Bekas Timbalan SUK Kedah calon PR kerusi Langkawi Posted: 14 Apr 2013 06:23 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
LANGKAWI - Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Ahmad Abdullah, 64, hari ini diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di sini, Presiden PR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menamakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kedah Datuk Ahmad Kassim, 50, sebagai calon kerusi Dun Kuah. Pakatan pembangkang memperuntukkan satu lagi kerusi Dun dalam Parlimen Langkawi iaitu Ayer Hangat, kepada Pas yang dijangka mempertaruhkan Yang Dipertua Pas Langkawi Zubir Ahmad, 50. Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Langkawi dan dua kerusi Dun pada PRU 2008. Pada PRU 2008, PR bertanding bagi tujuh kerusi dan menang lima kerusi. Mereka kalah di kawasan Parlimen Alor Setar dan Langkawi.
PR sebelum ini mengumumkan nama calon bagi enam kerusi Parlimen yang mereka tandingi pada PRU 2008. Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Machang, Kelantan, akan bertanding di kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu manakala Naib Presiden parti N. Surendran pula akan bertanding bagi kerusi Parlimen Padang Serai. Calon lain ialah Ketua Wanita Cabang Sungai Petani Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah (Parlimen Merbok) dan Ketua PR Cabang Kuala Kedah Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), manakala Datuk Johari Abdul kekal bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Petani. Ketua Biro Perundangan PR Kedah Gooi Hsiao Leung pula sekali lagi akan bertanding bagi kerusi Parlimen Alor Setar setelah kalah pada 2008. - Bernama |
Tiga ditahan, pistol, kereta dan dadah dirampas Posted: 14 Apr 2013 05:27 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga orang termasuk seorang wanita dan merampas sepucuk pistol, dua buah kereta dan beberapa bungkusan dadah di Hotel Richbaliz, Selayang Point, Selayang hari ini. Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata ketiga-tiga suspek yang berumur antara 34 dan 37 tahun dipercayai menyamun wang tunai kira-kira RM1,000 dari sebuah pusat snuker di Kompleks Selayang Capital yang terletak kira-kira 100 meter daripada hotel itu pada pukul 8.15 pagi tadi. Beliau berkata polis yang bertindak atas maklumat kemudiannya menyerbu hotel itu pada pukul 9 pagi dan mendapati ketiga-tiga suspek sedang berada dalam keadaan khayal di dalam sebuah bilik. "Pemeriksaan forensik yang dilakukan di bilik hotel itu turut menemui sepucuk revolver .38 serta beberapa paket ketamin dan ekstasi," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Abdul Rahim berkata polis turut menemui wang tunai yang disamun itu serta dua buah kereta yang dipercayai telah digunakan suspek.
Beliau berkata semasa menyamun pusat snuker itu, dua daripada suspek dilaporkan telah mengacukan revolver berkenaan ke arah pemilik pusat tersebut.
Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata api. - Bernama |
Nama calon BN diketahui esok Posted: 14 Apr 2013 05:15 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Dato' Seri Najib Tun Razak SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyerahkan surat tauliah pemilihan calon Barisan Nasional (BN) kepada pengerusi-pengerusi negeri di ibu negara pagi esok, sekali gus mengakhiri spekulasi mengenai barisan yang akan mewakili perikatan itu kali ini. Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan ketika dihubungi Sinar Harian Online petang ini. Surat jemputan liputan yang dikeluarkan juga mengesahkan Majlis Penyerahan Surat Tauliah BN akan diadakan esok. Ia akan berlangsung di Menara Dato' Onn jam 11 pagi. Sinar Harian Online difahamkan Najib, selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno, akan meneruskan tradisi di mana pengumuman calon akan dibuat oleh pengerusi negeri masing-masing. Ahmad berkata, pemimpin BN setiap negeri akan menghadiri pertemuan esok, yang dijangka akan turut disertai pemimpin parti komponen perikatan itu. "Calon boleh menang yang terbaik terpilih," kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Umno ketika mengulas soalan mengenai surat jemputan media yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja BN. Beberapa calon berpotensi yang dihubungi Sinar Harian Online berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan setakat 6 petang tadi. "Kemungkinan pagi esok akan dihubungi jika terpilih sebagai calon," kata seorang pemimpin tertinggi parti komponen BN. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menetapkan 20 April ini sebagai hari penamaan calon manakala 5 Mei sebagai hari mengundi. Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun menjadi rebutan pilihan raya umum kali ini. Sementara dipetik Bernama, Ahmad berkata, pengerusi BN negeri akan pulang ke negeri masing-masing untuk mengumumkan calon-calon PRU13 BN bagi kerusi Dun dan Parlimen. "Kebanyakan negeri dijangka membuat pengumuman esok dan Selasa ini, dan itu semua terpulang kepada mereka (pengerusi-pengerusi negeri)," katanya. Parti-parti komponen Pakatan Rakyat, yang dijangka akan memberi saingan sengit kepada BN kali ini sudah mengumumkan senarai calon berperingkat-peringkat sejak seminggu lalu. Najib yang menerajui BN sejak April 2009 dilihat mengambil pendekatan mengumumkan calon seminggu sebelum penamaan calon bagi membolehkan rakyat menerima dan pada masa yang sama mengelakkan unsur sabotaj. Sementara itu di KOTA BAHARU, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pengumuman calon BN negeri itu akan diumumkan selepas mendapat lampu hijau daripada Najib. "Kemungkinan esok muktamad (senarai calon)," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media BN Kelantan di sini hari ini. Beliau berkata BN Kelantan telah mengemukakan cadangan calon yang terdiri daripada muka lama dan baharu, tokoh agama, Pemuda dan Wanita, dan senarai itu telah mendapat pandangan daripada semua pihak, termasuk perbincangan dengan ketua-ketua Umno bahagian masing-masing. Beliau berharap mereka yang tidak dicalonkan, tidak merajuk dan mengkhianati parti itu seperti mensabotajnya dengan "cah keting." "Kalau merajuk sekali pun fikirlah yang kita perlu kembali untuk bekerja demi untuk merampas Kelantan daripada Pas dan untuk masa depan rakyat yang perlukan pembelaan kita," katanya. Sinar/- |
Penendar kantin sekolah dipaksa sertai Umno Posted: 14 Apr 2013 03:53 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
BACHOK: Usahawan, peniaga kecil dan petani di Bachok kini kerap menerima tekanan pemimpin Umno. Ramai petani diugut tidak lagi mendapat baja subsidi kerana hadir pada program ceramah PAS.
Beberapa penduduk yang hadir pada ceramah PAS di Takel, Dun Tawang baru-baru ini memberitahu mereka menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada JKKKP.
"Pemimpin Umno terbabit mengugut tidak mahu lagi memberi baja kepada petani di sini kerana hadir pada program ceramah anjuran PAS.
"Beberapa penduduk menerima SMS berbau ugutan tersebut ketika menghadiri ceramah di Takel baru-baru ini," kata seorang petani di sini.
Tahun lepas bekas Adun Tawang, Hassan Mohamood mendedahkan petani dipaksa memasang bendera dacing di rumah mereka bagi membolehkan mendapat baja subsidi padi.
Hassan ketika dihubungi memberitahu ramai penduduk di sini mengadu mereka diugut pemimpin Umno peringkat cawangan, akan disekat baja subsidi kerana hadir program ceramah PAS.
Katanya, bukan sahaja petani yang menjadi mangsa ugutan Umno, sebaliknya penendar kantin sekolah juga dipaksa mengisi borang Umno.
"Mereka dipaksa menyokong Umno sekiranya tidak perniagaan akan terjejas. Beberapa pengusaha kantin memberitahu diugut pemimpin Umno.
"Malah ada yang dipaksa berlakon menyerah borang menyertai Umno ketika kehadiran Naib Presiden Umno, Datuk Dr Zahid Hamidi ke Bachok beberapa hari lalu," katanya.
Akhbar milik Umno hari ini melaporkan seramai 300 ahli dan penyokong PAS di Tawang keluar daripada parti itu dan bertekad menyokong Umno.
Hassan yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Bachok berkata, berdasar semakan di setiap cawangan PAS di Dun Tawang tidak ada ahli parti itu yang menyertai Umno.
Katanya, apa yang berlaku beberapa peniaga dalam kalangan penduduk tempatan di Tawang dipaksa mengisi borang Umno bagi mengelakkan perniagaan mereka terjejas.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Hassan menafikan PAS menyogok penyokong Umno dengan memberi habuan sebanyak RM500 kepada seorang wanita Umno di Bachok.
"Tidak pernah berlaku ada jentera kempen muslimat PAS yang memberi wang sebanyak RM500 seperti didakwa Datuk Dr Awang Adek.
"Jentera kempen muslimat PAS tidak membawa wang sebanyak itu ketika kempen dan mereka hanya datang bertemu mata dan bertanya khabar sahaja.
"Tuduhan Ketua Umno Bachok tersebut tidak berasas sama sekali," katanya.
Sebaliknya sebelum ini seorang penduduk di Kampung Budi mendedahkan wakil kepada Awang Adek beberapa kali datang menemuinya bagi menawarkan wang supaya tidak lagi menyokong PAS.
Harakahdaily/- |
Saya hampir jadi mangsa - Aishah Posted: 14 Apr 2013 03:51 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KOTA BHARU: Penyanyi Aishah (gambar) atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin mendakwa beliau hampir menjadi mangsa perbuatan jahat musuh politik PAS apabila rumahnya ditebuk atapnya untuk dipasang kamera.
Namun nasib menyebelahinya dengan cara ia disedari lebih awal apabila atas rumahnya bocor apabila ditimpa hujan.
Ekoran itu, beliau menyedari bumbung bahagian bilik tidurnya dikorek dipercayai untuk memasang kamera CCTV.
"Syukur alhamdulillah, Allah memelihara kita, Allah sentiasa bersama kita, begitu juga dalam kes Datuk Mustapha Ali, insyaallah, Allah akan memberi petunjuknya nanti,"ujar Aishah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian penyebaran video tidak bermoral Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali, yang kini menjadi bulan hangat di seluruh negara semalam.
Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah di Dun Tawang, Bachok dekat sini bersama Adunnya, Ustaz Hassan Mahmod.
Bagi Aishah, sesiapa sahaja yang berada bersama PAS termasuk Pakatan Rakyat akan menjadi mangsa politik kotor pihak lawan sebagai modal akhir untuk mempertahankan hayat.
Artis yang juga calon PAS Jempol Negeri Sembilan itu berkata, ianya dijangka 'bom' hayat untuk menyelamatkan parti pemerintah sebelum ini untuk berhadapan dengan pihak lawan yang semakin mendapat sokongan rakyat.
Tambahnya, sedangkan tindakan begitu juga akan menjadi senjata 'makan diri' kerana akhirnya akan terpalit terkena diri.
Beliau yakin rakyat tidak akan menelan fitnah itu mentah-mentah kerana mereka telah sedar dan cerdik untuk terus bermimpi dengan permainan fitnah.
Jelasnya, mentaliti rakyat Malaysia bukan lagi di zaman dunia ketiga, mereka sekarang berpendidikan tinggi, paling besar pendidikan agama.
"Pihak lawan tidak perlu buat sesuatu perkara yang cukup jijik sekiranya sedar mereka adalah sebuah parti yang baik serta mampu membela rakyat.
"Tidak perlu takut, sebaiknya dedahkan apa yang ingin kita buat dan kejayaannya juga, bukan berterusan menekan pihak lawan dengan fitnah yang mengaibkan, kerana keaiban itu akan menikam diri kita juga,"ujarnya.
Dun Tawang adalah tempatnya yang terakhir untuk menyampaikan ceramah sebelum pulang menumpukan perhatian di Parlimen Jempol.
Sepanjang seharian beliau berada di Kota Bharu, Aishah turut mendapat sokongan dan doa restu dari rakyat di negeri itu apabila bertemu dengannya untuk membeli belah di Bazar Buluh Kubu.
Harakahdaily/- |
Pelajar UIA hasil logo terbesar guna donat Posted: 14 Apr 2013 03:51 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Penuntut UIAM bersorak kegembiraan selepas berjaya memecahkan rekod Malaysia Book of Records dengan membuat logo rasmi menggunakan donat. - Foto Bernama KUALA LUMPUR - Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR) apabila berjaya menghasilkan logo universiti itu menggunakan 19,300 biji donat.
Wakil MBR, Zulhairi Md Zin berkata, UIAM merupakan universiti pertama di negara ini mencipta logo terbesar bersaiz 10 meter x 10.2 meter dengan menggunakan donat dalam kuantiti yang banyak.
"Ini merupakan iktiraf rekod terbaharu dan pertama kali di Malaysia buat logo gunakan donat, pengiktirafan ini diberikan berdasarkan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MBR sendiri," katanya pada majlis penyampaian sijil pengiktirafan MBR di sini hari ini.
Acara itu, yang dinamakan 'Doughnut of Hope' merupakan program bersifat kebajikan untuk membantu anak yatim dengan memberi harapan yang disimbolikkan menerusi pemberian donat, menurut Pengarah Eksekutif Karnival Majlis Perwakilan Pelajar UIAM Muhammad Faris Zaidi.
Beliau berkata, kira-kira 400 pelajar mengambil bahagian dalam program itu yang diadakan sempena Karnival SRC (Student Representative Council Carnival) yang diadakan sejak Isnin lepas dan berakhir hari ini.
Projek tersebut diadakan dengan kerjasama Ummis Homemade Bakery yang memasak donat ini, dan dihias dengan coklat serta disusun oleh para pelajar itu, katanya.
Beliau berkata, donat tersebut akan diagihkan ke rumah anak yatim sekitar Lembah Klang antaranya seperti Asrama Damai, Taman Pendidikan Anak-anak Yatim Darul Kifayah dan Pertubuhan Penyayang Raudhah termasuk diagihkan kepada pelajar, pensyarah dan staf universiti.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM Datuk Dr Mizan Hitam. - Bernama |
DAP buat laporan polis terhadap Dr. Mahathir Posted: 14 Apr 2013 03:49 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: DAP hari ini membuat satu laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung satu artikel dalam blog bekas Perdana Menteri itu yang didakwa bersifat fitnah terhadap parti itu dan menghasut kepada kebencian kaum.
Laporan polis itu dibuat Biro Undang-Undang DAP Lim Lip Eng pagi tadi.
Ianya berkaitan artikel bertajuk "Gelang Patah" yang antara lain mendakwa kemenangan penasihat DAP Lim Kit Siang di parlimen itu hanya akan membawa konflik dan permusuhan antara kaum.
Dr. Mahathir juga mendakwa, kehadiran Kit Siang yang akan bertanding di Gelang Patah sebagi cuba menghancurkan kerjasama sedia ada antara majoriti masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina.
Dalam satu kenyataan bersama pemimpin DAP hari ini, mereka berkata, laporan polis itu dibuat ekoran dakwaan dalam artikel tersebut tidak berasas dan bersifat fitnah terhadap Kit Siang.
"Artikel tersebut ditulis dengan niat jahat untuk tujuan menghasut perasaan benci di kalangan kaum-kaum di Malaysia,' kenyataan itu dipetik.
Selain Lim Lip Eng, turut menandatangani kenyataan itu termasuk Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP Dr Ong Kian Ming, serta Naib Pengerusi DAPSY Tiew Wey Kheng.
Menurut mereka, pihak polis wajar menyiasat Dr Mahathir, di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan undang-undang lain yang sesuai.
"Jika polis tidak mengambil apa-apa tindakan, ini akan menghantar mesej kepada rakyat bahawa penggunaan kebencian dan hasutan akan dibenarkan semasa kempen PRU ke-13," katanya.
Harakahdaily/- |
Kes tetak: Pasangan adik-beradik antara diburu Posted: 14 Apr 2013 03:48 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KEMAMAN - Sepasang adik beradik merupakan antara empat suspek utama yang sedang diburu setelah dipercayai terbabit dalam kes tetak berhubung pemasangan bendera parti di Kemaman pada Jumaat lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K.Manoharan berkata pihaknya telah mengenal pasti keempat-empat mereka yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an yang merupakan penduduk tempatan. "Kita juga masih mengesan seorang lagi individu yang juga dipercayai penduduk tempatan," katanya kepada Bernama. Menurutnya, pasangan adik beradik itu pernah ditahan dan didakwa Rabu lalu kerana mencetuskan pergaduhan dan pertengkaran dengan membuat bising di markas parti politik. Mahoharan meminta kesemua suspek menyerah diri bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian 11 malam itu, seorang pekerja parti yang berusia lingkungan 40-an cedera parah setelah ditetak dengan parang dan dipukul dengan kayu oleh lima individu ketika mangsa bersama rakannya sedang memasang bendera parti. Mangsa dilapor dalam keadaan stabil di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan. Kes disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan. - Bernama |
Pelawak Jonathan Winters meninggal Posted: 14 Apr 2013 03:47 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
PELAWAK, Jonathan Winters meninggal dunia pada usia 87 tahun selepas lebih 50 tahun bergiat aktif dalam 'stand-up comedy'.
Winters meninggal Khamis lalu di rumahnya di Montecito, California.
Menurut sahabatnya, Joe Petro III, Winters meninggal akibat sakit biasa.
"Dia pergi Khamis lalu akibat sakit biasa. Saat itu, dia dikelilingi ahli keluarga dan sahabat," katanya.
Winter sempat menyerlah dalam filem komedi sekitar 1960-an iaitu 'It's a Mad, Mad, Mad, Mad World' dan 'The Russians are Coming dan The Russians are Coming'.
Sinar/- |
Perang poster di Kelantan Posted: 14 Apr 2013 03:47 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
PERANG POSTER……Sebaik sahaja parlimen dibubarkan, semua petugas parti mengambil tanggungjawab memasang bendera di tempat masing-masing.
Dengan pelbagai kreativiti ianya ianya diterjemahkan pada orang ramai sama ada berupa bom, meriam, wau bulan dan sebagainya.
Bagaimanapun cara tradisional, deretan lambing bulan sebegini sentiasa menjadi tarikan orang ramai.
Gambar ini dirakamkan di Jalan Sabak, berhampiran Kampung Tebing Tinggi petang tadi. Ianya mula dipasang sejak seminggu lalu sedikit demi sedikit akhirnya ianya menjadi rimbun dan menarik.
Sementara itu, PAS Kampung Pek Machang lain pula kreativitinya apabila mengubah bendera PAS berbentuk 'K' sebagai simbolik untuk mengekalkan kerajaan PAS Kelantan.
'K' menarik perhatian ramai apa lagi ianya terletak dilaluan utama Machang-Kuala Krai.
Harakahdaily/- |
Salahuddin sahkan bekas menteri besar sertai PAS Posted: 14 Apr 2013 03:45 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengesahkan seorang bekas menteri besar akan menyertai PAS dalam masa terdekat ini.
Beliau berkata, bekas menteri besar itu sendiri menghubungi beliau dan menyatakan hasrat tersebut.
"Saya mengesahkan salah seorang bekas menteri besar akan menyertai PAS.
"Beliau sendiri menelefon saya pagi ini dan memberitahu hasrat itu dan akan menyatakan hasrat itu kepada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Tambah Salahudin, bekas menteri besar itu akan mengisytiharkan perkara tersebut kepada umum dalam masa terdekat.
"Beliau sendiri akan mengumumkan kemasukan ke dalam PAS dalam masa terdekat ini," katanya.
Harakahdaily difahamkan, bekas MB berkenaan adalah dari negeri utara semenanjung.
Beliau berbuat demikian kerana kesal dengan perebutan, cantas mencantas dan perpecahan teruk yang sedang berlaku dalam Umno sekarang.
Harakahdaily/- |
Pasangan tunang maut kemalangan di Beaufort Posted: 14 Apr 2013 03:44 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KOTA KINABALU - Pasangan tunang maut dalam satu kemalangan apabila motosikal yang mereka tunggangi dilanggar sebuah kereta di kilometer 9, Jalan Beaufort-Papar di sini, malam tadi. Dalam kejadian pukul 7.15 petang itu, kedua-dua mangsa Mohd Faizuan Jaafar, 22, dan Norbaizurah Jasmin, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Mustafa Maaroff berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Mohd Faizuan dari Beaufort dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan jenis Prado yang dipandu Henry Chong Hyen Kong, 56. "Kemudian motosikal itu tercampak dan melanggar belakang sebuah kereta jenis Myvi dan kedua-dua pemandu itu tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Mayat dibawa ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama |
Bicara Ini Demi Ilahi: 'Pesanan Nik Aziz buat semua' Posted: 14 Apr 2013 12:14 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Bicara Cinta Nik Aziz [KLIP VIDEO DISERTAKAN] SHAH ALAM - "Tidak malu saya katakan, saya sering tidur di ribanya setiap kali pulang selepas menjalankan tugas harian."
Demikian nukilan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam bukunya berjudul Bicara Ini Demi Ilahi yang akan dilancarkan pagi esok.
Beliau seterusnya menulis: "Isteri saya tidak merungut walaupun jam tika itu sudah menunjukkan pukul 3 pagi."
"Sebaik meletakkan kepala di ribanya, saya dapat rasakan segala keserabutan hilang begitu sahaja," kata Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas.
Pena beliau juga menulis, "tidak terluah dengan kata-kata rasa syukur ini kerana dianugerahkan dengan isteri sepertinya sejak perkahwinan kami pada 20 November 1962."
Nik Aziz juga berkata, beliau bersyukur kerana dianugerahkan seorang isteri dan anak-anak yang sentiasa menyokong apa jua usaha beliau lakukan.
"Isteri yang sentiasa sabar dan memahami walaupun urusan saya terlalu padat," katanya yang mengetuai kerajaan negeri Kelantan sejak 1990.
Buku ini akan dilancarkan sempena program Bicara Cinta Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Auditorium Kompleks Media Karangkraf di sini jam 10.30 pagi esok.
Nik Aziz yang lahir pada tahun 1931 berkata, beliau bersyukur kerana ALLAH masih memanjangkan usianya.
"Doa aya, moga usia yang masih ada ini dapat digunakan sebaik-baiknya untuk memperjuangkan agama ALLAH dan sentiasa dalam ketaatan kepada-NYA.
"Inilah pesanan saya buat semua. Marilah kita gunakan usia yang masih berbaki ini untuk mentaati-NYA. Usia kita ini tidak lama.
"Sekejab sahaja. Setiap hari, kita semua sedang dalam perjalanan menuju untuk bertemu ILAHI," katanya.
Dalam bukunya, Nik Aziz juga menurunkan pesan kepada kaum bapa dan ibu.
"Justeru, suka saya berpesan kepada semua khususnya buat lelaki bernama suami. Bertanggungjawablah dalam memikul peranan sebagai seorang suami," katanya.
Kata Nik Aziz: "Anak-anak adalah tanggungjawab kita. Jika bukan kita yang membentuk, membimbing, mengajar dan mendidik mereka, siapa lagi?"
"Bagi isteri pula, bersabarlah dalam menghadapi kerenah suami. Siapa pun mereka, mereka tetap suami kita.
"Sekiranya suami marah-marah, isteri perlu bersabar dan berdiam diri agar sengketa tidak berpanjangan.
"Kebahagian adalah segala-galanya. Kebahagian adalah harta yang tidak boleh dijual beli," katanya lagi.
Buku Bicara Ini Demi Ilahi diterbitkan oleh Grup Buku Kumpulan Media Karangkraf.
Pengurus Besarnya, Sri Diah Shaharuddin berkata, buku ini adalah hasil koleksi ucapan dan ceramah yang disampaikan oleh Nik Nik Aziz.
"Karya ini merupakan himpunan kata-kata motivasi, kata-kata perjuangan yang dilafazkan oleh Tuan Guru, ia akan memberi gambaran jelas mengenai hubungan manusia dengan si pencipta-Nya," katanya.
"... antara pengisian karya ini adalah tentang akhlak orang Islam mengikut lunas-lunas Islam, perjuangan Islam yang sebenar, peranan seorang khalifah yang merujuk kepada kaum lelaki iaitu bagaimana seorang lelaki itu mendidik anak dan isteri ke arah kebaikan sepertimana yang dianjurkan oleh Islam, tentang ukhuwah iaitu hubungan antara masyarakat dan jiran tetangga," katanya lagi.
Menurut Sri Diah, sasaran awal pelancaran buku ini adalah ketika Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tetapi ia berjaya dikeluarkan lebih awal.
"Pada hari pelancaran buku ini nanti, akan ada perkongsian ilmu bersama Tuan Guru, kepada sesiapa yang kelapangan dijemput hadir," katanya.
Di peringkat awal sebanyak 5,000 naskhah akan diedarkan susulan tempahan diterima. Ia akan dijual RM19.90 senaskhah.
"... saranan saya buku ini patut dimiliki oleh semua orang terutama mereka yang ingin mencari jalan menjadi mukmin sejati sepertimana mengikut lunas-lunas Islam," kata beliau lagi.
Katanya, "buku ini sesuai untuk semua golongan lelaki, mahupun perempuan sebagai isteri, pelajar dan masyarakat."
"...kita ketepikan ideologi politik, kita ketepikan perbezaan fahaman, buku ini lebih kepada nasihat seorang ayah kepada anaknya,ingat ianya bukan buku politik tetapi ianya kompilasi ceramah dan kata-kata nasihat Tuan Guru," kata beliau.
Program Bicara Cinta Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berlangsung mulai jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.
Bagi mereka yang berminat untuk mengikuti program ini, yang dianjurkan bersama oleh Sinar Harian dan Sinar Harian Online, boleh menghubungi Laila (019-3310211), Ida Aziz (019-6222874), Rini (019-3371066 atau 019-2808492 (Fazli).
Sinar/- |
Staf JPM dakwa dipukul pemimpin kanan Umno Posted: 13 Apr 2013 11:08 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mendakwa dirinya seorang kakitangan di Jabatan Perdana Menteri mendakwa telah dibelasah oleh seorang pemimpin kanan Umno.
Lelaki tersebut yang juga berstatus ketua cawangan Umno itu mendakwa, kejadian itu berlaku di Putrajaya pada 5 April lalu pada sekitar jam 11.30 pagi.
Ekoran itu juga mangsa telah membuat satu laporan polis terhadap pemimpin kanan Umno itu di IPD Putrajaya pada hari sama.
Dalam salinan laporan polis yang dihantar kepada media, pengadu mendakwa telah pergi ke pejabat pemimpin Umno itu pada hari tersebut untuk mengadu masalah yang dihadapinya.
"Sebaik saja saya masuk ke pejabat (pemimpin Umno itu) terus menampar muka saya sebanyak lebih kurang lima kali dan menyepak bahagian belakang badan saya.
"Saya tidak tahu mengapa beliau bertindak sedemikian terhadap saya.
"Saya telah mengalami kesakitan di bahagian muka dan belakang badan saya tetapi tiada sebarang kecederaan ataupun luka yang saya alami," laporan polis itu dipetik.
"Tujuah saya buat laporan polis ini adalah untuk melindungi diri dan takut sekiranya saya diapa-apakan di kemudian hari.
"Laporan polis dibuat oleh saya tanpa dipaksa oleh mana-mana individu," kata lelaki berusia 50 tahun itu.
Mangsa juga mendakwa sedang menimbang untuk membawa kes itu kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Harakahdaily/- |
Mahathir tidak untungkan BN, tapi bantu Pakatan Posted: 13 Apr 2013 10:59 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Kalau kita fikir betul-betul Pakatan Rakyat patut berterima kasih kepada Dr Mahahir kerana membantu barisan alternatif itu dari dalam UMNO semasa pilihanraya kali ini. Mahathir sekarang sedang sibuk berkempen untuk UMNO yang kebanyakan tindakan beliau itu menjadi 'counter productive' untuk UMNO. Keadaan ini ditambah pula dengan tindakan beliau berkehendakkan Ibrahim Ali, Presiden Perkasa menjadi calon BN dalam pilihanraya kali ini. Tindakan Mahathir itu tidak selari dengan perkembangan kemajuan pemikiran rakyat hari ini.
Rakyat tahu UMNO dalam keadaan serba salah dengan kehadiran Dr Mahathir dalam urusan UMNO sekarang ini. Bekas Perdana Menteri itu menjadi beban besar kepada UMNO dan membuatkan parti itu tidak dapat melaksanakan perancangan parti dalam PRU ini kerana terganggu dengan campur tangan Dr Mahathir dalam banyak isu parti. Itulah sebabnya Abdullah Badawi akhir-akhir ini lebih mendapat perhatian sebagai seorang bekas PM yang lebih berhemah dari Dr Mahathir.
Kita bukannya marah kepada Dr Mahathir kerana memilih untuk memihak sebab itu adalah hak individu dalam sebuah demokrasi. Tetapi yang tidak diselesakan oleh banyak pihak jika berkempen biarlah bersandarkan kepada moral dan semangat demokrasi yang betul. Adalah kurang moralnya jika beliau menjadikan isu perkauman sebagai modal kempen beliau.
Kita mempunyai matlamat penyatuan kaum sebagai agenda nasional kita. Oleh itu demokrasi kita ini mesti berlandaskan kepada penyatuan kaum dan jangan sekali-kali memecahkan perhubungan diantara kaum semata-mata untuk demokrasi acuan beliau itu. Mahathir tidak perlu menyentuh isu perkauman kerana selama ini BN sendiri yang memperjuangkan isu ini. Tetapi apabila BN sudah jelas menghadapi tentangan kerana kelemahan yang lain, memilih untuk memecahkan perpaduan kaum itu adalah tindakan yang kurang bermoral.
Dr Mahathir boleh melakukan tentangan terhadap Pakatan Rakyat secara demokratik kerana beliau memihak kepada BN. Itu tidak mengapa, tetapi janganlah hendaknya terkeluar dari lunas demokrasi yang kita sedang perjuangkan. Semata-mata kerana BN menghampiri kekalahan, beliau sanggup membinasakan asas kehidupan bermuhibbah diantara kaum itu.. Dalam satu-satu tindakan kita mesti ada etikanya, ada moralnya dan lebih-lebih lagi ada agamanya. Jangan terkeluar dari garisan kerana keluar garisan itu adalah salah dan kurang bermoralnya.
Kalau hendak 'memahat itu biarlah diatas garisan dan jika hendak bermain itu mesti berada di dalam kawasan yang ada hadnya'. Dr Mahathir adalah seorang yang begitu 'senior' dan beliau perlu mempunyai tata-cara yang baik untuk membantu BN itu. Kalau berhujah itu, jangan berhujah secara loyar buruk. Beliau mesti sedar yang beliau bukannya muda lagi.
Jadilah seorang 'elder statesman' yang dihormati. Jika tua kita mesti tunjukkan tua kita. Jangan kita tunjukkan kelemahan kita dengan melanggar budaya dan sopan kita masyarakat timur ini. Rakyat memerhatikan semua tingkah laku pemimpin dan sikap pemimpin itu menjadi isu yang utama yang dijadikan asas untuk memilih.
Demokrasi ini bukan setakat hendak menang dan mengalahkan pihak lawan sahaja. Kita mesti terima demokrasi dengan semangatnya sekali. Kalau rakyat mahukan pihak lain untuk memerintah mereka kita perlu menerimanya. Lagi pun BN sudah memerintah sejak merdeka. Terimalah semangat demokrasi ini dengan baik dan jika sudah sampai masanya bagi BN untuk menduduki petak pembangkang, kita terima sahaja.
Jangan kita pecahkan rakyat berbilang kaum ini. Rakyat pun mahu melihat 'kepanasan' politik ini 'disejukkan' secepat yang mungkin. Jika ditakdirkan BN menjadi pembangkang jadilah pembangkang yang baik.
PAS dan DAP sejak dulu lagi menjadi pembangkang. Jika kali ini mereka menjadi kerajaan itu bukannya jenayah demokrasi. Mempertahankan kuasa kerajaan dengan memecahkan kaum yang berbilang itu, adalah jenayah. Jika berlaku pergaduhan hasil dari kenyataan Mahathir ini, ia merupakan hasil dari kenyataan yang ber'elemen'kan jenayah.
Memecahkan perhubungan diantara kaum itu merupakan satu tindakan 'treason' dari sudut moralnya, atau mungkin dari sudut undang-undangnya. Lebih-lebih lagi ia bersalahan dengan kehendak mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.
Kita terimalah hakikat yang melakukan peralihan kuasa itu bukannya jenayah dan tidak merupakan tindakan jenayah. Kalau Mahathir tidak mahu berperanan sebagai orang tua, biarlah kami yang di bawah ini menjadi orang tua itu.
Sekianlah bunyinya kata-kata kami sebagai orang tua negara ini. Kita ambil alih lah tugas yang sepatutnya dipikul oleh Mahathir itu. Apa yang kami perkatakan ini bukannya untuk kebaikan sesiapa, tetapi untuk kebaikan Mahathir sendiri.
Beliau bukannya bekas Ketua Pengarah KEMAS atau bekas Ketua Pengarah JASA, tetapi bekas Perdana Menteri yang paling lama mentadbir negara. Sepatutnya adalah sedikit perbezaan dengan pemimpin lain jika benar beliau itu seorang negarawan.
Harakahdaily/- |
Tarikan The Smurfs, badut terapung Posted: 13 Apr 2013 10:58 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Bakker bersama pembantu-pembantunya.
Pemandangan Putrajaya dari udara Pagi Jumaat itu, ruang udara Pusat Pentadbiran Persekutuan, Putrajaya dipenuhi dengan pelbagai objek terapung menyerupai watak kartun The Smurfs, monyet, badut dan kad sim menggamit perhatian warganya.
Objek-objek terapung tersebut adalah sebahagian daripada 24 bentuk belon udara panas yang diterbangkan ke udara bersempena Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang diadakan penghujung Mac lalu.
Berlangsung empat hari, pesta ini menyaksikan kesabaran ratusan pengunjung yang sanggup beratur awal pagi untuk membeli tiket bagi menaiki belon udara panas ini walaupun kaunter dibuka jam 7 pagi.
Keterujaan mereka turut dirasai penulis dan jurugambar, Safwan Mansor yang dipelawa oleh penganjur untuk 'terbang' bersama rakan media lain. Setelah mendaftarkan diri dan mengambil pas pelepasan, kami terus dibawa ke tapak pelancaran belon udara panas yang terletak di Presint 2, bersebelahan Monumen Alaf Baru.
Di sini penulis dapat melihat sendiri bagaimana persiapan untuk 'menerbangkan' belon udara panas dilakukan dan ternyata proses tersebut bukannya mudah. Lebih 10 belon udara panas sedang disiapkan untuk diterbangkan dengan diisi angin pada ruang atas belon itu supaya mendapat udara yang cukup di samping bantuan gas.
Pesta Belon Udara Panas memasuki edisi kelima tahun ini dianjurkan oleh AKA Balloon Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan beberapa syarikat korporat lain. Sepanjang pesta, dua sesi penerbangan dilakukan iaitu jam 7-9 pagi dan 5.30-7 petang, namun ia bergantung pada keadaan cuaca.
Gementar jadi seronok
Setelah belon udara panas tersedia, tanpa membuang masa, kami berdua dan jurumudi terus memasuki bakul yang boleh memuatkan empat orang untuk terbang. Sungguh teruja pada waktu itu.
Terasa bahang api belon udara panas membakar kulit kepala penulis memandangkan jarak api gas dengan kepala hanya beberapa inci sahaja. Untuk info, belon udara panas menggunakan konsep pembakaran luar di mana bahan api gas mampat dibakar memanaskan udara bagi menolak belon ke atas.
Perasaan teruja sebentar tadi secara tiba-tiba bertukar jadi gementar apabila sedikit demi sedikit belon panas mula terapung meninggalkan tanah. Penulis mula gayat, lalu memaut kemas tiang belon.
Teringat peristiwa ini, penulis senyum sendiri. Namun perasaan itu tidak lama kerana leka dengan keramahan jurumudi dari Holland, Wout Bakker. Mungkin beliau perasan apa yang menyelubungi penulis waktu itu. Berpengalaman 19 tahun dalam mengemudi belon udara panas, Bakker tidak melepaskan peluang menyertai sama pesta tersebut.
"Saya akan pastikan setiap tahun berkunjung ke Putrajaya dan menyertai pesta belon udara panas ini," katanya.
Leka berborak, tanpa sedar kami sudah berada pada ketinggian 300 kaki dan dapat melihat dengan jelas panorama Putrajaya dari ruang udara seperti Pejabat Perdana Menteri dan Masjid Putrajaya.
Hampir 30 minit 'terapung' di ruang udara Putrajaya, Bakker mengambil keputusan untuk mendaratkan belon panasnya kerana angin mula bertiup bagi mengelakkan sebarang risiko berlaku.
Setelah mengenal pasti kawasan lapang untuk mendarat, Bakker secara perlahan-lahan merendahkan kedudukan belon panasnya. Kawasan lapang berhampiran Putrajaya Sentral menjadi lokasi pendaratan.
Menurut Bakker, penumpang hanya akan dibenarkan keluar dari bakul apabila ia disahkan selamat kerana belon udara panas boleh terapung kembali jika tidak dikendalikan dengan betul. Acara 'wajib'
Lega. Itulah perasaan kami apabila menjejakkan kaki ke tanah. Lima pembantu Bakker, mengemaskan belon, ternyata ia bukan kerja mudah. Angin yang berada di dalam perlu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum digulung.
Setelah semua tugasan berjaya, kesemua peralatan belon panas tersebut diletakkan di dalam kenderaan pacuan empat roda yang sedia menunggu sejak awal lagi. Disebabkan belon panas hanya akan 'terbang' dua kali sehari, ramai pengunjung yang terlepas peluang untuk menaikinya.
Walau bagaimanapun, terdapat satu kawasan khas untuk pengunjung yang ingin merasai pengalaman menaiki belon panas. Penganjur menyediakan kawasan belon panas terikat, iaitu kawasan di mana belon panas hanya akan membawa penumpang secara statik, iaitu turun dan naik.
Seorang pengunjung dari Ampang, Jacky Lim sudah tiba seawal jam 6.30 pagi di lokasi. Ini merupakan kali ketiga dia dan keluarganya datang dan merasai pengalaman menaiki belon panas terikat walaupun sekejap sahaja.
"Kalau ada lagi tahun depan, saya dan keluarga tidak akan lepaskan peluang ini," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Farah Diyana ketika ditemui berkata, pesta ini platform yang bagus untuk memperkenalkan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
"Tahun ini saya ambil peluang naik helikopter kerana bagi saya ini pengalaman berbeza dan pesta seperti ini harus diteruskan setiap tahun kerana ia seronok dan bukan selalu peluang seperti ini datang," katanya.
Antara tarikan lain yang ada pada tahun ini ialah persembahan paramotor, 'Helicopter Joy Ride' dan persembahan belon panas kawalan jauh. Selain itu pengunjung berpeluang berjumpa dengan pakar belon panas melalui segmen 'Meet & Greet the Balloonist'.
Pihak penganjur turut menganjurkan pertandingan seperti pertandingan kapal terbang kertas, cabaran UNO, kuiz, pertandingan merwarna dan melukis dan banyak lagi. Selain itu terdapat pelbagai gerai jualan termasuk gerai cenderamata barangan belon panas.
Sinar/- |
NGO cadang tarikh undi awal diubah Posted: 13 Apr 2013 10:56 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa penetapan tarikh undi awal pada 30 April iaitu kira-kira lima hari sebelum undi biasa pada 5 Mei adalah tidak wajar.
Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan berkata, pihaknya juga melahirkan kebimbangan terhadap apa yang dipersoal banyak pihak berhubung kemungkinan berlaku pengundian lebih sekali.
"Apakah jaminan 240 ribu pengundi awal tidak mengundi lagi sekali setelah dakwat kekal yang dicalit di jari mereka hilang setelah lebih 3 hari," soal Edy.
Justeru katanya, SAMM menuntut SPR supaya menetapkan semula tarikh undi awal sekurang-kurangnya pada 2 Mei atau lebih lewat dari tarikh tersebut sebelum hari pengundian biasa bagi menutup segala ruang manipulasi.
PAS sebelum ini juga membangkitkan kebimbangan soal kemungkinan boleh berlaku pengundian lebih sekali bagi pengundi awal memandangkan dakwat kekal yang digunakan mereka difahamkan hanya mampu bertahan tiga hari.
Ini kerana, dakwat yang dicalit pada tangan pengundi awal pada 30 April mungkin hilang dan akan mewujudkan ruang manipulasi terhadap mereka untuk mengundi sebagai pengundi biasa pada 5 Mei.
Ianya juga nyata bercanggah dengan tujuan asal penggunaan dakwat kekal iaitu untuk menutup ruang manipulasi sekaligus menghalang mana-mana individu mengundi lebih dari sekali.
Harakahdaily/- |
Ambiga muncul di acara Nurul Izzah Posted: 13 Apr 2013 10:54 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga muncul ke satu majlis bersama Nurul Izzah Anwar pada malam tadi dalam satu majlis berhubung kempen pilihan raya penyandang kerusi parlimen Lembah Pantai itu.
Kemunculan itu dilihat menunjukkan Nurul Izzah berjaya mendapatkan bantuan pemimpin pro-reformasi pilihan raya itu berhubung isu daftar pemilih.
Dalam majlis itu Nurul Izzah memberi ucapan kepada kira-kira 400 orang yang memenuhi satu lorong di Bangsar, Kuala Lumpur.
Kedua-dua pemimpin berkenaan juga dijadualkan hadir untuk mempromosi kempen sukarelawan pemantau pilihan raya BERSIH, yang dinamakan kempen PEMANTAU.
Ambiga dalam ucapannya pada malam tadi bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak menyebelahi mana-mana sisi politik dan akan turut berucap di platform BN.
Namun, apa yang menjadi masalah adalah: "Saya menerima jemputan dari Pakatan Rakyat".
Malaysiakini/- |
Sekurang-kurangnya 33 maut nahas bas di Peru Posted: 13 Apr 2013 09:07 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
LIMA: Sekurang-kurangnya 33 maut dan 10 lagi mengalami kecederaan selepas sebuah bas terhumban ke dalam gaung kira-kira 200 meter di utara Peru awal pagi tadi, kata polis.
Bas terbabas di kawasan laluan pergunungan dekat bandar Otuzco kira-kira 570 kilometer utara negara berkenaan.
Pihak berkuasa mendakwa keadaan jalan yang berbelit-belit, permukaan yang tidak baik dan kesilapan pemandu sebagai punca nahas.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Pergunungan Andes berikutan kemudahan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik, penyelenggaraan kenderaan dan jumlah bekerja yang terlalu di kalangan pemandu bas. - AFP |
Nyaris ditimpa lori terbalik Posted: 13 Apr 2013 09:05 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Keadaan lori muatan pakaian yang terbalik di Kilometer 186.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara. BAGAN SERAI - Seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila hampir ditimpa sebuah lori muatan pakaian yang terbabas ke laluan kecemasan lebuh raya sebelum terbalik dalam kejadian kemalangan di Kilometer 186.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala Utara, di sini, Khamis lalu.
Mangsa dikenali Hazieq, 24, berkata, pada jam 7.30 pagi itu, dia dalam perjalanan menuju ke tempat kerja di kawasan perindustrian Parit Buntar dengan menggunakan laluan kecemasan sebelum menyedari sebuah lori cuba menghimpitnya secara tiba-tiba.
Menurutnya, dia terkejut apabila lori itu semakin mendekati motosikalnya dan segera bertindak menekan brek bagi memberhentikan motosikal ditunggangnya.
"Saya sungguh bernasib baik kerana keadaan lori yang menghimpit motosikal saya mula senget dan akhirnya terbalik di laluan kecemasan sejurus selepas itu.
"Walaupun saya hanya mengalami luka kecil akibat terbabas ketika mengelak ditindih lori tersebut, namun saya bersyukur kerana nyawa saya masih panjang," katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian, di sini semalam.
Hazieq berkata, meskipun motosikalnya terbabas, dia segera bangkit dan bergegas meninjau keadaan lori yang terbalik untuk mengetahui keadaan pemandu dan penumpangnya.
"Mujurlah pemandu dan kelindannya selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
"Mereka juga tidak mengetahui punca sebenar kemalangan ini berlaku memandangkan mereka memberitahu lori berkenaan terbalik secara tiba-tiba sewaktu dipandu," katanya.
Sinar/- |
Khianat: Kipas dibengkok, bendera dicabut di pos Chempaka Posted: 13 Apr 2013 09:04 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kempen politik fitnah, lucah, samseng dan khianat nampaknya semakin menjadi-jadi menjelang tidak sampai 25 hari lagi rakyat negara ini akan membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Terbaru, salah satu pos pilihan raya PAS Dun Cempaka berhampiran Pangsapuri 610 Pandan Indah di sini, dirosakkan dipercayai perbuatan khianat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab beberapa hari lalu.
Pos yang didirikan sejak lebih seminggu lalu itu dirosakkan dengan ketiga-tiga bilah kipas di dalam pos itu dibengkokkan, 15 helai bendera parti dicuri dan kain rentang dibuang.
Pengarah Jentera Pilihan Raya Dun Cempaka, Meor Rithuan Mohamed Said berkata pihaknya kesal dengan tindakan tidak profesional pihak tidak bertanggungjawab tersebut.
"Saya menyeru pihak lawan dan pihak tidak bertanggungjawab agar menghadapi pilihan raya secara 'fair play'.
