Pendakwaan JAIS Posted: 03 May 2012 07:00 AM PDT Pada 26 April saya telah ke Mahkamah Syariah Klang untuk pendengaran tuduhan terhadap diri saya dari pihak JAIS bahawa saya 'mengajar' Islam tanpa Tauliah di sebuah Surau di Sementa pada bulan Ogos tahun lepas, iaitu pada bulan Puasa. Begitulah keadaan yang menimpa ummat Islam, dilarang bercakap mengenai Islam di Negara sendiri! Kalau dituduh 'mengajar' sesuatu yang tidak betul dan bercanggah dengan ajaran Islam dan oleh itu dikenakan tindakan maka bolehlah diterima akal juga. Ini tidak. Tiada pertuduhan 'mengajar sesuatu yang salah', hanya 'mengajar Islam'. Sepintas lalu dilihat seolah-olah Islam itu sesuatu yang perlu dikawal dan tidak boleh 'diajar' kepada masyarakat kecuali oleh orang tertentu sahaja. Walaupun apa yang disampaikan adalah tepat dan benar! Pada masa yang sama, kononnya pihak berkuasa ambil berat berhubung gejala murtad dan masalah sosial. Tidakkah wujudnya pelbagai masalah ini menjadi bukti akan perlunya lebih ramai yang berusaha meningkatkan perasaan cinta ummat Islam terhadap agamanya sendiri? Tidakkah untuk menghasilkan cinta ini maka perlunya lebih banyak penjelasan, lebih banyak cara pendekatan dan lebih ramai bercakap mengenai Islam? Sebaliknya ingin pula dikunci serapat yang mungkin, sehingga ingin bercakap mengenai Islam dan saling ingat-mengingati sesama ummat Islam dijadikan kesalahan. Oh saya lupa, saya seorang ahli politik! Dan mengikut kefahaman UMNO/BN yang telah sekian lama memerangkap minda ummat Islam dalam kerangka pemikiran sekularisma mereka, orang politik tidak dibenarkan bercakap mengenai Islam. Islam tidak boleh digunakan dalam politik maka bila orang politik bercakap mengenai Islam, ianya sesuatu yang perlu dihalang. Sampai bila kita akan terus dibelenggu pemikiran penjajah? Hakikatnya saya tidak 'mengajar' Islam, saya hanya bercakap kepada jemaah muslimin selepas solat Taraawih. Dan saya bercakap sebagai seorang Muslim. Sebagai seseorang Muslim, percakapan saya mesti merupakan tazkirah yang mengingatkan pertanggung-jawaban kita semua di hadapan Allah pada hari pembalasan. Ianya tidak boleh merupakan percakapan yang sia-sia. Ianya mesti bertujuan meletakkan orang-orang beriman di atas landasan perjuangan yang tepat di mana Islam diperlihatkan keadilan dan kehebatannya kerana ianya agama Allah. Sekiranya bercakap sesama Islam untuk memperjuangkan kebenaran Islam dianggap mengajar, maka mansuhkan sahaja Surah 'Al-Asr' di dalam Al-Quran dan mansuhkan sekali hadith-hadith Ar-Rasul (SAW) seperti "balighu anni walau ayah" iaitu sampaikan dariku walaupun satu ayat. Ada juga yang menyatakan bahawa saya didakwa kerana saya berucap di dalam Surau, kalau di luar, di tepi jalan maka tidak mengapa. Hujjah ini lagi tidak masuk akal! Adakah ini bermakna saya boleh bercakap mengenai Islam di semua tempat kecuali di rumah Allah! Hairan bin Ajaib! Bukankah itu tempat sebaik-baiknya untuk bercakap mengenai Islam? Namun, walau apa sekalipun, bersama kita tunggu dan lihat sahaja samada golongan ini akan terus berusaha untuk 'memenjarakan' Islam atau suasana sudah semakin berubah sehingga mereka sedar bahawa ianya tidak boleh dihalang dari memasuki setiap perbincangan di kalangan ummat Islam. Zaman kebangkitan Islam sudah tiba dan adalah lebih wajar bagi JAIS bersamanya dan bukan dilihat sebagai menghalangnya. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan