, sekiranya hujan lebat lebih dua jam, air berkemungkinan melimpah masuk ke kedai," katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, dekat sini, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Nuffnang