Sabtu, 2 Februari 2013

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Aspirasi wanita, inspirasi semua?

Posted: 02 Feb 2013 06:50 AM PST

NURUL IZZAH ANWAR
22 Januari 2013

SAYA adalah seorang wanita yang juga seorang anak, isteri dan ibu.

Sebagai seorang ahli Parlimen yang mewakili warga Lembah Pantai saya juga sentiasa mendengar dan mencari inti pati aspirasi wanita di negara kita.

Pelbagai kajian dan berbilang dasar daripada kerajaan mahupun pembangkang telah dihasilkan dan dilancarkan semenjak Merdeka lagi, termasuk penubuhan sebuah kementerian khas untuk kaum wanita.

Secara ringkasnya, hampir kesemua dasar menyatakan akan 'memperkasakan agenda wanita'.

Pelbagai skim, program dan agenda telah diwujudkan yang telah pun sedikit sebanyak memperkasakan dan mengupayakan wanita.

Tetapi, saya masih mahu mencari inti pati yang ringkas dan mudah difahami untuk menggambarkan aspirasi wanita hari ini.

Sebagai wanita yang bergelar isteri dan ibu, apa yang menjadi tumpuan utama adalah keluarga. Institusi keluargalah yang menjadi teras segala pemikiran, usaha, keresahan, doa dan juga kebanggaan wanita.

Justeru pada hemat saya, segala yang berkaitan dengan membimbing, membangunkan dan menguruskan keluarga adalah sumber inspirasi dan aspirasi wanita.

Aspirasi pertama mungkin adalah mengenai perumahan. Bukan sahaja pemilikan rumah tetapi persekitaran perumahan juga adalah sama penting di dalam menentukan kualiti kehidupan dan suasana pembangunan insan yang terjamin serta teratur, terutamanya untuk anak-anak.

Perumahan dan persekitaran bersih, sihat dan selamat menjadi idaman setiap wanita. Pendek kata, perumahan yang memiliki ciri-ciri Keselesaan, Kebersihan, Kesihatan, Keselamatan dan Kemudahan Awam mesti dijadikan sebagai penanda aras 'hak asas' perumahan. Ini bermaksud setiap kawasan perumahan mesti dibangunkan mengikut ciri-ciri tersebut dan sama penting adalah peluang memiliki rumah secara mudah seperti melalui skim Sewa-Hingga-Milik tanpa dikenakan bayaran faedah untuk rakyat berpendapatan rendah. Aspirasi kedua adalah pendidikan
anak-anak. Seorang ibu sentiasa berdoa agar anak-anak mendapat pendidikan duniawi dan ukhrawi yang akan melahirkan insan yang beriman, berilmu dan beramal.

Segala usaha untuk menyediakan pendidikan termasuk persekolahan yang dekat dengan rumah, kurikulum dan kokurikulum mesti berdasarkan piawaian antarabangsa terbaik.

Apabila sistem pendidikan mula merudum berbanding negara-negara lain atau menjadi terlalu mahal sehingga membebankan kewangan keluarga, harapan seorang ibu adalah tindakan segera mesti diambil tanpa perlu kajian yang memakan masa dan belanja besar.

Aspirasi ketiga adalah pengupayaan potensi dan peranan wanita di dalam ekonomi, pekerjaan, pangkat dan kepimpinan. Jika ada yang meletak sasaran 30 peratus kepimpinan di dalam syarikat, persatuan mahupun kerajaan adalah untuk wanita, KPI ini mesti diletakkan pada tahap 50 peratus kerana ini adalah peratusan wanita yang menjadi rakyat di negara kita. Pengupayaan juga termasuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja dan perkhidmatan kesihatan wanita yang mampu membantu produktiviti, kerjaya dan kesejahteraan wanita.

Mungkin ada yang mengatakan aspirasi wanita adalah lebih dari yang tiga ini, seperti mahu harga barang keperluan asas turun, harga minyak turun, harga air dan elektrik turun, harga kereta turun, harga rumah turun, hutang negara turun ataupun tangga gaji naik, prestasi pendidikan naik, dan peluang pekerjaan naik manakala rasuah dibasmi, salah guna kuasa dibanteras serta pembaziran ketirisan ekonomi dengan aliran wang haram RM1 trilion dihentikan – buat saya ini semua bukan sahaja aspirasi wanita tetapi semua rakyat negara tercinta ini.

Akhir sekali, jika ketiga-tiga aspirasi asas wanita yang saya nyatakan tadi tercapai, maka martabat wanita dengan sendirinya terpelihara. Ini juga bermaksud masyarakat menghargai peranan dan pengorbanan wanita yang menjadi tunggak keluarga dan negara.

Dan seperti lirik lagu yang sungguh syahdu yang menjadi sumber inspirasi kita semua untuk wanita terutamanya kaum ibu maka dengarlah dan bersama kita jiwai demi anak-anak kita: "Ibu, Ibu, engkaulah ratu hatiku!"

Dipetik dari Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nurul-izzah/aspirasi-wanita-inspirasi-semua-1.123921

Tiada ulasan:

Nuffnang