NEGARA DALAM KRISIS
Krisis Ekonomi
Ekonomi negara terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/98. Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Jawapan pentadbiran sedia ada kepada kemelut ekonomi ini adalah dengan menabur janji-janji melalui kempen slogan yang menelan belanja ratusan juta wang rakyat.
Rakyat disajikan dengan pelbagai perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang sebenarnya tidak keluar dari kebijakan ekonomi yang digunapakai selama ini.
Program-program ini masih bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina projek-projek mega tanpa ada keikhlasan untuk melaksanakan reformasi ekonomi yang diperlukan negara.
12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit.
10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi.
4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.
4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.
KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.
325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini bermakna purata setahun adalah 81.25 billion ringgit.
53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998.
3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).
Kerosakan Institusi Negara
Institusi-institusi negara rosak akibat dari campur tangan penguasa. Kewibawaan badan kehakiman terhakis. Salah laku hakim-hakim yang dibongkarkan dan diketahui umum menyebabkan rakyat dan masyarakat antarabangsa hilang keyakinan terhadap institusi kehakiman.
Malah, amalan mencampur-adukkan kepentingan politik penguasa dengan pentadbiran negara untuk memberi kelebihan kepada parti yang berkuasa semakin menjadi-jadi.
Jika integriti institusi-institusi utama negara tidak dipulihkan, bahana kepada negara dan rakyat adalah berganda. Selain ketidakadilan yang berleluasa di dalam masyarakat, sebarang usaha untuk membaiki imej Malaysia di mata pelabur asing juga akan terus cacat dan tidak berkesan.
Malaysia jatuh 26 anak tangga dalam indeks integriti institusi awam dalam laporan Daya Saing Global oleh World Economic Forum dari tahun 2007 ke 2009
Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum
Pemerintah sedia ada mengambil jalan tidak bertanggungjawab memecah belahkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum untuk terus kekal berkuasa. Taktik pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah ini semakin menjadi-jadi sejak tsunami kebangkitan rakyat 2008; menggambarkan tingkah laku penguasa yang akan menggadaikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum apabila semakin terdesak.
Rentetan peristiwa berbaur perkauman yang berlaku sejak Mac 2008 akibat permainan politik perkauman sempit UMNO/BN mengancam persaudaraan rakyat pelbagai kaum.
Kegilaan menggunakan isu-isu yang mengapi-apikan perasaan curiga antara kaum dan menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa semakin menjadi-jadi mutakhir ini kerana penguasa yang terdesak.
Bebanan Rakyat
Kelesuan ekonomi dan kegagalan pentadbiran sedia ada melonjakkan ekonomi ke prestasi lebih tinggi membawa kesan yang mendalam kepada rakyat. Gaji yang tidak meningkat menyebabkan kuasa beli rakyat berkurangan, apatah lagi dalam suasana kos sara hidup yang makin meningkat.
2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010, berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara miskin).
4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.
40% dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.
3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.
34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.
62% dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana bebas, konsesi lebuhraya).
RM4 bilion adalah subsidi makanan (gula, gandum, beras) yang cuba ditarik balik UMNO/BN, berbanding RM19 bilion subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi lebuhraya setiap tahun.
RM19 bilion subsidi diberikan kepada penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.
RM11 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.
Hak Rakyat Dinodai
Peristiwa salah guna kuasa yang memangsakan rakyat berleluasa. Insiden-insiden yang melibatkan remaja ditembak polis semakin meningkat dan merangkumi mangsa dari pelbagai kaum.
Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang melibatkan rapat umum mahupun di laman internet. Ada ura-ura pentadbiran sedia ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap internet, memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan maklumat alternatif kepada rakyat.
Tindakan-tindakan penguasa sebegini tidak menggambarkan niat sebuah kerajaan yang menghormati kebebasan rakyat dan menjaga kehormatan rakyatnya. Kekangan dari pihak berkuasa berterusan dan tidak ada tanda-tanda akan berubah dengan sendiri.
Gejala Rasuah Berleluasa
Rasuah adalah barah utama yang menghancurkan negara dan bangsa dari dalam. Gejala rasuah yang berakar menjadi halangan kepada usaha-usaha untuk menyuntik dinamisme ke dalam ekonomi dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Sejak sedekad lalu, rasuah juga adalah penyebab kurangnya minat pelabur asing untuk datang ke Malaysia yang telah merumitkan lagi usaha memulihkan ekonomi negara yang kian malap.
Rasuah berleluasa kerana dokongan pentadbiran sedia ada yang selesa dengan golongan rentier (terutamanya dari kalangan kroni dan parti pemerintah). Golongan rentier ini dikenali dengan pelbagai nama sebelum ini – atas angin, Ali Baba dan sebagainya. Golongan ini adalah parasit yang menyelewengkan sumber negara dari rakyat ke poket mereka.
Gejala rasuah akan terus meruntuhkan daya saing dan jati diri rakyat Malaysia dalam suasana acuh tidak acuh yang ditunjukkan pentadbiran sedia ada.
RM28 bilion kerugian yang ditanggung negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa.
3 kali ganda hasil negara hilang melalui rasuah, berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.
4.4 skor dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Negara tahun 2010, sedangkan sasaran UMNO/BN adalah 4.9. Skor ini lebih rendah dari tahun 2009.
46% dari rakyat yang ditinjau oleh Transparency International menyatakan bahawa gejala rasuah semakin berleluasa dalam tahun 2010 berbanding 2009.
Krisis Pendidikan
Kelesuan ekonomi dan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat pelbagai kaum adalah bahana yang menimpa rakyat apabila pendidikan di negara ini diperkotak-katikkan mengikut selera pemerintah. Selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan, dunia pendidikan Malaysia hilang serinya – dulu dihormati serantau, kini hanya mengambil tempat kedudukan yang corot dalam senarai-senarai pendidikan antarabangsa.
Sekolah-sekolah dan universiti dilihat sebagai pentas menjual pengaruh politik walhal pendidikan rakyat adalah kaedah terbaik menstrukturkan masyarakat dan memacu ekonomi negara demi kesejahteraan bersama. Negara-negara yang paling makmur dan sejahtera adalah negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan peringkat rendah, menengah dan tertiari yang paling berkesan dan adil.
57 anak tangga dalam senarai Laporan Pembangunan Dunia UNDP 2010 mengenai kadar pembangunan insaniah di dunia, jauh ditinggalkan Korea Selatan (12), Hong Kong (21), Singapura (27) dan Brunei (37).
68.7% sahaja rakyat Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009, berbanding Korea Selatan (96.4%), Hong Kong (75.2%) dan Brunei (88.2%).
1 orang dari setiap 4 orang rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan menengah dan tidak menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009.
29.7% sahaja rakyat Malaysia yang memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%).