Nuffnang

ZULKIFLI BIN NOORDIN

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:19 PTG

ZULKIFLI BIN NOORDIN


SIAPA BUNUH ALTANTUYA?

Posted: 29 Aug 2013 03:13 AM PDT

Siapa Liwat Saiful Bukhari? Siapa Liwat Azizan Abu Bakar?

Salam 2 all.

Mahkamah Rayuan pada Jumaat 23 Ogos 2013 membuat keputusan menerima rayuan dan membebaskan bekas anggota Unit Tindakan Khas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar yang disabitkan dengan kesalahan dibawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan atas dakwaan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Mahkamah yang bersidang dengan panel hakim YA Lintoln Albert, YA Tengku Maimun Tengku Mat dan YA Apandi Ali membuat keputusan antara lain bahawa "walaupun mengakui bahawa satu pembunuhan telah berlaku, namun Mahkamah mendapati keterangan yang ada adalah tidak selamat untuk sabitan pembunuhan dibawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan dikenakan terhadap mereka".

Pembunuhan didakwa berlaku diantara jam 10 malam 19 Okt 2006 dan jam 1 pagi 20 Okt 2006 di Puncak Alam, Shah Alam. Kebetulan tarikh itu ialah bulan Ramadhan.

Banyak teori dan andaian dilakukan atas kes pembunuhan Altantuya ini.

Kebetulan teman sendiri pernah terlibat didalam kes ini sebagai peguam bagi Cif Inspektor Azilah Hadri diperingkat awal  perbicaraan.

Teman tidak berminat nak mengulas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, apatah lagi Pendakwaraya telahpun memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Kita berilah ruang dan peluang untuk proses perundangan negara berjalan dan disempurnakan.

Apa yang teman nak komen ialah persoalan yang dibangkitkan oleh media termasuk akhbar The Star yang mengemukakan pertanyaan: "So who Kill Altantuya"?

Sudah pasti ada orang yang membunuh Altantuya. Melainkan ada yang otak sewel menyatakan Altantuya bom diri dia sendiri!

Teman bertanyakan soalan ini dalam konteks mengapa beriya-iya benar pihak tertentu membangkitkan persoalan ini. Sebagaimana mereka, teman juga mahu tahu siapa membunuh Altantuya.

Apa yang teman tahu berdasarkan maklumat dan keterangan yang teman terima semasa mengendalikan kes ini ialah kedua-dua Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul agak konsisten dalam penafian mereka terlibat membunuh Altantuya.

Mereka juga konsisten dalam menafikan penglibatan Dato' Sri Najib ataupun Datin Sri Rosmah dalam kes ini, walaupun ada segelintir pihak yang nampaknya begitu ghairah mahu mengaitkan Dato' Sri Najib dan isteri dengan pembunuhan itu (pada masa material, Dato' Sri Najib adalah Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri masa itu ialah YABhg Tun Abdullah Badawi). Malah hingga sanggup bersumpah menafikan perkara tersebut.

Dan bila teman sendiri menyiasat, ternyata kenyataan mereka disokong oleh bukti dan keterangan yang ada. Malah Datin Sri Rosmah pada malam kejadian 19.10.2006 itu didapati sedang berbuka puasa dan bertarawih dengan anak-anak yatim dalam satu majlis berbuka puasa anjuran PEYATIM di Menara Tabung Haji. Malah majlis itu disiarkan didalam berita secara meluas pada ketika itu.

Berbalik kepada persoalan yang ditanya 'siapa bunuh Altantuya', teman juga bertanya soalan yang senada:

Siapa yang meliwat Saiful?

Siapa yang meliwat Azizan?

Teman tanya persoalan ini kerana seperti juga kes Altantuya yang sudah meninggal, begitu juga dengan kes Saiful dan Azizan; kedua-duanya telah diliwat. Bukti mereka diliwat pun ada.

Dalam kes Azizan dimana Anwar Ibrahim dituduh meliwatnya, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan kesalahan meliwat terhadap Anwar Ibrahim dan menjatuhkan hikuman 9 tahun penjara. YA Dato' Ariffin Jaka dengan tegas menyatakan bahawa "keterangan Azizan sekukuh Gunong Gibraltar, dan Mahkamah mendapati keterangan tanpa sebarang keraguan Anwar Ibrahim telah meliwat Azizan".

Bagaimanapun didalam rayuan di Mahkamah Persekutuan, YAA Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersidang dengan YA Dato' Rahmah Hussain dan YA Dato' Tengku Baharuddin Shah dalam membebaskan Anwar berkata, "untuk merumuskan penghakiman kami, walaupun setelah membaca rekod rayuan kami mendapati ada bukti dan keterangan yang mengesahkan perayu Anwar Bin Ibrahim terbabit dalam aktiviti-aktiviti homoseksual, dan kami lebih cenderong untuk mempercayai bahawa insiden yang berlaku di Tivolli Villa itu, pada sesuatu masa sebenarnya berlaku, namun Mahkamah ini sebagai Mahkamah undang-undang hanya boleh mensabitkan perayu sekiranya pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan seperti mana yang tertera didalam pertuduhan" (rujuk [2004] 3 MLJ 405 mukasurat 448).

Bermakna walaupun Mahkamah percaya memang Azizan telah diliwat dan Anwar Ibrahim terlibat dengan akitiviti homoseksual termasuk meliwat Azizan, namun Mahkamah tetap membebaskan Anwar kerana kekangan perundangan!

Begitu juga didalam kes pertuduhan Anwar Ibrahim meliwat Saiful Bukhori Azlan, Hakim Mahkamah Tinggi YA Dato'  Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah memutuskan pada 09 Januari 2012 bahawa "keterangan yang ada (terutama berkaitan penjagaan spesimen DNA) tidak cukup selamat untuk Mahkamah mensabitkan kesalahan meliwat".

Walaupun Mahkamah mengakui ada bukti jelas Saiful Bukhari telah diliwat, namun kekangan undang-undang tidak membolehkan Mahkamah mensabitkan kesalahan meliwat terhadap Anwar Ibrahim.

(Nota: Pendakwaraya telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan kes ini akan didengar tidak lama lagi).

 Apa maksud teman menulis ini?

Maksudnya ialah ada kes dimana Mahkamah berpuashati kejadian berlaku, samada pembunuhan Altantuya, kes liwat Azizan, mahupun kes meliwat Saiful; tetapi kekangan undang-undang tidak membolehkan Mahkamah mensabitkan kesalahan terhadap mereka yang dituduh.

Ini bukan bermakna Mahkamah menafikan kejadian berlaku, tetapi undang-undang sedia ada tidak membenarkan Mahkamah mensabitkan kesalahan!

Altantuya tetap telah dibunuh!

Azizan tetap telah diliwat!

Saiful tetap telah diliwat!

Persoalannya ialah; Siapa yang telah melakukan jenayah-jenayah terkutuk itu?

Mungkin kita tidak akan mendapat jawapannya sehingga kiamat. Namun sebagai umat Islam kita percaya dan yakin; ALLAH Maha Mengetahui, mungkin pelaku jenayah akan terlepas daripada hukuman dunia, tetapi yakinlah mereka tidak akan terlepas daripada hukuman ALLAH nanti!

Yang baik dan benar datang daripada ALLAH, yang tidak adalah kelemahan teman sendiri. Semoga ALLAH terus memberikan petunjuk dan hidayah kebenaran kepada kita semua insyallah.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
22 Syawal 1434
29 Ogos 2013

Comments posted (0)

YB BN

YB PAS

YB PKR

YB DAP