Selasa, 15 Mei 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Dr Xavier Bayar Tol Bagi Pihak 35 Kereta

Posted: 15 May 2012 03:00 AM PDT

SHAH ALAM, 15 MEI : Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar hari ini menjelaskan bayaran tol bagi 35 buah kereta yang melalui tol Batu Tiga pada demonstrasi mansuh Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga Sabtu lalu.

Beliau yang juga Adun Sri Andalas berkata, gantirugi sebanyak RM38.50 kepada pihak Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) dan  mengharapkan pihak PLUS tidak mengambil tindakan kepada kenderaan-kenderaan yang tidak membayar tol pada hari itu.

"Saya ingin menjaga hubungan baik dengan PLUS tetapi saya tetap mendesak agar tol ini segera dimansuhkan," katanya ketika ditemui di Pejabat Plaza Tol Batu Tiga hari ini.

Pada Sabtu lalu, hampir 300 rakyat berkumpul di Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini bagi menyertai demonstrasi mendesak Kerajaan Pusat menghapuskan kedua-dua tol terbabit.

Demonstrasi aman anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu mencuri tumpuan pengguna lebuh raya hari itu apabila mereka membunyikan hon sebagai tanda sokongan dan mengambil pelekat kereta dengan slogan 'Hapuskan Tol Demi Rakyat'.

Namun, seorang individu tidak dikenali mengangkat palang di satu lorong plaza tol Batu Tiga menyebabkan beberapa kenderaan melepasinya tanpa membuat bayaran.

Sementara itu, Dr Xavier mengandaikan jika lima minit direkodkan untuk 35 buah kenderaan melalui satu laluan tol, maka sebanyak 420 buah kenderaan dalam masa sejam serta hampir 10,000 buah kenderaan sepanjang hari dan mencatatkan kutipan tol mencecah RM400,000 sehari.

"Tidak mungkin PLUS mengalami kerugian serta tidak mampu menanggung kos membaikpulih lebuhraya itu kerana Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau sudah beroperasi melebihi 25 tahun," katanya yang juga Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor.

Malah, semua pihak termasuk Umno-BN sendiri menyokong pemansuhan tol Sungai Rasau dan Batu Tiga ini kerana ia jelas membebankan penggunanya selain kesesakan teruk setiap hari.

Bagaimanapun, pihak PLUS hanya bertindak menambah laluan tol tetap ia tidak mengurangkan kesesakan selain hanya mengaut keuntungan setiap hari.


Sumber: Selangorku

Pemegang MyKad Merah Berhimpun 27 Mei

Posted: 14 May 2012 03:00 AM PDT

SHAH ALAM, 14 MEI : Berlarutan sejak sekian lama pemegang MyKad merah dari seluruh Selangor dan negara akan mengadakan satu perjumpaan di Dewan Hamzah, Klang pada 27 Mei depan.

Perjumpaan yang dianjurkan kerajaan negeri bertujuan menyelesaikan isu membelenggu masyarakat India yang tinggal di ladang-ladang yang menghadapi masalah bagi mendapatkan MyKad biru dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor sendiri sebagai negeri maju dianggarkan terdapat beribu orang di kalangan masyarakat India yang menghadapi masalah berkenaan serta orang Cina, Melayu dan Orang Asal.

Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan ini kerana Kerajaan Pusat menjelaskan akan mengambil tindakan segera bagi meenyelesaikannya sekiranya segala maklumat diberikan.

"Menteri Dalam Negeri atau kerajaan BN kata kalau kita boleh serahkan nama pemegang MyKad merah ini, mereka akan ambil tindakan secepat mungkin. Sebab itu kita ambil cabaran ini.

"Orang-orang ini dianggap sebagai warganegara Malaysia kerana lahir dan bekerja di negara ini tetapi akhirnya lebih dari 55 tahun, tiada sebarang bantuan diberi Kerajaan Pusat kerana mereka pemegang MyKad merah. Mereka ini juga tidak boleh mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Taman Medan, Haniza Talha dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.

Bagi mencari jalan penyelesaian, Dr Xavier berkata, kerajaan negeri berusaha menghimpunkan golongan itu dalam majlis itu yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Katanya, kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, pertubuhan bukan kerajaan(NGO), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Komuniti dan selainnya diperlukan bagi menghimpunkan kesemua mereka termasuk membantu kalangan yang uzur dan tua serta kanak-kanak yang dikesan turut tidak memiliki sijil kelahiran.

Menurutnya, mereka diminta membawa dokumen seperti MyKad merah, dokumen perkahwinan dan yang berkaitan bagi memudahkan segala bukti dikumpulkan.

"Semua data-data ini kita akan hantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk diambil tindakan selanjutnya. Dalam majlis ini, saya harap dan jangkakan lebih 1,500 orang akan hadir. Kita juga akan menjemput pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) untuk hadir," katanya yang mempersoalkan isu pendatang asing yang didakwa memiliki MyKad biru tetapi golongan berhak dinafikan haknya.


Sumber: Selangorku

300 Orang Desak Tol Batu Tiga-Sungai Rasau Dihapuskan

Posted: 13 May 2012 03:00 AM PDT

SHAH ALAM 13 MEI : Hampir 300 rakyat berkumpul di Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini bagi menyertai demonstrasi mendesak Kerajaan Pusat menghapuskan kedua-dua tol terbabit.

Demonstrasi aman anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu mencuri tumpuan pengguna lebuh raya itu apabila mereka membunyikan hon sebagai tanda sokongan dan mengambil pelekat kereta dengan slogan 'Hapuskan Tol Demi Rakyat'.

Peserta demonstrasi juga membawa kain rentang bertulis 'Hapuskan Tol Baru Betul', 'Hapuskan Tol Demi Rakyat' selain laungan 'Hidup Rakyat', 'Hapuskan tol', 'Undi Pakatan Rakyat Tak Bayar Tol', dan 'Undi BN Bayar Tol'. 

"Kami dapat simpulkan kehadiran rakyat berbilang kaum pada hari ini sebagai gerakan rakyat secara bersepadu untuk bersama-sama mendesak Kerajaan Pusat berhenti dari terus membebankan rakyat.

"Sedangkan pulangan modal yang sepatutunya mereka perolehi sudahpun mereka dapatkan lama dulu," jelas Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Atkin.

Turut hadir Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dan Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri dan MP Shah Alam Khalid Samad di Tol Batu Tiga di sini.

Sementara di plaza tol Sg Rasau, pemimpin Pakatan Selangor dan kira-kira 100 individu turut mengadakan sebuah lagi demonstrasi bagi tujuan yang sama.

Kumpulan itu turut dipimpin Exco Selangor Ronnie Liu dan Dr. Yaakob Sapari, Kapar MP S. Manikavasagam dan ADUN Kota Alam Shah M. Manoharan.

Khalid berkata kedua-dua tol tersebut sepatutnya sudah lama dihapuskan.

 "Laluan ini memang sudah lama wujud dan mereka (syarikat konsesi) sekadar melebarkannya daripada dua ke enam lorong.

"Pengguna pula terus dikenakan bayaran sehingga ke hari ini selepas kira-kira dua puluh tahun kutipan tol dimulakan.

"Mengambil kira kenderaan yang semakin banyak, sehari sahaja PLUS (Projek Lebuhraya Usahasama Berhad) mampu mengutip ratusan ribu. Bayangkanlah untuk beberapa tahun ini, memang inilah paling mengarut sekali," jelasnya sewaktu ditemubual TVSelangor.

Salah seorang peserta demonstrasi mencuri tumpuan apabila beliau mengangkat palang di satu lorong plaza tol Batu Tiga menyebabkan beberapa kenderaan melepasinya tanpa perlu membuat bayaran.

Bagaimanapun, Dr Xavier yang berada di situ segera mengarahkan palang tersebut diturunkan dan beliau berjanji untuk membayar ganti rugi yang ditanggung pihak PLUS.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang