Jumaat, 4 Mei 2012

Ahli Parlimen Kota Belud

Ahli Parlimen Kota Belud


Gaji Minima Sabah - Perlukah Dipolitikkan Pembangkang

Posted: 04 May 2012 05:09 AM PDT


Saya merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri berhubung gaji minima sektor swasta di Sabah.

Selepas mempertimbangkan pandangan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang mewaili sebahagian besar majikan serta kakitangan di Sabah dan pakar ekonomi termasuk daripada Bank Dunia, kadar RM800 ditetapkan sebagai gaji minima di Sabah.

Seperti dijangka, pembangkang pantas menjadikan isu ini sebagai modal politik. Mereka megkritik kadar gaji minima itu sebagai terlalu rendah, selain menganggapnya tidak adil berikutan kadar berbeza yang ditetapkan di Semenanjung.

Pertamanya, gaji minima bukannya tongkat sakti untuk menyelesaikan segala masalah ekonomi dan cabaran yang dihadapi kakitangan berpendapatan rendah. Kerajaan mempunyai pelbagai kaedah lain dalam membantu mereka, termasuk subsidi mencecah berbilion ringgit, pemberian tunai dan kursus latihan bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.

Gaji minimum bukan bertujuan mengubah status golongan berpendapatan rendah kepada kumpulan berpendapatan tinggi. Gaji minima lebih menjurus kepada penanda aras asas supaya gaji ditawarkan tidak kurang daripada kadar ditetapkan kerajaan. Majikan boleh menawarkan gaji lebih tinggi jika berasa pekerja layak menerimanya berdasarkan kelayakan dan kemahiran.

Ada perbezaan besar pendekatan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam isu ini. Pakatan Rakyat melihatnya dari pandangan populis dan oleh sebab itu hanya berminat untuk melihatnya dari pespektif pekerja semata-mata (tidak menghairankan kerana pekerja merupakan pengundi teramai). Berbeza dengan kerajaan yang perlu berlaku adil dan bertanggungjawab kepada semua pihak.

Kepada kerajaan pula pihak pekerja dan majikan adalah dua komponen yang sama penting dalam ekonomi negara kita. Kedua-duanya tidak dapat ujud bersendirian dan saling perlu memerlukan. Menyedari hakikat ini maka kerajaan mengambil pendekatan yang adil dan saksama terhadap kedua-dua komponen ekonomi yang penting ini. 

Di sebalik keghairahan mengkritik dasar berkenaan, pembangkang terlupa memaklumkan rakyat bahawa tuntutan terhadap kadar minima lebih tinggi boleh menjejaskan golongan pekerja yang kononnya mahu dibela.

Benar, kos kehidupan adalah faktor penting yang perlu diberi pertimbangan. Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira aspek lain seperti tekanan inflasi dan kemampuan majikan terutama bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (contohnya kedai kopi, restoran dan kedai runcit di pekan kecil seperti Kota Belud).

Kita ambil contoh restoran yang mempunyai 8 pekerja dan dibayar purata RM500 seorang. Dasar gaji minima RM800 bermakna kos perniagaan majikan meningkat kepada RM2,400 sebulan.

Bayangkan, pada kadar minima  RM1,100 seperti cadangan pembangkang, berapa banyak majikan berupaya mengekalkan perniagaan mereka?  Memang ada yang boleh bertahan tetapi sebahagian besarnya tidak mungkin dapat berbuat demikian, malah mungkin terpaksa membuang pekerja.

Dalam beberapa keadaan, beban kos lebihan mungkin dipindah kepada pengguna dengan meningkatkan harga barang dan perkhidmatan bagi menampung kerugian. Bayangkan senario di kilang yang mempunyai ratusan atau ribuan pekerja. Gangguan dan ancamannya terhadap ekonomi negara bukan calang-calang.

Di akhirnya, kadar minima tinggi yang tidak masuk akal hanya akan meningkatkan pengangguran, inflasi dan menjejaskan ekonomi. Situasi ini perlu dihindari bagi mengelak pekerja dan rakyat menanggung kesannya.

Selepas kajian mendalam dan perbincangan bersama wakil pekerja dan majikan Sabah dalam MPGN, rumusan dipersetujui ialah ekonomi Sabah berupaya menyerap gaji minima RM800. Ekonomi dijangka sedikit terjejas pada kadar ini tetapi kesannya mampu diurus.

Perangkaan menunjukkan 98% daripada perniagaan di Malaysia berada dalam kumpulan PKS. Mereka akan menerima tempias paling teruk berikutan pelaksanaan dasar gaji minima. Malah, kadar RM800 itu akan menimbulkan cabaran besar di pekan kecil seluruh Sabah.

Menyentuh perbezaan kadar di Semenanjung dan Sabah, ia berlaku berikutan asas ekonomi berdasarkan wilayah yang berbeza. PKS di Semenanjung mempunyai asas dan keuntungan lebih baik, justeru boleh menyerap kadar gaji minima lebih tinggi berbanding di Sabah dan Sarawak.

Secara idealnya dan demi manfaat politik, MPGN boleh saja mencadangkan supaya kerajaan menyelaraskan kadar gaji minima nasional kepada RM800.

Bagaimanapun, persoalan yang timbul ialah apa perlunya pekerja di Semenanjung `dihukum' daripada mendapat kadar gaji minima lebih tinggi jika majikan mereka mampu berbuat demikian?

Perdana Menteri memberi jaminan kadar gaji minima akan dikaji secara konsisten dan kita berharap kadar yang selaras di seluruh negara dapat dicapai dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Persoalan asasnya ialah apa guna kita mempunyai kadar gaji minima yang lebih tinggi jika ia menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan manakala peningkatan harga barangan dan perkhidmatan (goods and services) mengurangkan kuasa beli pekerja? 

Ini perlu difikirkan dengan serius. Justeru, itu sebabnya kerajaan memperhalusi isu ini dengan teliti. Langkah pertama adalah yang paling menyukarkan dan kerajaan harus dipuji dengan pengumuman struktur kadar gaji minima. Selepas ini, majikan dan pekerja perlu mencari jalan untuk menjadi lebih produktif dan cekap. Ini boleh membawa kepada kadar gaji minima lebih tinggi dalam jangka panjang.

Pembangkang perlu berhenti memperjudikan masa depan pekerja. Perebutan untuk menjadi popular dan mendesak gaji minima lebih tinggi dalam keadaan tidak mampu ditanggung para perniaga di Sabah boleh diibarat sebagai usaha mensabotaj ekonomi dan mempedaya pekerja. Ia akan memberi kesan negatif kepada pekerja, meningkatkan pengangguran, melingkupkan perniagaan dan membebani rakyat dengan lonjakan inflasi.

Kita tidak boleh membiarkan pembangkang menjahanamkan ekonomi seperti dilakukan ketika krisis kewangan global pada 1998.

Dasar ekonomi tidak bertanggungjawab mereka hampir membawa negara ke ambang kebankrapan, selain membuatkan ekonomi negara merudum.

Rakyat Malaysia melihat sendiri dasar ekonomi serba pincang mereka dan ia bukan sesuatu yang wajar diamalkan.

Salam. 

Tiada ulasan:

Nuffnang