Sabtu, 2 Februari 2013

N45 Dr Halimah Ali

N45 Dr Halimah Ali


PERTRONAS: HENTIKAN SUBKONTRAK PADA SYARIKAT ASING

Posted: 02 Feb 2013 10:24 AM PST



Sebenarnya dari dahulu lagi PETRONAS menguntungkan syarikat asing seperti Exxonmobil, Esso, Shell dan lain-lain dengan memberi konsesi berpuluh tahun untuk mencarigali petroliam dan gas di Malaysia. Mana tidaknya, segala peralatan seperti plantar minyak dan lain-lain adalah hak milik petronas, kos penyelenggaraan dibiyaai  oleh Petronas  tetapi digunakan oleh syarikat asing. Di bawah PSC (Production Sharing Contract) peratus habuan untuk PETRONAS ditentukan oleh beberapa faktor seperti jarak kedalaman dan isipadu pengeluaran oleh kotraktor PSC.Sudah sampai masanya anak syarikat PETRONAS iaiatu Petronas Carigali mengendalikan sendiri kerja-kerja mencarigali minyak dan gas, bukan hanya  bulat-bulat menyerahkan pada kontraktor asing.



Pengerusi Petronas perlu berundur gesa Majlis Tindakan Ekonomi Melayu

February 02, 2013

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) hari ini menggesa pengerusi syarikat minyak negara Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya meletak jawatannya kerana kegagalan melaksanakan tanggungjawab membangunkan ekonomi bumiputera dan hanya mementingkan syarikat-syarikat asing.

Semasa sidang media sempena mesyuarat agung MTEM, pengerusinya Datuk Syed Ali Al-Attas (gambar) mendakwa Petronas mengambil sikap menganaktirikan golongan bumiputera walaupun berkelayakan.

"Dalam mesyuarat yang kali pertama dianjurkan ini, kami sebulat suara menggesa pengerusi Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan lembaga pengarahnya meletak jawatan dan mengundur diri.

"Sepanjang beliau memegang jawatan, kami mendapati Petronas sudah lari daripada tanggungjawabnya dan membantutkan perkembangan usahawan tempatan yang berkecimpung dalam industri kecil dan sederhana," kata beliau.

Tan Sri Mohd Sidek telah dilantik pada Jun tahun lalu bagi menggantikan pemangku sementara yang dipegang oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

MTEM juga mendakwa aliran wang tunai kumpulan Petronas telah menurun pada kadar RM2.1 bilion kepada RM162.2 bilion dan keuntungan selepas cukai menunjukkan tren penurunan termasuklah penutupan operasi mereka di Sudan.

Kebimbangan juga disuarakan MTEM yang mengatakan Petronas akan mencaturkan nilaian risiko bernilai RM300 bilion untuk tempoh 5 tahun hadapan ini.

Syed Ali juga menggesa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk meneliti perkara yang dibangkitkan MTEM sebelum ia memberikan impak negatif kepada syarikat minyak utama negara tersebut.

"MTEM melihat Petronas sebagai pelindung dan benteng ekonomi, sebarang perkembangan negatif harus dipantau dan diperbetulkan sebelum ia rosak serta perubahan harus berlaku sebelum pilihan raya tahun ini," tambah beliau.-Malaysian Insider

Rujukan http://www.bakerinstitute.org/programs/energy-forum/publications/energy-studies/docs/NOCs/Papers/NOC_Petronas_TronerVDM.pdf

ISMA UMUMKAN AKAN LETAK CALON PRU 13

Posted: 02 Feb 2013 03:23 AM PST

BANGI, 2 Feb. - Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman hari ini mengumumkan pendirian ISMA untuk terlibat dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Menurut beliau, ISMA akan menghantar calon-calon untuk bertanding di kawasan-kawasan yang dikenalpasti berpotensi dan selari dengan dasar serta tujuan penglibatan politik ISMA.

Pendirian ini dinyatakan dalam satu sidang media yang diadakan di sini petang tadi. <

Ustaz Abdullah berkata, keputusan ini diambil oleh Majlis Syura ISMA setelah mengadakan perbincangan yang mendalam dan mengambil kira senario politik semasa serta pelbagai kajian dan bacaan politik yang menjangkakan negara akan menghadapi situasi ketidakstabilan politik nanti.

"Kita berhasrat untuk menyelamatkan undi-undi umat Islam agar pergi ke calon-calon yang beragama Islam dan berwibawa.

"Kita tidak mahu undi-undi ini menjadi peluru sesat yang akhirnya membunuh masa depan umat Islam sendiri," jelasnya.

Beliau berkata, perincian mengenai di mana dan berapa bilangan kawasan yang akan ditandingi oleh calon-calon daripada ISMA akan dimaklumkan kelak.

Ustaz Abdullah menyatakan harapan agar masyarakat Islam dapat memberi sokongan yang padu terhadap usaha murni ISMA serta memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang akan dikemukakan kelak.

Berikut adalah kenyataan penuh ISMA berhubung penglibatan ISMA dalam PRU ke-13 yang telah dibacakan oleh Ustaz Abdullah Zaik:

Segala puji dipanjatkan kepada Allah s.w.t, Pemilik alam semesta. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Berdasarkan bacaan terkini senario politik semasa, setelah menela'ah pelbagai kajian dan bacaan politik, negara dijangka akan menuju ke situasi ketidakstabilan politik  yang juga akan turut menjejaskan aspek-aspek yang lain.

Kedua, kedudukan politik orang Melayu dan umat Islam yang semakin goyah dan tercabar akibat perpecahan, menyebabkan kuasa menentukan arah masa depan negara berada di tangan orang lain.

Ketiga, menyedari politik adalah percaturan antara kuasa-kuasa dan pengaruh-pengaruh  yang berbagai-bagai latar belakang dan berkepentingan, ketiadaan penglibatan yang aktif di pihak NGO Islam yang perihatin akan menyebabkan kepentingan Islam dan umat Islam akan terpinggir.

Atas tiga faktor utama tersebut, ISMA telah mengamanahkan Biro Politik ISMA yang diketuai oleh Tuan Hj Aminuddin Yahaya untuk mengkaji sejauhmana ISMA perlu atau patut terlibat dalam PRU ke-13 ini.

Satu kertas cadangan telah dikemukakan ke Jawatankuasa Pusat ISMA (JKP ISMA) untuk diteliti. Berpandukan usul daripada JKP tersebut, Majlis Syura ISMA yang dipengerusikan oleh Tuan Hj Sharipuddin Ab Kadir pada 26 Januari 2013 telah membincangkan cadangan penglibatan ISMA dalam PRU ke-13.

Hasil perbincangan yang meluas dan mendalam oleh Majlis Syura ISMA, telah mencapai keputusan sebulat suara bahawa ISMA perlu terlibat dalam PRU ke-13 dengan menghantar calon di kawasan-kawasan yang dikenalpasti berpotensi dan selari dengan dasar serta tujuan penglibatan politik ISMA.

Kita ingin menegaskan bahawa kita berhasrat untuk menyelamatkan undi-undi umat Islam agar pergi ke calon-calon yang beragama Islam dan berwibawa. Kita tidak mahu undi-undi ini menjadi peluru sesat yang akhirnya membunuh masa depan umat Islam sendiri. Perincian mengenai di mana dan berapa bilangan kawasan yang akan ditandingi akan dimaklumkan dalam siaran media akan datang.

Tujuan penglibatan ISMA dalam PRU ke-13 antara lain ialah;

    Untuk memastikan kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum berteraskan lunas perlembagaan yang saling menghormati hak satu sama lain berterusan.

    Untuk memastikan teras kenegaraan yang berpaksikan Islam, Melayu dan Raja terus dihormati.

    Terlibat sama dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara tidak terjejas walau apapun keputusan PRU ke-13 akan datang.

    Memberi sumbangan dalam memastikan masa depan politik Malaysia yang lebih Islamik

    Membantu mengukuhkan kedudukan politik orang Islam demi masa depan agama bangsa dan negara.
Sumber: http://www.ismaweb.net/v4/2013/02/isma-akan-libatkan-diri-dalam-pru-ke-13/

Tiada ulasan:

Nuffnang