:: cina islam | 2011 :: |
- Putar belit perencah kempen BN menghadapi PRU13
- Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan
- Batavia Air Bankrap, Ratusan Penumpang Terkandas
- [Fikrah Islamiah] Ciri-ciri ulama suk mudah dilihat
- 26 maut lori bunga api meletup, jambatan runtuh
- Pembeli tampil tuntut janji
Putar belit perencah kempen BN menghadapi PRU13 Posted: 01 Feb 2013 04:50 PM PST 21 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Pemimpin BN Umno masih lagi bermain taktik lama untuk menghadapi PRU13 dengan memutar belit fakta demi mencapai matlamat kemenangan BN terutama dengan pengundi Melayu. Contohnya, kata Idris Ahmad isu pengguguran Ustaz Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulamak PAS pada 13 Januari lalu tetapi pemimpin Umno yang kebuluran isu menipu rakyat kononnya beliau dipecat kerana mengiringi Datuk Seri Najib ke Gaza sedangkan pemergian beliau ke Ghaza pada 23 Januari 2013. "Umno sudah rabun angka, sehingga tidak tahu beza mana tarikh yang terdahulu. Begitu juga mengenai isu penggunaan nama Allah, dan terjemahan Bible. "Pemimpin Umno cuba menjadi hero mempertahan nama Allah, dan memfitnah PAS bersetuju nama Allah diterjemah," ujar AJK PAS Pusat itu dalam satu kenyataan. Pada hal, katanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri telah menyatakan kerajaan akan menarik balik kebenaran mencetak terjemahan Bible, jika langgar syarat pada 20 Januari 2013, ertinya kerajaan pimpinan Umno sudah pun meluluskan. Beliau juga bertanya di mana pula fatwa ulama pengampu yang menuduh siapa yang mengatakan nama Allah diterjemahkan hukumnya kafir. Begitu juga, ujarnya pemimpin dan media Umno mengatakan jika Pakatan Rakyat menang, Perdana Menteri ialah orang Cina. "Macam mana Cina hendak menjadi Perdana Menteri, majoriti kerusi bukan Islam seluruh Malaysia ialah 69 kerusi sahaja, masih memerlukan 53 kerusi supaya mendapat 112 kerusi. "Inilah hujah yang diputar di kampung-kampung. Konco-konco Umno juga menipu rakyat mengatakan, agama Kristian akan menjadi agama rasmi jika Pakatan Rakyat menang," katanya lagi. Justeru, katanya tidak masuk akal langsung kerana penganut Kristian di negara ini hanya 9 peratus sahaja sedangkan Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama pada 19 Disember 2009 telah menetapkan bahawa Islam, Melayu, Raja dan Bahasa Melayu akan terpelihara. Tambahnya, mereka juga membohongi rakyat bahawa Raja-Raja Melayu akan dihapuskan jika Pakatan Rakyat menang. Hakikat yang mengaibkan Raja-Raja Melayu pada tahun 1983 dan 1993 ialah Umno. Sehubungan itu, kata beliau rakyat perlu faham bahawa menurut Perlembagaan, kedudukan Raja-Raja Melayu tidak boleh dihapuskan dengan apa cara sekalipun, kecuali persetujuan persidangan Raja-Raja Melayu sendiri yang menghapuskannya. Harakahdaily/- | |
Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Posted: 01 Feb 2013 04:38 PM PST 21 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan bergambar bersama Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Muhyiddin Yasin (empat, kiri) dan isteri, Norainee Abdul Rahman (empat, kanan), serta (duduk, kiri) M. Saravanan, Dr. Ali Hamsa, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, (berdiri belakang dari kiri) Ahmad Phesal Talib, Shukry Mohd. Salleh, Mohd. Isa Abdul Samad, Cheng Heng Jem, Ismail Omar, S. Samy Vellu dan Adnan Md. Ikshan. - BERNAMA | |
Batavia Air Bankrap, Ratusan Penumpang Terkandas Posted: 01 Feb 2013 04:34 PM PST 21 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] - Mahkamah Indonesia kelmarin mengisytiharkan syarikat penerbangan Batavia Air bankrap. Hal ini menyebabkan ratusan penumpang penerbangan kos rendah Indonesia itu terkandas di lapangan terbang apabila semua operasinya dihentikan. Pada awal bulan ini, Perbadanan Kewangan Pajakan Antararabangsa (ILFC) mengemukakan petisyen bankrap kepada Mahkamah Komersial Jakarta berikutan kegagalan syarikat penerbangan itu membayar hutang berjumlah USD 4.7 juta. Jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia berkata, pihaknya telah menghubungi pihak pengurusan Batavia Air supaya penumpang yang terkandas dikendalikan melalui kerjasama syarikat penerbangan lain. | |
[Fikrah Islamiah] Ciri-ciri ulama suk mudah dilihat Posted: 01 Feb 2013 04:29 PM PST Ahmad Baei Jaafar Ulama suk atau yang diistilahkan sebagai fasik boleh kita lihat secara jelas pada akhir zaman ini. Ulama fasik yang disebut dalam hadis adalah pakej yang Allah datangkan pada akhir zaman bersama dengan ahli ibadah yang jahil. Hal ini kerana ulama pada akhir zaman tidak begitu berperanan dalam mendidik umat Islam ke arah ibadah yang betul. Hadis yang dimaksudkan ialah: عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " يَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ عُبَّادٌ جُهَّالٌ ، وَعُلَمَاءُ فُسَّاقٌ " . ابن حبان Maksudnya, daripada Anas r.a dia berkata, Sabda Rasulullah: "Akan berlaku pada akhir zaman ahli ibadah yang jahil dan ahli ilmu yang fasik." (Riwayat ibnu Hibban) Wujudnya ahli ibadah yang jahil mungkin tidak memeranjatkan kita kerana mereka menjadi jahil kerana tidak diajarkan ilmu yang betul oleh ulama atau mereka tidak mahu belajar ilmu yang betul daripada ulama. Tetapi bagaimana dengan ulama fasik, bagaimana pula boleh wujud ulama fasik sedangkan ulama itu adalah dalam kalangan orang yang cerdik pandai Islam. Inilah yang perlu kita lihat secara tepat sekali gus mengenali ciri-ciri ulama fasik ini. Sebelum mengenal pasti ciri-ciri ulama fasik itu, elok juga kita memahami maksud fasik. Sebenarnya fasik kalau kita sandarkan kepada seseorang bermakna dia itu mengekalkan dosa besar dan meremehkan dosa kecil. Jadi kalau ulama fasik bererti ulama itu mengekalkan dosa besar dan meremehkan dosa kecil. Bayangkan kalau ulama ini berada di dunia ini, sudah pasti akan menjadi masalah kepada masyarakat dan negara. Apa tidaknya, ulama yang mengekalkan dosa besar mengajar umat Islam, tentu ilmu itu tidak berkat atau ilmunya tidak tepat atau terseleweng. Maka dengan sebab itu lahir ahli ibadah yang jahil. Jelas, wujudnya dua golongan ini menjadi cabaran kepada Islam akhir zaman, malah mereka inilah yang banyak mengganggu perkembangan Islam. Rasionalnya begini, apabila pendakwah cuba mendekati para ahli ibadah yang jahil, cuba didik mereka ke arah membetulkan cara mereka melakukan ibadah, tiba-tiba datang ulama rosak ini dengan beberapa ulasan yang meremehkan ilmu yang disampaikan itu. Kesannya, mereka yang baru hendak disedarkan itu terus tawar hati dan kembali kepada asal. Ciri-ciri Ulama Fasik Secara umumnya ulama ini akan selalu menyanggah pandangan dengan apa yang dibawa oleh ulama amilin, apatah lagi suara mereka disokong oleh golongan ramai. Walaupun secara zahirnya, kita tidak dapat membezakan antara dua golongan ulama ini di sudut pakaian dan percakapan, namun kita dapat menilai mereka melalui tindakan dan kesan daripada tindakannya. Antara ciri-ciri ulama fasik ialah:
Untuk mudah kita kenali ulama ini suka saya membawakan satu contoh terdekat iaitu isu perkataan Allah. Baru-baru ini ramai ulama bercakap tentang perkataan Allah, namun tidak seorang pun sanggup menjelaskan dengan baik sesuai dengan kehendak Allah. Akhirnya orang ramai termasuk orang politik memahaminya secara tidak tepat. Isu asalnya amat kecil iaitu memohon kebenaran menggunakan kalimat Allah bagi menggantikan perkataan God dalam bible berbahasa Melayu. Isu ini boleh selesai dengan mudah iaitu dengan menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah tidak tepat bagi menggantikan God, sebaliknya adalah lebih tepat kalau mereka menggunakan kalimat Tuhan. Siapakah dalam kalangan ulama yang berani menjelaskan hal ini kepada orang Kristian? Kalau mereka masih berdegil mahu menggunakan perkataan itu, kita boleh tanyakan kepada mereka untuk apa digantikan Allah dalam bible Melayu sahaja? Belumpun mereka memberi alasan, boleh kita jelaskan begini, kalau bible dalam bahasa Melayu menyebut Allah sudah tentu untuk tujuan menarik perhatian orang Melayu. Perbuatan ini adalah salah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan, maka janganlah diteruskan demi perpaduan. Adakah mana-mana ulama kerajaan yang cuba menjelaskan begitu? Jelas, tiada ulama yang berani menjelaskan begitu kepada mereka. Sebaliknya mereka mengulas bukan merujuk kepada isu sebenar. Lalu lahirlah pelbagai pandangan yang antaranya, "siapa yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah kafir." Pandangan ini sepatutnya bukan lahir daripada seorang ulama. Ulama sepatutnya bukan sekadar ulas tetapi memberi ilmu kepada umat Islam termasuk pemimpin politik; "Allah adalah tuhan sekelian Alam, tuhan manusia tuhan binatang dan tuhan alam seluruhnya." Kita wajib bertuhankan Allah tanpa syirik tanpa sekutu dengan yang lain. Inilah yang sepatutnya diulang-ulang ke telinga umat Islam. Perlu dijelaskan juga, selain orang Islam ada golongan lain yang dinamakan kafir dan ada lagi yang dinamakan musyrik, mereka ini menyengutukan Allah dengan tuhan-tuhan lain. Sebenarnya Umat Islam juga boleh menjadi musyrik sama seperti orang yang bukan Islam jika mereka bertuhankan harta, bertuhankan pangkat dan jawatan di samping beriman dengan Allah. Bahkan orang Kristian juga termasuk dalam golongan musyrik kerana mereka turut bertuhankan Isa dan Mariam di samping percaya kepada Allah. Selain itu kita tidak boleh nafikan agama hindu, budha dan lain-lain juga percaya kepada Allah tetapi Allah itu telah disyirikkan dengan patung dan berhala. Ilmu ini perlu dijelaskan kepada umat Islam dari sejak kecil lagi. Bahkan kalau mampu maklumkan juga kepada orang bukan Islam. Mereka juga hendakkan maklumat yang betul. Sama ada mereka hendak terima atau tidak terserah kepada mereka. Allah yang boleh memberi hidayah kepada mereka. Kalau ilmu ini dapat dijelaskan kepada anak-anak kita, apa yang hendak dibimbangkan kalau ada risalah bible disebarkan ke sekolah-sekolah. Mereka tidak akan terpengaruh dengan sebaran itu kerana ilmu asas sudah tertanam dalam kepala mereka. Tetapi, kalau ilmu ini tidak disampaikan kepada mereka, itulah sebabnya mengapa mereka bising dan riuh rendah degnan isu sebaran risalah itu di sekolah baru-baru ini. Saya hairan, mengapa sukar sangat ulama kita untuk menjelaskan hal ini kepada umum. Kita takutkan siapa? Kita akur dengan larangan menggunakan beberapa perkataan khusus untuk Islam seperti yang diwartakan. Tetapi kita tidak ada hak untuk menghalang orang lain menyembah Allah kerana Allah adalah tuhan sekelian alam. Syirik tempatnya neraka