Khalid Samad |
Mengapa PAS Tidak Boleh Bersama UMNO? Posted: 03 May 2012 07:00 PM PDT Masih ada lagi yang bertanya, mengapa PAS tidak boleh bersama UMNO sedangkan boleh pula bersama DAP dan PKR? Saya rasa saya sudah jawab ini berkali-kali tetapi biarlah buat kali terakhirnya saya jawab sekali lagi. Jawapan saya berbentuk cerita. Andaikata ada orang Melayu-A menjemput seorang Melayu-B yang lain ke kelab malam untuk minum beer. Tetapi, pada masa yang sama ada seorang bukan Melayu menjemputnya ke kedai mamak untuk minum teh tarik. Maka Melayu-B memilih untuk bersama yang bukan Melayu untuk ke kedai mamak. Tiba-tiba yang Melayu-A tadi marah dan terus berkata, "Hoi Melayu, tidak sedar dirikah? Awak tu Melayu, aku Melayu, awak Islam, aku Islam, sepatutnya awak bersama aku, bukan dengan yang bukan Islam!" Melayu-B pun terkejut dengan bantahannya dan terus menjawab, "Tapi kamu ajak saya untuk ke kelab malam untuk minum beer!" Dengan bersahaja Melayu-A menjawab, "Tidak mengapa, saya minum beer, awak minumlah air Cola!" Persoalanya, adakah wajar tindakan sedemikian? Walaupun tidak minum beer bersama, sebagai seorang Islam Melayu-B tidak boleh meminum beer dan jika Melayu-B berada bersama walaupun ditangannya hanya memegang segelas Cola, ia tetap bersubahat dengan kejahatan tersebut. Pengajaran dari cerita yang ringkas ini ialah, yang penting bukan buat sesuatu 'dengan siapa', tetapi 'buat apa'. Kalau buat jahat, walaupun dengan ustadz, ianya tetap jahat dan akan tetap berdosa. Kalau buat baik, walaupun dengan orang bukan Islam, ianya tetap kerja baik dan orang Islam tersebut tetap mendapat pahala! UMNO ingin meneruskan budaya politik rasuah, fitnah, menyeleweng, menindas dan perkaumannya. Kalau PAS turut bersama mereka, maka akan turut terpalit dengan budaya yang jijik itu. Pemuda-pemuda PAS akan diminta mengedarkan video lucah yang kononnya melibatkan DSAI. PAS juga akan diminta membela segala penyelewengan NFC dan juga menghalalkan pembantaian rakyat oleh pihak polis pada 28 April lalu. Sedangkan apabila PAS bertanya kepada PKR dan DAP mengenai apa yang mereka ingin usahakan, mereka menjawab "sebuah kerajaan yang bebas rasuah, adil, berkebajikan terhadap rakyatnya dan bebas perkauman". Pada masa yang sama, institusi keagamaan akan dibebaskan dari kongkongan UMNO yang ingin membantutkan Islam sehingga menjadi agama yang sempit dan tidak berwibawa. Apabila dibandingkan kedua-dua pilihan dan diletakkan di hadapan, maka adalah amat jelas bahawa pilihan PR adalah yang terbaik. Ingat! Yang penting bukan soal 'buat dengan siapa' tetapi yang penting adalah 'buat apa'? Ini selari dengan kata-kata masyhur Saidina Ali (KW), "undzur ilaa maa qala wa laa tandzur ilaa man qala" atau "lihat pada apa yang dikatakan dan jangan kamu lihat pada WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
Kontroversi Semasa Majlis Pertabalan Agong Posted: 03 May 2012 05:30 PM PDT Ada yang masih cuba mengadu domba dengan mengada-adakan cerita kononnya Ahli Parlimen PR tidak menghormati Sultan-Sultan Melayu dan Agong semasa majlis pertabalan tempoh hari. Ingin saya ulangi di sini, bahawa saya berada di situ, tidak jauh dari YB Azmin dan YB Tian Chua, tetapi saya tidak dengar apa yang kononnya dikatakan sesama mereka atau apa yang kononnya dikatakan Azmin kepada saya sehingga menyebabkan saya tersenyum lebar. Bagi saya ianya cerita dongeng rekaan golongan yang kehabisan modal. Pada masa yang sama, ada beberapa kenyataan yang membuat saya menganggap orang yang menuduh sebenarnya tidak hadir pada hari itu! Sekadar membuat tuduhan yang berniat jahat. Di antara kenyataan-kenyataan yang menimbulkan kesangsian saya adalah seperti berikut: Pertama, beliau mengatakan bahawa beliau duduk di depan barisan ahli Parlimen Pembangkang. Hakikatnya tiada barisan untuk Ahli Parlimen pembangkang, sebaliknya kami duduk berselang-seli dengan Ahli Parlimen BN! Yang jelas YB Tian Chua duduk di hadapan barisan YB Azmin. YB Azmin pula duduk di sebelah YB Mohd Zin BN Sepang. Sepertimana juga YB Dr Siti Mariah yang duduk di belakang barisan YB Azmin. Di sebelah beliau adalah YB Tajuddin BN Pasir Salak. Dalam keadaan sebegitu tidak mungkin apa yang dituduh benar-benar berlaku lebih-lebih lagi apabila maklumat yang diberikan oleh si pelapor jelas tidak betul. Kedua, dikatakan bahawa Azmin menyebut bahawa Sultan Kelantan berjalan terlalu pantas dan tidak terkejar TG Nik Aziz. Kononnya mendengar komen tersebut, saya tersenyum lebar. Pertama saya tidak dengar pun sesiapa mengeluarkan kata-kata sebegitu. Kedua, saya memang sentiasa senyum dan senyuman saya memang lebar! Ketiga, dan ini lebih penting, Sultan Kelantan tidak masuk diiringi Menteri Besarnya pada hari itu, maka tidak timbul persoalan TG Nik Aziz perlu mengejar Baginda Sultan! Inilah yang menyebabkan saya merasa sangsi samada Doktor berkenaan benar-benar hadir atau hanya satu cerita yang direka. Walau apa pun, bagi saya, ini semua adalah bukti bahawa UMNO sudah ketandusan modal sehingga terpaksa mengada-adakan cerita dogeng. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan