TEMERLOH: Tawaran Pakatan Rakyat (PR) Pahang untuk menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat negeri ini kepada yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman, disambut gembira oleh rakyat yang ditemui.


Bagi mereka, inilah masa yang sesuai untuk PR melaksanakan keperluan asas rakyat itu jika memenangi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang setelah isu pemberian lot tanah dan rumah dijadikan modal kempen Umno dan BN setiap kali PRU.

Mereka berpendapat, sedangkan Pahang memiliki tanah yang luas tetapi rakyatnya pula masih ramai yang tidak mempunyai rumah dan tanah.
 
Pemberian lot tanah serta menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun, termasuk dalam 'Tawaran 6+3' yang diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Kerdau, 9 Disember lalu.

Bagi Saifuddin Kamarudin, 35, dari Mentakab, menganggap tawaran PR itu tepat pada masanya dan amat bersetuju kerana beliau sendiri belum mempunyai tanah dan masih tinggal di rumah sewa.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, di kampungnya masih ramai yang menyewa hingga ke usia tua gara-gara tanah pusaka berkongsi adik beradik. Sedangkan rumah merupakan keperluan asas, tanpa rumah merempatlah jadinya.

"Memang lot-lot rumah ini penting, kalau orang susah nak buat rumah rakyat miskin (PPRT) atau rumah mesra rakyat pun perlukan tanah sendiri.
 
"Inilah masalah kerajaan tak mahu tolong. Yang peliknya tiap-tiap kali dekat PRU, orang Umno datang minta kad pengenalan. Kononnya nak bagi lot tanah. Lama sangat dah kami penduduk kampung kena tipu.

"Jadi tepatlah pada masanya kerajaan PR nanti sediakan lot tanah, kerajaan pusat seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar boleh bantu bina rumah. Dengan itu nampak cantik dah gabungan Pusat dan negeri untuk segera penuhi kebajikan rakyat," katanya.

Saifuddin percaya, jika keperluan rumah dan tanah dibantu oleh kerajaan, langkah itu cepat mengeluarkan orang Melayu daripada garis kemiskinan. Kerana ketiadaan rumah berkait rapat dengan kemiskinan bangsa Melayu selama ini.

Hasanal Bolkiah Hasan Basri, 28, berkata tawaran PR Pahang itu akan menyebabkan generasi muda sepertinya akan memilih PR dalam PRU akan datang demi kebajikan dan survival mereka pada masa depan.

"Orang baru kawin seperti saya bukan senang untuk membeli rumah sekarang, bagi yang bergaji di bawah RM3,000 tak mampu nak memiliki rumah yang agak selesa.

"Sebab itu apabila saya berbual-bual dengan kawan-kawan yang tidak berparti, ramai yang mengatakan tawaran PR di luar jangkaan mereka dan mereka begitu teruja dengan tawaran itu.

"Di kampung-kampung pula bukannya mudah untuk memiliki tanah kosong. Banyak tanah yang diusahakan atas nama belia tetapi akhirnya diluluskan kepada kelompok tertentu menyebabkan golongan muda kecewa," katanya.

Hasanal menganggap, tawaran pertama daripada enam tawaran yang diumumkan Tuan Ibrahim itu banyak membuka mata golongan muda sepetinya kerana selama ini tawaran Umno selama ini hanyalah setakat yang remeh-temeh sedangkan PR menjanjikan lot rumah sebagai jaminan masa depan.

Sementara itu, Fauzi Omar, 63, dari Felda Lakum, Lanchang tawaran kerajaan PR untuk menstruktur semula kampung-kampung baru dan kampung tersusun, amat bersesuaian demi membina semula penghidupan yang sempurna kepada masyarakat.

"Kalau kita lihat keadaan kampung baru sekarang tidak dilengkapi prasarana memuaskan dan bersesak-sesak tetapi mereka tatap membayar cukai kepada kerajaan. Sebab itu kedudukan mereka mesti distruktur semula.

"Lagipun, kalau kerajaan sediakan kawasan penempatan tersusun, kawasan itu akan maju dengan dan akhirnya menjadi bandar. Sekali gus akan meningkatkan ekonomi penduduk setempat," katanya.

Dalam pada itu, seorang penganalisis ekonomi Pahang Syed Ali Badarudin Othman, mengalu-alukan tawan kedua PR Pahang iaitu 'menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat'.

Katanya, janji tersebut boleh dilaksanakan jika diamalkan kaedah pengurusan tanah yang cekap dan cepat, berbanding dengan karenah birokrasi di pejabat-pejabat tanah sekarang.

"Bayangkan untuk rakyat yang memohon tanah bagi mendapatkan satu kelulusan, mereka terpaksa menempuh antara 20 ke 30 meja di pejabat tanah, PTG dan SUK. Untuk pelupusan tanah kerajaan memakan masa antara 10 hingga 20 tahun.

"Kenapa lambat sedangkan permohonan tanah tidak perlu masa yang lama kerana kriteria dan prosedur melalui format permohonan sudah menggambarkan kelayakan seseorang pemohon serta sudah ada sistem maklumat mengenai status tanah," katanya.

Syed Ali juga mengalu-alukan tawaran keempat PR bagi memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada kepada lot perumahan atau bangunan.

Katanya, sistem yang dipakai kerajaan BN sekarang, bukan sahaja menimbulkan  masalah besar kepada rakyat yang berurusan, malah firma-firma guaman juga mengeluh kerana tidak dapat meneruskan urusannya terlalu bersifat birokrasi.

"Saya cadangkan kepada kerajaan PR nanti menggunakan kuasa di bawah Seksyen 12 Kanun Tanah Negara supaya urusan tukar syarat tanah juga memadai di luluskan peringkat pentadbir tanah daerah.

"Jika kerajaan cekap hasil pendapatan daripada tanah juga meningkat seiring dengan pembangunan semasa. Kita perlu ingat, sebarang urusniaga melibatkan hartanah adalah berbayar. Itu merupakan pendapatan kerajaan. Sekiranya budaya birokrasi ini dikekalkan, kutipan hasil negeri terus tidak berkembang," katanya.