Khamis, 29 Ogos 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Bahagian Kedua: Persoalan Apa Itu Khianat?

Posted: 28 Aug 2013 06:27 PM PDT

Persoalan ini mungkin kelihatan agak bodoh untuk diperjelaskan bagi sesetengah pihak, lebih-lebih lagi apabila ianya ditanya oleh seorang yang kononnya 'berilmu'. Namun oleh kerana ianya ditanya berkali-kali, maka saya yakin ianya bukan 'bodoh yang dibuat-buat' tetapi memang tidak terfaham oleh yang bertanya.

Oleh yang demikian, memandangkan ada kesukaran untuk memahami perkara ini, saya perlu mengupasnya secara terperinci agar semua faham. Bagi memudahkan lagi, biarlah saya persembahkannya dalam bentuk cerita kanak-kanak atau fairy tale supaya yang masih budak-budak lagi pun akan turut faham.


Pada satu ketika dahulu, di sebuah Negara yang jauh dari Tanah Melayu, ada 3 Putera Raja yang istimewa, iaitu Tengku PAS, Tengku PKR dan Tengku DAP yang bersetuju berkerja-sama untuk menjatuhkan lawan dan musuh yang satu, raja zalim lagi menindas, iaitu Maharaja ONMU. Maka ketiga-tiga anak raja ini telah berbincang dan mengagihkan kawasan tertentu di mana mereka akan bertempur dengan tentera Maharaja tersebut. Ada kawasan, panglima yang akan memimpin tentera gabungan 3 anak raja tadi, adalah orang pilihan Tengku PAS, ada tempat ianya orang pilihan Tengku PKR dan ada juga tempat di mana yang memimpin adalah panglima pilihan Tengku DAP. Di mana Panglima pilihan Tengku PAS memimpin, tentera Tengku PKR dan Tengku DAP akan bantu dan sokong. Di mana Panglima pilihan Tengku PKR memimpin, maka tentera Tengku PAS dan Tengku DAP pula akan sokong dan seterusnya. Mereka bersetuju untuk saling membantu dan tidak melakukan sebarang tindakan yang akan mencabar kepimpinan Panglima yang diletakkan oleh anak raja masing-masing. Kerjasama ini dinamakan mereka sebagai 'Pakatan'. Semua telah dipersetujui, termasuk hak anak raja berkenaan untuk memilih Panglima sendiri serta kawasan yang mereka akan beraksi telahpun diputuskan.

Maka apabila tibanya hari pertempuran. Panglima pilihan setiap anak Raja, bersiap sedia untuk menghadapi musuh bersama dengan sokongan dari tentera rakan dalam Pakatan. Tiba-tiba ditempat yang telah dipersetujui Panglima Tengku PAS memimpin, Tengku PKR arahkan Panglimanya turun! Panglima Tengku PKR ini pula menyerang Panglima yang diletakkan Tengku PAS dan akhirnya tentera mereka bertembung! Tentera Maharaja hanya gelak melihatnya dan memberi sokongan secara senyap kepada kedua-dua Panglima! Akhirnya Maharaja ONMU yang menang di medan itu. Dalam keadaan seperti itu, Tengku PKR telah mengkhianati perjanjian.

Begitu juga, di mana dipersetujui Panglima Tengku PKR memimpin tiba-tiba Tengku PAS mengutuskan Panglimanya! Panglima Tengku PAS menyerang pula Panglima Tengku PKR dan bertempur dengan tentera-tentera Tengku PKR. Lebih sibuk bertempur sesama Pakatan dari bertempur dengan tentera Maharaja yang zalim! Akhirnya Maharaja bertepuk tangan dan menang dengan mudah. Tengku PAS telah mengkhianati perjanjian.

Secara ringkasnya, ianya dikatakan khianat kerana tindakan sedemikian melanggar perjanjian 'saling membantu' dan bertempur sesama sendiri. Sedangkan kononnya mereka 'kawan'. Sebaliknya membantu pihak lawan dan musuh yang telah sama-sama berikrar untuk menjatuhkannya!

Rasa saya definasi di atas amat jelas dan mudah untuk difahami walaupun untuk kanak-kanak. Tetapi kalau masih tidak faham, saya tidak mampu membuat apa-apa kecuali menyatakan simpati saya terhadap kekurangan yang mungkin ada yang menghalang seseorang itu dari memahami sesuatu. Atau mungkin satu hari kelak kalau ada masa boleh kita buat filem animasi untuk lebih mudah difahami.

Dalam kes Kota Damansara, ianya telah dipersetujui, sejak awal lagi, ianya kerusi PKR. Soal calonnya anggota atau Presiden PSM sekalipun tidak releven kerana itu pilihan PKR siapa yang mereka ingin letakkan sebagai calon mereka. Akhirnya lambang di atas kertas undi adalah lambang PKR bukan PSM. Tiba-tiba PAS letak calon dan serang calon PKR. Maka PAS khianati perjanjian.

Dalam kes PSM bertanding atas lambang mereka sendiri, seperti di Semenyih, tidak timbul isu khianat sekiranya PAS, PKR atau DAP ditugaskan PR untuk bertanding di kerusi yang sama. Kerana PSM bukan sebahagian dari perjanjian kerjasama PR dan tidak pernah saya mendakwa mereka adalah sebahagian dari PR. Oleh itu khianat kepada PSM tidak timbul.

Soal khianat hanya timbul apabila salah satu parti dari tiga parti yang berpakat dalam PR bertanding menentang parti lain dari PR. Iaitu PAS bertanding lawan PKR atau DAP, atau PKR bertanding lawan PAS atau DAP atau DAP bertanding lawan PAS atau PKR. Lawan PSM atau mana-mana parti yang bukan dalam PR dalam konteks ini adalah tidak khianat.

Maka dalam kes Kota Damansara, PAS bertanding lawan calon PKR bukan calon PSM. PSM tidak bertanding. Adakah betul Dr Nasir merupakan calon PKR? Tanyalah PKR. Watiqah dari PKR.

Dalam usaha menegakkan benang basah maka ada yang berkata kalau PAS tidak bertanding sekalipun PKR akan tetap kalah kerana pengundi KD menolak Dr. Nasir. Adakah itu benar? Adakah mereka mempunyai kuasa ghaib untuk mengatakan begitu secara pasti? Yang kita tahu secara pasti ialah bila PAS turut bertanding maka UMNO/BN telah menang. Itu yang pasti.

Adakah PAS KD sekarang mengakui bahawa yang mengundi calon PAS tidak pada hakikatnya menyokong PAS? Dan sekiranya PAS menyokong calon PKR maka mereka ini tidak akan ikut sama menyokongnya? Tidak saya sangka pula PAS KD begitu lemah pengaruhnya. Dan yang lebih menghairankan, PAS KD tidak sama sekali kesal dengan kemenangan BN! Malahan mereka bangga!??

Definasi di atas tidak melibat kerusi bertindih sehingga saat terakhir. KD tidak bertindih dari awal. Dalam kes kerusi bertindih sekalipun, apabila diputuskan oleh PR siapa yang sepatutnya bertanding di kerusi berkenaan, maka semua perlu akur dan sekiranya tidak, seperti di Sg. Aceh, maka ianya juga suatu pengkhianatan. Khianat pada perjanjian yang telah dimeteraikan bersama PR maka dengan itu khianat kepada imej serta pendirian PAS dan juga Islam secara amnya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang