:: cina islam | 2011 :: |
- Kerajaan tidak peka kesempitan hidup rakyat
- Rugi RM1.05 pada setiap pengisian minyak RM10
- Harga minyak naik hari-hari terakhir Najib
- Sasterawan Negara dibawa polis ke Dang Wangi
Kerajaan tidak peka kesempitan hidup rakyat Posted: 03 Sep 2013 06:02 PM PDT 28 Syawal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Di kala rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup masa kini yang tinggi, kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini dibimbangi akan disusuli pula dengan kenaikan harga barangan keperluan yang lain menyebabkan rakyat semakin terbeban. Demikian dinyatakan oleh Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad (gambar) dalam satu kenyataan. Katanya, alasan menaikkan harga minyak bagi membolehkan kerajaan dapat menjimatkan sehingga RM1.1 billion pada tahun ini dan RM3.3 billion pada tahun 2014 tidak harus dilihat sebagai langkah yang terakhir lebih-lebih lagi apabila ia membebankan rakyat. Kenyataan penuh beliau seperti di bawah. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melahirkan rasa kecewa dengan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen seliter semalam yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun pihak kerajaan telah berjanji untuk tidak menaikkan harga minyak semasa kempen PRU13 dulu! Sebab utama kenaikan adalah untuk merasionalisasi subsidi yang diberikan kepada rakyat. Di kala rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup masa kini yang tinggi, kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa 3 September 2013 dibimbangi akan disusuli pula dengan kenaikan harga barangan keperluan yang lain menyebabkan rakyat semakin terbeban. Alasan menaikkan harga minyak bagi membolehkan kerajaan dapat menjimatkan sehingga RM1.1 billion pada tahun ini dan RM3.3 billion pada tahun 2014 tidak harus dilihat sebagai langkah yang terakhir lebih-lebih lagi apabila ia membebankan rakyat. Kerajaan seharusnya memikirkan bagaimana membentuk ekonomi negara yang lestari dan stabil tanpa bergantung banyak kepada pemberian subsidi di samping mengupayakan rakyat untuk tidak bergantung kepada saguhati-saguhati kerajaan seperti BR1M dan sebagainya. Jaminan kerajaan untuk mempastikan bahawa harga barangan keperluan rakyat lain tidak terus meningkat dan ke mana hasil penjimatan itu akan dibelanjakan juga seharusnya dinyatakan dengan jelas kepada rakyat. Kerajaan juga harus menilai kembali beberapa keputusan yang dibuat sebelum ini yang menjurus kepada amalan pembaziran. Pengisytiharan beberapa projek segera sepanjang pilihanraya kecil serta pemberian-pemberian yang mewah yang berupa sogokan seperti diumumkan semasa Pilihanraya Kecil Dun Kuala Besut sebagai beberapa contoh yang dilihat seolah-olah kerajaan tidak pernah merancang dengan berhemah perbelanjaan negara dan akhirnya apabila ekonomi negara mengalami kesempitan, ianya dibebankan kembali kepada rakyat. Oleh yang demikian, IKRAM menyeru supaya: Kerajaan di sepanjang masa menunjukkan keseriusan dalam berjimat cermat, mengelakkan pembaziran di samping bersungguh-sungguh menangani amalan korupsi yang berleluasa. Kerajaan menurunkan harga cukai kenderaan yang tinggi serta mengawal kenaikan berterusan harga rumah. Inilah masa yang terbaik bagi kerajaan berbuat demikian sebagai alternatif mengurangkan beban kepada rakyat terutamanya terhadap generasi muda. Sesungguhnya dua perkara ini begitu menekan kehidupan rakyat sehinggakan sebahagian besar rakyat terpaksa berhempas pulas mencari rezeki tambahan siang dan malam untuk menampung keperluan sara hidup mereka sehingga mengurangkan masa berkualiti mereka bersama keluarga dan masyarakat. Rakyat mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan yang bukan merupakan keperluan. Sifat berbelanja secara sederhana, berhemat dan berdasarkan kepada kemampuan pendapatan keluarga dan peribadi masing-masing di samping mengelakkan berhutang hendaklah diamalkan. Masyarakat perlu menyedari bahawa kos sara hidup dan harga barang keperluan akan sentiasa naik. Oleh itu, usaha-usaha mewujudkan masyarakat contoh yang hidup secara sederhana amatlah wajar digalakkan di samping peka dengan hak untuk menegur kerajaan dan pimpinan. Harakahdaily |
Rugi RM1.05 pada setiap pengisian minyak RM10 Posted: 03 Sep 2013 05:58 PM PDT 28 Syawal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Pada kadar baru petrol RM2.10 seliter, bermula hari ini pengguna hanya mendapat 4.762 liter bagi setiap pengisian RM10. Berbanding sebelum kenaikan iaitu pada kadar RM1.90 seliter, pengguna menikmati 5.263 liter petrol bagi pembelian kadar serupa. Ini bermakna, dengan pengisian RM10 bermula hari ini, pengguna kehilangan 0.501 liter berbanding semalam. Harga bagi 0.501 liter, jika pada kadar semalam adalah RM1.05. Ini bermakna bermula hari ini, pengguna kehilangan nilai ringgit yang dibelanja sebanyak RM1.05 bagi setiap RM10 pengisian petrol mereka. RM1.05, apabila didarab dengan 30 hari (sebulan), bersamaan RM31.05. RM31.05 didarab pula dengan 12 bulan (setahun), pengguna akan kerugian RM378 setahun. Itu jika mengandaikan pengguna mengisi petrol RM10 sehari. Jika pengguna mengisi lebih dari RM10, lebih banyak kerugian yang dialami. Harakahdaily |
Harga minyak naik hari-hari terakhir Najib Posted: 03 Sep 2013 05:52 PM PDT 28 Syawal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: "Kenaikan harga minyak memperlihatkan kepada kita satu lagi babak kisah hari-hari terakhir seorang Perdana Menteri," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. "Sejarah berulang lagi. Apa yang berlaku kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kini sedang berlaku kepada (Datuk Seri) Najib (Tun Razak). "Sama seperti Pak Lah, Najib gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu dan Najib juga membuat kesilapan seperti Pak Lah dalam pembentukan kabinetnya selepas PRU13," katanya. Bagi Salahuddin, kabinet Najib yang baru dipenuhi oleh personaliti yang hanya dilantik dengan tujuan menguatkan kedudukannya menghadapi pemilihan Umno. "Kabinet Najib dipenuhi oleh mereka yang hanya bertujuan mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, bukan mereka yang dapat memakmurkan negara dan rakyat," katanya. Dengan latar belakang sedemikian, kata beliau, tidak hairanlah Najib melakukan apa yang telah dilakukan oleh Pak Lah, iaitu menaikkan harga minyak yang secara langsung dan serta merta akan menaikkan kos pengangkutan, harga makanan dan juga harga barang-barang keperluan. Kesemua itu, kata Salahuddin, akan menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang tidak terkawal atau runaway inflation. Beliau melihat, kesemua faktor itu akan menguatkan apa yang diheboh-hebohkan sebagai 'Gerakan Singkir Najib (GSN)' di dalam Umno. "Kenaikan harga minyak merupakan faktor ketiga yang akan memberikan lampu hijau kpd GSN dalam Umno untuk mempertingkatkan usaha mereka menjatuhkan Najib dan (isterinya, Datin Seri) Rosmah (Mansor) daripada tampuk pemerintahan. "Tokoh-tokoh dan ahli-ahli Umno yang tidak senang dengan regu Najib-Rosmah akan menggunakan kemarahan rakyat akibat kenaikan harga minyak sebagai faktor utama dalam usaha penyingkiran tersebut," katanya. Salahuddin juga menyatakan kekesalannya dengan tindakan Najib menarik balik subsidi minyak kepada rakyat. "Subsidi minyak kepada rakyat Najib rampas, sedangkan subsidi kepada kroni-kroni yang menjadi tuan-tuan punya penjana kuasa bebas (IPP) tidak diusik sedikit pun, hutang setengah bilion ringgit (Tan Sri) Tajuddin Ramli dihapuskan manakala pemerasan kroni-kroni yang menjadi pemegang-pemegang konsesi tol di lebuhraya-lebuhraya diteruskan. "Subsidi kepada golongan kapitalis diteruskan, contohnya melalui geran-geran Dana Mudahcara (Facilitation Fund) yang dikendalikan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan juga Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjangkau berbilion ringgit," katanya. Selain dari itu, kata Salahuddin, ratusan juta boleh pula diberikan kepada konsultan-konsultan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di bawah JPM, tetapi kalau kepada rakyat, subsidi yang tidak seberapa bagi setiap individu pun dirampas atau dikurangkan oleh kerajaan Najib. "Sharizat boleh dilantik sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf menteri dengan gaji menteri dan segala nikmat dengan jawatan tersebut, tetapi kapada rakyat marhaen 'no subsidy'. Inilah Najibnomics," katanya. Salahuddin mengakui, adalah sukar bagi sesiapa pun menolak kemungkinan protes-protes rakyat akibat kenaikan melampau harga minyak akan tercetus dengan hebat. "Tidak perlu sesiapa pun menghasut, kemarahan rakyat yang semakin membara amat jelas di mana-mana. "Mereka sendiri yang berkempen secara besar-besaran menentang kenaikan harga minyak ini," katanya Harakahdaily |
Sasterawan Negara dibawa polis ke Dang Wangi Posted: 03 Sep 2013 04:27 PM PDT 28 Syawal 1434 H. [MOD] - Sasterawan Negara Datuk A Samad Said ditahan polis di rumahnya di Bangsar sebentar tadi dan sedang dalam perjalanan ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi. Beliau ditahan tiga orang polis dan menurutnya alasan penahanan yang diberikan adalah untuk "diambil keterangan". "Saya baru diambil polis dan kini sedang dalam perjalanan ke IPD Dang Wangi," katanya kepada Malaysiakini sebentar tadi. Menurut aktivis Hishamuddin Rais, pihaknya kini sedang menyediakan peguam bagi mengiringi tokoh sastera itu memberi keterangan di Dang Wangi. Penahanan A Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad adalah susulan kepada soal siasat terhadap Hishamuddin dan aktivis siswa Adam Adli yang disoal siasat di bawah Akta Hasutan 1948 semalam. Ia berkaitan pengibaran bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang kemerdekaan Jumaat lalu di Dataran Merdeka. Polis pada pagi semalam mendakwa sasterawan itu menyorok daripada ditangkap, satu dakwaan yang telah dinafikan sasterawan itu. Malaysiakini |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2013 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |