Khalid Samad |
Terdesaknya MCA: Isu Bukan Islam ditangkap Khalwat Posted: 12 Dec 2012 09:30 PM PST Ini juga merupakan satu lagi isu yang memperlihatkan betapa terdesaknya MCA. Hakikatnya soal khalwat langsung tidak timbul! Jika dilihat pada saman yang dikeluarkan, kesalahan yang disebut adalah 'berkelakuan tidak senonoh'. Saman ini pun dari PBT dan bukan dari Jabatan Agama Islam Kelantan. Tangkapan Khalwat hanya dilakukan oleh Jabatan Agama Islam terhadap orang Islam. PBT pula menyaman semua orang, Islam dan bukan Islam, atas apa jua kesalahan yang terdapat dalam rang undang-undang PBT. 'Kelakuan tidak senonoh' di tempat awam memang satu kesalahan di kebanyakan PBT di Malaysia. Kalau di England, mungkin bercium di tempat awam di khalayak ramai tidak dianggap 'tidak senonoh'. Begitu juga mungkin berpeluk-pelukan dan bercumbu-cumbuan di antara dua orang kekasih di tempat awam di London. Tetapi apa yang dianggap 'acceptable' atau boleh diterima oleh masyarakat umum sudah pasti akan berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Di dalam Bandar yang paling 'moden' di Malaysia sekalipun ianya pasti tidak disenangi ramai. Apatah lagi di kawasan yang lebih konservatif dari sudut nilai moral dan akhlak. Dalam soal ini ianya perlu difahami bahawa yang mementingkan kelakuan sopan di tempat awam bukan hanya Islam. Agama dan budaya lain juga menuntut begitu. Untuk menentukan garis panduan berhubung persoalan ini, PBT perlu berbincang dengan semua pihak dan mengambil kira pandangan semua kaum. Maka adalah jelas bahawa saman tersebut tidak ada kena-mengena dengan soal pemaksaan nilai-nilai dan akhlak Islam ke atas masyarakat bukan Islam. Ianya tindakan PBT atas sebab peraturan kelakuan tidak sopan atau tidak senonoh di tempat awam. Ada yang bertanyakan persoalan orang yang disaman perlu merujuk kepada "Jabatan Undang-undang/Penguatkuasa atau Jabatan Pembangunan Islam". Jabatan Pembangunan Islam itu yang dipertikaikan dan dikemukakan sebagai bukti pemaksaan nilai-nilai dan akhlak Islam ke atas bukan Islam. Hakikatnya PBT menyaman orang Islam dan bukan Islam. Bagi yang bukan Islam mereka hendaklah merujuk kepada Jabatan Undang-undang/Penguatkuasa dan bagi orang Islam sudah pasti mereka akan dirujuk kepada Jabatan Pembangunan Islam. Itulah sebabnya digunakan perkataan 'atau'. Saya difahamkan ada juga yang mempertikaikan tindakan Pegawai PBT yang kononnya mengintai warga Kota Bharu supaya disaman. Hakikatnya ianya dilakukan di tempat awam, public place, dan sememangnya ianya tidak sepatutnya dilakukan di situ. Dalam tempat awam, ianya bukan soal mengintai lagi tetapi menjalankan tugas untuk menentukan 'public decorum' atau 'akhlak dan kemulian awam' dijaga. Dalam filem Barat pun sekarang, apabila dua pasangan sudah berlebih-lebihan, akan ditegur oleh rakan yang lain dengan ungkapan "Get a room" yang membawa erti carilah bilik, jangan buat di depan kami, malulah sikit dan sebagainya. Oleh itu, saya cuma ingin menambah sedikit sahaja lagi khas untuk MCA, "Get a room MCA... and stay inside forever!!!". WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
Terdesaknya MCA: Isu Salon Rambut Posted: 12 Dec 2012 06:17 PM PST Saya melihat beberapa isu yang yang sedang hangat diperbahaskan dalam media arus perdana berhubung 'usaha memaksa Islam ke atas orang bukan Islam' sebagai sesuatu yang menggambarkan betapa terdesaknya MCA. Ianya adalah bukti yang kukuh bahawa MCA ketandusan isu untuk diguna-pakai sebagai bukti 'kezaliman' PAS. Saya telah mengulas kedua-dua isu ini di khalayak ramai, khususnya di hadapan masyarakat Tiong Hua dan pada masa ini saya rasa ianya amat sesuai untuk dikupaskan di Blog saya. Saya dimaklumkan bahawa setelah mengambil alih tampuk kekuasaan di Kelantan pada 1990, kerajaan PAS telah mengadakan beberapa perbincangan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Local Authority berhubung isu-isu pentadbiran Bandar-bandar di seluruh Negeri Kelantan. Di peringkat Kota Bharu, perbincangan ini telah melibatkan masyarakat bukan Islam dan kumpulan-kumpulan keagamaan selain Islam. Hasil dari perbincangan itu maka beberapa garis panduan pentadbiran telah diputuskan. Di antaranya adalah persoalan salon rambut unisex. Telah dipersetujui bahawa lesen salon unisex tidak perlu lagi dikeluarkan dan salon gunting rambut mulai 1991 adalah kesemuanya untuk lelaki atau untuk perempuan. Ini merupakan keputusan yang dikuat-kuasakan sejak 1991 dan semenjak itu tiada kedengaran apa-apa rungutan. Tiba-tiba menjelang PRU ke 13, timbul kekecohan kerana ada salon yang bertindak secara unisex atau untuk wanita dan lelaki yang telah disaman. Ianya pula dikupas dari sudut keagamaan iaitu norma dan akhlak Islam yang ingin dipaksa ke atas yang bukan Islam! Sedangkan ianya tiada kena-mengena dengan Jabatan Agama Islam Kelantan dan sebaliknya hanya penguat-kuasaan peraturan PBT yang telah diputuskan bersama sejak 1991. Sebenarnya, seperti yang telah disebut oleh TGHH dan TGNA, PAS tidak berniat untuk memaksa nilai-nilai dan akhlak Islam ke atas yang bukan Islam. Ianya hanya peraturan PBT dan jika yang bukan Islam sekarang ini menganggap ianya suatu keperluan dan hak mereka maka apa yang perlu dilakukan ialah untuk mengusulkan pindaan peraturan PBT di PBT berkenaan. Kerajaan Kelantan memberi kommitmen bahawa mereka bersedia untuk mempertimbangkannya. Apabila tidak dilesenkan dan diiklankan sebagai salon unisex maka akan timbul masalah bagi wanita Islam yang pergi ke salon tersebut. Setelah membuka tudung mereka dengan kefahaman ianya bukan salon unisex maka sudah pasti akan berlaku kekacauan sekiranya tiba-tiba datang masuk seorang lelaki! Maka dalam keadaan itu amatlah penting supaya salon unisex dilesenkan dan diiklankan sebagai salon unisex supaya keadaan sedemikian tidak timbul. Kalau tidak, maka hak pelangan Islam supaya mereka mendapat suasana yang khas hanya untuk wanita, supaya mereka boleh membuka tudung mereka, tidak akan dipenuhi. Ke arah itu maka pihak yang berminat perlu memohon kepada PBT berkenaan dan keinginan mereka dijelaskan oleh ahli majlis di zon berkenaan supaya akhirnya peraturan berhubung salon unisex dapat dihasilkan untuk diguna-pakai apabila meluluskan mana-mana permohonan untuk membuka salon unisex. Ada pula kedengaran rungutan bahawa sekiranya diiklankan sebagai salon unisex maka ramai dari pelangan mereka, 80% darinya adalah wanita Muslim, tidak akan lagi datang ke kedai mereka. Itu merupakan masalah lain. Dalam bahasa Inggeris dikatakan "You can't have your cake and eat it too" atau anda tidak boleh simpan dan juga makan kek pada masa yang sama. Dalam erti-kata lain, pihak operator salon kenalah membuat pilihan, dia tidak boleh menjadikan salonnya unisex supaya mendapat pelangan lelaki dan pada yang sama khas untuk wanita untuk mendapat pelangan wanita Islam! Yang penting, ini persoalan undang-undang PBT dan BUKAN Jabatan Agama Islam. Maka persoalan memaksa nilai dan akhlak Islam ke atas masyarakat bukan Islam tidak timbul. Saya akan mengulas isu kedua berhubung bukan Islam ditangkap khalwat pada sebelah petang nanti iAllah. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan