Selasa, 15 Mei 2012

.

.


25 penduduk pulau Tanjung Batu sertai PAS

Posted: 15 May 2012 07:29 AM PDT



(Selamat menyerahkan borang ahli PAS kepada Tuan Ibrahim)
KINABATANGAN: 25 penduduk pulau Tanjung Batu, 20 minit perjalanan dengan bot dari perlabuhan Sandakan, memohon untuk menyertai PAS dengan diketuai sendiri oleh ketua kampung mereka, Selamat bin Abdillah.

Borang permohonan untuk menyertai PAS itu diserahkan oleh Selamat kepada Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut serta adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Haji Hamzah Abdullah.

Di samping itu, turut serta adalah rombongan anggota Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat yang sedang dalam rangka kunjungan ke Sandakan.

Selamat mula menjadi Ketua Kampung pada tahun 1989 lagi. Namun sejak Mac lalu, seorang ketua kampung baru dilantik di pulau itu tanpa melalui peraturan yang biasa dimana Salamat tidak dimaklumkan mengenainya.

"Tahu-tahu sejak Mac, elaun saya tidak diberikan," kata Selamat kepada rombongan lajnah Penerangan PAS ini.

Sebulan lalu, Hamzah bersama beberapa rakannya dalam PAS Sabah turun ke pulau Tanjung Datu yang mempunyai 200 keluarga ini.

Ketika itu, jambatan yang menghubung antara rumah ke rumah sudah hampir reput dan berlubang di sana-sini.

"Baru dua minggu lepas (dua minggu selepas kunjungan Hamzah),mereka membina jambatan baru ini," kata Selamat.

"Baru saja saya datang berkunjung ke sini, tuan-puan sudah dapat jambatan baru. Bayangkan kalau tuan-puan undi PAS dalam pilihan raya umum nanti, saya yakin apa yang tuan-puan hendak akan diberikan semuanya,"kata Hamzah ketika memberikan ucapan ringkas di majlis hari ini.

Tuan Ibrahim, ketika berucap pula mengajak penduduk di situ membuat perkara yang sama.

"Macam kedai di kampunglah tuan-puan. Kalau ada satu kedai, semua harga ditentukan oleh kedai itu. Tetapi kalau ada dua kedai yang berniaga, kedua-duanya akan saling menurunkan harga dan kita pengguna yang akan untung.

"Begitu juga dalam politik ini. Selama ini Umno sahaja yang ada. Sekarang PAS datang menawarkan khidmat untuk tuan-puan semua, jadi kita bertandinglah secara yang adil. Saya yakin tuan-puanlah yang bakal untung nanti," kata beliau.


(Rombongan Lajnah Penerangan PAS disambut dengan jambatan baru di pulau Tanjung Batu)
Beliau juga yakin, jika Pakatan dipilih penduduk di sini dalam pilihan raya umum akan datang, kemudahan untuk rakyat akan jauh lebih besar lagi.

"Sekurang-kurangnya Umno akan berusaha memberikan khidmat yang jauh lebih baik untuk tuan-puan," katanya.

Beliau juga yakin, selepas rombongan beliau balik, Umno akan datang segera ke pulau ini dan memberikan segala kemudahan untuk penduduk tempatan.

"Jadi tuan-puan ambillah apa yang mereka bagi kerana itu hak kita sebenarnya sebagai rakyat...bak kata Menteri Besar Kelantan, bagi duit ambil, bagi kain pakai bagi gula buat air tetapi bila mengundi pilih bulan," kata Hamzah menambahkata Tuan Ibrahim.

Semalam, kira-kira 50 penduduk pulau Shanghai dalam kawasan Parlimen Batu Sapi menyertai PAS. Borang permohonan juga diserahkan kepada Tuan Ibrahim.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10323--25-penduduk-pulau-tanjung-batu-sertai-pas

Nik Aziz gesa Harussani tidak campurtangan urusan politik

Posted: 15 May 2012 02:47 AM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Mei — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nuk Mat menggesa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria agar tidak mencampuri urusan politik jika mengambil pendekatan serong terhadap pendirian dan matlamat perjuangan parti Islam yang diterajuinya.
Menteri Besar Kelantan itu juga menegaskan Harussani perlu berfikir secara rasional dan waras dan melihat kepada kebenaran.
Dalam laman sosial Facebook miliknya, Nik Aziz (gambar) berkata, "mufti sebaiknya tak payah masuk campur soal parti politik lah kalau begitu serong terhadap PAS. Bila nak nilai dasar dan perjuangan parti Islam seperti PAS, kena baca sejarahnya.
Kerana asal tertubuhnya PAS adalah terlibat sama 'orang Umno' yang melihat Umno tak mampu berjuang Islam."
Harussani sebelum ini berkata perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan kerusi politik.
Dipetik Berita Harian Online, beliau bersedia mencadangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mempertimbangkan saranan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama parti.
"Perjuangan parti itu semakin jauh menyeleweng daripada matlamat asal untuk menegakkan Islam yang direncanakan sejak lebih enam dekad lalu," katanya yang juga ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.
Menurut Nik Aziz lagi, Harussani tidak memahami matlamat penubuhan dan perjuanagan PAS.
"Nampak sangat mufti tu tak baca sejarah," katanya lagi.
Status dari Facebook milik Nik Aziz itu telah mendapat respon dan komen balasan dari 236 individu dengan 2,918 individu "suka" terhadap status tersebut.
Tambah pemimpin veteran PAS ini lagi, mufti Perlis itu juga perlu memahami kitab karya Ketua Majlis Ulama Sedunia, Dr Yusof Al-Qaradawi yang menyokong demonstrasi di Dataran Tahrir, Mesir walaupun mufti negara tersebut menentang penganjuran demonstrasi tersebut.
"Kemudian baca jugalah kitab Dr Yusof Al-Qaradawi, Ketua Majlis Ulamak Sedunia yang sering memberi pandangan menguntungkan perjuangan Islam.
"Sebagaimana perhimpunan rakyat Mesir di Medan Tahrir, Dr. Yusof Qaradawi menyokongnya bagi memerangi kemungkaran kerajaan walaupun ia ditentang oleh mufti Mesir sendiri," tegasnya.
Justeru, beliau menuntut agar Harussani "berfikirlah dengan kebenaran bukan kewarasan tanpa kebenaran."
Harussani dilihat mengeluarkan kenyataan tersebut ketika mengulas saranan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah untuk membincangkan kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam pada nama parti itu.
Beliau turut menggesa ahli dan penyokong fanatik dan taksub PAS agar segera kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras.
"Gunakan akal yang dianugerahkan Allah untuk berfikir... sama-sama memahami isi kandungan al-Quran, jangan hanya tahu mengutuk. Banyak sangat PAS menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik demi mendapatkan kuasa, pengaruh, kedudukan dan kerusi," katanya.
Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan perpecahan umat Islam kerana sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan kedudukan di kalangan pemimpin parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam.
Mengulas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan Bersih 3.0, Harussani berkata, ia tidak dibuat sebelah mata seperti yang didakwa pemimpin pembangkang, termasuk Nik Aziz.
Sebaliknya, keputusan itu dicapai selepas perhimpunan Bersih 3.0 tidak lagi bersih kerana menceroboh kawasan larangan, selain mendatangkan kekacauan dan kecederaan kepada pihak berkuasa dan orang awam.

Source: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nik-aziz-gesa-harussani-tidak-campurtangan-urusan-politik/

Warkah Buat Ibu OLEH Ketua Pemuda Pas Malaysia

Posted: 15 May 2012 02:35 AM PDT

1. Penghuni dunia yang bergelar manusia ini dilahirkan oleh insan bergelar ibu kecuali Adam dan Hawa. Siapapun manusia itu dengan segala derajat dan pangkat yang dimiliki adalah lahir dari rahim seorang ibu yang telah berkorban separuh mati untuk mengandung dan melahirkannya. Tidak ralat jika syurga ter"letak" di bawah telapak kaki ibu.

2. Apa yang telah ditanggung oleh ibu berkait perasaan dan segala elemen kudratnya untuk mengandung, melahir dan membesarkan seorang insan bukan suatu yang perlu dikenang dan dihargai tetapi ia adalah ibu yang wajib ditaati, disayangi dan dijagai dengan segala ketundukan dan kepatuhan  kita kepada apa yang telah diperintah Allah swt. terhadap tanggungjawab kita kepada insan bergelar ibu.

3. Tanpa ibu, dunia ini kosong dan hilang segala fungsi serta strukturnya. Justeru itu, tidak keterlaluan jua ungkap kata bahawa tangan yang menghayun buaian mampu menggegarkan dunia.

4. Cerdik pandai, gagah perkasa, cantik menawan, bijak bistari, kaya raya, segak bergaya dan pangkat derajat semuanya bermula dari rahim ibu sebelum dilepas besar dan panjang di muka alam buana ini. Begitulah pula ibu yang menjadi madrasah pertama membekal ilmu hayat kepada kita semua yang bergelar manusia. Sebagaimana ibu jualah yang pertama menitis susu membekal kompenan sumber tenaga hayat.

5. Ibu ! sungguh istemewa kata nama itu. Tiada yang layak menyandang status kata bernama ibu melainkan ia lah yang mengandung dan melahirkan kita. Keupayaan tinggi yang dimiliki oleh ibu untuk bertahan 9 bulan kandungan dan kemudiannya bersabung nyawa untuk melahirkan kita adalah bergantung kepada nilai kasih dan sayang yang tiada tolok bandingnya.

6. Kasih dan sayang inilah pula menjadi nilai terpenting untuk manusia meneruskan hidup di dunia yang penuh cabaran dan pancaroba ini. Tanpa kasih dan sayang manusia terperangkap dalam persengketaan sengit tanpa noktah. Keamanan ternoda dengan pertempuran dan peperangan yang kejam. Kedamaian terancam dengan jenayah dan khianat yang tidak berhati perut. Hubungan silaturrahim terputus angkara fitnah dan hasad. Iklim sosial  rosak dan binasa ekoran lupa daratan dan angkuh. Pentas politik menjadi cemar dan kotor kerana benci dan marah. Segalanya berpunca dari hilangnya kasih dan sayang.

7. Sempena Hari Ibu, saya mengutus warkah mewakili seluruh  anak - anak ibu yang menjadi warga Dewan Pemuda PAS Malaysia agar institusi ibu hari ini menyemarakkan nilai kasih dan sayang ke setiap sendi dan nadi manusia untuk membina semula sebahagian struktur dunia kini yang mengalami kerosakan teruk akibat hakisnya sifat serta nilai kasih dan sayang.

8. Tiada ibu yang mahu anaknya jahat. Tiada ibu yang mahu anaknya bodoh. Tiada ibu yang mahu anaknya hina. Tiada ibu yang mahu anaknya bangsat. Tiada ibu yang mahu anaknya diperalat sebagaimana tiada ibu di dunia ini yang mahu anaknya digelar haram jadah. Maka ibulah harapan kami kini untuk menyusun semula dan membina kembali tamadun atau peradaban manusia sebelum ia rosak teruk dan musnah binasa.

9. Ibu lah yang mempunyai keupayaan untuk memastikan generasi ini terdidik dengan kasih dan sayang. Menyelamatkan mereka dari terus  hanyut dalam arus budaya songsang tanpa tunjuk ajar ibu untuk mematuhi suruhan agama dan pedoman tuhan yang Maha Mencipta. Membimbing mereka untuk mencorak masa depan yang baik, bahagia dan berjaya.

10. Terima kasih ibu! justeru air tangan ibulah menjadikan kami kenal erti rindu, kasih dan sayang lalu memungkinkan kami berjuang untuk mengembalikan semula izzah ummah yang bersendikan kasih sayang setelah sebahagiannya rosak teruk angkara perlanggaran syariat yang ketara dan pemujaan nafsu yang melampau. Tidak lupa juga buat semua ibu kepada anak-anak kami yang tekun mendidik dan membesarkan mereka sebagai generasi pewaris perjuangan yang kami dokong, meskipun mereka sering ditinggalkan kerana urusan kami di medan juang mahu pun dilapangan mencari rezeki.

Semoga semua insan bergelar ibu dirahmati dan diberkati  Allah Jalla wa A'la Tuhan yang Maha Mencipta lagi Lagi Maha Memelihara.

Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Salam Perjuangan dari ~ Aku Pejuang IsLam ~ [ API ]

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-pemuda-pas/10316-warkah-buat-ibu

Sila keluar Felda jika kutuk kerajaan UMNO?

Posted: 14 May 2012 05:20 PM PDT

Azalina (tengah) ketika menyampaikan replika cek kepada wakil peneroka
Azalina (tengah) ketika menyampaikan replika cek kepada wakil peneroka
sempena Majlis Penyerahan Duit Durian Runtuh di Dewan Felda Sening, semalam.
KOTA TINGGI – Mereka yang mengutuk kerajaan dicabar untuk keluar daripada tanah rancangan Felda kerana mereka tidak diperlukan di dalam kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said berkata, ramai lagi masyarakat di luar yang mahu menjadi warga Felda menggantikan tempat mereka yang tidak bertanggungjawab ini.
"Saya nak cabar mereka yang mengutuk kerajaan Umno agar jangan ambil duit durian runtuh ini. Bawa anak dan isteri keluar daripada tanah rancangan Felda kerana kita tidak perlukan mereka. Ramai lagi yang mahu masuk Felda," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Duit Durian Runtuh di hadapan kira kira 800 masyarakat Felda di Dewan Felda Sening, semalam.
Azalina turut menafikan durian runtuh dan juga durian gugur yang diumumkan Perdana Menteri buat masyarakat Felda itu adalah untuk memancing undi.
"Duit yang diberikan kerajaan ini bukan untuk pancing undi. Bukan duit rasuah seperti yang didakwa pihak tertentu, sebaliknya ia adalah duit jaminan daripada kerajaan bahawa peneroka Felda akan dapat keuntungan dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke bursa Malaysia.
"FGVH disenaraikan agar peneroka Felda dapat pembelaan di bawah satu payung untuk mengaut kekayaan. Di mana dengan penyenaraian FGVH ini bakal memberikan keuntungan yang besar buat masyarakat Felda sendiri," katanya.
Tambahnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri sekarang, penduduk Felda sepatutnya berasa beruntung kerana sentiasa diberikan keutamaan.
Pada majlis tersebut, Azalina turut menyempurnakan penyerahan replika cek durian runtuh kepada wakil peneroka daripada sepuluh Felda di bawah kawasan Parlimen Pengerang.
Sementara itu, salah seorang peneroka Felda Sening, Kasmon manan, 65, menganggap durian runtuh tersebut amat berbaloi dengan kesusahan yang dilalui satu masa dahulu.
"Jika pada tahun 1980 kami pernah menerima gaji sebanyak RM5 sahaja, kini Alhamdulillah semua peneroka Felda sudah mewah dan dapat hidup senang. Segala pengorbanan kami benar-benar berbaloi," katanya yang berhasrat untuk melabur wang yang diterima di Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Bagi Manijah Surip, 61, peneroka dari Felda Papan Timur pula berkata, penduduk Felda sekarang amat beruntung kerana hidup senang dan tidak perlu berjimat seperti dahulu.
"Dahulu kita bukan sahaja terpaksa berjimat makan, malah semua perkara perlu berjimat untuk meneruskan kehidupan. Kini masyarakat Felda sudah dapat mengecapi kehidupan yang mewah," kata ibu kepada lima anak itu.

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/sila-keluar-felda-jika-kutuk-kerajaan-1.47961?localLinksEnabled=false

Pendidikan percuma

Posted: 14 May 2012 08:43 AM PDT


Ibnu Khaldun ialah pemikir Islam bertaraf dunia sepanjang zaman. Beliau banyak membentangkan teori kemasyarakatan mendahului zamannya beberapa abad. Buku karangannya berjudul Muqaddimah yang bermaksud pendahuluan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa dunia di timur dan barat, walaupun ia adalah pendahuluan kepada buku sejarah karangannya. Akhirnya kitab Muqaddimah sahaja yang dikaji  kerana analisa ilmu kemasyarakatan yang menarik sehingga Ibn Khaldun diberi gelaran bapa ilmu kemasyarakatan.

Ibn Khaldun mengulas berkenaan pelajaran dan pendidikan dalam bab yang khusus, melibatkan ilmu secara menyeluruh mengikut perspektif Islam yang berbeza dengan teori Barat yang berteras dan berkonsepkan sekularisme yang memisahkan agama dengan dunia.
Paling menarik Ibn Khaldun meletakkan ilmu dan pendidikan ke dalam aspek sina'ah (industri). Bermakna aktiviti ilmu bukan sahaja keperluan ruh dan akal yang menjadi sebahagian daripada kejadian manusia, bahkan kegiatannya yang betul dan saksama menghasilkan kemajuan dalam aspek yang lain termasuk aspek ekonomi yang menambahkan hasil negara.

Lapangan ilmu dan pendidikan adalah peranan pembangunan manusia dalam segala aspek kejadian mereka secara fitrah, dan perkembangan percambahan ilmu keperluan mereka yang dicipta selepasnya secara pengalaman dan kajian mengikut keperluan semasa, realiti dan situasi yang sentiasa berubah di sepanjang zaman.

Peranan ilmu dan pendidikan mengikut Islam adalah selaras dengan naluri manusia dan peranan mereka. Manusia adalah makhluk berunsurkan jasad, ruh dan akal, individu, keluarga dan wajib bermasyarakat madani, mampu mengendalikan urusan makhluk sekelilingnya. Maka manusia adalah makhluk yang layak mentadbir urusan bumi sekiranya berilmu dan pendidikan yang merangkumi aspek naluri mereka.

Ilmu dan pendidikan adalah agenda pembangunan manusia bagi memakmurkan dunia. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan yang memenuhi kehidupan manusia tersebut dalam perkara wajib mengikut kedudukan ilmu itu. Semua bidangnya  tidak terkeluar daripada fardu ain dan fardu kifayah.

Ilmu dan pendidikan bagi membina peribadi manusia supaya beriman dan budiman  dimasukkan dalam fardu ain yang wajib bagi setiap individu, begitu juga alat dan kemudahan untuk menghasilkannya seperti mambaca, menulis dan alatnya serta pelajarannya secara sistematik mengikut zaman. Perkara ini termasuk dalam doruriyat kepada ruh dan akal, sama seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada jasad. Maka menjadi kewajipan kepada ibu bapa atau ketua keluarga atau penjaga dan kerajaan yang memerintah negara  membantu kalangan yang tidak berkemampuan.
Ilmu dan pendidikan yang memberi kemudahan kepada masyarakat dalam segala aspeknya dimasukkan dalam fardu kifayah (wajib secara umum), menjadi fardu ain pula kepada mereka yang layak menunaikannya seperti para pemimpin kerajaan.

Dalam masa yang sama setiap anggota masyarakat digalakkan menunaikan kewajipan ini sehingga dimasukkan dalam amal kebajikan yang besar pahalanya dan fadilatnya berpanjangan walaupun pengamal dan penyumbangnya telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah S.A.W:
إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاثٍ: صدقةٍ جاريةٍ، أو علمٍ ينتفع به، أو ولدٍ صالحٍ يدعو له
Maksudnya: Apabila matinya seseorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sumbangan sedekah (harta ) yang berterusan kebaikannya,  ilmu yang memberi manfaat dan anak yang baik sentiasa berdoa untuknya. (Riwayat Muslim)
Menunjukkan bahawa kewajipan pendidikan dan pelajaran dalam negara berkebajikan mengikut Islam menjadi tanggungjawab bersama yang tidak membebankan kerajaan sahaja, kerajaan dan masyarakat tidak boleh melarikan diri daripadanya.

Manusia yang dibangunkan insannya dengan sempurna menambahkan produktiviti negara, bukannya menjadi bebanan negara dengan gejala sosial seperti akhlak dan pengangguran. Apa yang berlaku hari ini adalah kesilapan dasar, konsep dan sistem yang memerlukan satu huraian yang lain. Dalam ruangan ini perlu dijelaskan dengan tegas bahawa agenda pendidikan dan pelajaran percuma yang betul meningkatkan hasil negara bukannya menjadikannya bankrap.

Ilmu dan pendidikan peribadi yang betul, melahirkan manusia beriman, budiman dan berilmu sehingga beramal dengan ikhlas, tidak menyeleweng, rasuah dan menyalahgunakan kerja, jawatan, serta tidak merosakkan hasil negara. Ilmu dan pendidikan pengurusan, kemahiran dan sebagainya untuk masyarakat  mendatangkan hasil  yang maju dan meningkat. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan bagi keperluan peribadi dan masyarakat tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain. Ilmu dan pendidikan fardu ain  bagi membentuk diri manusia adalah asas yang wajib bagi setiap individu lelaki dan wanita. Kemudian ditingkatkan secara fardu kifayah (wajib secara umum) mengikut kemampuan di bidang masing-masing, sehingga tidak ada yang tercicir dalam masyarakat, termasuk yang gila dan cacat menjadi kewajipan keluarga dahulu, kemudiannya masyarakat dan kerajaan.
Kalangan para ulama yang mendalami perkembangan semasa, menjadikan sebahagian peruntukan zakat  sumbangan kepada penuntut ilmu, kerana ia juga adalah medan perjuangan untuk meninggikan Islam dan umat. Kepada penganut Islam, zakat tetap wajib dibayar walaupun dibatalkan oleh kerajaan kerana sifat ibadatnya yang berbeza dengan cukai  yang di arah oleh kerajaan kerana zakat adalah perintah Allah.

Dalam masyarakat Islam yang lebih lama tamadunnya didirikan  institusi pendidikan percuma sehinggalah masuk ke zaman penjajah dan merdeka semula. Contohnya Universiti al-Azhar di Mesir, Deoband dan Aligarh di India, pengajiannya bukan sahaja jurusan Islam bahkan meluas ke bidang sains dalam segala aspeknya. Pelajarnya belajar percuma, universitinya hidup dengan harta wakaf dan zakat.

Ada juga kalangan negara Barat yang meniru tamadun awal Islam menganjurkan pendidikan percuma dengan mengenakan cukai daripada kalangan yang kaya raya tanpa membebankan kalangan miskin, walaupun negara itu tanpa mempunyai sumber bumi yang banyak tetapi pandai mengurusnya tanpa membebankan rakyat. Sedarlah kita betapa bumi yang berhasil daripada perutnya dan subur tanahnya. Mengapa tidak mampu dan takut apabila disebut pendidikan percuma. Sebabnya kerana hasil negara banyak masuk ke dalam perut para pemimpin dan konco-konconya.

Ibn Khaldun menegaskan lagi, bahawa pertambahan jumlah penduduk yang meningkat juga kalau diolah dengan baik boleh meningkatkan produktiviti bukannya pengangguran dan gejala sosial, sekiranya agenda pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Allah.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/10305-pendidikan-percuma

Tiada ulasan:

Nuffnang