Penduduk Kampung Pandan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka hari ini tampil membuat laporan polis mendakwa terdapat pengundi meragukan didaftarkan di kampung mereka.

Mereka mendakwa terdapat 15 individu tidak dikenali didaftarkan menggunakan alamat di satu rumah dan 30 lagi didaftarkan menggunakan alamat tidak lengkap tanpa nombor. 

Bekas ketua kampung di situ Arshad Ahmad, 50, mendakwa terdapat 15 orang yang tidak dikenalinya didaftarkan di alamat rumahnya di No 10 Jalan Molek, Kampung Pandan.

NONE"Saya buat semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dua minggu lepas.

"Tahun 2008 (sebelum mengundi) juga saya ada periksa tapi (nama mereka) tiada," katanya.

Menurutnya, laporan itu juga dibuat kerana beliau risaukan keselamatan diri dan keluarganya dengan pendaftaran individu yang tidak dikenali pada alamat beliau.

"Tindakan ini saya buat bukan kerana ia isu politik tetapi atas isu keselamatan," katanya.

Seorang lagi penduduk Mahadi Abdul Rashid pula membuat laporan polis mendakwa 30 orang individu tidak dikenali didaftarkan pada alamat tidak lengkap di Lorong Kemajuan, Kampung Pandan.

ADUN tawar RM50 jika tampil

Beliau membuat laporan berkenaan mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Pandan.

Sementara itu, ahli DUN Chempaka, Iskandar Abdul Samad yang turut hadir mendakwa laporan yang dibuat itu hanya sebahagian daripada lebih 300 lagi pengundi meragukan yang didaftar di tiga lorong di Kampung Pandan.

Dakwanya paling ramai pengundi hantu dikesan didaftarkan pada satu alamat adalah seramai 43 orang.

Beliau juga mendakwa terdapat pertambahan pengundi sebanyak 25 peratus - daripada kira-kira 32,000 kepada 40,000 pengundi - dalam kawasan DUN beliau sejak tahun 2008.

"Kalau saya tak rasa ragu-ragu (dengan pertambahan ini) saya tak buat sidang akhbar ini," katanya.

Justeru, beliau menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak memeriksa kewujudan pengundi-pengundi berkenaan dalam masa sebulan.

Jika tiada tindakan dari SPR, pihaknya sendiri akan mempamerkan nama-nama pengundi itu dan menawarkan ganjaran RM50 seorang untuk mereka tampil ke hadapan.

"Kita hanya nak kenal bukan nak bawa mereka ke mahkamah," katanya - Ahmad Fadli KC, Malaysiakini.