i n t a n h i j a u |
AMARAN SULUNG DARIPADA TIMBALAN PRESIDEN : NAJIB, LEBIH BAIK HANG DIAM... Posted: 08 Jun 2011 01:02 AM PDT SHAH ALAM, 8 Jun: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu melahirkan rasa kasihan terhadap kenyataan Perdana Menteri Najib Razak yang ketinggalan zaman. Najib dalam laporan media dari Astana, Kazakhstan menyifatkan Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan Membangun Negara Berkebajikan hanya untuk hadapi PRU13. Mohamad dalam jawapan balas berkata, konsep Negara Berkebajikan telah diwujudkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi ketika Baginda mentadbir Madinah sebagai sebuah Negara Islam. "PAS perjuangkan dasar Negara Berkebajikan yang didirikan oleh Baginda Nabi sejak zaman Madinah lagi dan bukan hanya untuk PRU13 sahaja. "Nampak sangat Najib tidak tahu di dalam hal ini, saya kasihan, lebih baik beliau diam sahaja dalam perkara yang beliau tidak tahu. "Sebaik beliau bercakap, rakyat tahu bahawa perdana menteri tidak tahu tentang perkara ini," jelasnya menzahirkan rasa kasihan pada Najib. Mohamad memenangi jawatan kedua utama dalam PAS sempena Muktamar Tahunan ke 57 yang berlangsung di Taman Melewar dari 3 hingga 5 Jun baru lalu. Bercakap lebih lanjut, Mohamad berkata, Negara Berkebajikan itu disebut juga di dalam Al-Quran sebagai baldatun Toyyibatun wa Rabbul-Ghafur iaitu Negara yang baik yang mendapat pengampunan Tuhan. Mengulas perkara sama, Timbalan Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Zainal Abidin Kidam berkata, itulah tahap pemikiran sebenar Najib dalam situasi tidak disediakan info berkaitan Negara Berkebajikan. Najib disifatkannya sebagai tidak bersedia dengan soalan wartawan dan tidak mempunyai maklumat tentang ucapan dasar Presiden PAS tetapi tetap ingin menjawabnya. "Sewajarnya beliau menjawab sebagai seorang negarawan dengan hujah kuat dan bukannya menolak ucapan dasar yang penuh ilmiah dengan hanya mengatakan 'itu modal PRU13' sahaja. "Berikanlah komitmen sebagai seorang pemimpin negara, apakah yang telah, sedang dan akan diberikan kepada rakyat bagi mengatasi dan lebih baik dari konsep Negara Berkebajikan itu," tegasnya. Bercakap kepada HarakahDaily dalam satu pertemuan dengannya, Prof Zainal berkata, rakyat boleh menilai antara gagasan besar Presiden PAS dengan jawapan cetek Najib. Sementara itu heboh diperkatakan di dalam perbincangan maya tentang lawatan Najib ke Kazakhstan yang mempunyai agenda keluarga. Dikatakan beliau mengambil kesempatan lawatan itu untuk merisik bakal tunang anaknya yang disebutkan sebagai anak pembesar bekas negara komunis itu. PAS menerusi AJKnya, Dr Dzulkifley Ahmad menyatakan bantahan terhadap lawatan negara yang disifatkan mempunyai agenda keluarga.(harakahdaily) |
Posted: 07 Jun 2011 04:41 PM PDT Para pemimpin Umno benar-benar terpukul dengan apa yang dicapai dalam muktamar PAS ke 57 baru-baru ini, kata AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. Katanya, ia dibayangkan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin bawahan Umno yang agak tahu agama termasuk Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya. "Ketika pemimpin bawahan mereka meminta Umno mencontohi sikap yang ditunjukan PAS dalam muktamar baru- baru ini, pemimpin atasan Umno cuba melaga-lagakan PAS dengan pimpinan Pakatan Rakyat dan juga dalaman PAS sendiri. "Inilah sebenarnya permasalahan dalam Umno. Apabila mereka jengkel dan cemburu dengan pencapaian PAS, mereka cuba melagakan kita pula," kata Dr Dzulkefly mengulas kenyataan Datuk Seri Najib, Datuk Seri Nazri Aziz serta Tun Dr Mahathir yang cuba melagakan antara pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat. Bagi beliau, Umno tahu, team yang dibentuk oleh perwakilan muktamar tahunan PAS ke 57 baru-baru ini adalah pasukan yang bakal menghancurkan penguasaan Umno. "Mainan jahat media Umno ini nyata semuanya helah untuk akui PAS telah lakukan tranformasi yang diperlukan semua rakyat negara ini," kata beliau. Perkara ini berlaku ketika wajah Umno menjadi begitu hodoh apabila cuba menggunakan Islam untuk kepentingan politiknya. "Sikap dan tindakan Umno menghasilkan Islam itu bersifat eksklusif untuk umat Islam sahaja, ekstrem, takutkan orang dengan kepala lembu, orang lain tidak boleh baca al Quran dan sebagainya," kata Dr Dzulkefly (gambar). Beliau juga mendakwa, tindakan Umno melalui agen-agennya seperti Perkasa telah menyebabkan para penganut agama lain rasa tidak senang dan takut kepada Islam. "Malam tadi saya sertai satu program dialog dengan pemimpin agama lain dan Pakatan. Jelas mereka menyambut baik apa yang berlaku dalam muktamar PAS baru-baru ini," kata beliau. Turut serta dalam dialog itu adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Siti Mariah Mahmod, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS. "Apa yang dibangkitkan para pemimpin Umno bukan isu sebenarnya tetapi akibat dari mereka rasa terpukul dengan apa yang berlaku dalam muktamar baru-baru ini. "Muktamar telah memberikan nafas baru kepada PAS yang dilihat sangat berintergriti, bernafas baru dan memberikan harapan baru kepada rakyat. "Bagi saya, Umno bimbang, pasukan ini bakal meraih kemenangan yang lebih besar dari pilihan raya umum 2008 lalu," katanya lagi |
You are subscribed to email updates from i n t a n h i j a u To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan