Rabu, 4 September 2013

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Ops Cantas: Negara Jiran Sebagai Pelindung Sementara

Posted: 03 Sep 2013 08:55 PM PDT


KUALA LUMPUR:  Ops Cantas Khas yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak lebih dua minggu lepas, dilihat telah memberi
tekanan kepada anggota kongsi gelap apabila mereka cuba mencari perlindungan di negara jiran.
Berikutan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata operasi memburu kumpulan kongsi gelap kini tertumpu di kawasan sempadan negara termasuk di pintu-pintu masuk.
Untuk operasi dalam negeri, katanya PDRM menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Kita akan pantau semua pintu masuk sempadan supaya mereka tidak dapat keluar," katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Pertauliahan Kor Sukses Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.
Khalid berkata anggota kongsi gelap melarikan diri ke luar negara berikutan penahanan ketua-ketua kongsi gelap serta kesukaran menjalankan aktiviti jenayah disebabkan operasi pihak berkuasa, selain mahu menghapuskan tatu kumpulan pada anggota badan supaya sukar dikesan polis.
Beliau berkata PDRM mungkin bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara jiran bagi menahan mereka yang diburu.
Dalam Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lepas, di seluruh negara PDRM menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, sebuah bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya.
Kementerian Dalam Negeri turut mengumumkan senarai 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara.
Dalam pada itu, Khalid berkata polis juga akan menyiasat warga asing yang  terlibat dalam kegiatan kongsi gelap setelah laporan Ops 6P Jabatan Imigresen Pulau Pinang semalam mendapati adanya pintu bilik penginapan atau rumah kongsi warga asing di Bayan Lepas, mempunyai lambang kongsi gelap.
"Jika benar ini berlaku kita akan ambil-alih kes supaya siasatan senang dilakukan dan semasa disiasat semua elemen-elemen penting juga akan dilihat," katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu.
"Polis setakat ini tidak mengesan pembabitan warga asing dalam kumpulan kongsi gelap tetapi sedia siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.
– BERNAMA

Harga Minyak Naik Manifestasi Pengurusan Ekonomi Yang Tidak Cekap

Posted: 03 Sep 2013 08:45 PM PDT


PETALING JAYA - PKR hari ini menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga petrol bagi RON95 dan diesel naik 20 sen sebagai kegagalan Perdana Menteri mentadbir ekonomi negara dengan baik.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, jika dilihat kepada perkembangan terbaru ekonomi serantau dan kedudukan kewangan negara yang semakin lemah, timbul pelbagai keraguan negatif terhadap perdana menteri untuk mentadbir ekonomi negara.
"Kalau kita lihat kepada laporan Fitch, prospek ekonomi negara telah menjadi negatif iaitu pertama kali ia berlaku dalam sejarah negara yang melihatkan kadar kebergantungan negara yang semakin tinggi tanpa ada jalan penyelesaian.
"Mata wang ringgit telah hilang nilainya dan susut mendadak dalam tempoh sebulan yang lepas serta pertumbuhan ekonomi negara yang tidak mencapai sasaran sejak 15 tahun berturut-turut," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan menaikkan harga bahan api itu sebagai salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan
Namun menurut Rafizi, kerajaan perlu membuat satu pelan ekonomi yang menyeluruh bagi menangani tiga masalah utama ekonomi negara .
"Saya berharap Perdana Menteri dapat menangani masalah keberhutangan kerajaan yang tinggi sehingga menjejaskan masa depan negara.
"Menangani keborosan kerajaan berbelanja sehingga melebihi pendapatan (belanjawan defisit) selama 15 tahun berturut-turut.
"Serta meningkatkan daya saing ekonomi negara yang semakin malap," katanya.
Oleh itu, Rafizi menyifatkan tindakan menaikkan harga minyak tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara sebaliknya memberi bebanan berganda terhadap rakyat.
"Fakta-fakta ekonomi telah membuktikan bahawa tindakan menaikkan harga minyak tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi.
"Sebaliknya akan memberi kesan kepada golongan sederhana dan miskin," katanya.

-sinarharian.com


Tiada ulasan:

Nuffnang