"Kalau cuba untuk menakutkan, kita tidak takut. Dia berhak (bina pos), kita juga berhak. Kita kena hormat," ujarnya lagi.
Setiausaha Jentera Pilihan Raya Dun Cempaka, Hafiz Razak, pula berkata, kejadian tersebut merupakan yang pertama berlaku di kawasan Cempaka dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ampang.
"Ini merupakan satu pengkhianatan dan kerosakan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Secara keseluruhan, kita ada 11 pos sementara 17 bilik gerakan sudah mula beroperasi," katanya dipetik Selangorku.
Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd membayangkan Selangor akan menjadi negeri paling panas pada PRU13 kali ini.
Ia kerana antara lain menjadi medan persaingan antara Pakatan Rakyat untuk mengekalkan penguasanan manakala BN bermati-matian akan cuba merampas kembali negeri ini.
Harakahdaily/- |
Maut dipaksa minum racun Posted: 13 Apr 2013 09:02 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
SITIAWAN – Seorang kontraktor maut selepas diculik oleh sekumpulan empat lelaki untuk merampas wang mangsa berjumlah RM60,000 di sebuah tokong di Sungai Wangi, Ayer Tawar di sini, minggu lalu.
Mangsa, Ong Tee Kong, 53, bukan sahaja di seksa dengan menggunakan senjata tajam, malah dipaksa minum racun oleh penjenayah terbabit sebelum meninggalkan mangsa dalam keadaan nazak.
Sumber polis berkata, sebelum kejadian mangsa dipukau oleh penjenayah terbabit ketika masuk ke kawasan tokong itu.
"Penjenayah terbabit mengelar dada dan badan mangsa berulang kali dengan menggunakan pisau menyebabkan mangsa mengalami kecederaan yang serius.
"Selepas diberikan racun, suspek kemudian lari meninggalkan mangsa.
"Mangsa yang dalam keadaan nazak sempat menghubungi rakannya dan dibawa mendapat rawatan di Hospital Seri Manjung," katanya.
Katanya, mangsa sempat memberitahu kejadian menimpanya itu sebelum disahkan mati pada jam 9.05 malam selepas dibawa ke hospital swasta di Ipoh untuk mendapat rawatan susulan.
Menurutnya, pihak polis yang melakukan siasatan menemui kesan cecair hijau di tangga tokong yang tidak berpagar itu.
"Contoh cecair racun itu sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan memaklumkan, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengetahui motif sebenar kematian.
Sinar/- |
PRU-13: Ini PRU Terakhir Saya - Jui Meng Posted: 13 Apr 2013 08:13 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] - Datuk Chua Jui Meng JOHOR BARU: Menang atau kalah akan menjadi pilihan terakhir yang akan ditandingi Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng. "Menang atau kalah, saya harap ini akan menjadi kali terakhir. Pada awalnya, saya tidak berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-23 (PRU-13) tapi saya terpaksa berbuat sesuatu demi kepentingan parti," kata Chua, yang akan bertanding di kerusi Parlimen Segamat. Chua, yang pada awalnya dikatakan enggan bertanding di Segamat berkata beliau berasa yakin selepas bertemu dengan masyarakat Cina di kawasan itu. "Maklum balas yang diterima daripada orang India juga memberangsangkan kerana mereka mahu perubahan selepas tidak mereka tidak menikmati banyak pembangunan di sini," dakwanya pada Sabtu. Chua berkata 'angin perubahan sangat jelas' terpancar selepas beliau berjumpa dengan pengundi di sini. mStar/- |
Gempa 6.7 magnitud landa barat Papua New Guinea Posted: 13 Apr 2013 08:12 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
SINGAPURA: Gempa kuat berukuran 6.7 magnitud melanda barat Papua New Guinea, awal pagi ini, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini.
Menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa berpusat pada kira-kira 74 kilometer di barat Bougainville. - REUTERS |
Penyokong ghairah bina replika Posted: 13 Apr 2013 08:10 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Penduduk Kampung Padang Raja bergambar kenangan dengan replika wau bulan yang dipasang mereka.
Cara kreatif penyokong Barisan Nasional (BN) melalui replika jet. KUALA KEDAH - Keghairahan berkempen sempena pilihan raya kebiasaannya diserikan dengan aktiviti menampal poster, bagaimanapun kini penyokong semakin kreatif dengan membina replika pelbagai bentuk bagi menyatakan sokongan mereka terhadap parti pilihan masing-masing.
Tinjauan mendapati, pelbagai bentuk replika dibina, termasuklah wau bulan, kereta kebal, dacing mahupun kereta api bagi merancakkan kemeriahan perang bendera antara dua parti terbesar iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) yang akan berlangsung nanti.
Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Padang Raja, Azizan Rawan berkata, cadangan membina replika wau bulan itu sebenarnya disuarakan seorang penduduk yang inginkan sebuah replika besar dapat dibina di kawasan mereka.
Menurutnya, mereka sepakat memilih replika wau bulan berbanding bentuk lain kerana merasakan ia mempunyai makna langsung dan sampai ke hati sesiapa sahaja yang melihatnya setiap kali melalui kawasan berkenaan.
"Dipercayai apabila kita lihat bentuknya (wau bulan) sahaja, maka kita sudah faham maksudnya, bahawa simbol bulan sinonim dengan parti apa.
"Tapi, cuba fikir kalau kita bina bentuk lain, matlamat kita mungkin tidak sampai kepada golongan sasaran. Begitu juga jika parti lain membina wau bulan, pasti ia kelihatan pelik," katanya.
Malah, katanya, cadangan itu dipersetujui semua pihak, hingga ramai menawarkan diri secara sukarela untuk mengumpul dana, mereka bentuk, mencari bahan, memasang bendera dan menempatkannya di kawasan terlibat.
Sementara itu, Ahmad Fauzi Ramli, 40, berkata, kerja membina wau bulan itu hanya memakan masa dua hari atas kerjasama semua pihak yang sanggup meluangkan masa mereka bagi menyiapkannya.
Katanya, mereka saling tolong-menolong ketika memasang replika berkenaan yang dijalankan pada waktu malam kerana waktu sedemikian lebih sesuai, tidak panas, tenang serta tiada gangguan.
"Tiada siapa akan marah dengan kerja yang kami lakukan. Lagipun ia dipasang di kawasan yang tidak mengganggu orang ramai seperti tepi sawah," katanya.
Menurutnya, mereka bertindak dengan berhati-hati ketika melakukan kerja memasang bendera dan membina replika berkenaan supaya tidak berhadapan dengan sebarang risiko yang bakal mengancam nyawa.
Sinar/- |