Selasa, 5 Jun 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Pembangkang Pencetus Pembaharuan

Posted: 04 Jun 2012 11:58 PM PDT

Apakah mungkin jasa pembangkang di dalam sebuah negara dunia ketiga?

Lazimnya pihak pembangkang sentiasa dipersalahkan pemerintah; serangan terhadap pembangkang dihebohkan ke seluruh negara oleh media arus perdana milik parti-parti pemerintah.

Jentera kerajaan seperti Polis, Badan Pencegah Rasuah dan Badan Kehakiman, yang kadangkala dilihat sebagai alat dan seolah-olah 'jabatan khas' ibu pejabat parti pemerintah. Realiti ini didokong undang-undang lapuk yang terus disalahgunakan untuk menyekat kebangkitan dan kebebasan rakyat.

Jumlah undi popular yang diraih pemerintah Barisan Nasional (BN) pada PRU12 adalah 51%, tetapi ia tetap mendapat 63% jumlah kerusi di Dewan Rakyat. Meskipun dinafikan majoriti 2/3, BN masih dapat mendirikan kerajaan dengan majoriti mudah. Semasa PRU11, BN meraih 90% kerusi Dewan Rakyat dengan hanya 64% undi popular. Ada penganalis yang berkata seandainya pilihanraya bersih dari dulu, sudah lama kerajaan bertukar.

Tidak cukup menggunakan jentera kerajaan secara terbuka, kini ditambah pula dengan tindakan tertutup termasuk keganasan berbaur politik, budaya penyebaran fitnah dan juga serangan peribadi terhadap individu terpilih termasuk percubaan mencemar imej atau serangan fizikal.

Berbeza dengan lembu yang dicucuk hidungnya, keberanian dan ketelusan yang dipaparkan media alternatif membuktikan komitmen untuk membuat liputan berita sebagai wartawan dan bukan sekadar pelapor. Walaupun menghadapi kemungkinan dicaci, disekat, dibaling batu dan telur, dipukul hingga patah tulang kerana ingin mendapatkan berita yang benar, perjuangan media alternatif ini selaras dengan ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang berjuang kerana amanah rakyat dan bukannya kronisme.

Percubaan konsisten untuk mengaburi peranan Pakatan Rakyat (PR) yang taat kepada raja, negara dan perlembagaan persekutuan tidak melumpuhkan kepercayaan dan tanggungjawab terhadap rakyat. PR akan terus berdebat secara aktif di parlimen, terus aktif di peringkat akar umbi, dan seperti tsunami media alternatif akan terus berani kerana amanah dan kepercayaan yang diberi oleh rakyat.

Tanpa pembangkang, tiada pembaharuan. Segala pembaharuan adalah hasil desakan, tekanan dan perjuangan pembangkang. Tanpa tekanan, BN yang sudah memerintah 55 tahun tidak mungkin berubah.

Bersih 1 dan Hindraf selari dengan bangkitnya kesedaran rakyat yang kemudiannya menghasilkan Tsunami Politik 2008, yang memaksa perubahan dalam pentadbiran BN termasuklah lebih hak kepada Sabah dan Sarawak. Bersih 2.0 mencetuskan Reformasi Pilihanraya dan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) demi menambahbaik proses pilihanraya, namun transformasi ini jelas separuh jalan. Peluang emas untuk mendapatkan kepercayaan rakyat dibuang begitu sahaja tatkala laporan minoriti PSC yang disediakan PR ditolak di Parlimen.

Agenda propaganda Transformasi Nasional iaitu gagasan 1Malaysia, Transformasi Pentadbiran Awam (GTP), Transformasi Eknomi (ETP) dan RMK 10 tambahan lagi dengan NKRA tersasar dari unjuran pencapaian KDNK yang dicanangkan selama ini. Pengumuman demi pengumuman dibuat untuk membelanjakan wang untuk perbaiki kedudukan ekonomi negara tetapi realitinya Malaysia mengalami kadar defisit yang kritikal dan hutang Kerajaan yang kini sebanyak RM456.1 bilion atau 53.5% nisbah KDNK.

Akta Pemulihan Demokrasi untuk memansuhkan undang-undang lapuk seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) yang saya acapkali cadang cuma dipakai separuh jalan. Transformasi yang dijanji Perdana Menteri malangnya bukan initiatif yang baru, tetapi meniru dari Buku Jingga, seperti Dasar Gaji Minima dan BR1M.

Skandal-skandal seperti National Feedlot Corporation, pemberian tender Lebuhraya KIDEX, usaha membeli balik Lebuhraya MEX, dan masalah pengurusan dan pengendalian MAS telah membuat rakyat lebih sedar dan peka akan masalah-masalah yang dihadapi negara amnya. Isu penyenaraian FGVH, penggunaan wang KWSP untuk skim pembiayaan khas pembelian unit PPR-PA, usul SBPA yang ditarik balik membuktikan pucuk pimpinan kerajaan kini tidak kukuh bila dihadapkan dengan masalah-masalah yang disedari rakyat.

Sejarah akan menunjukkan bagaimana pilihanraya dimanipulasikan dan siapa pemenang sebenar selama ini. Rakyat akan tahu bagaimana jentera kerajaan disalahguna dan rakyat juga akan tahu siapa yang telah menjual rahsia pertahanan – lalu mengkhianati – negara.

Oleh demikian, memang wujudnya kehidupan dua darjat di antara pembangkang dan pemerintah pada masa ini. Rakyat perlu sedar siapa yang sering menjadi sasaran fitnah, konspirasi, tangkapan, pendakwaan, pemenjaraan, disaman, dipukul malah ada dibunuh demi menjalankan tugas dan memperjuangkan hak rakyat untuk menikmati janji merdeka dan demokrasi tulen.

Bagaimana pula mereka yang hidup mewah, rumah mewah, kereta mewah, pakaian mewah, perhiasaan mewah dan terlepas dari perbuatan rasuah, memukul pegawai keselamatan, pembelian kondo untuk lembu dan bebas dari kes pembunuhan serta penjualan rahsia pertahanan negara?

Memang benar, mehnah dan tribulasi perjuangan menjadi iktibar kerana tanpa pembangkang tiada pembaharuan.

Pembaharuan dan kemajuan!

(Pertama kali disiarkan dalam Sinar Harian, 5hb Jun 2012)

Tiada ulasan:

Nuffnang