Selasa, 28 Jun 2011

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Kes jenayah semakin membimbangkan di Seremban

Posted: 27 Jun 2011 09:16 PM PDT



Bimbang penjenayah berkeliaran di kawasan rumah
Sinar Harian 28 Jun 2011

SEREMBAN – Penduduk Taman Dusun Setia, di sini menggesa pihak berkuasa terutama polis melakukan rondaan lebih kerap bagi mengurangkan kadar jenayah di kawasan taman tersebut.

Seorang peniaga di taman berkenaan, T.Veerasamy, berkata, kedai runcitnya sudah dua kali dimasuki pencuri sejak kebelakangan ini.

"Pada 20 Mei, kedai saya dimasuki pencuri dan mencederakan saya sekeluarga. Kejadian menyebabkan kerugian sebanyak RM25,000.

"Akibat kejadian itu, saya sekeluarga tidak tinggal di rumah kedai ini sebaliknya menyewa di tempat lain kerana masih trauma dengan kejadian tersebut," katanya kepada Sinar Harian, di taman perumahan berkenaan.

Veerasamy berkata, bukan sahaja kedainya dirompak, malah kebanyakan rumah penduduk taman tersebut juga turut mengalami nasib sama.

"Penduduk amat bimbang akan keselamatan harta benda dan diri apabila banyak kejadian rompakan berlaku di kawasan ini.

"Keselamatan penduduk ibarat hujung tanduk kerana tiadanya pihak berkuasa mahupun Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mengawal kawasan taman ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban, John Fernandez yang membuat lawatan ke taman tersebut berkata, pihaknya sudah memanjangkan aduan kepada pihak berkuasa, namun masih tiada tindakan sehingga kini.

"Bukan sahaja kejadian rompakan, malah jenayah seperti ragut juga kerap berlaku di kawasan ini, sekali gus membuatkan penduduk berasa takut hendak keluar rumah sendirian.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9230536.asp

Litar lumba mini, satu lagi Projek Gajah Putih N.Sembilan

Posted: 27 Jun 2011 09:15 PM PDT



Adakah Litar Lumba Mini di Seremban ini merupakan salah satu lagi Projek Gajah Putih di Negeri Sembilan antara beberapa koleksi Projek Gajah Putih di Negeri Sembilan ? Beberapa Projek Gajah Putih sebelum ini yang dilaporkan pada pautan berikut http://gajahputihn9.blogspot.com/

Litar lumba mini terbiar sepi
Sinar Harian 28 Jun 2011

SEREMBAN – Tujuannnya untuk memberi peluang kepada orang ramai menghabiskan masa dengan aktiviti berfaedah. Bagaimanapun, pembinaan litar lumba mini di Seremban 2, di sini seolah-olah satu pembaziran.

Ini kerana, litar yang popular dengan aktiviti kereta kawalan jauh sejak kira-kira dua tahun lalu itu kini terbiar tanpa sebarang aktiviti, berbanding sebelum ini sebanyak enam kali setahun pertandingan dianjurkan di situ.

Bagaimanapun, disebabkan litar tidak sekata dan tiada kemudahan asas untuk orang ramai, ramai pengemudi kereta mini lari dan bertanding di negeri lain.

Pengerusi Kelab Speed Sideway RC Car Club (SSRCCC) Negeri Sembilan, Mohd Nizar Abd Jabbar berkata, setiap kali pertandingan kereta kawalan jauh dianjurkan di Seremban, peserta sering berdepan situasi kenderaan mereka aterjejas akibat litar kasar dan tidak sekata.

"Kita bukannya nak perhatian lebih, tetapi litar yang ada ini amat teruk dan tidak sesuai lagi dengan kereta kawalan jauh.

"Peserta akan berhadapan dengan masalah tayar dan kondisi kereta yang tidak baik selepas bertanding di litar ini. Selain itu, kemudahan untuk peserta dan pengunjung yang menyaksikan perlumbaan ini juga tiada di sini," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Mohd Nizar berkata, disebabkan masalah itu, tiada lagi pertandingan diadakan di situ berbanding awal pembinaannya pada 2009.

"Saya juga pernah menyusulkan surat kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) untuk mereka membaik pulih kawasan litar ini agar lebih ramai yang turun beraksi, namun sehingga kini belum ada jawapan," katanya.

Mohd Nizar berkata, aktiviti kereta kawalan jauh itu mempunyai pengikut ramai terutama dari seluruh negara, sekali gus mewujudkan aktiviti sihat kepada golongan muda.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9234362.asp

Hutan simpan N.Sembilan diceroboh tanpa tindakan?

Posted: 27 Jun 2011 09:14 PM PDT



Ketenteraman penduduk terganggu!
Sinar Harian 28 Jun 2011

KAMPUNG SUNGAI RAYA – Ketenteraman dan keselesaan penduduk semalam hampir 40 tahun hidup dalam suasana kampung di Kampung Sungai Raya kini terganggu!

Penduduk mendakwa semuanya itu gara-gara projek penanaman pokok gaharu dan ternakan burung walit yang dijalankan di atas tanah seluas 20 hektar yang merupakan hutan simpan dan timbul persoalan mengapa projek ini boleh diluluskan sehingga mengakibatkan hutan digondolkan.

Seorang penduduk, S Siva Kumar, 35, berkata, akibat penggondolan hutan itu penduduk di sini terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah.

"Hutan ini mula digondolkan kira-kira 10 tahun lalu, di mana kayu balak mula ditebang dan dibawa keluar dari hutan berkenaan melalui jalan-jalan di kampung ini secara 'senyap' tanpa diketahui penduduk. Namun, aktiviti itu terhenti seketika dan sekitar setahun lalu, projek ini bermula semula.

"Akibatnya, penduduk yang terpaksa menanggung kesan buruk daripada aktiviti itu yang dilihat lebih memberi keuntungan kepada sebelah pihak," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Siva Kumar berkata, penduduk berhampiran terpaksa berkongsi jalan kampung dengan pelbagai jenis kenderaan berat seperti jentolak yang digunakan untuk projek terbabit sehingga mengakibatkan jalan rosak.

Lebih membebankan, katanya, rumah penduduk dilanda banjir lumpur kira-kira dua minggu lalu dan ia adalah kejadian paling buruk pernah berlaku.

"Seminggu kemudian kejadian sama berlaku tetapi tidak terlalu teruk. Namun semua air dari tempat projek itu yang terletak di bukit mengalir bersama tanah lumpur hingga membanjiri kawasan kebun dan rumah tidak sampai satu jam.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa banjir mendapat bantuan polis untuk membersihkan banjir lumpur yang masuk ke rumah dan mengalami kerugian besar," katanya.

Semua pihak berwajib telah turun padang, termasuk pengurus projek berkenaan dan mereka berjanji akan membina parit besar bersempadan dengan lereng bukit projek dijalankan dan rumah penduduk dalam tempoh secepat mungkin.

Siva Kumar berkata, parit itu belum digali sehingga kini dan mereka hanya membina empangan tanah di lereng bukit kononnya untuk menyekat aliran lumpur, tetapi tidak berkesan kerana limpahan air yang banyak memusnahkan empangan.

Malah, menurutnya, jalan kampung yang rosak hanya diturap dengan batu manakala jambatan yang hampir roboh dibiarkan begitu sahaja.

"Akibatnya, sekali lagi penduduk di sini dilanda banjir lumpur pada Sabtu lalu.

"Oleh itu, sebuah longkang sementara kemudian dibina di hadapan rumah penduduk selepas diarahkan secara keras oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rohana Nasir, 57, berkata, jika benar kerajaan meluluskan projek di atas tanah rezab hutan simpan ini, semua pihak berkaitan perlu memantau projek itu secara telus.

"Saya sendiri hairan bagaimana projek ini boleh dibangunkan di hutan simpan ini dan sekarang ternyata memberi beban besar kepada rakyat.

"Saya juga amat berharap agar semua pihak berkaitan mengkaji semula secara terperinci dari semua aspek bagaimana projek ini diluluskan. Kami bimbang sekiranya terdapat unsur 'kotor' atau memang diluluskan kerajaan," katanya.

Menurutnya, penduduk di sini juga sangat mengharapkan agar ada pembelaan segera yang diterima, termasuk langkah pencegahan dilanda banjir lumpur sekali lagi, memandangkan sekarang ini musim hujan.

"Hujan yang tidak sampai satu jam boleh mengakibatkan banjir lumpur yang teruk seperti mana yang kami alami dua minggu lalu, akibatnya banyak harta benda yang musnah," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9237206.asp

Ceramah Israk Mikraj 30 Jun

Posted: 27 Jun 2011 07:15 AM PDT

Tiada ulasan:

Nuffnang