Isnin, 4 Mac 2013

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Insiden Lahad Datu :PR Cadang Sidang Khas Parimen

Posted: 03 Mar 2013 10:06 PM PST







PETALING JAYA 4 MAC: Pakatan Rakyat syorkan supaya sidang meja bulat diadakan di kalangan pemimpin bagi membincangkan insiden pencerobohan Lahad Datu dan isu keselamatan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita berhasrat untuk mengadakan satu persidangan meja bulat antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan pimpinan kerajaan terutama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan bagi mencapai muafakat antara semua Ahli Parlimen dalam negara berkaitan isu ini," katanya.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Terdahulu, dalam sidang media sama, Pakatan mahu sidang Parlimen khas diadakan berhubung tragedi pencerobohan Lahad Datu.

Dalam pada itu, Anwar kesal terhadap pimpinan negara yang tidak berbibawa menyelesaikan segera isu keselamatan rakyat.

Katanya, kerajaan juga gagal menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus sehingga menyebabkan khabar angin tersebar luas.

"Pimpinan negara gagal menyalurkan maklumat serta memberi penjelasan terhadap keadaan sebenar yang berlaku kepada umum sehingga menyebabkan khabar angin tersebar luas," kata Anwar.

"Pakatan sedar keadaan mutakhir di Sabah yang sememangnya menimbulkan kebimbangan, tetapi janganlah kita terburu-buru dan menyebarkan berita-berita fitnah," sambung Anwar.

keadilandaily

Projek IC Mahathir Memberi Kesan Pada Insiden Lahad Datu

Posted: 03 Mar 2013 08:02 PM PST




KUALA LUMPUR, 4 Mac - Pemerhati melihat pencerobohan Sabah oleh kumpulan bersenjata Sulu bahawa "Projek IC" kembali menghantui Malaysia, sementara seorang ahli akademik berkata tuntutan seorang yang mendakwa dirinya Sultan Sulu adalah tidak adil untuk rakyat Sabah.
Pemerhati diminta memberi komen terhadap "Projek IC", iaitu pendatang asing didakwa menerima kewarganegaraan tanpa mengikut undang-undang, yang kini sedang disiasat dalam inkuiri Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI).
Apabila ditanya tentang hubungan "Projek IC" dengan ketegangan di Sabah, penulis Karim Raslan berkata, "aspek hitam" kini sudah mula didedahkan.
"Krisis yang berlaku ini menunjukkan terdapat aspek hitam dalam operasi rahsia (Projek IC) dalam memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing."
"Kita perlu bertanya pada diri sendiri siapa dibelakang Projek IC ini?" kata Karim lagi.
Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan, Karim berkata: "Kita perlu menyiasat butiran tentang bagaimana (Projek IC) dijalankan, dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Dr Andrew Aeria, seorang profesor dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), berkata proses haram Projek IC ini menghantui Malaysia, dan berkata apa yang berlaku di Sabah  menunjukkan "kegagalan polisi" sebelum ini.
"Kes ini menunjukkan kegagalan polisi. Projek IC yang haram serta kegagalan dalam memantau sempadan (bersama tidak ada penyelesaian mengenai isu padjak dalam status Sabah dari Kesultanan Sulu lama) menghantui kita.
Pakar akademik itu merujuk kepada pertindihan tuntutan terhadap status Sabah, apabila Sultan Sulu mengatakan 'padjak' merujuk kepada sewa, manakala Malaysia membayar setiap tahun kepada Sultan tersebut untuk mendapatkan hak ke atas Sabah, yang menjadi sebahagian dari Malaysia berdekad lamanya.
Andrew berkata cara terbaik ialah Parlimen perlu membuat sidang khas mengenai isu ini: "Ini untuk memastikan Parlimen menyusun tindakan dan merancang apa kerajaan boleh lakukan."
Tetapi Dr Arnold Puyok, seorang penganalisis politik di Sabah, berkata pencerobohan Sabah dan inkuiri Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) adalah isu yang berbeza, dan berkata pencarian kebenaran mesti diteruskan.
"Penduduk Sabah mahu kerajaan menunjukkan kesungguhan politiknya. Saya tidak melihat ada kaitan antara pencerobohan dengan inkuiri RCI. Kerajaan mesti terus mencari kebenaran melalui RCI."
Pensyarah UiTM Sabah itu mencadangkan dialog diadakan bagi menyelesaikan masalah ini.
"Dialog antara Filipina dan Malaysia mesti diadakan. Wakil sah dari Sultan Sulu perlu dijemput sekali. Dialog tersebut mesti mencari penyelesaian jangka panjang untuk hubungan Sabah-Sulu," katanya.
Apabila dihubungi, Farish A Noor, ahli akademik yang berpengkalan di Singapura mengatakan tuntutan ke atas Sabah dari seseorang yang mendakwa dirinya Sultan Sulu "tidak adil" untuk rakyat Sabah.
"Apa perasaan rakyat Sabah apabila seorang dari Filipina datang entah dari mana mengaku dirinya raja? Saya meragui rakyat Sabah akan menerima dakwaan tersebut," kata profesor dari S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) melalui email.
Beliau juga ditanya mengenai laporan dari kerajaan Filipina akan membawa isu tuntutan Sultan Sulu kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
"Filipina boleh bawa isu tersebut ke mahkamah tetapi ia tidak akan membawa erti, dan mana-mana mahkamah tidak akan memihak kepada Sultan Sulu kerana dua sebab: Ada ramai mengaku dirinya sebagai Sultan Sulu, jadi siapa Sultan yang sebenar? Kedua, kesemua negara di ASEAN mengakui sempadan masing-masing, dan tidak ada negara boleh membuat tuntutan berdasarkan sejarah hari ini," katanya lagi.
Beliau berkata maklumat perlu disebarkan mengenai krisis di Sabah bagi mengelakkan sebarang spekulasi.
"Sepertimana dikawal selia oleh kerajaan Malaysia, tidak timbul keraguan bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan penjagaan keselamatan dan operasi, tetapi kekurangan maklumat menyebabkan tercetus pelbagai spekulasi.
"Banyak yang kita baca di Internet bersifat spekulasi, bagaimanapun saya merasakan maklumat perlu disampaikan dalam keadaan terbuka dan tidak beremosi."
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan kerajaan melindungi maklumat, dan berkata pengesahan perlu dilakukan terlebih dahulu.
Pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan puak bersenjata Filipina Jumaat lalu, selepas kumpulan bersenjata dari Sulu itu mendarat di Kampung Tanduo selama dua minggu, menyebabkan kematian seramai 15 orang, dimana kampung tersebut kira-kira 130 km dari bandar Lahad Datu.
Semalam, lima anggota polis Malaysia terbunuh dalam serangan hendap di Semporna, kira-kira 150 km dari Lahad Datu.
Semalam seorang militan Filipina dipukul sampai mati oleh penduduk kampung di Sabah, sementara pemberontak Sulu mendakwa mereka menahan beberapa rakyat Malaysia dan menahan mereka sebagai tahanan.
RCI mengenai isu pendatang asing ini akan diketuai bekas hakim Tan Sri Steve Shim bermula esok.

themalaysianinsider

Kes Lahad Datu :Rakyat Mahukan Gambaran Jelas

Posted: 02 Mar 2013 09:00 AM PST





KUCHING: Rakyat Malaysia disaran agar mendapatkan maklumat terkini mengenai insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah oleh puak pemisah dari Filipina melalui media arus perdana dan bukannya media alternatif seperti blog dan internet.
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jen Datuk Mohd Zaki Haji Mokhtar berkata tindakan sedemikian adalah penting untuk mengelakkan orang ramai terdedah  kepada kenyataan berlebihan dari penulis blog dan sebagainya.
"Jika kenyataan berlebihan, persepsi orang awam boleh terganggu dan menganggap (pasukan) pertahanan negara tidak menjalankan tugas dengan betul," katanya kepada pemberita selepas perasmian Ulang Tahun Tentera Darat (TD) Ke-80 di Padang Kawad Kem Penrissen, disini.
Katanya, maklumat boleh ditokok tambah oleh mana-mana pihak di laman web, yang tidak boleh dikawal.
"Kita tidak mahu rakyat tertipu dan menganggap situasi kini teruk sedangkan banyak usaha telah dilakukan," ujarnya.
Pada 13 Februari lalu, kira-kira 100 lelaki bersenjata dikepung oleh pasukan keselamatan kerana dipercayai dari serpihan puak pemberontak pemisah di selatan Filipina.
"Insiden tersebut mengancam untuk membangkitkan ketegangan antara dua negara jiran di Asia Tenggara yang mana hubungan antara mereka sekali-sekala menjadi genting oleh masalah keselamatan dan penghijrahan melalui sempadan laut," jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya mengesyaki mereka adalah puak yang tidak berpuas hati dengan perjanjian damai baru-baru ini di Filipina dengan kumpulan pemberontak utama Islam di selatan pulau Mindanao.
"Perjanjian damai kerajaan Filipina dengan pemberontak Islam itu ditandatangani pada lewat tahun lalu untuk menamatkan konflik selama 40 tahun di selatan negara terbabit, tetapi sesetengah puak menyuarakan ketidakpuasan hati (bangkangan).
Sejak itu, ada daripada mereka yang termasuk pengikut puak serpihan kumpulan Misuari memutus untuk mencetuskan beberapa masalah dan ketegangan di Sabah," katanya.
Dalam respons yang berbeza, Presiden Filipina, Benigno Aquino juga telah memberi amaran kepada Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III sebelum ini bahawa beliau akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya tidak menamatkan pencerobohan itu di Lahad Datu.
Aquino berkata amaran dikeluarkan berikutan tindak-tanduk ahli kumpulan puak berkenaan yang mengaku diri adalah Askar Diraja Kesultanan Sulu.
"Beliau (Sultan Jamalul) diarah untuk memanggil pulang 180 pengikutnya itu supaya meninggalkan sebuah perkampungan nelayan dekat Lahad Datu yang diceroboh masuk sejak Februari lalu. Sekiranya tidak memilih untuk bekerjasama, tindakan undang-undang akan digunakan untuk mencapai keadilan bagi semua," kata Aquino.

fmt

Media Menolak & Menafi

Posted: 02 Mar 2013 08:30 AM PST




Teringat pada usia kecil aku dulu, menonton berita di kaca tv merupakan aktiviti wajib bagi seisi keluarga dan sebarang program tv lain adalah diharamkan.
Di pagi hari, akhbar harian dari tulisan rumi kadangkala jawi  merupakan santapan wajib dicerna bersama hidangan sarapan.
Begitu dulu masyarakat kita menyanjung tinggi dan menghargai maklumat yang diterima atau mungkin itu saja sumber mudah serta murah yang ada.
Keadaan sebaliknya kini berlaku dimana masyarakat tidak hanya boleh menerima maklumat dari berita perdana malah dari pelbagai sumber alternatif dari internet seperti akhbar elektronik, blog, Facebook, twitter, YouTube dan bermacam lagi media sosial lain.
Apa yang membezakan sumber maklumat sebenarnya adalah kecepatan maklumat disampaikan dan yang paling penting adalah kesahihan maklumat yang disampaikan itu sendiri.
Kita boleh membanding bandingkan maklumat yang diterima dari pelbagai sumber itu dan kemudiannya  menilai sendiri bagi memperolehi kebenaran.
Percaya atau tidak, hakikat media arus perdana kita telah jauh tersimpang dari landasan matlamat sebenar dalam menyampaikan maklumat.
Amat menyedihkan lagi apabila media menjadi pentas merosakkan pemikiran dengan menabur fitnah atau 'spin' khususnya kepada pihak pembangkang dengan mengambil sedikit kata-kata pemimpin tersebut yang mengolah persepsi para pendengar dan pembaca.
Sebagai bukti nyata, akhbar utama kita sering kali disaman atas tuduhan menfitnah serta diperintah membayar denda jutaan ringgit.
Masyarakat ingin perolehi adalah maklumat yang cepat dan tepat, bukan setengah jam atau dua ringgit dibazirkan untuk menonton juga membaca akhbar yang semua kenyataannya hanya berbaur hasutan dan memburukkan pihak lain.
Tahap ketelusan maklumat yang disampaikan oleh media arus perdana serta kebolehpercayaan terhadap masyarakat kini semakin pudar dan sukar diterima.
Kesan apabila terdapat percambahan sumber pada ketika ini, sering kali wujud kekeliruan dikalangan masyarakat kita dalam menerima maklumat.
Apa yang dikhuatirkan adalah sifat malas yang diwarisi masih menebal dikalangan anak bangsa khususnya melayu menyebabkan mereka gagal memperolehi maklumat yang betul.
Kadangkala aku berfikir bahawa adakah benar sebahagian dari kita gagal dalam membuat penilaian, atau sebenarnya sedar hakikat yang benar namun membiarkan saja diri diperbodohkan.
Apakah amalan yang dilakukan oleh media perdana bertujuan baik bagi mengelakkan masyarakat bimbang dengan status semasa keadaan pembangunan, ekonomi, dan sosial?
Masyarakat perlu diberi pendedahan yang jelas tentang keadaan ekonomi semasa yang kian meruncing bukan hanya memainkan isu sensitif seperti agama dan berunsur perkauman demi mencapai matlamat politik.
Spin yang provokatif
Kelmarin aku terbaca surah amanat menjelang PRU 13 dari saudara Anwar Ibrahim, sungguh jelas apa yang hendak beliau sampaikan.
Segala mesej dan luahan beliau itu dikupas satu persatu tentang kes yang mengaibkan beliau serta mengaitkan bagaimana beliau tidak diberi ruang untuk memberikan penjelasan berkaitan isu tersebut di media rasmi.
Beliau juga mengulas dengan terperinci tentang kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin utama dalam kerajaan, dimana pembaca tidak memerlukan tahap pemikiran yang tinggi untuk menilai sendiri pengolahan fakta pada kes tersebut.
Terkini pula adalah putarbelit media yang berbaur politik berkenaan komen Tuan Guru Nik Aziz terhadap pemberian BR1M kepada rakyat oleh kerajaan.
Aku melihatkan bahawa tindakan 'spin' akhbar perdana terhadap komen yang dibuat oleh seorang ulama itu amat provokatif dan hanya akan menambahkan kebencian masyarakat terhadap media perdana.
Begitu juga kisah sebelum ini bagaimana Tuan Guru Hadi Awang tidak diberikan ruang menjelaskan pada media televisyen  tentang 'Amanat Hadi' sebaliknya dihentam habis habisan pula.
Saban hari kita perhatikan penolakan masyarakat terhadap pimpinan kerajaan semakin ketara dari segenap lapisan usia dan kaum serta dari semenanjung hinggalah ke Sabah dan Sarawak.
Tidak dinafikan malah telah dizahirkan oleh masyarakat secara terang terangan dengan beberapa insiden yang berlaku baru baru ini seperti pada sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang dan Kajang (Dong Zhong).
Sebenarnya penolakan ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kegagalan media perdana dalam menyampaikan maklumat dan berita yang sahih dan adil kepada umum.
Penolakan ini juga adalah hasil pencerahan masyarakat dalam menerima maklumat dan menimba ilmu seterusnya mencetus kepada kebangkitan rakyat.
Jujur aku katakan yang aku amat bimbangkan keadaan semasa dengan penolakan dikalangan masyarakat terhadap media perdana dan kerajaan.
Mengkaji apa yang berlaku di timur tengah, telah berlaku revolusi dengan bermulanya apabila berlaku penolakan ketara terhadap kerajaan mereka.
Revolusi yang berlaku itu adalah berpunca dari penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan, budaya rasuah, perlanggaran hak asasi manusia, ketidakstabilan ekonomi dan inflasi serta masalah pengangguran.
Merenungkan faktor diatas, persis keadaan berlaku kini boleh diumpamakan seperti minyak menanti sedikit percikan api sahaja untuk ianya dibakar.
PRU 13 nanti pasti bakal menjadi titik penentu penerimaan masyarakat terhadap pentadbiran sekarang atau mungkin penolakan secara total akan berlaku.


fmt

Tiada ulasan:

Nuffnang