Khamis, 6 September 2012

.

.


Perihal Abby Abadi dan ulama muda - Subky Latif

Posted: 05 Sep 2012 11:30 PM PDT



Adapun Abby Abadi, seorang pendatang baru dalam PAS dan ketua Ulama Muda di pejabat Umno yang bernama Fathul Bari tidak ada kena mengena dan tidak ada sebarang hubungan.

Mungkin keduanya tidak kenal mengenal dan mungkin juga tidak pernah bersua jumpa.

Yang menariknya ialah Cik Puan Abby Abadi ini adalah seorang seniwati yang ada kedudukan dan ada pasaran dalam industeri perfileman.

Kita tidak tahu di mana dia mengaji  dan mendapat didikan agama? Tetapi di tengah memanjat puncak kerjayanya di dunia hiburan, dia terjun ke dalam arena perjuangan PAS dan berazam memupuk dan menegakkan akidahnya dan akidah umat.

Dia menerima Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Abdul  Hadi Awang sebagai pemimpinnya.

Manakala Syeikh Fathul Bari, seorang yang berstatus ulama muda, sudah tentu berpendidikan agama yang tinggi, jika tidak masakan dia dikenali sebagai ulama, anak bekas Mufti Perlis.

Di mana dia mengaji tidak penting lagi tetapi dia adalah seorang ulama dan seorang pendakwah.

Tetapi dia terjun dalam perjuangan Umno dan menerima Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin  Yasin sebagai pemimpinnya.

Tentulah pelik. Seorang penghibur yang statusnya dalam agamanya adalah seorang awam saja memilih parti yang memperjuangkan Islam dan dipimpin oleh para ulama. Dunia yang digelumanginya selama ini adalah amat berbeza dengan cara hidup pemimpin dan penyokong PAS.

Mungkin 10 tahun dulu tidak tahu apa-apa tentang luar dan dalaman PAS selain daripada yang didengarnya PAS adalah sebuah parti pembangkang yang memperjuangkan Islam. Yang dikatakan perjuangan Islam itu mungkin dia tidak tahu.

Tetapi sekonyong-konyong dia masuk PAS dan duduk sepentas dengan pemimpin-pmimpin yang antaranya tok-tok guru yang berserban dan berjanggut. Dia berazam untuk menghabiskan dunianya di situ.

Manakala ulama muda Fathul Bari pula sebagai anak mufti tentulah terdidik dari kecil dalam suasana Islami, dan sebagai ulama muda tentulah pergaulan dan hidupnya sentiasa dalam kawalan yang baik. Imej dan gambaran luarannya pun dilihat sebagai orang beragama. Mengikut bahasa orang  dulu gayanya itu adalah lebai.

Peliknya dia tidak memilih parti yang memperjuangkan Islam seperti yang disertai Abby tetapi dia menyertai Umno yang perjuangannya sejak mula adalah sekular nasionalis. Baik di bawah Dato' Onn Jaafar, di bawah Tunku Abdul Rahman Putra dan lain-lain tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan.

Semua tokoh Umno itu tidak menolak Islam sebagai agama mereka tetapi mereka tidak menerima Islam sebagai garis perjuangan politik. Kesemuanya berkata bahawa Islam tidak sesuai bagi dijadikan dasar politik dengan dalih Malaysia tidak didiami oleh orang Islam saja.

Abby Abadi yang terhad pengetahuan dan fahamannya tentang Islam tidak memilih parti seperti Umno itu tetapi ulama muda yang terididik dalam  suasana  Islami memilih Umno dan menolak PAS yang disertai oleh majoriti ulama.

Ajaib. Itulah kehendak Allah. Abby tidak memiliki kitab dan tidak pandai baca kitab menyertai perjuangan politik Islam, Fathul  Bari memiliki banyak kitab dan pandai baca kitab tidak menyertai parti Islam tetapi menyertai  parti nasionalis.

Saya tidak hendak menyamakan kejadian Abby dan Fathul ini dengan zaman kelahiran Rasulullah SAW di Mekah dulu. Orang Jahililyah Quraisy tidak pernah baca kitab. Yang baca kitab ialah Yahudi Bani Israil. Orang Quraisy dengar  orang Yahudi menunggu kelahiran Nabi Akhir Zaman.

Apabila Nabi lahir, yang menunggunya tidak menyambutnya, tetapi Arab yang tidak tahu tentang isi kitab menerima kenabian itu.

Itulah kebesaran Allah.

Source: http://www.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/12932-perihal-abby-abadi-dan-ulama-muda

Kerjasama PR Pahang padu, siap-sedia hadapi PRU13

Posted: 05 Sep 2012 07:30 PM PDT



TEMERLOH: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Pahang (MPPRN) menegaskan bahawa kerjasama di antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) Negeri Pahang berada dalam suasana sangat kondusif dan padu.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penegasan tersebut dibuat ekoran cubaan beberapa media yang cuba memesongkan persepsi awam bahawa kononnya hubungan di antara parti komponen PR Pahang berantakan ekoran beberapa isu dalaman khasnya berkaitan pembahagian kerusi di peringkat negeri.

"Sehubungan dengan itu MPPRN Pahang menyeru dan menasihatkan semua kepimpinan mahupun ahli-ahli daripada PAS, DAP dan PKR tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung perkara berbangkit khususnya mengenai proses pembahagian kerusi.

"Sebagai petugas parti kita akur dengan apa jua keputusan yang akan dibuat pimpinan tertinggi," katanya semasa sidang media khas melibatkan pemimpin tertinggi PR Pahang di bangunan PAS Pahang di sini.

Berikutan itu Tuan Ibrahim menyeru semua ahli memberikan mandat dan keyakinan penuh kepada kepimpinan PR untuk menyelesaikan perundingan kerusi dengan semangat muafakat yang telah terjalin baik.

Berkenaan pilihan raya umum (PRU) ke 13 yang bakal diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, beliau menyeru kepimpinan dan ahli-ahli PR di semua peringkat berusaha bersungguh-sungguh di semua kawasan untuk meningkatkan sokongan dan keyakinan daripada semua lapisan masyarakat.

Turut hadir Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah, Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Setiausaha DAP negeri Choong Siew Onn serta anggota harian Badan Perhubungan PAS Pahang.

Sidang media khas diadakan berikutan laporan negatif beberapa media yang cuba melaga-lagakan kenyataan pemimpin PKR dan DAP negeri ini berkaitan tuntutan bertindih beberapa kerusi negeri ini yang diserahkan keputusannya kepada Majlis Presiden PR.

Negeri Pahang sebelum ini dianggap penganalisis politik antara tiga negeri kubu kuat BN dan kekal kepada parti itu selain Johor dan Melaka, namun berdasarkan senario terbaru keputusan tersebut boleh berubah pada PRU akan datang.

Sementara itu Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat turut merakamkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Undang-Undang Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah, 88, yang meninggal dunia akibat sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya Kuala Lumpur semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di pusat perubatan itu kira-kira pukul 3.30 petang di sisi isterinya Toh Puan Zainon Hussaiin serta keluarga.

Allahyarham yang juga Presiden Seumur Hidup Majlis Olimpik Malaysia, memulakan karier politiknya sebagai Ahli Parlimen kawasan Raub, Pahang (1967) dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri (1967-1969), seterusnya menjadi Menteri Penerangan dan Penyiaran (1969-1971), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1971-1973), Menteri Pertahanan (1973-1974) dan Menteri Perdagangan dan Industri (1974-1978).

Jawatan terakhir Allahyarham adalah sebagai Menteri Undang-undang dan Peguam Negara sebelum bersara daripada Kabinet pada September 1980.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12938-kerjasama-pr-pahang-padu-siap-sedia-hadapi-pru13

Tiada ulasan:

Nuffnang