Selasa, 7 Ogos 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Bacaan Al-Quran Sepanjang RamaDhan: Juz 6

Posted: 06 Aug 2012 08:30 PM PDT

Di dalam Juz ke enam, surah An-Nisaa' ayat 148 Allah SWT telah berfirman:
"Allah tidak suka pada percakap lantang dan kasar (yang mengutuk dan menghina) secara terbuka kepada umum kecuali bagi mereka yang dizalimi. Allah mendengar dan mengetahui".
(An-Nisaa' 148)

Ada yang mengatakan percakapan yang lantang dan menghina itu tidak islamik. Kononnya orang yang beriman kena 'suffer in silence'. Berdasarkan ayat di atas ini jelas satu andaian yang tidak tepat. Sekiranya diri sendiri dizalimi, dibenarkan bersuara secara lantang menentang kezaliman yang ditimpakan ke atas dirinya. Maka adalah sudah pasti prinsip sama boleh diguna pakai untuk rakyat yang dizalimi oleh pemerintah melalui undang-undang yang mengongkong hak mereka sambil pemerintah merompak kekayaan Negara.
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu berdiri tegak, kerana Allah, sebagai saksi akan keadilan. Dan janganlah oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak bertindak adil. Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Al-Maidah 8)

Terdapat juga orang Islam yang menganggap persoalan keadilan dan sebagainya tidak ada kena mengena dengan Islam, ianya merupakan slogan kumpulan Sosialis. Bagi mereka Islam itu hanya sembahyang, puasa, zakat dan naik haji selepas memeluk Islam melalui dua kalimah syahadah. Segala percakapan berhubung keadilan dan sebagainya adalah kerana ummat Islam dipengaruhi Sosialis!

Sedih tetapi benar. Sedangkan perintah untuk berlaku adil itu disamakan dengan ketaqwaan. Inilah malangnya keadaan ummat Islam apabila mereka terpisah dari Al-Quran dan Islam yang mereka kenal hanya terbatas di dalam kelas Fiqh berhubung Taharah, cara-cara berwudhu', Solat dan sebagainya.

Keadilan yang dituntut oleh Islam adalah sehingga meliputi bertindak adil walaupun terhadap musuh ataupun "kaum yang dibenci". Keadilan mengatasi segala perhitungan yang lain kerana ianya adalah tuntutan ketaqwaan.

"Sesungguhnya telah menjadi kafir mereka yang mengatakan "Allah itu ialah Al-Masih Isa anak Mariam.."
(Al-Maidah 17)

"Sesungguhnya telah menjadi kafir mereka yang mengatakan "Allah itu ialah Al-Masih Isa anak Mariam.."
(Al-Maidah 72)

"Sesungguhnya telah menjadi kafir mereka yang mengatakan "Allah adalah yang ketiga dari tiga. Tidak ada Tuhan selain dari Tuhan yang Maha Esa….."
(Al-Maidah 73)

Ayat-ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa pada zaman Rasulullah (SAW) sendiri, golongan Nasrani telah mendakwa bahawa Nabi Isa adalah Allah atau anak Allah dan berpegang kepada konsep Trinity di mana Allah adalah yang ketiga dari tiga. Al-Quran sendiri menyatakan dengan jelas bahawa mereka menggunakan kalimah 'Allah' dan apa yang dilakukan oleh Rasulullah adalah berusaha membetulkan kefahaman mereka terhadap keEsaan Allah, bukan melarang mereka dari menyebut 'Allah'.

Bagi yang susah hendak faham, soalan mudah berdasarkan ayat Al-Maidah 17 dan 72 ialah, "siapakah Al-Masih Isa anak Mariam mengikut fahaman orang-orang Nasrani?" (Jawapannya: Allah). Oleh itu mereka menjadi kafir.

Dan berdasarkan ayat ke 73 Al-Maidah pula, soalannya adalah: "Mengikut fahaman orang-orang Nasrani, siapakah yang ketiga dari tiga?" (Jawapannya: Allah). Oleh kerana kepercayaan sebeginilah maka Allah ishtihar mereka menjadi kafir.

Maka berdasarkan ayat-ayat yang jelas sebegini, bagaimana mungkin orang Islam yang beriman dengan kitab Al-Quran boleh mengatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah 'Allah'? Sedangkan Al-Quran sendiri menceritakan orang-orang kafir menggunakannya!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Mesyuarat Kesesakan Lalu Lintas di Shah Alam

Posted: 06 Aug 2012 05:00 PM PDT

Satu mesyuarat telah diadakan untuk membincang masalah kesesakan lalu lintas di Shah Alam bersama wakil-wakil dari JKR, PLUS, ELITE, Pro-Lintas dan MBSA. Kawasan tumpuan adalah jalan dari Lebuhraya Guthrie menuju ke persimpangan Batu Tiga yang dikenali dengan nama Jalan Subang. Wakil Lembaga Lebuhraya Malaysia turut dijemput namun tidak dapat hadir.


Semua yang hadir memahami dan mengakui akan keadaaan kesesakan lalu lintas yang semakin parah, khususnya pada waktu-waktu puncak. Ada bebrapa cadangan telah dikemukakan tetapi ianya perlu dikaji dengan lebih lanjut lagi sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat. Saya akan bertanya kepada pihak berkenaan untuk mendapat maklum balas.

Pada masa yang sama telah ditimbulkan persoalan samada wujudnya sebuah 'master-plan' yang dapat menentukan penambahan jumlah kereta hasil pembangunan kawasan baru akan dapat ditangani dengan baik. Persoalan intra-city dan inter-city traffic management (pengurusan trafik dalam kota dan di antara kota) juga dibincangkan bersama.

Turut dipersetujui bahawa pembinaan lebuh raya dewasa ini dilakukan tanpa adanya satu 'master-plan' dan lebih bersifat 'ad-hoc'. Ini kadangkala menimbulkan kesesakan di lebuhraya yang sediada kerana limpahan kereta yang tidak diambil kira dari peringkat awal. Ini kerana pada ketika ianya dirancang, tiada cadangan untuk satu lagi lebuhraya baru yang disambungkan dengannya. Maka pembinaan secara 'ad-hoc' ini hanya mampu menyelesaikan masalah di sesebuah tempat, untuk beberapa ketika, hanya untuk menimbulkan masalah yang lebih teruk di tempat yang lain pada masa yang sama.

Berhubung dengan persoalan intra-city traffic atau trafik dalam kota, pihak JKR menyatakan bahawa telahpun ditubuhkan suatu jawatankuasa untuk mengkaji masalah kesesakan lalu lintas untuk Shah Alam dan Klang. Pihak JKR juga turut menyatakan bahawa telah ditubuh satu badan penyelaras di antara JKR dan semua syarikat lebuhraya untuk mengkaji masalah kesesakan lalu lintas dan bagaimana pembinaan lebuhraya baru boleh diuruskan dengan cara yang lebih terancang dan berkoordinasi demi menangani masalah lalu lintas.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang