DUN BUKIT PAYONG |
Hudud: Sila rujuk penegasan Presiden PAS Posted: 06 Sep 2012 06:24 AM PDT Petikan Harakahdaily : Saya merujuk kepada kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertarikh 25 Ogos 2012 selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik dan Pilihan Raya PAS di Pejabat Agung seperti disiarkan oleh Harakhadaily: ("PAS akan melaksanakan hukum hudud melalui proses demokrasi yang sedia ada. Malah ujarnya, usaha itu telah dimulakan sejak tahun 90-an lagi apabila Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 diperkenalkan dikedua-dua negeri itu. Sebelum itu lagi katanya, mereka telah memperkenalkan draf undang-undang itu kepada NGO Islam dan bukan Islam dan pernah mengemukakan usul agar isu perlaksanaan hudud dibincangkan di parlimen.") Ada sebahagian kecil kalangan kepimpinan PAS akhir-akhir ini terkeliru atau dikelirukan dengan isu hudud menyebabkan mereka memberikan pandangan berbeza daripada apa yang telah ditegaskan oleh Presiden PAS dan juga parti sejak awal 50-an sehingga dewasa ini meskipun di era tahaluf siyasi. Sebahagian mereka menimbulkan persoalan mana yang perlu didahulukan sama ada hudud atau ke Putrajaya. Ada yang bimbang dengan penolakan bukan Islam terhadap PAS kerana menegaskan prinsip hudud hingga menyebabkan kekalahan pilihanraya. Ada pula yang sudah mula bercakap seperti nada Umno, iaitu hudud belum kondusif untuk dilaksanakan atau hudud belum sesuai dilaksanakan dalam keadaan gejala sosial masih kritikal. Ini semua adalah tanda-tanda lemahnya iman dan kurang keyakinan pada apa yang dijanjikan oleh Allah kepada pejuang-pejuang Islam. Ini adalah permulaan kepada serangan pemikiran yang mula meracuni pejuang Islam. Marilah kita memperingati peringatan Allah dalam surah al-Maidah, ayat 49-50 bermaksud: "Dan hendaklah kamu berhukum di kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan jangan kamu turuti hawa nafsu keinginan mereka. Dan berwaspadalah terhadap mereka yang memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah. Maka sekiranya mereka berpaling maka ketahuilah bahawasanya Allah mahu menimpakan mereka dengan musibah disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya ramai daripada manusia itu benar-benar fasiq (melanggar perintah Allah). Adakah hukum Jahiliyyah yang kamu cari? Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah hukumnya?" Perlu dipertegaskan bahawa ahli dan kepimpinan PAS perlu membezakan antara dua persoalan, iaitu memperundangkan hudud dan melaksanakan hudud selepas ia diperundangkan. Perjuangan untuk memperundangkan hudud dalam perlembagaan negeri dan negara adalah perjuangan besar PAS apabila mendapat kuasa menerusi lunas demokrasi. Agenda ini tidak perlu disembunyikan dan tidak boleh dilihat disembunyikan daripada pengetahuan rakan-rakan Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia keseluruhannya sama ada muslim atau bukan muslim. Persoalan berjaya atau tidak untuk PAS ke Putrajaya perlu diserahkan kepada Allah setelah mana PAS berusaha dan bekerja dengan pelbagai cara dan strategi untuk mencapai kemenangan dengan menegaskan prinsip yang diperintah oleh Allah. Namun, starategi itu bukanlah dengan tidak menegaskan prinsip untuk memperundangkan undang-undang jenayah Islam. Adapun isu pelaksanaan undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud, sama ada kondusif atau pun tidak, boleh dilaksanakan atau tidak kerana berlaku syubhat-syubhat, ia adalah perbincangan selepas ia diperundangkan dalam perlembagaan dan bukan sekarang masa perbincangannya. Umno yang telah berkuasa sejak belum merdeka sehingga ke hari ini tidak menunjukkan hasratnya untuk memperundangkan undang-undang jenayah Islam termasuk hudud sedangkan mereka mempunyai kuasa berdasarkan lunas demokrasi. Umno selama berpuluh tahun mempersoalkan kesesuaian pelaksanaan undang-undang jenayah Islam. Umno telah tunduk dengan kehendak bukan Islam di kalangan MCA dan MIC untuk memperundangkan. Umno telah menggadai prinsip Islam. Ada pun PAS bukan seperti Umno. PAS sentiasa tegas dengan prinsip perjuangan Islam. Berasaskan kesepakatan Pakatan Rakyat, PAS juga tegas menyatakan hasrat untuk memperundangkan undang-undang jenayah Islam termasuk hudud berdasarkan lunas demokrasi sebagaimana telah dilakukan oleh PAS di Kelantan dan Terengganu sebelum terbentuknya Pakatan Rakyat. Ia bermaksud PAS akan berusaha menobatkannya dalam perlembagaan Malaysia berdasarkan kuasa demokrasi yang bakal dimiliki oleh PAS selepas PRU ke-13. Setiap parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai hak untuk tidak bersetuju dengan hasrat PAS merujuk kepada matlamat perjuangan parti masing-masing. Namun, kuasa demokrasi akan menentukan sama ada PAS berjaya ataupun tidak. Oleh itu, rakyat Malaysa diseru untuk bersama PAS memberikan kuasa demokrasi ke arah memperundangkan undang-undang jenayah Islam termasuk hudud. Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat. |
You are subscribed to email updates from DUN BUKIT PAYONG To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan