Selasa, 5 Jun 2012

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Sukabumi: 40 rumah rosak akibat gempa bumi

Posted: 05 Jun 2012 01:53 AM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Gempa bumi berkekuatan 6.1 pada skala Richter yang melanda kawasan Sukabumi, Jawa Barat, petang semalam mengakibatkan 40 rumah penduduk rosak, termasuk enam daripadanya yang rosak teruk.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), kejadian itu turut menyebabkan dua orang penduduk mengalami cedera ringan.

Ia merupakan data yang dikumpulkan BNPB setakat pukul 6 pagi ini dan Badan Pengurusan Bencana Daerah Sukabumi masih meninjau tempat kejadian.

BNPB juga sedang menyalurkan bantuan darurat di kawasan-kawasan yang terjejas dengan kejadian gempa bumi itu, yang berlaku pada 6.18 petang, Isnin di lautan, bahagian selatan Jawa Barat.

Kejadian itu mengakibatkan beberapa kawasan lain termasuk Bandung, Tasikmalaya, Bogor dan Jakarta Selatan merasai gegarannya. - Bernama

Wanita baru dibuang kerja memandu dalam keadaan histeria

Posted: 05 Jun 2012 01:49 AM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang wanita didapati memandu dalam keadaan histeria sambil mengacukan pisau di lehernya di Jalan Delima 7, Taman Island Glades di sini awal hari ini.

Pihak polis yang diberitahu mengenai perkara itu akhirnya memintas kereta berkenaan setelah mengejar hampir 20 minit.

"Sebuah kereta peronda pada mulanya dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan dan polis cuba memujuknya supaya membuka pintu kereta tersebut, namun wanita itu enggan berbuat demikian sebaliknya terus memecut keretanya," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng.

Wanita berusia 27 tahun itu juga dilihat meletakkan pisau dilehernya.

Beliau berkata wanita berkenaan seperti berada dalam keadaan histeria dan memandu begitu laju sebelum polis berjaya memintas keretanya.

Gan berkata hasil siasatan awal mendapati wanita itu baru sahaja dibuang kerja sebagai jurujual minyak kereta.

Keadaanya dlaporkan masih tidak stabil dan sedang dirawat di Pulau Pinang. - Bernama

Ratusan senjata api disembunyi dalam dinding penjara Venezuela

Posted: 05 Jun 2012 01:40 AM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

CARACAS - Pihak berkuasa Venezuela berjaya merampas kira-kira 125 senjata api yang disembunyikan oleh tahanan di dalam dinding dan lantai di penjara La Planta.

Pegawai tinggi penjara, Iris Varela berkata, pelbagai senjata api termasuk 27 bahan letupan dan lebih 64,000 butir peluru turut ditemui dalam operasi itu.

sinar harian/-

Menteri elak terus terang isu no plat RM24,200

Posted: 05 Jun 2012 01:37 AM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini dilihat enggan menjawab secara langsung berhubung isu bidaan nombor pendaftaran WWW15 bernilai RM24,200 baru-baru ini walaupun diasak hebat pemberita.

Melihat perkara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tampil mencelah dengan berkata, wang berkaitan hanya "dari tangan kanan kiri kepada tangan kanan" apabila semua wang yang menjadi dana kerajaan disatukan daripada semua kementerian.

Liow semalam mempertahankan bidaan itu dengan berkata kementeriannya mengganti kereta rasmi, sekali gus memerlukan nombor pendaftaran baru.

Bagaimanapun, awal pagi ini, Sin Chew Daily memetik seorang pegawai sebagai berkata, tiada peruntukan untuk menteri membida nombor pendaftaran untuk kereta baru.

Berikut sedutan dialog Liow dengan pemberita dalam sidang media di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur:

WARTAWAN: Siapa bayar bidaan untuk nombor plat kereta?

LIOW: Saya sudah sebut semalam, ini kereta rasmi kerajaan, dan menteri layak mendapat satu nombor pendaftaran. Jadi prosesnya rasmi. Kita melakukannya melalui pejabat dan memohon kepada JPJ. JPJ pihak yang memproses permohonan ini.

WARTAWAN: Adakah kementerian membayar kosnya? Siapa bayar kosnya?

LIOW: Tidak, tidak. Ia semua terpulang kepada JPJ untuk mengendalikannya, kita serahkan kepada JPJ.

WARTAWAN: Tapi siapa bayar kosnya? Saya tahu prosesnya dikendalikan JPJ, tetapi siapa bayar kosnya?

LIOW: Saya kena semak dulu. Saya tidak pasti. Ia bawah JPJ.

WARTAWAN: Itu bermaksud anda tidak payar bidaan untuk...

LIOW: Seperti yang saya katakan tadi, menteri layak mendapat satu nombor. Jadi, saya cuma tidak lakukannya sebelum ini. Jadi sejak kementerian saya tukar kereta, jadi mereka tukarkannya sekali.

WARTAWAN: Jadi maksud kamu pegawai kamu yang kendalikan?

LIOW: Ya.

malaysiakini/-

23 maut bas jatuh gaung

Posted: 05 Jun 2012 01:33 AM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

SEBUAH bas yang membawa tetamu majlis perkahwinan terbabas ke dalam gaung di Kampung Narar kelmarin.

ISLAMABAD - Seramai 23 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila sebuah bas yang membawa rombongan majlis perkahwinan terjunam ke dalam gaung di Kampung Narar, Pakistan, kata beberapa pegawai kesihatan dan polis semalam.

Kemalangan itu berlaku ketika bas tersebut membawa 80 penumpang yang dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan kelmarin.

Menurut ketua hospital di daerah Kahuta, Ziaullah Khan, seramai 20 mangsa terbunuh di tempat kejadian.

Beliau berkata, seramai 64 mangsa yang cedera dihantar ke hospital.

"Tiga lagi mangsa meninggal dunia ketika dirawat di hospital menjadikan jumlah yang terbunuh ialah 23 orang. Wanita dan kanak-kanak antara yang terbunuh," katanya.

Seorang pegawai kanan polis di Rawalpindi, Azhar Hameed Khukhar berkata, mengikut laporan awal, bas itu terbabas ke dalam gaung semasa melalui selekoh. - dpa

Warga emas dipaksa Umno berlakon masuk PAS

Posted: 05 Jun 2012 01:17 AM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

LARUT: Seorang warga emas Mohd Sulaiman Abd Wahab mendakwa dirinya menjadi mangsa dipergunakan Umno BN dalam drama '688 ahli PAS masuk Umno' di Larut kelmarin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Su Mat ketika menerima kunjungan Dewan Pemuda PAS Larut semalam berkata, sebenarnya hanya dua orang sahaja yang menyertai Umno bukannya 688 seperti yang dilaporkan media Umno.

"Saya hanya dipergunakan untuk kepentingan nafsu serakah Umno.

"Memang wujud ahli PAS di sini menyertai Umno, tetapi hanya 2 orang, bukannya 688 seperti yang dilaporkan," katanya mendedahkan perkara sebenar.

Malah, Pak Su Mat turut mempelawa PAS kawasan Larut agar menganjurkan satu ceramah dirumahnya bagi membongkarkan pembohongan Umno tersebut.

(Gambar: Pak Su Mat ketika menerima kehadiran Dewan Pemuda PAS Larut di rumahnya)

Kediamannya pula hanya bersebelahan dengan kediaman Abdul Wahab Mahmud, tempat berlangsungnya lakonan majlis penyerahan borang 688 ahli PAS menyertai Umno itu.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Larut, Mohd Akmal Kamaruddin berkata drama malam kelmarin itu adalah pembohongan terancang Umno dan pengulangan skrip lama bagi tujuan meraih sokongan masyarakat di sini terhadap parti itu.

"Ini adalah kali ketiga mereka membuat pembohongan serupa, mungkin disebabkan mereka berasa cemas dan tergugat setelah melihat momentum sokongan masyarakat di sini terhadap PAS dan Pakatan Rakyat yang semakin meningkat," katanya.

Menurut Akmal lagi, pihaknya telah membuat semakan di setiap cawangan dan mendapati tidak wujud sejumlah yang dinyatakan bertindak keluar parti.

Beliau turut membuat cabaran kepada Umno bahagian Larut agar mengemukakan bukti kukuh seperti sijil atau nombor keahlian kesemua 688 ahli PAS seperti yang dinyatakan bagi membuktikan kesahihan dakwaan tersebut.

Sebelum ini cabaran yang sama pernah dibuat beliau kepada Umno bahagian Larut apabila laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 18 April 2012 melaporkan 360 ahli PAS di kawasan ini bertindak keluar parti,namun sehingga ke hari ini cabaran tersebut tidak diendahkan mereka.

"Yang sebetulnya bukan ahli PAS menyertai Umno, tetapi ahli Umno yang menyertai Umno. Semuanya hanyalah lakonan semata-mata," ujar Akmal lagi.

Harakah Daily

Gempur: Mansuh PTPTN, tuntut pendidikan percuma

Posted: 05 Jun 2012 01:15 AM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) dan Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) akan menjelajah ke kampus IPTA dan IPTS seluruh Malaysia bersama-sama Rafizi Ramli.

"Program jelajah ini dinamakan Gempur Kampus: Mansuh PTPTN dan Tuntut Pendidikan Percuma," kata Presiden Kami, Haziq Abdul Aziz.

Tujuannya, kata beliau ialah untuk memberi penerangan secara meluas di peringkat akar umbi supaya mahasiswa dan golongan rakyat akar umbi faham mengenai polisi pemansuhan PTPTN dan dasar pendidikan percuma yang dibawa oleh kumpulan mahasiswa.

Beliau berkata, Program Gempur Kampus itu berbentuk dialog dan 'sembang-sembang' antara anak muda dan mahasiswi.

Katanya lagi, program pertama diadakan di Wakdol Kopitiam Warisan, Seksyen 7, Shah Alam pada Selasa 5 Jun jam 5 petang berdekatan dengan UiTM Shah Alam untuk mengajak mahasiswa-mahasiswi UiTM untuk berdiskusi dan mengaju soalan kepada Rafizi.

Manakala program kedua diadakan di Universiti Industri Selangor, Bestari Jaya jam 8 malam pada hari Rabu 5 Jun.

"Kami menerima banyak respons yang baik setelah debat Rafizi-KJ diadakan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, majoriti cenderung kepada idea untuk mansuh PTPTN dan mansuh sahaja caj pentadbiran 1% dan positif terhadap idea pendidikan percuma.

Namun, ujar beliau kempen harus diperhebatkan supaya masyarakat anak muda dan mahasiswa betul-betul faham mekanisme pemansuhan dan pelan pendidikan percuma.

Katanya, kes hutang pelajar dan tuntutan pendidikan percuma bukan berlaku hanya di Malaysia tetapi turut berlaku di Kanada, New Zealand, USA dan beberapa buah negara lain.

"Program gempur kampus ini akan diteruskan di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia dan kampus-kampus UiTM seluruh negara," ujarnya lagi.

Harakah Daily

Cukai pintu: Pemuda PAS ucap tahniah pada Selangor

Posted: 05 Jun 2012 01:11 AM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan tahniah kepada kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat kerana terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat negeri itu.

Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, yang terbaru adalah pengumuman Menteri Besar Selangor untuk memberikan potongan sebanyak 25 peratus cukai pintu kepada semua pemilik pangsapuri kos rendah di seluruh itu.

"Pengumuman ini pastinya melegakan seluruh warga negeri Selangor terutama golongan berpendapatan rendah yang rata-ratanya menghuni rumah pangsapuri kos rendah," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dengan kos sara hidup yang begitu tinggi dan dengan pelbagai cukai yang dikenakan oleh kerajaan pusat terhadap rakyat, kehidupan rakyat amat tertekan dan terbeban.

Justeru, ujaqrnya usaha kerajaan Selangor itu amat relevan dan sesuai di waktu ini bagi rakyat negeri itu.

Ini, tambahnya menandakan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor sentiasa mendahulukan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah bagi memastikan kehidupan mereka terbela.

Apa yang dikagumkan, kata beliau dalam masa pemerintahan yang singkat ini Pakatan Rakyat telah banyak mendahului kerajaan pusat dalam memberikan kemudahan kepada rakyat.

"Pastinya keadaan ini adalah hasil daripada pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat yang cekap, amanah, efisyen serta tidak terlibat dengan rasuah, skandal atau penyelewengan.

"Bahkan pemimpin Pakatan Rakyat memberikan kebajikan ini tanpa mengenal bangsa, warna kulit, keturunan serta fahaman politik," ujarnya.

Justeru, katanya DPPWP menyarankan kerajaan negeri-negeri lain yang diperintah oleh Barisan Nasional serta kerajaan pusat agar mencontohi usaha kerajaan negeri Selangor itu.

Menurutnya, manfaat daripada kedudukan ekonomi negeri-negeri wajar disalurkan ke tempat yang sepatutnya, khususnya untuk kebajikan rakyat, bukan golongan elit korporat yang kaya serta kroni terdekat.

Harakah Daily

Projek IC Sabah: Jangan Tun M kena amnesia lagi

Posted: 04 Jun 2012 11:42 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam nada menyindir meminta Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak diserang 'penyakit lupa' apabila memberi keterangan kepada Suruhanjaya Diraja berhubung isu pendatang tanpa Izin di Sabah.

Menurut Kit Siang, apa yang dibimbangkan kini apabila 'penyakit lupa' Tun datang semula seperti berlaku ketika bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan kepada Suruhan Jaya Diraja Pita Video Lingam.

"Mahathir, yang dikenali dengan "daya ingatan yang kuat" sebelum dan selepas tampil dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pita Video Lingam dan telah berkata "Saya tidak ingat" atau yang seakan-akan seperti kenyataan itu, 14 kali dalam keterangan 90 minit dalam bulan January 2008.

"Adakah Mahathir akan diserang amnesia sekali lagi jika diminta untuk tampil memberi keterangan dalam penyiasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkenaan dengan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah," soal Kit Siang.

Tun Mahathir semalam berkata belaiu bersedia untuk memberi kenyataan sekiranya disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat masalah-masalah berhubung pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Beliau juga turut bersedia disiasat dan dibawa ke mahkamah berhubung dakwaan skandal kewangannya dalam 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini, Kit Siang berkata skandal kewangan dalam 22 tahun Tun bakal terdedah jika Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya umum yang akan datang.

Harakah Daily

688 ahli Pas sertai Umno: Fauzi tanding Larut?

Posted: 04 Jun 2012 11:39 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

Penyertaan bekas Ketua Siasatan Jenayah (KSJ) Bukit Aman Fauzi Shaari ke dalam perjuangan Pas dua minggu lalu telah dirasai dan mula memberi kesan kepada Umno khasnya Umno Perak. Walaupun penyertaan Fauzi itu atas kesedaran diri untuk memperjuangkan Islam tetapi ia sudah mula dibaca oleh orang Umno Perak terutamanya di kawasan kelahiran Fauzi di parlimen Larut, kononnya Fauzi bakal diletak bertanding di kerusi Parlimen Larut.

(Fauzi bersama pemimpin Pas di pentas Himpunan Hijau)

Keresahan ini tergambar apabila Umno bahagian Larut Perak yang diketuai oleh seorang timbalan menteri terpaksa membuat gimik mentah stail lama untuk melemahkan Pas Perak kononnya 688 orang ahli Pas menyertai Umno.
Mereka itu 360 dari Titi Kasai dan 328 dari Felda Ijok keluar kerana kecewakan dengan perjuangan Pas yang tidak Islamik lagi.

Berita kemasukan ahli Pas itu dilaporkan oleh PB utama negara ini, Utusan Malaysia yang kini edarannya semakin merudum. Khabarnya edaran Utusan di bawah 80,000 setiap hari.

Semua orang tidak mempercayai akan laporan berbayar berita berkenaan. Akhbar itu yang menjadi lidah Umno akan melaporkan apa saja untuk memburukkan pembangkang termasuklah akan melaporkan tahi berwarna kuning pun sebagai emas dan juga tergamak menabur fitnah.

Tidak ada munasabah langsung dengan berita berkenaan. Ia dibuat adalah kerana sudah ada kegerunan dan rasa takut Umno dengan kemunculan Fauzi yang bakal menjadi mujahid Pas. Walaupun belum kedengaran desas desus Fauzi bakal diletakkan di situ atau mana-mana kerusi pada pilihan raya akan datang namun ia sudah pun mengelabahkan hati pemimpin Umno di situ terutamanya ahli parlimennya Hamzah Zainuddin yang kini sudah mulai nampak liang lahad politiknya sudah terbuka luas.

Munasabah juga kalau Hamzah mulai merasai takut kerana dalam pilihan raya lalu beliau menang dengan majoriti tipis 1,191 undi sahaja. Hamzah berdepan dengan calon Pas, Dr Mohd Dhari Othman yang meraih 13,967 undi manakala Hamzah mendapat 15,878.

Dalam Parlimen Larut mempunyai tiga kerusi Dun iaitu Selama, Kubu Gajah dan Batu Kurau. Di Selama BN hanya menang dengan 355 sahaja. Calonnya Mohamad Daud Mohd Yusuf mendapat 5,240 manakala calon Pas Abu Hassan Mohammad mendapat 4,855.

Di kerusi Kubu Gajah pula calon BN Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menang hanya 66 undi sahaja. Raja Zainuddin mendapat 4,114 manakala calon Pas Mohd Nazri Din mendapat 4,048.

Hanya dikerusi Batu Kurau BN agak ke depan berbanding dengan Pakatan Rakyat. Di kerusi ini BN menerusi calonnya Mohamad Najmudin Ilias mendapat 7,023 manakala Hamid Ali PKR mendapat 4,584. Najamuddin menang dengan majoriti agak besar sebanyak 2,439 undi.

Memandangkan sambutan dan selera rakyat yang makin bertambah kepada Pakatan Rakyat akhir-akhir ini kemungkinan besar kerusi parlimen Larut dan dua kerusi Dun akan terlepas kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang. Realiti inilah menyebabkan gimik mentah itu terpaksa dilakukan.

Anehnya di sini dan nampak berita kemasukan ahli Pas ke dalam Umno itu rekaan dan merupakan perang saraf apabila hanya ahli Pas yang menyertai Umno tetapi tidak ada ahli PKR khasnya dari keturunan Cina dan India. Seharusnya akhbar PB itu perlu menambah ada juga orang Cina dan India meninggalkan parti mereka dan menyatakan sokongan kepada BN.

Mungkin dengan perkembangan ini Pas Perak boleh memikirkan untuk benar-benar meletakkan bekas pegawai tinggi polis kelahiran Batu Kurau itu untuk berdepan dengan Hamzah Zainuddin dalam pilihan raya akan datang. Kalau ini terjadi pasti orang yang sanggup memperalatkan isteri untuk kepentingan politiknya itu akan menggelupur bagaikan ayam kena sembelih dengan pisau tumpul.

Harakah Daily

‘Cari sampai lubang cacing’

Posted: 04 Jun 2012 11:24 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KLANG: "Saya yakin suspek akan ditahan. Klang bukan besar sangat. Diharapkan dia insaf dan menyerah diri kepada polis," kata Mohd Hafiz, 21, anak sulung Koperal Mustaghni Tabri, 48, yang koma akibat dilibas dengan topi keledar oleh Mat Rempit, kelmarin.

Mustaghni, anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dilibas dengan topi keledar di belakang kepalanya oleh Mat Rempit ketika operasi mencegah lumba haram di Lorong Bunga Raya berhampiran Kampung Raja Uda, di sini, jam 1.45 pagi kelmarin.

Mohd Hafiz yang ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, di sini, semalam berkata, doktor memaklumkan ayahnya masih kritikal dan memerlukan bantuan mesin hayat.

"Doktor memberitahu ayah diberi perhatian rapi berikutan kurang tindak balas termasuk jantung, organ perkumuhan dan pengaliran darah.


"Perbuatan suspek sangat kejam. Apapun kami sekeluarga berharap ayah kuat dan sembuh," katanya yang juga juruteknik bunyi di sebuah syarikat di Petaling Jaya.

metro/-

Penduduk menempah maut lintas landasan

Posted: 04 Jun 2012 11:04 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Lebih 200 lintasan haram antara Stesen Keretapi Tumpat sehingga Stesen Keretapi Gua Musang bukan lagi boleh dipandang ringan kerana ramai penduduk yang sengaja melintasi landasan itu berdepan dengan risiko kemalangan maut.

Gelagat penduduk dan pelajar sekolah terutama yang tinggal di tepi sepanjang landasan kereta api langsung tidak membayangkan mereka berada diambang maut kerana bukan sahaja melintas, tetapi ada juga yang sengaja menjadikan landasan itu sebagai tempat berehat.

Walaupun sebelum ini kerap berlaku kemalangan maut kerana digilis kereta api berikutan melintas landasan secara haram, namun kebanyakan penduduk masih menganggap kemalangan berkenaan sebagai ketentuan Ilahi tanpa menghiraukan kelakuan mereka yang menggadai nyawa.

Tinjauan mendapati, antara kawasan yang paling ramai penduduk melintas landasan kereta api secara haram itu sekitar Stesen Keretapi Gua Musang, Kuala Krai khususnya di Kampung Pahi dan Stesen Keretapi Tanah Merah dan Pasir Mas.

Seorang penduduk, Jamil Harun, 56, mengakui kebanyakan penduduk yang tinggal di tepi landasan kereta api terpaksa melintasnya sama ada untuk ke kampung lain di seberang landasan itu atau menghantar anak ke sekolah.

Katanya, ini berikutan kerajaan tidak membina jejantas bagi memudahkan penduduk berulang alik setiap hari dan tidak ada alternatif lain kecuali melintas landasan kereta api walaupun berdepan risiko kemalangan maut.

Namun, dakwa beliau, setiap penduduk yang melintas landasan itu juga tidak secara tergopoh gapah kerana mereka sudah tahu jadual perjalanan kereta api bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama membabitkan kanak-kanak.

"Kita juga faham dengan keadaan keselamatan anak-anak walaupun kerap menerima teguran pihak pengurusan kereta api mengenai lintasan haram berkenaan dan kita mahu kerajaan bina jejantas bagi keselamatan semua.

"Memang ada lintasan yang dibenarkan Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang dikawal khusus pekerjanya, tetapi hanya di kawasan tertentu sahaja dan berjauhan dengan kampung menyebabkan penduduk bertindak demikian," katanya.

Daud Yusoff, 52, pula berkata, ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak mereka untuk melintasi landasan kereta api ketika dalam perjalanan ke sekolah terutama di Kampung Pahi kerana bimbang dengan risiko kemalangan.

Beliau berkata, kebanyakan penduduk juga kerap melarang kanak-kanak daripada bermain di atas landasan kereta api maklum sahaja sementara ibu bapa mereka datang mengambil berehat dulu di kawasan landasan terbabit.

"Kita sudah lama memikirkan masalah lintasan landasan kereta api secara haram itu termasuk mengesyorkan kepada pihak berwajib termasuk minta bina jejantas, namun sampai sekarang belum dilaksanakan," katanya.

sinar harian/-

Wanita wajib pakai tudung

Posted: 04 Jun 2012 10:04 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Golongan wanita tidak kira penduduk atau pengunjung di Tasikmalaya, Jawa Barat, akan diwajibkan memakai tudung sebagai menguatkuasakan Undang-undang Syariah.

Setiausaha Bandar Tasikmalaya, Tio Indra Setiadi berkata, "Kami membuat persiapan terakhir peraturan bandar supaya (Ordinan Nilai Hidup Masyarakat berlandaskan Islam) boleh dikuatkuasa secepat mungkin."
Katanya, "Diharapkan ia dapat diselesaikan bulan ini supaya ia dapat dikuatkuasa serta-merta."

Tio berkata, pengurusan bandar mungkin perlu menubuhkan Polis Syariah untuk tujuan penguatkuasaan kerana Polis Nasional tidak boleh menangani kesalahan undang-undang Syariah.

Katanya, penguatkuasaan ordinan itu berlainan dari yang dibuat di Aceh kerana kes-kes itu tetap perlu dibawa di mahkamah sedia ada.

"Penguatkuasaan undang-undang di sini akan berbeza daripada di Aceh. Sebagai contoh, tiada sebatan akan dikenakan. Ordinan ini bertujuan mendidik orang ramai supaya hidup dengan tatacara Islam," katanya.

Ordinan yang ditandatangani pada 24 September, 2009, oleh Datu Bandar Tasikmalaya, Syarif Hidayat, digubal kerana penduduk tempatan bimbang globalisasi akan memudaratkan mereka di bandar yang terkenal dengan bilangan sekolah agama yang banyak.

Ordinan itu mewajibkan semua orang Islam dewasa supaya menutup aurat, iaitu bahagian badan yang mesti ditutupi dalam Islam.

Lima belas kesalahan lain turut disenaraikan seperti rasuah, pelacuran dan zina, homoseksual, perjudian, minum arak, penyalahgunaan dadah, ilmu sihir, pornografi, riba, pembunuhan, menyebarkan kultus dan pengguguran janin.

Speaker Majlis Bandaraya Tasikmalaya, Ruhimat berkata, ordinan itu diluluskan kerana 99 peratus penduduk tempatan adalah orang Islam dan bukan disebabkan tekanan daripada kumpulan Islam.

Dia tidak bimbang mengenai kesan undang-undang ke atas penganut agama lain.

"Hanya satu peratus penduduk bukan Islam," katanya. - Jakarta Post

Daftar pemilih: JK Pemandu Bersih 2.0 direkod 'mati'

Posted: 04 Jun 2012 09:18 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah dua tahun membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun daftar pemilih Liau Kok Fah masih direkod sebagai 'mati'.

Liau adalah salah seorang ahli Jawatan Kuasa Pemandu BERSIH 2.0 dan telah memaklumkan sendiri masalahnya itu ketika pertemuan Bersih 2.0 dengan SPR pada tahun 2010.

"Tetapi hingga ke hari ini Liau masih lagi 'dirasmikan mati'. Nama beliau tidak dapat ditemui dalam daftar pemilih," kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan contoh itu, NGO itu mendakwa Suruhanjaya masih gagal membersihkan senarai daftar pemilih baru.

Selain itu mereka turut mendedahkan beberapa lagi penemuan berhubung pemilih yang bertukar alamat tempat mengundi.

Seorang pemilih bernama Phang Kuok Sing telah mendapati namanya didaftarkan sebagai pengundi di Tangkak Johor, walaupun alamat di kad pengenalan barunya ialah Kelantan.

Satu lagi kes melibatkan pemilih bernama Yoong Fue Ting.

Beliau pada Mei 2011 telah membuat permohonan pertukaran alamat mengundi dari Mambau ke Paya Jaras.

Tetapi namanya telah salah daftar ke Dun Taman Melati di kawasan Parlimen Wangsa Maju.

Sewaktu dirujuk kepada SPR, pegawai bertugas memaklumkan bahawa sebab kesilapan ialah kerana Yoong telah menulis alamat Wangsa Maju sebagai tempat kerja.

Alasan itu dipersoal suami Yoong kerana tidak logik alamat mengundi dibuat mengikut alamat tempat bekerja.

Namun selepas mengisi borang pembetulan tempat mengundi sebanyak dua kali pada tahun 2010, barulah ianya dibetulkan pada bulan Jun tahun lalu.

"Kesilapan yang berkali-kali ini tidak boleh dimaafkan kerana ianya akan menafikan hak pengundi untuk mengundi dikawasan mereka.

"Terbukti sahih bahawa lembaga SPR telah gagal untuk menunaikan tuntutan pertama Bersih 2.0 iaitu membersihkan daftar pemilih," kata kenyataan itu lagi.

