29 Safar 1433H. [MOD] -
|
PAKAR feng shui, peter So bergambar dengan kompas feng shui Cina di Hong Kong pada Selasa lalu.
|
HONG KONG - Mahu mengetahui apa yang terkandung pada 2012? Siapa yang akan memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat? Adakah zon mata wang euro akan berpecah?
Seorang pakar feng shui berdepan dengan isu-isu besar itu dengan ramalan mereka untuk Tahun Naga.
Feng shui merupakan kajian purba mengenai kekuatan tenaga hidup yang merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat Cina.
Lima unsur Cina yang digunakan dalam ramalan itu ialah kayu, api, bumi, logam dan air.
Tahun 2012 merupakan tahun berkaitan dengan air.
"Ekonomi dunia akan menjadi tidak stabil pada Tahun Naga kerana ekonomi di Eropah dan AS masih mengalami kesan kemelesetan," kata pakat feng shui itu dari Hong Kong, Anthony Cheng.
Seorang peramal selebriti, Peter So menyatakan, AS akan memberikan berita baik pada lewat tahun itu.
"Eropah tidak akan pulih dengan segera. Ia (keadaan ekonomi) dijangka menderita sehingga 2014.
"Namun, apa yang saya boleh katakan, satu pemulihan untuk ekonomi AS adalah mungkin berlaku pada 2012," katanya.
Menurutnya, jika mahu melabur pada 2012, Rusia dan China mungkin menjadi tempat yang terbaik.
Dua pasaran itu akan memperlihatkan prestasi yang terbaik, katanya.
Namun, bersedia untuk menghadapi kejutan terutamanya di China apabila Parti Komunis akan mengadakan Kongres kali Ke-18 untuk memilih satu barisan generasi baharu kepimpinan.
Ramai orang menjangkakan Naib Presiden China, Xi Jinping akan menjadi pemimpin komunis yang seterusnya selepas Kongres Kali Ke-18 pada Oktober atau November depan.
"Bagi tempoh penggal kedua tahun ini, satu kes skandal rasuah akan meletus di China," katanya.
Namun, dia enggan menghuraikannya mengenai siapa yang akan terlibat.
"Saya juga meramalkan di Hong Kong dan di tanah besar China, sejumlah pegawai tinggi akan dipaksa untuk meletakkan jawatan.
"Sebahagiannya akan dipaksa meletakkan jawatan. Sebahagian lagi mungkin 'dicampak' ke dalam penjara atau meninggal dunia," tambahnya.
Ketika ditanya siapa yang akan memenangi pilihan raya Presiden AS, So enggan membuat ramalan tanpa maklumat yang tepat mengenai tarikh dan masa kelahiran calon-calon yang bertanding.
Seorang ahli nujum Hong Kong yang terkenal, Alion Yeo menyatakan terdapat jangkaan kawasan banjir seperti di Thailand dan di sekitar Laut China Timur.
"Indonesia, Pakistan, India dan tempat-tempat di China seperti Sichuan, Yunnan dan Guizhou merupakan kawasan yang terdedah pada bencana. Kawasan-kawasan itu mungkin kerap mengalami gempa bumi," katanya. - AFP