Soal mereka syirik kepada Allah tidak timbul sebab keadaan mereka telah dijelaskan dalam al-Quran. Mereka yang syirik tempatnya adalah neraka walaupun mereka beriman kepada Allah. Malah orang Islam sendiri kalau syirik kepada Allah, nerakalah tempatnya. Tegasnya, ulama yang tidak berani menjelaskan semua ini dengan betul, maka hakikatnya mereka tergolongan dalam ulama fasik. Bagaimana dengan anda? Marilah kita bertaubat dan kembalikan peranan kita dalam menyampaikan ilmu kepada semua pihak. Percayalah kalau ulama kita bangun nescaya anak-anak kita boleh terima dan faham tentang Allah sekali gus tidak mensyirikkan Allah. Pada masa yang sama kita boleh jelaskan kepada mereka yang bukan Islam, agar mereka faham dan kemudiannya memeluk Islam. Inilah kerja ulama amilin. Ingatlah ulama fasik atau suk selain tidak ada tempat di sini Allah di akhirat nanti, mereka di dunia ini akan dibenci oleh orang ramai. Hal ini dijelaskan oleh hadis berikut: عَنْ أَبي بَكْرٍ ، يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا ، يُجْزَ بِهِ فِي الدُّنْيَا." أحمد بن حنبل Maksudnya, daripada Abu Bakar dia berkata sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang melakukan kerja jahat akan dibalas di dunia ini lagi." (Riwayat Ahmad ibnu Hanbal) Jadi, hentikan kerja jahat, lakukan kebaikan dan sebarkan Islam dengan penuh tanggungjawab. Kita tentu tidak sanggup dihukum Allah di dunia ini lagi. Kita tidak mahu dihina dan dicaci masyarakat kerana kita sangat perlukan masyarakat. Wallahu aklam. | |
26 maut lori bunga api meletup, jambatan runtuh Posted: 01 Feb 2013 04:10 PM PST 21 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] - BEIJING - Sebuah lori yang sarat dengan muatan bunga api meletup ketika melintasi sebuah jambatan di tengah China hari ini, mengakibatkan 26 orang maut apabila struktur jambatan itu runtuh dan kenderaan menjunam ke bawah, demikian menurut laporan media negara itu. Lori tersebut "tiba-tiba meletup" di atas jambatan di lebuh raya dalam Wilayah Henan, China itu, lapor Radio Nasional China, yang menganggarkan 26 orang terkorban. Satu bahagian jambatan sepanjang 80 meter runtuh dan enam kenderaan telah dikeluarkan dari runtuhan, laporan agensi berita rasmi China - Xinhua - sambil menambah usaha menyelamat sedang dijalankan. Gambar yang disiarkan dalam talian menunjukkan bangkai kenderaan di bawah jambatan, termasuk sebuah trak merah terbalik sebelah, dan lainnya terbalik dengan roda ke atas, ketika pekerja menyelamat seragam oren turun ke bawah. Orang ramai menjenguk melalui serpihan menerusi jerebu tebal ketika sebuah lagi lori sebahagiannya tergantung di tepi jambatan itu. Jambatan berhampiran bandar Sanmenxia itu terletak di lebuh G30, jalan terpanjang di China, yang melewati hampir 4,400 kilometer (2,700 batu) dari sempadan barat China dengan Kazakhstan ke timur Laut Kuning. Jambatan itu setinggi 30 meter, lapor media tempatan. Banyak jalan utama di China sesak ketika rakyatnya membuat persediaan untuk menyambut Tahun Baru China, apabila beratus juta orang kembali ke kampung halaman masing-masing dalam apa yang dianggap sebagai penghijrahan tahunan terbesar manusia di dunia. Musim ini juga merupakan tempoh puncak bagi pengeluar bunga api, kerana rakyat Cina membeli bahan letupan untuk meraikan perayaan, yang jatuh pada 10 Februari tahun ini. Menurut statistik polis, kira-kira 70,000 orang mati dan 300,000 lagi cedera dalam kemalangan jalan raya setiap tahun di China, lapor media negara itu. China telah menyaksikan beberapa kejadian jambatan runtuh dalam tahun-tahun kebelakangan ini, yang sering dipersalahkan atas lebihan muatan dan pembinaan kurang bermutu. Salah satu kejadian itu di timur laut China pada Ogos lepas membunuh tiga orang. AFP | |
Posted: 01 Feb 2013 04:04 PM PST 21 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] - 1 Februari 2013 KUALA KANGSAR – Mereka dijanjikan bakal menduduki rumah baru awal Januari lalu, namun kira-kira 315 pembeli Taman Emas Fasa Dua, di sini masih kabur dengan status janji tersebut. Setelah banyak perbincangan dan perjumpaan dilakukan, kesabaran mereka mula tercabar dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan pemaju kawasan perumahan berharga antara RM35,000 hingga RM182,000 menjadi sasaran. Wakil pembeli, Nasaruddin Mohd Said, 41, berkata, nyata keluhan dan permasalahan yang dihadapi oleh pembeli di kawasan itu langsung tidak oleh MPKK dan Kerajaan Negeri yang sudah sedia maklum akan perkara tersebut. "Masalah ini bukan masalah baru malah Sinar Harian sahaja sudah lima enam kali mengutarakan masalah kami namun kami merasakan pihak berkaitan seperti menganaktirikan kami dalam hal ini. "Baik wakil rakyat dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun pemaju hanya pandai menabur janji demi janji yang mana akhirnya rakyat yang menanggung beban," katanya kepada Sinar Harian. Pembeli mendakwa, kali terakhir pembeli berbincangan diadakan sekitar penghujung tahun 2012 dan dijanjikan rumah bakal disiapkan awal Januari tahun ini. "Kami semua bermesyuarat dengan Yang Dipertua MPKK, Adun Manong dan pemaju yang akhirnya mencapai kata putus menyatakan rumah akan siap 1 Januari lalu namun ini dah nak habis bulan Januari. "Mesyuarat sudah, kumpulkan tandatangan dah dibuat malah apa sahaja yang diminta oleh wakil rakyat mahupun PBT sudah kami laksanakan namun tidak ada juga tindakan, kami masih menanggung bebannya," katanya. Seorang lagi pembeli, Norizwan Abd Halim, 40, berkata, lebih mendukacitakan pembeli turut dikenakan cukai tanah walaupun masih lagi belum menduduki rumah mereka. "Sudah janji tidak ditepati, kami turut dibebankan lagi dengan cukai tanah yang datang pada setiap tahun dan dah tiga kali saya membayar di pejabat tanah. "Yang peliknya semasa mesyuarat menyatakan kesemua cukai yang sudah dibayar akan kembalikan semula serta dikecualikan namun awal bulan lalu sampai juga surat suruh bayar," katanya. Sementara itu, wakil Pas Kuala Kangsar yang juga dikhabarkan calon Pas bagi Parlimen Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim berkata, kerajaan negeri dan pusat sepatutnya bertanggungjawab menyelesaikan masalah pembeli di taman itu dengan segera. "Janji mereka perlu dilunaskan bertepatan hasrat rakyat didahulukan namun saya melihat ia tidak akan disiapkan seperti yang dijanjikan kepada pembeli sebelum ini. "Apa yang menyedihkan kita, pembeli mendakwa telah dijanjikan kos sewa rumah mereka sekarang akan ditampung namun sehingga ke hari ini tidak menerimanya," katanya. Khalil berkata, sepatutnya kedatangan Perdana Menteri di Kuala Kangsar tempoh hari digunakan sebaiknya pemimpin Barisan Nasional (BN) menyelesaikan masalah rakyat. Taman Emas Fasa Dua sepatutnya disiapkan pada 2008 lalu apabila pemaju didakwa mengalami masalah kewangan untuk meneruskan projek berkenaan. Rata-rata pembeli ketika ini sudah pun terpaksa membayar bayaran balik pinjaman bank dan pada masa yang sama turut membayar sewa rumah. Sinar harian/- |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan