Jumaat, 16 November 2012

Dr Siti Mariah Mahmud

Dr Siti Mariah Mahmud


PAS sudah sedia ambil alih Putrajaya bersama Pakatan

Posted: 15 Nov 2012 10:22 PM PST

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mempertegaskan bahawa parti sudah bersedia untuk memerintah negara bersama rakan gabungan Pakatan Rakyat bagi memikul dan melaksanakan amanah berdasarkan resolusi permuafakatan gabungan itu.

"Maka PAS mengadakan Tahaluf Siyasi, dalam persefahaman Pakatan Rakyat yang menegakkan konsep dalam persamaan dan tidak  memaksa dalam perbezaan.

"Iltizam politik menerusi Tahaluf Siyasi ini menuntut kita terus bekerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, secara kolektif  dalam mengurus pentadbiran negeri dan negara," katanya.

Pada masa yang sama, Abdul Hadi turut menyeru setiap ahli PAS yang berada dalam lingkungan pentadbiran dan pemerintahan  kerajaan, perlu memahami  fiqh aulawiyat (fikah keutamaan),  maqasid syariah, serta  bertegas dalam perkara dasar selari dengan Perlembagaan PAS.

"Tahaluf Siyasi ini juga tidak seharusnya mengaburkan kefahaman   ahli PAS terhadap konsep Fiqh at-Taat terhadap parti kita sendiri," katanya dalam ucaptama Muktamar PAS ke58 di Kota Bharu pagi ini.Abdul Hadi menegaskan bahawa parti itu "percaya dan yakin bahawa peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat akan berlaku dengan lancar dan aman sekiranya rakyat memberikan amanahnya kepada Pakatan Rakyat.  

"Kepada rakyat keseluruhannya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik. Maka  sekiranya kita gagal melaksanakan amanah  itu,  rakyat  bolehlah menghukum kami dalam pilihanraya yang seterusnya," katanya.

Abdul Hadi berkata PAS memberikan suatu jaminan bahawa jentera kerajaan Pusat atau Negeri yang terdiri dari pegawai berbagai peringkat, tidak akan dizalimi atau dibalas dendam kerana mereka yang akan melaksanakan dasar kerajaan semasa yang dipilih oleh rakyat.

"Hubungan yang baik dengan institusi Raja berpelembagaan akan dipertahankan, sebagaimana komitmen bersama Pakatan Rakyat yang kita ikrarkan," katanya.

Menurutnya, sekiranya gabungan itu diberikan amanah, maka parti itu akan mengusulkan  supaya dimansuhan akta yang dianggap zalim, mengembalikan kewibawaan institusi penting dalam negara, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan  Raya (SPR), instituti pendakwaan dan kehakiman, Parlimen Malaysia, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.   

"Perjalanan  pilihanraya  yang  lebih  adil  dan bebas  akan terus diperjuangkan oleh PAS, walaupun setelah  kita sampai ke Putrajaya nanti kerana inilah ciri sebuah negara demokrasi yang sihat," katanya.

Muktamar bermula

Posted: 15 Nov 2012 05:43 PM PST

Muktamar PAS ke 58 iaitu yang terakhir menjelang pilihan raya umum ke 13 bakal bermula pagi ini dengan kira-kira 1,000 perwakilan dan beribu-ribu pemerhati akan memenuhi Dewan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan memberikan Ucapan Dasar yang bakal menentukan halatuju PAS dan seterusnya merasmikan muktamar kali ini.

Muktamar ini diadakan selepas ketiga-tiga sayap PAS iaitu Dewan Ulamak, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda selesai mengadakan muktamar masing-masing.

Kira-kira 700 perwakilan yang menyertai muktamar bagi setiap dewan telah menyesaikan agenda masing-masing malam tadi dan petang semalam.

Muktamar Dewan Ulamak menjadi tumpuan media selepas menampakkan keghairahan mereka berbanding sebelum ini apabila perbahasan yang sangat hidup berlangsung.

Penegasan demi penegasan yang dibuat pemimpin dan perwakilan Dewan Ulamak menampakkan kesediaan mereka menghadapi pilihan raya umum akan datang bersama rakan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Dewan Muslimat pula mendapat pujian dari Presiden PAS, TG Abdul Hadi apabila beliau sangat bangga dengan pencapaian mereka. Ekoran itu, TG Abdul Hadi memberikan harapan lebih ramai calon muslimat akan dicalonkan kali ini.

Dewan Pemuda juga memberikan sesuatu yang membanggakan. Namun, ia sedikit ralat apabila muktamar ini merekodkan serangan dengan menumpulkan senjata sendiri apabila meluluskan usul mempertikaikan organ PAS iaitu Harakah menjelang pilihan raya ini.

Pada hal ia boleh dilakukan melalui mekanisme dalaman PAS bukan melalui muktamar terbuka.

Muktamar penuh PAS ini akan berjalan selama tiga hari mulai pagi ini sehinggalah Ahad, 18 November.

Ia akan menentukan halatuju PAS selepas ini. Jika tumpuan perbincangan diberikan kepada persiapan hadapi pilihan raya, PAS akan bersedia sepenuhnya hadapi PRU -13 nanti.

Namun jika perwakilan saling menyerang sesama sendiri, ini bermakna mereka lebih mempersiapkan diri untuk menghadapi muktamar PAS tahun depan yang bakal mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya.Malam ini akan berlangsung Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke 1V Kota Bharu yang bakal menghimpunkan semua pimpinan utama dan penyokong PAS, PKR dan DAP.

Ia perhimpunan siri kedua selepas himpunan berlangsung dengan jayanya di Senawang, Seremban Negeri Sembilan sebelum ini.


Hudud sudah ada kata sepakat

Posted: 15 Nov 2012 05:35 PM PST

Di sebalik kecaman yang dibuat oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai hudud di negara ini,  Pas mendapat kata sepakat dari Pakatan Rakyat (PR) untuk melaksanakan syariat Islam itu sekiranya mendapat keyakinan rakyat.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib bagaimanapun berkata, pelaksanaan hukuman itu perlu dibuat  mengikut perlembagaan negara ini.

“Kalau kita majoriti dalam Parlimen, kita kemukakan undang-undang berkaitan dan kita dapat sokongan Parlimen dan diluluskan, maka dengan sendiri (hudud) menjadi undang-undang negara.

"Bila jadi undang-undang negara, semua kena taat, patuh. Kalau tidak setuju, contohnya ada undang-undang jalan raya, orang pun tidak setuju, kerajaan laksana juga,” katanya selepas Merasmikan  Muktamar Dewan Ulama Pas di sini, semalam.

“Kita tidak ada masalah dengan DAP kerana kita selalu berdialog dengan dia (DAP).

Sebelum PR ditubuhkan, DAP selalu bertukar-tukar fikiran tentang undang-undang jenayah syariah.

“Tetapi Karpal Singh tak sempat, mungkin sebab dia uzur, sebab itu ada masih ada suara-suara yang semacam tidak setuju. Itu bukan tak setuju, tapi semacam tidak setuju,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamad  dalam ucaptama mewakili Harun menasihatkan ulama  berpegang kepada konsep  “Tahaluf Siyasi”  atau kesepakatan dengan PKR dan DAP.Bagi tujuan itu beliau berkata, ahli Pas diarahkan mengundi calon-calon pilihan raya bukan Islam di kalangan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan:

Nuffnang