Pemuda PAS sokong himpunan Black505 diteruskan Posted: 15 Jun 2013 02:38 AM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR:Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyatakan sokongan terhadap mana-mana badan yang menentang dan membantah penyelewengan pilihan raya umum. Sokongan itu dinyatakan Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin Hassan pada sidang media di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut, hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan sayap itu.
Nasrudin berkata, sokongan itu dinyatakan kerana pihaknya berpandangan pilihan raya perlu dilaksanakan dengan adil dan telus, tanpa sebarang penyelewengan dan salah laku. "Kita menerima apa sahaja keputusan yang diputuskan rakyat jika pilihan raya itu dijalankan dengan adil dan tanpa salah laku. Kalah menang dalam pertandingan itu kita terima," kata beliau kepada media.
Justeru, beliau menyatakan sokongan kepada himpunan Black 505 yang akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur, 22 Jun ini.
Sementara itu, menyentuh soal larangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan Padang Merbok untuk perhimpunan pada tarikh tersebut, Nasrudin hanya menyerahkan kepada pihak penganjur. "Kita serahkan kepada penganjur. Jika mereka meneruskan himpunan aman itu di situ, kita teruskan. Begitu juga jika mereka pinda tarikh atau sebagainya," tegas beliau. Dalam pada itu, Pemuda PAS turut menumpukan perhatian khusus berhubung daftar pemilih dan undi awal bagi persiapan sayap itu menghadapi pilihan raya umum ke-14. Katanya, penumpuan itu akan diberikan bersama jawatankuasa postmortem yang dibentuk Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS yang turut memberi input kepada jawatankuasa postmortem di peringkat pusat. Sidang media itu turut disertai Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dan Setiausaha, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Harakahdaily/- |
16 peserta 'flashmob' ditahan depan Sogo Posted: 15 Jun 2013 02:36 AM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Seramai 16 peserta 'flashmob' termasuk seorang wanita dan kanak-kanak ditahan sewaktu mengadakan 'flashmob' di hadapan gedung membeli-belah Sogo sekitar jam 2.50 petang tadi. Mereka ditahan sewaktu mengadakan acara tersebut menjelang himpunan Black 505 di Padang Merbok pada 22 Jun ini. Di antara yang terawal ditahan adalah Pengarah Propaganda NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan
Menurut seorang pegawai polis memaklumkan bahawa mereka di bawa ke ke Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, dengan kenderaan Black Maria untuk tindakan lanjut.
Selepas kenderaan itu beredar, aktivis pelajar Ekhsan Bukharee dan seorang peserta lagi kemudiannya ditahan selepas membuat pengumuman supaya orang ramai berhimpun di depan balai Dang Wangi sebagai tanda solidariti kepada 14 orang yang ditangkap.
Mereka dibawa IPD Dang Wangi dengan berjalan dalam keadaan bergari dan diiring dua anggota polis. Penahanan tersebut berlaku selepas kira-kira 30 peserta 'flashmob' berkenaan menyeru orang ramai supaya turun ke himpunan membantah dakwaan berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum lalu.
Mereka berdiri di hadapan gedung Sogo berhadapan Jalan Tuanku Abdul Rahman selama kira-kira 30 minit bermula sekitar jam 2.15 petang.
Sebahagian daripada mereka memegang plakad bertulisan 'Pengerusi SPR sila letak jawatan' dan 'Mari turun 22 Jun Blackout'. Kira-kira 30 orang termasuk petugas media kini berada di hadapan ibu pejabat polis ini untuk mengetahui perkembangan lanjut mereka yang ditahan.
Aktivis mahasiswa, Adam Adli adalah antara yang menunggu di hadapan balai ketika ini.
Seorang peguam, New Sin Yew yang tiba di pintu masuk IPD Dang Wangi itu untuk menemui mereka yang ditahan polis.
Anggota polis yang berkawal di pintu masuk tidak membenarkan New masuk atas alasan beliau perlu menunggu arahan pegawai atasan sebelum dibenarkan berbuat demikian.
"Saya kenal Eddy secara peribadi dan saya di sini untuk menemui beliau," katanya.
Beliau kemudiannya dibenarkan masuk selepas bertegas mahu membuat laporan kerana dihalang mewakili mereka yang ditahan.
Malaysiakini/- |
Umno akan jual bangsa Melayu untuk kekal kuasa Posted: 14 Jun 2013 10:45 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, | 15 Jun 2013 |
Hanya orang UMNO sahaja yang boleh memegang dua fikiran yang bercanggah pada masa yang sama. Hanya Najib saja yang boleh bercakap mengenai 1Malaysia dan bukan 1Malaysia ketika yang lain. Pada malam keputusan PRU, dengan muka yang bera, dia menyalahkan bangsa Cina kerana tidak menyokong UMNO. Siapa nak sokong parti yang pemimpinnya semua korup dan rasuah?
Hanya UMNO boleh bercakap mengenai perpaduan orang Melayu, tapi mendiskriminasi Melayu yang tidak menyokong mereka. Ketua kampung UMNO (pengerusi JKKK) bercakap besar mengenai menolong orang Melayu, tapi menyekat bantuan kepada Melayu yang tidak menyokong mereka. Hanya pemimpin UMNO yang malas pergi masjid dan surau, tapi menyekat Melayu lain menyemarakkan masjid dan surau.
Hanya pemimpin UMNO sahaja yang bercakap mengenai memberi tanah kepada orang Melayu tapi menyekat pemberian kepada Melayu yang tidak menyokong nya. Di Raub ada ribuan orang Melayu yang hidup atas tanah lebih dari 40 tahun, masih tidak mendapat hakmilik. Pemimpin dan penyokong UMNO mempunyai tanah di serata tempat.
Jadi, kepentingan yang UMNO jaga dan kukuhkan ialah bukan kepentingan Melayu keseluruhan nya tapi kepentingan kelompok dan puak mereka. Maka apa perlu orang Melayu menyokong UMNO?
Yang kita kena sokong ialah penubuhan sebuah kerajaan yang memerintah dengan tegas dan menjaga kepentingan masyarakat keseluruhan nya. Jika Melayu itu sudah majoriti, tidak dapat tidak, kepentingan Melayu lah yang diutamakan. Memahami ini tidak memerlukan ilmu hisab yang tinggi. Hanya orang UMNO sahaja yang menganggap orang Melayu di kampung-kampung bodoh dan hanya pemimpin UMNO sahaja yang menggelarkan orang Melayu lain haramjadah.
Orang UMNO memang tak tahu malu. Lebih ramai orang Melayu menyokong PR dari UMNO, pemimpin UMNO masih tidak faham-faham. Calon-calon UMNO, yang menang dan kalah mendapat 3.2 juta undi. Ada faham? 3.2 juta ini adalah undi keseluruhan kepada semua calon-calon UMNO.
Dari 3.2 juta undi ini, bukan semua yang mengundi terdiri dari orang Melayu. Cina dan India ada juga menyokong UMNO. Sekitar 10%. Ertinya, orang Melayu yang menyokong calon-calon UMNO secara lansung ialah 2.9 juta. Tak tahulah saya hendak ajar kalau tidak faham ilmu hisab mudah ini.
Jumlah ahli UMNO pun lebih banyak dari itu. Jika semua ahli UMNO menyokong calon UMNO dan semua calun BN, 3.2 juta penyokong mesti tidak dapat tidak ada 3.2 juta angka asas. Ahli UMNO pun tidak menyokong UMNO.
Faktanya ialah adalah menjadi kerugian besar jika orang Melayu memilih UMNO untuk menjaga kepentingan mereka. Wakil UMNO pemalas dan penipu. Saya amat senang hati mendedahkan mutu kerja wakil UMNO di Raub misalnya. Tunggulah.
Kerja membalun UMNO ini tidak akan selesai sehingga mereka bukan lagi kerajaan. Selagi UMNO menghalang kejayaan bangsa Melayu, kita mesti bantai mereka. kita tidak boleh terima keangkuhan UMNO mengaku bahawa mereka wakil tunggal kepentingan Melayu. Kepentingan orang Melayu ialah mendapatkan keperkasaan ekonomi dan perkongsian kuasa. Kepentingan ini bertentangan dengan kepentingan feudal UMNO.
Ya , UMNO itu parti bersifat feudal. UMNO distrukturkan supaya sekumpulan kecil yang terpilih menungang di atas belakang rakyat yang diperhamba abdikan. Kepentingan UMNO ialah membolot kekayaan dan memusatkan kuasa dalam tangan elit. Kepentingan bangsa Melayu berlawanan dengan kepentingan UMNO. Pertentangan ini menyebabkan orang Melayu tidak lagi boleh menerima kepimpinan UMNO.
Dalam kawasan yang tidak ditandingi oleh calon UMNO, orang Melayu tetap ada menyokong parti BN. Kita akui ini. Tapi berapa ramai sangatlah orang Melayu yang menyokong mereka. Dari 899,000 undi yang diperolehi oleh calon MCA (menang dan kalah) berapa ramai Melayu yang menyokong mereka? Katalah 20% Melayu menyokong calonn MCA. Baru ada sekitar 180,000 orang. Melayu yang menyokong MIC? 10% dari 292,000 ialah kira-kira-kira 29,000. Melayu yang menyokong PBB di Sarawak? 40% dari 232,000=91,000.
Wal hasil balik asal, jumlah orang Melayu yang menyokong UMNO secara langsung dan tidak langsung (melalui sekutu-sekutu BN) ialah 3.2 juta. 3.2 juta sama jumlahnya dengan jumlah ahli UMNO. Jadi apalah yang hendak dibanggakan oleh UMNO.
Setelah belanja berbilion ringgit dan setelah menyogok dan merasuah orang Melayu terutamanya, dari 2.2 juta undi Melayu dalam tahun 2008, UMNO hanya dapat menambahkan 1 juta sahaja pengundi Melayu.
Ringkasan keputusan PRU13- data terpilih. PARTI | UNDI(JUTA) | % UNDI | KERUSI | %KERUSI | BARISAN NASIONAL | 5.24 | 47.4 | 133 | 59.9 | UMNO | 3.24 | 29.32 | 88 | 39.64 | PUBB | 0.23 | 2.10 | 14 | 6.31 | MCA | 0.89 | 8.14 | 7 | 3.15 | PRS(swak) | 0.06 | 0.54 | 6 | 2.7 | MIC | 0.29 | 2.64 | 4 | 1.8 | Pakatan Rakyat | 5.62 | 50.88 | 89 | 40.09 | DAP | 1.74 | 15.71 | 38 | 17.12 | PKR | 2.25 | 20.39 | 30 | 13.5 | PAS | 1.63 | 14.77 | 21 | 9.46 | TOTAL | 11.27 | 100 | 222 | 100 |
Sumber: SPR
Kalau MIC, PBB dan yang lain-lain tinggalkan UMNO, UMNO akan mati. Penyokong UMNO faham signifikans perkara ini tidak? Ini akan menyebabkan Najib akan melakukan apa sahaja untuk menjual harga dirinya untuk memastikan UMNO kekal sebagai kerajaan. Ini termasuklah menggadaikan kepentingan bangsa Melayu. Apa dia peduli? Selagi dia terus kekal jadi PM.
Marilah bangsa Melayu sedar bahawa masa depan mereka bukanlah bergantung pada UMNO. UMNO kojol pun, bangsa Melayu tetap hidup. UMNO perlukan bangsa Melayu, bukan bangsa Melayu perlukan UMNO. - http://sakmongkol.blogspot.com
Tulisan di atas dipetik daripada blog penulis. Beliau ialah Ahli Parlimen Raub.
Harakahdaily/- |
Akhlak Terpuji Posted: 14 Jun 2013 10:42 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Oleh Jarjani Usman
"Sesungguhnya (orang) yang paling kucintai di antara kalian dan yang paling dekat tempatnya denganku pada hari kiamat adalah yang paling baik budi pekertinya di antara kalian" (HR. at-Tirmidzi). Akhlak terpuji ibarat emas. Mahal harganya, dan disukai di mana-mana. Akhlak terpuji juga menumbuhkan rasa senang di hati. Islam juga memberikan perhatian khusus kepada akhlak terpuji. Sebagaimana disebutkan Rasulullah bahwa dirinya diutus ke dunia ini untuk menyempurnakan akhak mulia. Dengan demikian, berislam dan beriman adalah berakhlak terpuji. Kata Rasul, belum disebut orang beriman sebelum mencintai orang lain sebagaimana mencintai diri sendiri. Namun, penting diingat bahwa akhlak terpuji bukan sifat bawaan.
Dengan demikian, akhlak terpuji dibentuk, diasuh, dan dipelihara. Tentunya termasuk mengasuh atau mendidik diri sendiri sedini mungkin. Itulah sebabnya, tatkala memilih pasangan hidup, yang berakhlak baik termasuk menjadi pertimbangan penting dalam ajaran yang dibawa Nabi SAW. Alasannya, pasangan demikian ikut membentuk akhlak generasi di masa yang akan datang. Selanjutnya generasi tersebut akan menjadi teladan dari umat agama mulia yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Apalagi agama tak sebatas kata-kata mulia, tetapi juga perilaku-perilaku terpuji.
Karena akhlak terpuji bukan bawaan, peluang memperbaiki diri sangat besar. Termasuk peluang besar bagi yang sudah tenggelam dalam kubangan dosa pun. Peluang ini sepatutnya dimanfaatkan demi kebaikan diri, sebelum nafas terhenti dan nyawa menjauh pergi dari jasad.
|
Menyekutukan Allah atau syirik Posted: 14 Jun 2013 10:37 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] - www.freemalaysiatoday.com Bersempena dengan bulan Syaaban yang mulia ini, di mana Rasulullah saw menganggap bulan ini adalah bulan baginda, elok kita renungi satu perbuatan dosa yang besar yang tidak diampun oleh Allah iaitu perbuatan menyekutukanNya atau syirik. Syirik bererti menganggap seseorang atau benda lain atau sesuatu konsep sebagai wujud yang ketara atau lebih tinggi daripada Allah. Anggapan seperti ini boleh menjelma dalam pemikiran dari segi penilaian, rasa lebih menyukai sesuatu melebihi apa yang datangnya daripada Allah dan disertai dengan perbuatan-perbuatan yang mendukungnya.
Hal seperti inilah yang disebut sebagai "menyekutukan Allah dengan tuhan yang lain". Dengan kata lain, menganggap bahawa seseorang atau benda lain memiliki sifat-sifat Allah, sama artinya dengan menyekutukan Allah. Allah menyebut dalam Al-Quran bahawa dosa syirik tidak akan diampuni, seperti tertera dalam ayat 48, Surah An-Nisa' yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni (dosa) kerana mempersekutukanNya (syirik) dan Dia mengampuni apa (dosa) yang selain (syirik) itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah maka sungguh dia telah membuat dosa yang besar." Salah satu bentuk perbuatan syirik adalah "memuja berhala". Menurut adat, kata "memuja berhala" bererti menyembah benda atau wujud tertentu. Namun sebenarnya, maknanya lebih luas dan tidak terbatas pada pengertian tersebut. Pada setiap masa, senantiasa ada orang yang menyekutukan Allah, mengambil tuhan lain dan menyembah pujaannya atau patung-patung. Memberhalakan sesuatu tidak selalu bererti bahawa pemujanya mengatakan "ini tuhan yang saya sembah". Tidak juga bererti bahawa ia mesti bersujud di hadapannya. Menyembah berhala dapat bererti rasa suka seseorang terhadap sesuatu melebihi rasa sukanya kepada Allah. Allah menyatakan bahawa sesuatu yang disekutukan dengan Allah tidak akan dapat menolong orang yang menyekutukannya, seperti firman Allah dalam ayat 16 Surah Ankabut yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Ibrahim, ketika dia berkata kepada kaumnya, "Sembahlah Allah dan bertakwalah kepadaNya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." Allah melarang keras perbuatan menyekutukanNya dan seseorang itu mesti meninggalkan perbuatan syirik walaupun dipaksa oleh kedua-dua ibu bapa kita seperti kisah Luqman yang memberi nasihat kepada anaknya. Allah berfirman dalam ayat 3-5 dalam Surah Luqman yang bermaksud: Nasihat Luqman
"Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, "Wahai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar satu kezaliman yang besar. "Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusuinya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kamu akan kembali. "Dan jika keduanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu maka janganlah engkau menaati keduanya dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu. Kemudian hanya kepadaKu tempat kembalimu maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan." Seperti mana yang telah disebut di atas, menyukai sesuatu lebih dari mencintai sesuatu yang datangnya daripada Allah adalah satu bentuk syirik dan menyekutukan Allah. Syirik bukan sahaja menyembah berhala atau sesuatu yang berlembaga tetapi perbuatan syirik juga bererti menyokong, membantu seseorang atau pemimpin dan penguasa atas sesuatu urusan atau pekerjaan dalam konteks menggunakan kaedah dan undang-undang selain syariat dan hukum Allah. Perbuatan menyokong ideologi asing atau isme-isme seperti kapitalisme, komunisme, sosialisme, liberalisme, rasisme dan menganggap sistem-sistem ini lebih baik dari Islam adalah juga satu bentuk syirik. Ramai orang Islam yang tidak menyedari tentang perkara ini kerana ianya bukan berbentuk fizikal tetapi kefahaman-kefahaman ini terbentuk dalam pemikiran dan sekaligus "berlembaga" dalam pemikiran yang abstrak. Satu perbuatan umat Islam yang tidak disedari ialah ketika beribadah dan solat di masjid dan surau, mereka menyembah Allah tetapi apabila selesai solat dan keluar dari masjid dan surau mereka "menyembah" selain Allah. Begitu juga dengan kepercayaan kepada sistem demokrasi yang melampaui batas dan keterlaluan, yang menganggap "kuasa rakyat" adalah segala-galanya, dan mengatasi kekuasaan Allah juga merupakan satu perbuatan menyekutukan Allah dan syirik. Sistem demokrasi hanya merupakan satu 'uslub' atau kaedah atau metodologi untuk meraih sokongan rakyat untuk mendapat kuasa untuk memerintah sesebuah negara agar dapat menarik manusia supaya tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Tidak lebih dari itu, jika kita berhasrat untuk mendapat keridhaan daripadaNya. Dalam erti kata lain, sistem demokrasi itu sendiri bukan merupakan satu metodologi untuk mendapat kuasa daripada rakyat untuk mencabar dan menentang hukum Allah.Jika itu matlamatnya maka ini merupakan satu kezaliman yang sangat besar. |
Budak 11 tahun jadi bapa kepada anak dengan wanita 36 tahun di New Zealand Posted: 14 Jun 2013 10:34 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] -
WELLINGTON: Seorang budak berusia 11 tahun di New Zealand dilaporkan menjadi bapa kepada kanak-kanak dengan wanita 36 tahun, yang juga ibu kepada rakan sekolahnya.
Laporan semalam itu sekali gus menimbulkan persoalan mengapa wanita tidak boleh didakwa atas tuduhan merogol di negara itu. Kaunselor di kawasan kes penganiayaan seks ke atas kanak-kanak itu berkata, kes itu diketengahkan berikutan kurangnya tumpuan diberikan kepada wanita yang menjadi penyebab keadaan itu, lapor akhbar New Zealand Herald.
Kes itu turut memaksa undang-undang yang berkaitan disemak semula di mana jenayah rogol bukan hanya dilaksanakan terhadap golongan lelaki saja.
Menteri Undang-Undang, Judith Collins, berkata pihaknya akan menyiasat kes yang dilaporkan akhbar berkenaan.
"Kes ini mengetengahkan satu fakta yang penting. Saya akan meminta nasihat pegawai sama ada kita perlu memindah undang-undang yang berkaitan," katanya.
Wanita dan budak berkenaan yang nama mereka tidak didedahkan, tinggal di daerah North Island di Auckland. Pengetua sekolah kanak-kanak itu memberitahu New Zealand Herald bahawa dia terkejut apabila kanak-kanak berkenaan memberitahu apa yang berlaku ke atasnya.
"Anda tentu tidak akan sukakan saya," kata pengetua itu mengingati apa yang kanak-kanak itu memberitahunya hujung tahun lalu.
"Dia (mangsa) berkata dia mengadakan hubungan seks dengan emak kepada rakannya dan 'dia perlu menghentikannya'.
Mengikut Undang-Undang New Zealand, jenayah rogol hanya dilaksanakan kepada lelaki yang jika didapati bersalah boleh membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun.
Wanita yang memaksa lelaki mengadakan hubungan seks boleh dituduh atas kesalahan penganiayaan seksual yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun.- AFP |
Hasan Rowhani kini mendahului pilihan raya Presiden Iran Posted: 14 Jun 2013 10:32 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] - CALON Presiden Iran, Hasan Rowhani, yang juga bekas pakar perunding nuklear negara itu, membuang undi pada pilihan raya presiden bagi menggantikan Mahmoud Ahmadinejad di Tehran, Iran, semalam. - Foto AP TEHRAN: Keputusan pengiraan undi awal tidak rasmi menunjukkan calon reformasi, Hasan Rowhani kini mendahului dalam persaingan pilihan raya presiden Iran. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Mostafa Mohammad Najjar, dalam siaran televisyen hari ini berkata, Rowhani kini memperoleh 402,000 undi daripada 861,866 undi keseluruhan yang belum dikira.
Bekas perunding nuklear iitu mula menjarakkan undi dengan pesaingnya iaitu Mohammad Bagher Qalibaf yang memperoleh 126,000 undi dan seorang lagi perunding nuklear, Saeed Jalili, 119,000 undi.
Tidak jelas ketika ini bila keputusan muktamad akan diumumkan. - AP |
Penggodam Filipina siar nombor telefon bimbit peribadi Presiden Posted: 14 Jun 2013 10:30 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] -
MANILA: Penggodam di Filipina menyiarkan dalam internet apa yang didakwanya nombor telefon bimbit milik peribadi Presiden Benigno Aquino.
Pegawai kerajaan Filipina menyifatkan tindakan penggodam itu sebagai satu 'vendalisme siber' dengan jurucakap Aquino, Ricky Carandang tidak dapat mengesahkan nombor itu milik sebenar Presiden. Sekiranya ia nombor telefon yang sahih, ia membabitkan soal keselamatan peribadi Presiden serta rahsia negara.
"ia satu vendalisme siber dna kami sedang menanganinya. Itu saja yang boleh saya perkatakan sekarang," kata Carandang kepada AFP.
Tiga nombor 'telefon bimbit peribadi' begitulah tajuk posting dalam laman Facebook semalam yang menggunakan akaun bernama "#pR.is0n3r".
Pemilik akaun itu menggesa pengikutnya yang berjumah lebih 9,000 orang agar berkomunikasi secara terus dengan Presiden.
Bagaimanapun cubaan untuk mendail nombor berkenaan gagal, awal hari ini dipercayai ia sudah ditamatkan. - AFP |
Seorang maut, 2 cedera dalam kebakaran maahad tahfiz Posted: 14 Jun 2013 10:23 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat Sungai Petani, maut manakala dua rakannya cedera dalam satu kebakaran di asrama Maahad berkenaan, awal hari ini.
Mangsa yang maut ialah Aiman Nurhakim Yahya, 13, yang merupakan penuntut tahun satu yang memulakan pengajian awal tahun ini. Mangsa yang cedera ringan ialah Meor Amirul Meor Mohd Ghazali, 16, dan Mohamad Muaz Halim, 14. Seorang pelajar yang terselamat, Mohammad Iszuddin Mohd Iszam, 14, berkata sewaktu kejadian pukul 2 pagi itu, dia sedang tidur bersama rakan-rakannya sebelum dikejutkan seorang rakannya yang menyedari api mulai marak.
"Bila terjaga, saya terus kejutkan empat lagi rakan yang tidur di tingkat atas termasuk Aiman yang tidur di bahagian hujung bilik. Semua rakan yang lain sudah bangun dan keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
"Kami sangka Aiman juga sudah keluar rupa-rupanya dia masih berada di dalam. Api marak dengan dengan cepat kerana bahagian atas rumah adalah papan, kami tidak sempat nak lakukan apa-apa untuk membantu Aiman," katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian hari ini.
Sementara itu, Pengetua (Mudir) Mantab Zamri Arshad berkata Mantab beroperasi kira-kira tiga tahun lalu, dan jumlah pelajar yang masih menuntut ialah seramai 20 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.
"Sebelum ini mereka tinggal di bangunan yang sama dengan bangunan pejabat dan kelas, namun dipindahkan ke sebuah rumah yang dibeli di kawasan berhampiran pada awal tahun ini kerana bilangan pelajar hampir 40 orang.
"Memandangkan pelajar kini 20 orang, kami bercadang untuk memindahkan mereka kembali ke bangunan asal dalam minggu ini. Dengan kejadian yang meragut nyawa salah seorang pelajar di sini, pelajar diberi cuti dan waris mereka akan dimaklumkan untuk membawa anak-anak pulang sementara urusan penginapan baharu diselesaikan," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Penaung Mantab, Anuar Md Isa, yang juga imam masjid Kampung Masjid berkata rumahnya terletak tidak jauh daripada asrama itu dan dia yang terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi bising, tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat.
"Sebelum pelajar-pelajar ditempatkan di asrama berkenaan, beberapa pengubahsuaian sudah dilakukan termasuklah memasang sistem pendawaian elektrik yang baharu. Namun, saya difahamkan punca kebakaran dipercayai disebabkan berlakunya litar pintas.
"Kita berasa sedih dengan peristiwa yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zamri di talian 012-5661613 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Islam Maahad Tahfiz Al-Barakah 07043011030975.
Dalam pada itu, jenazah Aiman Nurhakim yang dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, dijangka dibawa pulang oleh keluarganya ke rumah mereka di Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang untuk dikebumikan.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Kedah Ahmad Shahabuddin berkata kebakaran di Maahad Tahfiz itu melibatkan sebuah bangunan separa kekal iaitu separuh kayu, manakala bahagian bawahnya batu, menyebabkan api merebak dengan cepat.
"Apabila sampai ke lokasi, kebakaran sudah lebih 50 peratus dan kami dimaklumkan bahawa ada mangsa hilang. Apabila anggota masuk ke dalam, didapati bahawa mangsa sudah rentung. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Ahmad berkata dua jentera masing-masing daripada Balai Bomba Tikam Batu dan Sungai Petani dengan 16 anggota, digerakkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam kebakaran.
Sementara itu, kejadian yang meragut nyawa seorang pelajar itu, turut mendapat perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Merdeka Ali Yahya.
Ali yang turut turun ke lokasi kejadian, berkata beliau bersimpati dengan kejadian yang menimpa Maahad berkenaan dan akan melihat bantuan yang dapat diusahakan untuk membantu keluarga mangsa yang terlibat dan maahad terbabit.
"Saya difahamkan terdapat 20 pelajar di Maahad ini namun hanya 16 daripada mereka yang ada di asrama sewaktu kebakaran. Saya akan memanjangkan perkara ini kepada pengetahuan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, untuk melihat bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan bagi membantu mereka. Saya juga akan berbincang dengan Exco Agama mengenai bentuk bantuan yang dapat disalurkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian.
-Bernama |
Anuar, Hanimzah juara qari, qariah Posted: 14 Jun 2013 10:20 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Sultan Muhammad V menyampaikan piala kepada Anuar Hasin yang muncul johan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-56 di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu semalam. - UTUSAN/Irwan Majid
KOTA BHARU 14 Jun - Qari Perak, Anuar Hasin, 29, dan qariah Pahang, Hanimzah Jalaluddin, 31, muncul johan kategori qari dan qariah dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Lundang di sini, malam ini. Anuar yang membacakan surah al-Anfaal bermula ayat 45, meraih markah 92.33 peratus manakala Hanimzah memperdengarkan ayat 142 surah al-Baqarah, mendapat markah 88.34 peratus.
Kedua-dua bekas peserta Akademi al-Quran itu menyampaikan bacaan mereka pada malam terakhir iaitu malam keempat majlis tilawah tersebut yang dihadiri lebih 5,000 penonton.
Upacara penutupan majlis tilawah itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Turut mengiringi baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Kemenangan itu membolehkan kedua-dua pemenang masing-masing membawa pulang sebuah Proton Preve, wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderahati dan sijil penyertaan.
Sementara itu, qari Negeri Sembilan, Amirahman Abas, 31, yang mendapat markah 89.67 peratus muncul naib johan manakala qari Terengganu, Mohamad Hafass Ali, 31, menduduki tempat ketiga dengan kutipan markah 86.67 peratus.
Bagi kategori qariah pula, peserta Johor, Nor Azrah Ayub, 35, muncul naib johan dengan kutipan markah 86 peratus manakala qariah Kedah, Marzian Mohd. Deli, 33, mengikutinya dengan kutipan markah berjumlah 84.34 peratus.
Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kategori masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan RM7,000 berserta cenderahati dan sijil penyertaan.
Sementara itu, johan keseluruhan majlis tilawah tahun ini dimenangi negeri Perak yang mendapat markah purata 87.17 peratus hasil gandingan Anuar dan qariah, Munirah Razali, 24.
Majlis tilawah yang berlangsung bermula 10 Jun lalu bertemakan 'Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah' itu menyaksikan seramai 29 peserta mengambil bahagian iaitu 14 qari dan 15 qariah.
Pemarkahan dibarisi 15 hakim dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; Othman serta kepemimpinan kerajaan negeri dan Pusat.
|
Tambang bas tetap naik 30% Posted: 14 Jun 2013 10:18 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR 14 Jun - Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) kekal dengan pendirian untuk menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus walaupun ada pihak menyifatkannya sebagai terlalu tinggi.
Presidennya, Datuk Ashfar Ali berkata, kenaikan itu bukan disebabkan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, tetapi sebagai semakan semula yang biasa dilakukan dalam empat atau lima tahun sekali.
Bagaimanapun, katanya, memang ada kenaikan tambang pada musim perayaan, namun hanya dikhaskan untuk bas tambahan sahaja iaitu 10 peratus.
Menurut beliau, kali terakhir harga tiket disemak semula ialah pada 2008 dan dalam tempoh tersebut, berlaku peningkatan terhadap kos operasi sebanyak 36 peratus.
''Harga tayar dua tahun lalu dalam lingkungan RM900 hingga RM1,000 sahaja sebuah, tetapi kini meningkat kepada RMl,500 hingga RMl,600 sebuah.
''Harga casis dan badan bas pula meningkat antara 30 dan 50 peratus setiap tahun. Sebuah casis 'Scania' contohnya, kini berharga RM322,000 berbanding sebelumnya yang cuma RM240,000,'' katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya yang menyifatkan kenaikan itu terlalu tinggi dan tidak setara dengan perkhidmatan ditawarkan.
Mengulas lanjut, Ashfar berkata, peningkatan harga juga berlaku kepada alat ganti yang bukan merupakan barang kawalan dan minyak pelincir, bahan wajib bagi setiap bas.
''Lebih membebankan, kerajaan kini melaksanakan gaji minimum iaitu RM900 sebulan, tidak termasuk lain-lain bayaran dan elaun pekerja.
''Jadi, syarikat tiada jalan lain, selain menaikkan harga tiket bagi menampung pelaksanaan gaji minimum dan kos operasi yang meningkat,'' ujar beliau.
Dari segi harga diesel pula, katanya, kerajaan hanya memberikan subsidi separuh sahaja dan selebihnya bagi perjalanan yang melibatkan jarak jauh, kos perlu ditanggung sendiri oleh syarikat mengikut harga pasaran. ''Justeru, pengusaha bas ekspres perlu mencari wang secukupnya bagi membayar kos diesel yang masih tidak seimbang dengan pendapatan,'' katanya.
Mengulas tentang keputusan tidak menjual tiket lebih awal pada Julai dan Ogos, Ashfar berkata, tindakan itu hanya untuk mengelakkan pengusaha bas ekspres mengalami kerugian dan bukannya sebagai ancaman kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) seperti yang ditafsir oleh sesetengah pihak.
''Kalau pengusaha bas jual tiket sekarang dengan harga biasa, mereka akan rugi kerana mungkin SPAD akan umumkan kenaikan itu nanti.
''Ini cuma demi menjaga kepentingan mereka sahaja, bukannya ancaman. Mereka boleh jual tiket awal kalau SPAD bagi keputusan segera,'' katanya.
Menurut Ashfar, PMBOA telah memohon kenaikan harga tiket itu beberapa kali sebelum ini daripada SPAD dan kali terakhir pada 22 Mei lalu.
''Semakan semula harga ini adalah perkara biasa. Jika di Singapura, peningkatan tambang bas ini berlaku setiap tahun kerana berdasarkan keadaan ekonomi semasa.
''Tetapi di negara kita, lima tahun sekali pun susah. Kita pun tidak mahu membebankan rakyat dengan peningkatan mendadak, sebab itu kita minta kalau boleh buat semakan semula setiap satu atau dua tahun sekali,'' katanya.
|
Annuar 'belasah' FAM Posted: 14 Jun 2013 10:11 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Kuala Lumpur: Pencapaian bola sepak negara tidak seberapa, tetapi Sekretariat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai antara 70 dan 80 petugas, berbanding Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang bersaing di taraf dunia hanya mengambil kurang daripada 10 petugas.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar), berkata jumlah kakitangan yang terlampau ramai boleh menyebabkan pembaziran sekali gus menjejaskan pembangunan dan kualiti bola sepak tempatan. Paling tidak masuk akal gaji sesetengah pegawai (FAM) lebih tinggi daripada gaji jeneral, malah mungkin lebih tinggi daripada gaji menteri.
Kos pentadbiran dan pengurusan FAM mencecah puluhan juta ringgit tetapi anggota gabungan kekeringan wang walaupun mendapat wang tajaan berpuluh juta yang tidak sampai kepada mereka sedangkan hak pasukan seperti hak penyiaran telah dijual.
"Malaysian Super League (MSL) ditutup tetapi Urusetia FAM menambah bilangan jabatan mereka dan akhirnya FAM berada dalam ketidakcukupan wang menyebabkan ahli gabungan yang merana," katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya, semalam.
Hadapi masalah lebih besar
Beliau berkata, bola sepak Malaysia sedang menghadapi masalah yang jauh lebih besar, malangnya Urusetia FAM masih tidak nampak dan Presiden FAM pula yang terpaksa memikul bebanannya. "Walaupun sudah tiga presiden negeri digantung kerana melanggar peraturan FAM, suara teguran akan terus berkumandang kerana FAM bukan ATM (Angkatan Tentera Malaysia)," katanya.
Tiga presiden berkenaan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Annuar sendiri.
Annuar turut mendakwa Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad bersikap seperti seorang 'jeneral tentera' dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu.
Bekas Timbalan Presiden FAM itu berkata masalah yang berlaku dalam FAM sekarang adalah kerana Leftenan Jeneral bersara itu merasakan masih berkhidmat dalam tentera walaupun sudah lama bersara.
"FAM bukan batalion tentera sebaliknya ia lebih unik daripada itu. Dalam FAM ada EXCO yang dipilih dan dalam bola sepak juga ada pemegang kepentingan termasuk penyokong, penaja, kementerian, ahli gabungan dan lain-lain yang cukup berbeza dengan tentera," katanya.
Annuar berkata jawatan Setiausaha Agung FAM bukan dipilih menerusi pengundian daripada EXCO FAM sebaliknya ia dilantik dan dibayar gaji.
"Justeru tanggungjawab (setiausaha agung) bukan sekadar kepada presiden tetapi kemajuan keseluruhan bola sepak itu sendiri kerana dalam ketiadaan kongres dan EXCO, urusetialah yang berkuasa," katanya. BH/- |
Saga SV terbaru dilancarkan. Posted: 14 Jun 2013 10:09 PM PDT 6 Syaaban 1434 H. [MOD] - VARIAN Saga terbaru, Saga Super Value (SV) berharga RM33,438 hingga RM36,888 yang dilancarkan di Bilik Pameran Platinum PROTON, Mutiara Damansara, sebentar tadi. - Proton hari ini melancarkan Saga SV terbaharu dengan harga yang lebih rendah, namun dengan nilai kenderaan lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Hisham Othman berkata, Proton Saga SV yang dilancarkan hari ini berharga RM33,438 hingga RM36,888 iaitu kira-kira RM5,000 lebih rendah berbanding model terdahulu. "Apa yang menarik, dengan harga yang lebih rendah ini kami tidak mengurangkan nilai model tersebut tapi kita meningkatkannya.
"Saga SV yang dilancarkan ini memiliki rating standard keselamatan ASEAN NCAP 3 Bintang yang meningkatkan ciri-ciri keselamatan kepada model ini," katanya ketika majlis pelancaran Proton Saga SV di Mutiara Damansara di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Khamil Jamil berkata, bakal pembeli juga diberi pilihan untuk membayar pinjaman bulanan yang lebih rendah untuk memiliki Saga SV.
"Pembeli hanya perlu membayar RM250 sebulan dengan beberapa institusi kewangan terpilih dan ini merupakan satu keutamaan dalam satu pakej kenderaan yang menarik," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khamil juga berkata, mereka sedang meneliti untuk menyelaraskan harga antara Sabah dan Sarawak serta Semenanjung.
"Buat masa ini, kita terpaksa meneliti mengenai lojistik dan keperluan lain yang menyebabkan harga berlainan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
"Namun insya-Allah, ia mampu dilakukan," katanya.
|