Rabu, 8 Jun 2011

PARLIMEN BUKIT GANTANG

PARLIMEN BUKIT GANTANG


Edar perjanjian IPP kepada anggota Parlimen

Posted: 07 Jun 2011 09:44 PM PDT

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) meminta kerajaan memastikan dokumen rahsia perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang dimeterai antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pengeluar tenaga bebas (IPP) diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen.

"Mewakili ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) saya berharap salinan dokumen tersebut diedarkan kepada setiap Ahli Parlimen pada hari pertama sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

"Kami sangat memerlukan dokumen itu untuk memudahkan kami menunaikan tanggungjawab kami kepada rakyat," kata beliau.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menyatakan dokumen tersebut boleh didedahkan kepada ahli Dewan Rakyat.

Mukhriz juga berkata, butiran perjanjian itu tidak boleh didedahkan kepada orang ramai kerana ia adalah perkara sulit.

"Kami, ahli-ahli Parlimen, akan memastikan Mukhriz tidak berbohong dengan kenyataannya itu kerana kami sangat memerlukan dokumen perjanjian itu yang menimbulkan rasa tidak amat puas hati rakyat kerana dianggap berat sebelah dan hanya menguntungkan IPP," kata Mahfuz.

Dalam perjanjian itu, katanya, IPP dipaksa membeli tenaga yang dijana oleh IPP walaupun tidak diperlukan.

IPP juga tetap menerima subsidi yang besar dari kerajaan ketika pelbagai subsidi kepada rakyat telah dipotong dan kerajaan pula setiap hari mengugut hendak memotong subsidi kepada rakyat tertindas, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Walaupun Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sendiri menyifatkan perjanjian dengan IPP itu tidak adil kepada rakyat, tetapi kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan peruntukan RM19 bilion setahun kepada syarikat-syarikat IPP seperti YTL Corporation Berhad, Malakoff Corporation Berhad dan Genting Sanyen.

Malah, kecaman hebat bekas Pengerusi Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope terhadap perjanjian itu telah beberapa kali menjadi berita sejak beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi TNB 15 tahun lalu.

Baru-baru ini, ketika menulis dalam laman Facebooknya, Ani menyalahkan perjanjian dengan IPP itu sebagai punca kenaikan tariff elektrik.

Beliau juga mendedahkan bahawa Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri sebagai pihak yang bertangungjawab memaksa TNB menandatangani perjanjian itu.

Lantaran itu, Ani menyifatkan EPU sebagai Economic Plundering Unit atau Unit Penyamun Ekonomi.

Tiada ulasan:

Nuffnang