Khamis, 6 September 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Selangor Peruntuk RM165,000 Bangun Sekolah Tamil Dan Kuil di Ijok

Posted: 05 Sep 2012 06:16 PM PDT

BESTARI JAYA,5 SEPT : Kerajaan Selangor memperuntukkan kira-kira RM 165,000 bagi pembangunan sekolah Tamil dan kuil Hindu di kawasan Ijok bagi memastikan pendidikan dan kebajikan masyarakat India terus terjamin.

Dana itu diserahkan dalam bentuk cek oleh Adun Ijok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar yang juga kepada wakil-wakil sekolah dan kuil yang diadakan di Dewan Masyarakat di sini.

Sebanyak sembilan buah sekolah jenis Tamil dan lima buah kuil di DUN Ijok menerima sumbangan bantuan pembangunan itu.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, kejayaan dalam pendidikan akan membawa kemajuan kepada Selangor justeru kerajaan memberikan keutamaan bagi membangunkan pendidikan kepada semua masyarakat.

"Sehingga kini sejak 2008, lebih RM 50 juta sudah diperuntukkan untuk pembangunan pendidikan di negeri ini," kata Abdul Khalid.

Turut hadir,Ahli Parlimen Kuala Selangor,Dr Dzulkefly Ahmad, Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan,Dr Halimah Ali.

Juga hadir Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin,Dr Xavier Jayakumar, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor,Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.

Dr Xavier dalam ucapannya berkata, Sekolah Tamil Desa Coldfield yang telah dimulakan pembinaannya oleh Kerajaan Selangor dijangka siap dalam masa setahun.

Sekolah yang terletak di atas kawasan seluas 4 ekar itu dibina dengan kos RM 3 juta.

"Kita juga akan teruskan pembinaan rumah pekerja-pekerja ladang bagi menjaga kebajikan mereka," kata Dr Xavier.

Dr Halimah berkata, pelbagai rancangan telah dilaksanakan untuk membangunkan semua jenis sekolah di Selangor yang selama ini kurang diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

"RM 16 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada sekolah jenis Tamil sejak 2008," kata Dr Halimah.

Sementara itu, Ahli Majlis Kuala Selangor,R Tanarasu berkata, kerajaan Pakatan Rakyat dalam empat tahun telah banyak menyalurkan bantuan demi kebajikan rakyat khususnya masyarakat India di kawasan DUN Ijok ini.

"Sebelum 2008, sekolah-sekolah dan kuil-kuil kurang mendapat bantuan dan peruntukan daripada kerajaan negeri Selangor sebelum ini," ujarnya.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang