Selasa, 26 April 2011

Khalid Samad

Khalid Samad


Bersatulah Melayu

Posted: 25 Apr 2011 07:10 PM PDT

Semenjak selesai Pilihan Raya Sarawak di mana DAP telah menang di 12 kerusi DUN, DAP telah menjadi sasaran pencacai UMNO khususnya Utusan Malaysia dengan slogan 'Bersatulah Melayu' mereka. Ini dilakukan walaupun diketahui umum bahawa semua parti-parti komponen PR juga turut menunjukkan prestasi yang semakin meningkat. DAP dijadikan sasaran kerana mereka telah berjaya memperolehi kebanyakan undi dari masyarakat Cina dan dengan itu dikatakan bahawa Cina telah bersatu bawah DAP!

Dengan gaya pemikiran perkauman sempit yang menguasai minda UMNO, maka tidak pelik bagi kita apabila kejayaan DAP untuk meraih undi Cina ditafsirkan sebagai penyatuan Cina untuk 'menentang Melayu'. Pemikiran perkauman yang menguasai minda UMNO, yang diluahkan melalui lidah tidak rasmi mereka, iaitu Utusan Malaysia, tidak berkemampuan memikirkan sebab dan alasan yang lain mengapa masyarakat Cina secara padu menyokong DAP. Mata mereka dikaburi perkauman dan telinga mereka didendangkan dengan sorakan-sorakan perkauman. Tiada yang mereka mampu lihat dan tiada yang mereka mahu dengar melainkan perkauman.

Hakikatnya, masyarakat Cina telah menyokong calon DAP dan menolak calon SUPP. Kedua-duanya adalah berbangsa Cina. Persoalannya, mengapa masyarakat Cina menyokong seorang calon Cina dan menolak calon Cina yang satu lagi? Ianya tidak boleh dijawab dengan alasan perkauman kerana pada hakikatnya dua-dua calon adalah berbangsa Cina. Yang berbeza adalah seorang calon (SUPP) berdiri bersama BN dan seorang lagi (DAP) berdiri bersam PR. BN melambangkan kerajaan yang tenggelam dengan rausah dan kronisma sambil PR pula melambangkan kerajaan yang bebas rasuah, telus dan berkebajikan. Keadaan Taib Mahmood sebagai pemimpin yang kaya raya hasil rasuah jelas terukir dipemikiran masyarakat Sarawak dan oleh itu masyarakat Cina menolak BN dan sekutu-sekutunya!

Kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada DAP dan kumpulan NGO Cina yang telah berjaya mendidik masyarakat Cina untuk menolak pemimpin Cina yang rasuah ataupun yang bersubahat dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah. Penolakan menyeluruh oleh masyarakat Cina terhadap amalan rasuah adalah berdasarkan kefahaman yang telah dibina bertahun-tahun melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang menyakinkan mereka bahawa rasuah ini akan memusnahkan Negara.

Oleh itu, saya sememangnya bersetuju bahawa masyarakat Cina telah bersatu, tetapi bukan untuk menentang Melayu, mereka bersatu untuk menentang rasuah dan penyelewengan. Mereka telah berjaya membuktikan di Sarawak bahawa mereka akan menolak mana pemimpin Cina, walau 'BESAR' mana sekalipun, walaupun Presiden pada sebuah parti, sekiranya pemimpin itu mengamal atau bersubahat dengan rasuah.

Sememangnya, orang Melayu juga wajib bersatu seperti mereka! Tetapi bukan bersatu di atas dasar perkauman seperti seruan Utusan Malaysia dan PERKASA. Orang Melayu harus bersatu di atas prinsip menolak pemimpin yang rasuah. Lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa orang Melayu beragama Islam dan Rasulullah (SAW) telah menyatakan dengan jelas bahawa "pemberi dan penerima rasuah berada di dalam api Neraka". Sepatutnya, kita yang menunjukkan penolakan dan penentangan terhadap rasuah dan pemerintahan yang menyeleweng ini jauh lebih awal dari masyarakat lain. Sepatutnya kita yang berada di depan mendahalui yang lain, menjadi ummat yang boleh dicontohi, tetapi malangnya kita tetap berada ditahap lama, ditinggalkan masyarakat lain, khususnya masyarakat Cina pada ketika ini.

Ini berlaku kerana malangnya, orang Melayu Islam di bawah pengaruh UMNO; dan UMNO di atas sebab kejahilan mereka, telah mengharuskan rasuah di dalam alam politik dengan menganggap pengampunan Allah akan terjamin apabila dilakukan umrah sekali sekala! UMNO yang menakut-nakutkan masyarakat Melayu sehingga terus menyokong perasuah dan perompak rakyat dari UMNO kerana sekiranya tidak, maka Cina akan mengambil-alih kuasa. UMNO yang memperbodohkan masyarakat Melayu sehingga mereka terus tidak sedar bahawa pada hakikatnya bila UMNO kalah yang menang bukan DAP; tetapi PAS atau calon Melayu dari PKR.

Dalam suasana kejahilan, ketakutan dan kebodohan ini UMNO meraih kemenangan demi kemenangan dengan sokongan Melayu. Oleh itu, UMNO ingin suasana sebegini terus kekal di kalangan masyarakat Melayu, supaya mereka akan terus berkuasa. Dan inilah cabaran yang perlu diharungi PAS, khususnya. Untuk membebaskan masyarakat Melayu yang beragama Islam dari belenggu kejahilan, ketakutan dan kebodohan yang dipasang oleh UMNO ke atas mereka. Sehingga, satu hari kelak, masyarakat Melayu Islam akan bersatu, bukan untuk menentang Cina, tetapi untuk menentang rasuah dan menolak pemimpin yang rasuah dan parti yang membudayakan rasuah.

Kalau DAP boleh berjaya dengan masyarakat Cina, mengapa tidak kita, masyarakat Melayu yang beragama Islam? Sekiranya tidak maka kita akan ketinggalan dan masyarakat lain akan menjadi jauh lebih maju dari kita. Bukan sekadar lebih maju dari sudut material, tetapi lebih maju dari sudut nilai ketamadunan juga. Maka akhirnya apa yang akan ada dengan masyarakat Melayu Islam? Seperti yang dikatakan TGNA, "sudahlah tiada wang, tiada ilmu, tiada akhlak pula!". Naudzubillah-himin dzalik.

Pada hakikatnya, UMNO mahu menutup kelemahan dan kegagalan mereka dengan melaungkan kembali laungan zaman jahiliyyah. Korupnya mereka, tidak cekapnya mereka, menyelewengnya mereka, semua ini ingin mereka tutupi dengan laungan jahiliyyah perkauman. Supaya Melayu terus sokong mereka walaupun mereka telah gagal dalam semua aspek. Semoga kita tidak tertipu dengan laungan ini dan kita ingat kembali saranan Rasulullah (SAW);
"Tidak dariku, mereka yang menyeru atas dasar assobiyyah, tidak dariku mereka yang berperang atas dasar assobiyyah, tidak dariku mereka yang mati atas dasar assobiyyah".
Maka apabila ditanya oleh sahabat Baginda apa itu assobiyyah, maka dijawabnya "menyokong kaummu atas dasar yang zalim". Rasuah itu zalim, penyelewengan itu zalim, pemborosan wang rakyat itu zalim dan perkauman itu zalim. Yang dizalimi adalah rakyat yang akhirnya dinafikan hak mereka dan diadu-domba atas dasar perkauman sehingga persoalan kebenaran dan keadilan menjadi kabur dan tidak diutamakan.

Semoga kita dibebaskan dari belenggu UMNO dan masyarakat Melayu juga akan turut bersatu menolak calon dari UMNO dan BN yang merupakan lambang pemerintahan rasuah dan penyelewengan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Beberapa Pengajaran dari Pilihanraya Sarawak

Posted: 25 Apr 2011 05:37 PM PDT

Ada di kalangan penyokong tegar UMNO/BN yang masih ingin menipu diri sendiri dengan mengatakan bahawa BN mencapai kemenangan cemerlang di Sarawak. Tidak mengapa, biarkan mereka dengan labu-labunya. Menipu diri mungkin di antara 'hak asasi manusia' mengikut kitab perjuangan mereka. Bagi PR, kita memahami bahawa keputusan Pilihan Raya Sarawak merupakan keputusan yang terburuk bagi BN selama 24 tahun. Selain menunjukkan peralihan sokongan dan kesedian masyarakat Sarawak menimbangkan alternatif selain dari BN, ianya telah juga menzahirkan perpecahan di antara BN Pusat dan BN Sarawak.

BN Sarawak berdiri teguh bersama Taib yang ingin meletak jawatan 'selepas beberapa tahun'. BN Pusat bersama Najib, yang ingin Taib meletak jawatan segera sebaik sahaja selepas Pilihan Raya. Namun BN Pusat tidak mampu memaksa keputusan tersebut tanpa sokongan BN Sarawak, kerana kedudukan kerajaan BN Pusat itu sendiri akan terjejas! Ini menunjukkan kelicikan Taib dalam mengharamkan UMNO di Sarawak.

Bagi PR, keputusan Pilihan Raya sememangnya boleh dibanggakan. Walaupun hanya mendapat 15 kerusi dan 1 kerusi pergi kepada pihak bebas, ianya tetap satu pencapaian yang membanggakan. Ini adalah kerana selama ini pihak 'pembangkang' di Negeri Sarawak hanya mendapat 8 kerusi. Keadaan ini lebih jelas apabila dilihat dari sudut jumlah undi yang telah diperolehi secara keseluruhan. BN hanya mendapat 55.6% dari jumlah undi keseluruhan dan PR memperolehi 44%. Ini merupakan peningkatan jumlah undi yang memberangsangkan dan dari sudut jumlah undi, yang secara tidak langsungnya telah menafikan sokongan 2/3 rakyat Sarawak kepada BN.

Bagi PAS yang tidak menang walaupun 1 kerusi, tidak juga dapat dinafikan, peningkatan sokongan telah berjaya dizahirkan. PAS bertanding di 5 kerusi, 4 darinya buat kali pertama dalam sejarah PAS. Di kerusi Beting Maro yang PAS tandingi pada 2006, jumlah undi telah meningkat dan majoriti BN dipotong lebih dari separuh! Pada 2006, jumlah undi sebanyak 4,697 tanpa dikira undi rosak, BN dapat 2,796 undi, PAS 1,901. Majoriti BN adalah sebanyak 895. Dalam Pilihan Raya 2011, jumlah undi adalah sebanyak 5,747 tanpa dikira undi rosak, BN dapat 3,069 undi, PAS 2,678. Majoriti BN hanya 391!

Pencapaian PAS di Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya dan Sebuyau juga memberangsangkan memandangkan ianya kali pertama PAS bertanding di kerusi-kerusi berkenaan.

Namun prestasi PR dalam Pilihan Raya Sarawak sebenarnya boleh lebih cemerlang sekiranya beberapa perkara ditangani dengan baik. Saya telah berkempen di Sarawak di antara 3 – 6 Mac di Miri dan pada 11 – 14 di Kuching. Saya melihat kelemahan-kelemahan PR adalah seperti berikut:

  1. Setiap parti berkempen secara bersendirian tanpa adanya penekanan dan strategi yang sama. Di kawasan-kawasan PAS, hanya bendera PAS kelihatan dan walaupun ada diturunkan penceramah DAP dan PKR pada masa-masa tertentu, identiti PR tidak menyerlah. Ini menjadi lebih parah apabila tiada risalah-risalah yang dikeluarkan oleh PR untuk diedarkan di seluruh Negeri Sarawak. DAP dengan risalahnya, PKR dengan risalahnya dan PAS dengan risalahnya.
  2. Tiada suatu pendekatan yang bersepadu yang diselaraskan di mana objektif penglibatan PR dinyatakan secara jelas. Ada yang sebut ianya adalah untuk menafikan majoriti 2/3 BN dengan mengadakan pembangkang yang kuat, ada pula yang menyebut calon Ketua Menteri baru di bawah PR. Sekiranya matlamat PR adalah untuk memerintah Negeri Sarawak, maka satu Manifesto PR untuk Sarawak perlu dikemukakan. Malangnya, setahu saya, tiada manifesto disediakan untuk tatapan masyarakat Sarawak. Ketidakselarian ini menyebabkan pengundi keliru.
Sekiranya PR bergerak dengan cara yang lebih bersepadu dengan penyelarasan yang lebih rapi, besar kemungkinan prestasi dan keputusan yang lebih baik akan dapat diperolehi. Tetapi, PR sebenarnya tidak perlu gusar, PRU menanti dan pada masa itu, PR boleh menentukan kelemahan yang sepertimana disebut di atas, dapat diatasi, bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh negara, insyaAllah.

Yang penting, 'fixed deposit BN' telah mula dibolosi dan simpanannya semakin berkurangan. Sebahagiannya telah mula mengalir ke simpanan PR!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang