Jumaat, 18 Mac 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Jangan Jadikan Masalah Ghani Sebagai Masalah Kerajaan

Posted: 18 Mar 2011 02:27 AM PDT

Dari Malaysiakini

"Jangan jadikan masalah peribadi anda sebagai masalah kerajaan." – Itu nasihat yang diberikan oleh ahli panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Robert Phang kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Phang, yang terkenal dengan kelantangannya bersuara berkata Gani pada 4 Januari lalu telah memberi taklimat kepada lima ahli panel SPRM. Pada perjumpaan itu, beliau memberitahu akan berurusan dengan media dan orang ramai bagi menjelaskan pemergian kontroversialnya ke tanah suci menunaikan ibadah haji.

“Dua bulan sudah berlalu sejak perjumpaan itu dan saya tidak lihat Gani tampil menjelaskan perkara itu.

“Seorang penulis blog mendakwa Gani dan keluarganya menunaikan haji dengan seseorang yang wataknya ‘mencurigakan’. Saya tidak kata dia tidak jujur tetapi hanya mengulangi apa yang dimuat-naikkan dalam blog itu," kata Phang.

“Tolong, jangan jadikan masalah perbadi anda sebagai masalah kerajaan. Tampil dan buat penjelasan kerana anda memegang jawatan yang berkuasa dan penting. Saya cuma membekalkan konduit bagi Gani untuk menjelaskan kepada orang ramai apabila berjanji berbuat demikian."

Phang, bekas ahli Transparency International berkata demikian semasa sesi teh tarik bagi menceritakan segala-galanya yang dianjurkan oleh Malaysian digest.com petang semalam.

Meskipun Phang tidak menamakan ‘watak yang mencurigakan’ itu, namun mengikut kebanyakan laporan, ia adalah Shahidan Shafie, yang pernah dikaitkan dengan bekas pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli.

Gani dibidas tahun lalu setelah timbul dakwaan di Internet bahawa beliau mempunyai hubungan dengan Tajudin yang kini disiasat oleh SPRM.

Phang yang antara mereka yang membidas Gani dan secara terbuka menuntut Peguam Negara itu menjelaskan kontroversi berkenaan. Namun, kedua-dua Gani dan Shahidan terus membisu.

Gani dikatakan telah membuat penjelasan kepada SPRM tetapi sesetengah anggota panel dikatakan terus tidak berpuas hati dengan penjelasannya.

Dun Perak: Jika Sah, Kenapa Perlu Dikawal Ketat

Posted: 18 Mar 2011 02:01 AM PDT

Dari Harakah

Pakatan Rakyat Perak meminta jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (Perak) pada April ini bebas daripada campur tangan polis.

Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) pada sidang media di parlimen semalam berkata, jaminan itu diperlukan ekoran setiap kali berlangsungnya sidang Dun di negeri berkenaan, pasukan polis dikerah untuk mengadakan kawalan ketat.

Ujar beliau, sekiranya kerajaan Perak kini merasakan mereka kerajaan yang sah, maka tidak perlu kawalan polis di sekeliling bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK).

"Kami nak mintak supaya KDN beri janji pada sidang dun kali ini tidak ada pihak keselamatan polis. Kalau ada bermakna dia melanggar Kanun 124, mengganggu ahli dewan undangan negeri untuk masuk ke dalam dewan melaksanakan tugas kami.

“Jadi itu yang kami minta untuk menteri berlaku adil dan menunjukkan kerajaan haram ini perlu dipelihara oleh polis. Jika kerajaan ini haram biar rakyat menentukan," katanya yang dilapor TV Selangor.

Tambahnya yang juga Adun Pasir Panjang, Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abdul Kadir juga masih belum menjawab soalan-soalan yang dikemukakan Adun dari Pakatan Rakyat pada sesi yang lepas.

"Kami telah diminta menghantar soalan-soalan lisan dan bertulis dan tarikh akhir pada 15 Mac untuk sesi akan datang. Malangnya soalan-soalan lisan kami pada sesi yang lepas pun masih tidak dijawab," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Khoo Ham menggesa rakyat Perak tidak tertipu dengan sistem demokrasi yang dikatakan masih dijalankan secara telus dan adil.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak akan diadakan pada 5 April nanti.

Masalah Yang Dicetuskan Oleh First Lady

Posted: 17 Mar 2011 11:43 PM PDT

Oleh Mohd Rashidi Hassan

BERDASARKAN jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamad Nazri Aziz di Parlimen 9 Mac lepas, suatu division baru yang dinamakan FLOM memang wujud pada asalnya.

Ia dipaparkan dalam laman web www.pmo.gov.my (Prime Minister Office), tetapi ia kemudiannya ditarik balik kerana dipertikaikan wakil Pakatan Rakyat.

Nazri dalam jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, menafikan kewujudan FLOM, tetapi mengakui paparan mengenainya ditarik balik kerana beliau mendakwa ‘pembangkang keliru’.

Tetapi Nazri tidak sedar, kekeliruan itu sebenarnya dicetuskan oleh kerajaan sendiri. Jika tidak mahu ‘pembangkang’ atau rakyat keliru, mengapa paparan mengenai FLOM, dibina menggunakan alamat website rasmi kerajaan Malaysia yang menggunakan singkatan gov.my di internet?

Nazri juga memperakui bahawa Datin Seri Rosmah Mansor dan rombongannya membelanjakan wang rakyat sebanyak RM134,317.76 wang negara (wang rakyat) untuk lawatan ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh.

Rosmah melakukan lawatan dari 6-10 Januari ke Riyadh, 16-18 Januari ke Muscat dan 20 Januari 2011 ke Dhaka.

Ahli rombongan yang telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri adalah terdiri daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta isteri Menteri-Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri serta beberapa pegawai kerajaan yang terliba, kata Nazri.

Ada beberapa persoalan besar yang harus ditimbulkan di sini. Jawapan Nazri ini adalah jawapan rasmi kerajaan, selepas beberapa bulan isu berkaitan isteri PM dibangkitkan rakyat.

Sebelum ini, kerajaan dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri diam membisu.

Membangkitkan isu Rosmah bukan isu peribadi. Mempersoalkan kewajaran peranan Rosmah, juga bukan bertujuan menyentuh hal-hal peribadi PM Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri.

Dalam pertemuan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan karyawan Harakah di Pejabat Agung PAS 3 Mac lepas, beliau mengingatkan para wartawan agar tidak menyerang peribadi Rosmah.

Menyerang peribadi yang dimaksudkan beliau ialah, sebagai pengerak Harakah Islamiyah, kita tidak harus melabel Rosmah dengan gelaran yang menghina peribadi beliau.

Antara yang disebarkan dalam emel, facebook, blog dan sebagainya, ada pelayar internet menggelarkan beliau sebagai ‘bik mama’ (big mama), ada yang kata ‘the fat lady’. Semua gelaran ini tidak wajar dan tidak menepati kehendak Islam.

Namun masalah timbul, apabila Rosmah menggelarkan dirinya First Lady of Malaysia (Wanita Pertama Malaysia), atau singkatannya FLOM (FLOM).

Sebelum ini, isu berkaitan Rosmah menjadi serius apabila kerajaan tidak menjawab tentang kewujudan jabatan baru yang dinamakan sebagai FLOM di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Khabarnya dalam perancangan sebelum ini, FLOM ditempatkan pada aras yang sama dengan pejabat PM. Mempunyai pegawai yang tersendiri. Kewujudan FLOM disahkan melalui paparan dalam laman web rasmi JPM. Bagaimanapun, paparan tersebut dibuang selepas didedahkan media.

Namun hanya paparan yang dibuang. Lain-lain persoalan mengenai kewujudan FLOM, dana mana yang digunakan untuk membiayai perjalanan Rosmah ke luar negara, siapa yang membayar gaji pegawai-pegawai FLOM, semuanya didiamkan kerajaan.

Namun daripada jawapan Nazri di Parlimen, jelas menunjukkan Rosmah menggunakan wang kerajaan untuk memenuhi undangan negara terbabit. Yang lebih teruk sekali ialah apabila Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga menjadi anggota delegasi. Bila Menteri jadi anggota delegasi, maka sudah tentu Rosmah menjadi ketua rombongan.

Persoalannya, atas kapasiti apa seseorang yang tidak menjawat jawatan rasmi dalam kerajaan, boleh menjadi ketua rombongan, jika ianya majlis rasmi yang dibayar sepenuhnya oleh kerajaan.

Persoalan lain yang harus dibangkitkan, jika undangan tersebut khusus untuk Rosmah berucap atau menghadiri seminar, mengapa harus dibawa anggota rombongan yang besar? Mengapa harus diangkut seluruh isteri Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan?

Atas kapasiti apa kerajaan meluluskan peruntukan sebesar ini?

Mengenai FLOM, gelaran First Lady memang biasa digunakan, bagi merujuk kepada isteri Ketua Negara, sama ada dalam sistem beraja mahupun dalam sistem negara republik.

Namun, diterima juga gelaran First Lady bagi negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti di Malaysia.

Apa pun, ramai di kalangan rakyat yang mempertikaikan hasrat Rosmah menjadi FLOM kerana dalam sistem perundangan negara, Malaysia mempunyai Yang di-Pertuan Agong, manakala Raja Permaisuri Agong seharusnya menjadi First Lady.

Dalam konteks kuasa eksekutif berpusat kepada PM, mungkin Rosmah mahu First Lady dirujukkan kepada beliau.

Bagaimanapun, lima PM Malaysia sebelum ini, dari Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj hingga Tun Abdullah Ahmad Badawi, isteri mereka tidak pernah menggelarkan diri sebagai First Lady.

Justeru, apa yang dilakukan Rosmah adalah menyalahi precedent atau menyalahi amalan biasa yang diamalkan oleh isteri lima PM sebelum ini.

Tidak dinafikan wanita yang menjadi isteri kepada PM ada peranan tertentu yang harus dimainkan, untuk mendukung kerjaya suaminya.

Tetapi peranannya membantu suami (PM) harus dikhususkan. Isteri PM, isteri Menteri, isteri MB dan KM sama sekali tidak harus terbabit dalam business dealing, tender dan sebagainya.

Rosmah sudah pergi lebih jauh daripada lima isteri PM sebelumnya. Beliau pergi berkempen ke PRK Kerdau dengan menaiki helikopter. Masuk ke Felda dan berkempen untuk BN.

Harus dipersoalkan helikopter yang digunakan beliau milik siapa? Jika kos penerbangan tersebut dibiayai oleh ahli politik atau ahli perniagaan pro Umno-BN itu kita tidak persoalkan. Kita cuma mahu memastikan wang rakyat tidak disalahgunakan.

Masalah yang ditimbulkan oleh Rosmah bukan sahaja tidak disenangi Pakatan Rakyat, malah orang-orang Umno sendiri pun tidak menyenanginya.

Harus diingat, semasa PM, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berkuasa dahulu, bloggers Umno sendiri yang melabel pemerintahannya sebagai ‘kerajaan tiga beranak’.

Hari ini bloggers Umno sendiri yang melabel pemerintahan Najib sebagai ‘kerajaan suami isteri’.

Kita tidak mahu menuduh lebih daripada itu, tetapi yang harus diperhatikan ialah kecenderungan kerajaan untuk membenarkan pihak tertentu terlalu berkuasa sehingga semua peraturan tatacara kerajaan dilanggar. Malah wang rakyat dibelanja sewenang-wenang untuk keperluan First Lady juga tidak wajar.

Kita mencabar kerajaan, jika apa yang dilakukan Rosmah tidak menyalahi peraturan, sila kemukakan bukti, butiran perbelanjaan beliau yang telus. Sila buktikan beliau tidak menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya.

Jika bukti-bukti ini tidak dikemukakan, hanya dijawab dengan mengatakan ‘itu fitnah pembangkang’, maka jangan sesekali dipersoalkan jika wujud persepsi buruk terhadap isteri PM.

Jika persepsi buruk ini tidak diatasi, apakah bezanya Rosmah dengan Leila Tablisi, Suzanne Mubarak dan Imelda Marcos?

Jangan-jangan FLOM bakal jadi flop!

Fahami Matlamat Syariat, Lebur Pemikiran Sempit

Posted: 17 Mar 2011 10:23 PM PDT

Dari KeadilanDaily

Golongan profesional Islam diseru supaya memahami fungsi dan inti penting Maqasid atau matlamat pensyariatan sesuatu hukum syarak, seterusnya meleburkan fahaman perkauman sempit di Malaysia.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata segelintir mereka yang terdidik dalam gerakan Islam masih terperangkap dalam pemikiran perkauman sempit yang mementingkan konsep Melayu Unggul dan Melayu itu tuan.

"Unggul dan hebatnya seseorang itu bukan bergantung pada warna kulit, pangkat, darjat atau suku kaum tetapi bergantung pada ketakwaan kita kepada Allah swt.

"Jika hal ini kita pasakkan dalam pemikiran kita, maka ia mampu untuk melebur fahaman perkauman sempit di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel wacana 'Islam dan Masyarakat Majmuk' anjuran Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) di Petaling Jaya, malam tadi.

Wacana yang dipengerusikan Pengerusi Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA) KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty turut menjemput Datuk Dr. Siddiq Fadhil sebagai ahli panel.

Turut serta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, ahli-ahli Wadah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), profesional muslim dan kira-kira 1,000 hadirin termasuk dalam kalangan bukan Islam.

Anwar yang juga pengasas Abim mengajak anak muda di Malaysia untuk membincang kertas kerja Siddiq Fadhil kerana itu akan memberi sumbangan yang amat bermakna bagi membentuk pemikiran masyarakat majmuk di Malaysia.

BIPPA Saran Pemantauan Injil Bahasa Melayu Elak Kekeliruan

Posted: 17 Mar 2011 10:20 PM PDT

Dari KeadilanDaily

Biro Pemahaman dan pemantapan Agama (BIPPA) KEADILAN, menyarankan pemantauan terhadap kitab Injil bahasa Melayu supaya tidak menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai.

Pengerusinya, Ahmad Kassim berkata pemantauan itu penting bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dalam masyarakat terutama golongan muda dan kanak-kanak.

"Ada kebimbangan berlaku proses kristianisasi kepada masyarakat Melayu seperti yang terkandung dalam perkara 11(4) perlembagaan persekutuan yang menegaskan bahawa penyebaran agama bukan Islam kepada khalayak Islam adalah dilarang.

"Dalam Islam sendiri tidak ada paksaan dan seseorang itu memeluk Islam adalah dengan ikhlas dan rela hati serta melarang penganutnya memaksa orang agama lain menganut Islam," kata Ahmad ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Menurutnya lagi, BIPPA tidak mempunyai halangan dalam isu itu kerana beroendirian bahawa kitab injil bukan sahaja diterjemah ke dalam bahasa Melayu tetapi dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab, yang diguna secara meluas dalam perkembangan agama Islam.

Menurutnya, masyarakat Islam di negara ini juga seharusnya menyedari bahawa isu itu bukan merupakan isu baru memandangkan injil dalam bahasa Melayu sudah lama diterimapakai oleh penganut kristian di Sabah dan Sarawak.

"Injil bahasa Melayu sudah banyak di pasaran di Sabah dan Sarawak dan tidak perlu dibangkitkan kerana kitab itu telah diterjemahkan dalam semua bahasa termasuk bahasa Arab.

"Penggunaan meluas Injil bahasa Melayu ekoran masyarakat Malaysia Barat yang tidak fasih berbahasa Inggeris, kenapa baru sekarang cuba ditimbulkan lagi?," ujarnya.

Apa yang lebih penting katanya, adalah pendidikan dan pengukuhan akidah di kalangan umat Islam yang seharusnya menjadi tumpuan utama pemerintah.

Dalam masa yang sama, katanya, BIPPA tetap melahirkan kebimbangan berlaku kekeliruan dalam masyarakat sekiranya tidak ada pemantauan dilakukan, menyebabkan akidah umat Islam mudah terpesong.

Sementara itu, Ahmad turut mengulas penggunaan kalimah Allah yang dibangkitkan dalam Injil memperlihatkan kejanggalan orang Melayu apabila sebutan kalimah itu digunakan oleh kaum lain.

"Orang Melayu sahaja janggal dengan sebutan Allah oleh agama lain, sedangkan sejak zaman nabi lagi orang bukan Islam menggunakan kalimah itu dalam kehidupan mereka. Contohnya dalam al-Quran ada menyebut`'Kalau kamu tanya mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka kata Allah," katanya

Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke -45 DAP

Posted: 17 Mar 2011 12:53 PM PDT

18 Mac 2011 (Jumaat)

Masa : 7.30 – 11.00 Malam

Lokasi : Sin Kee Happy Restoran, Taman Seremban Jaya (Senawang), Negeri 9

Ucaptama Oleh:
1. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
2. YAB Lim Guan Eng
3. YB Lim Kit Siang
4. YB Karpal Singh
5. YB Chong Eng
6. YB Loke Siew Fook
7. YBhg Dr. Chen Man Hin
8 YB M. Kulasegaran

Tiada ulasan:

Nuffnang