Mereka juga turut mengulangi desakan agar kerajaan dipimpin Datuk Seri Najib Razak memecat dengan serta merta lembaga SPR yang ada hari ini dan menubuhkan lembaga SPR yang baru.

Harakah Daily

Hajat peneroka tak kesampaian

Posted: 04 Jun 2012 09:16 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

GEMAS – Seorang peneroka Felda Pasir Besar, di sini, maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh treler dari arah bertentangan, di Kilometer 16, Jalan Gemas-Rompin, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Baharudin Ujang, 78, dipercayai dalam perjalanan ke kebunnya sebelum terbabit dalam kemalangan ngeri membabitkan lori treler muatan kosong dari arah Rompin.

Anak mangsa, Zolkafli Mohd Said, 54, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah bapanya itu pada malam Sabtu lalu ketika adik-beradiknya berhimpun di rumah bapa yang mengadakan kenduri bagi menyambut kedatangan Ramadan.

"Arwah bapa tidak menunjukkan sebarang perubahan. Cuma dia sudah mengeluarkan duit tabung haji bagi menunaikan upah haji buat arwah datuk dan nenek namun tidak kesampaian
kerana pihak Tabung Haji menyatakan kuota sudah penuh.

"Oleh demikian, kami adik beradik akan berbincang di kemudian hari bagi menunaikan hajat arwah bapa kami ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan
Bilik Mayat Hospital Tampin, (HT) di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai berada di tengah jalan tercampak beberapa meter dan cedera parah di kepala dan
badan.

Menurutnya, motosikal mangsa diseret ke bahu jalan dan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke HT untuk bedah siasat.

"Bagaimanapun, siasatan mengenai kejadian ini masih dijalankan. Kita minta kepada saksi kejadian supaya tampil membantu polis menjalankan siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali menerusi talian 06-4411221 atau 06-4411222," katanya.

Sinar Harian

Israel pasang peluru berpandu nuklear pada kapal selam

Posted: 04 Jun 2012 09:15 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

BERLIN Israel didakwa telah memasang peluru berpandu nuklear pada kapal selam buatan Jerman yang dibeli oleh mereka, menurut laporan majalah mingguan paling berpengaruh di Jerman, Der Spiegel, semalam.

Majalah itu turut mendedahkan kerajaan sehingga kini menafikan bahawa mereka tahu mengenai aktiviti menjadikan kapal selam buatan negara tersebut sebagai senjata atom Israel.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor mengesahkan pembelian kapal selam itu tetapi enggan mengulas berhubung keupayaannya sebagai senjata perang.

Difahamkan, laporan tersebut diterbitkan berdasarkan siasatan dan maklumat terperinci diperoleh daripada sumber Kementerian Luar di Berlin yang turut mendedahkan aktiviti rahsia Israel itu didakwa telah lama dilakukan sejak 1961.

Sinar Harian

Polis syor bank wujud sistem kawalan berpusat elak kecurian mesin ATM

Posted: 04 Jun 2012 09:13 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis mencadangkan agar bank mewujudkan satu sistem pusat kawalan utama untuk memantau setiap mesin pengeluaran wang tunai (ATM) di seluruh negara bagi mengesan sebarang kegiatan yang tidak diingini termasuk cubaan merompak dan melarikan mesin berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata sistem pusat kawalan itu berfungsi sebagai pemantau agar sebarang maklumat terutamanya berkaitan aktiviti melarikan mesin ATM dapat disalurkan terus kepada polis.

"Saya sarankan kepada pihak bank di seluruh negara supaya wujudkan sistem seperti ini bagi memastikan maklumat berkenaan dapat dikesan dengan lebih awal seterusnya disampaikan terus kepada pihak polis pada kadar yang lebih cepat dan membolehkan polis bertindak pantas," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, kajian awal polis mendapati pemasangan mesin ATM di lokasi terbuka memudahkan penjenayah melarikan mesin atau merompaknya tanpa disedari oleh pihak bank atau pihak pengawal keselamatan dan boleh mendatangkan risiko kepada pengguna.

"Mesin ATM yang ditempatkan di lokasi-lokasi terbuka sememangnya bertujuan untuk memudahkan pengguna tetapi aspek keselamatan juga haruslah ditekankan bagi memastikan kejadian mesin ATM dilarikan dapat dielakkan. --

"Kejadian seperti ini juga berlaku apabila terlalu banyak mesin ATM diletakkan di tempat terbuka dengan kekurangan kawalan keselamatan sekaligus membuka peluang kepada penjenayah dan mendorong mereka untuk melakukan jenayah sama ada menyamun pengguna selepas mengeluarkan wang ataupun melarikan mesin ATM," katanya.

Beliau berkata ciri-ciri keselamatan pada mesin-mesin ATM yang diletakkan di sesebuah lokasi perlu dipertingkatkan bagi mengelak kejadian cubaan melarikan mesin ATM tidak terus berulang.

"Mungkin perlu adanya loceng penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi atau mungkin juga perlu melihat keperluan untuk menempatkan pengawal keselamatan di mesin-mesin berkenaan untuk kukuhkan lagi kawalan keselamatan," katanya.

Disamping itu, beliau berkata lokasi juga memainkan peranan dalam menentukan ciri-ciri keselamatan, sebagai contoh sekiranya lokasi tersebut tidak sesuai untuk menempatkan mesin berkenaan, lokasi yang lebih sesuai dan selamat dengan aspek keselamatan yang lebih tinggi haruslah dipilih.

Bakri berkata selain itu satu perjumpaan juga boleh diadakan di antara polis dan pihak bank bagi mengenal pasti ciri-ciri keselamatan untuk mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian.

"Perjumpaan seperti ini juga mungkin kita boleh lihat bagaimana polis dapat membantu disamping melihat bagaimana cara untuk kurangkan ruang kepada penjenayah dari melakukan jenayah seperti ini.

Dalam tempoh tiga minggu lepas, empat kes kecurian mesin ATM dilaporkan di sekitar Lembah Klang, Sepang dan Balakong.

Jumaat lepas, sebuah mesin ATM yang mengandungi wang sebanyak RM37,520 dilarikan sekumpulan penjenayah dengan hanya menggunakan tali sebelum ditarik keluar dan dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan dalam kejadian pukul 3.20 pagi di sebuah bangunan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Pada 25 Mei lepas, sebuah mesin ATM dilarikan daripada sebuah kompleks membeli-belah di Balakong dekat sini, dengan nilai RM200,000.

Sehari kemudian, sebuah mesin ATM di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti pula dilarikan dengan nilai kerugian lebih RM61,000.

Sementara itu, pada 28 Mei lepas, sekumpulan penjenayah berputih mata apabila usaha memecah mesin teler automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Pantai Dalam, terbantut setelah loceng penggera keselamatan pasar raya itu berbunyi dalam kejadian pukul 11 malam.

Tinjauan Bernama mendapati pelbagai bank menyediakan perkhidmatan ATM di lokasi terbuka termasuk kawasan tumpuan umum iaitu di kawasan pejabat, di pasar raya, kompleks beli-belah, stesen LRT, kedai serbaneka beroperasi 24 jam, dan di lot-lot kedai.-- Bernama

Sinar Harian

80 tentera Syria ditembak mati pemberontak

Posted: 04 Jun 2012 09:11 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 80 tentera Syria dibunuh oleh pemberontak dalam pertempuran dan serangan ke atas pasukan keselamatan di sebuah pintu masuk kelmarin, lapor kumpulan aktivis.

Kejadian itu menyusul tragedi lebih 100 orang awam ditembak mati di Houla dua minggu lalu.

Ekoran kejadian itu kumpulan pemberontak bertekad mahu membalas dendam.

Pemberontak memberitahu kepada Pertubuhan Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), lebih 100 askar meninggal dunia di pinggir bandar Damsyik dan wilayah Idlib.

Mereka mengesahkan 80 terbunuh dan mengesahkan nama tentera yang mati.

Sementara itu, Presiden Majlis Eropah berkata, Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia mesti menggabungkan usaha mereka ke atas Syria.

Ketua SOHR, Abdul Rahman memberitahu agensi berita AFP bahawa terdapat peningkatan dalam bilangan tentera dan pemberontak bertempur hujung minggu lalu.

"Askar terdedah kepada ancaman ini kerana mereka tidak dilatih untuk bertempur di jalanan," katanya.

Abdul Rahman berkata, pemberontak menyasarkan kenderaan tentera sambil melepaskan tembakan dari senjata automatik dan melontar bom tangan di kawasan sekitar.

Majlis Kebangsaan Syria berkata, pertempuran berterusan di wilayah Idlib apabila pasukan keselamatan mula menggunakan kereta kebal, pelancar roket dan meriam untuk membedil Bandar Kafr Nabal, Maarat al-Nu'man, Ariha dan Rama.

Ahad lalu, Presiden Assad memberitahu Parlimen bahawa Syria bukan lagi menghadapi krisis dalaman tetapi perang luar yang dilancarkan kerana sokongan terhadap penentangan rejim Israel.

Assad berkata, pintu rundingan masih lagi terbuka bagi sesi dialog dengan pihak pembangkang kerana beliau tidak terlibat secara langsung dengan sebarang perbuatan ganas atau campur tangan dengan pihak luar.

Sinar Harian

PM Jepun rombak Kabinet

Posted: 04 Jun 2012 09:09 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda merombak Kabinet, semalam sebagai usaha untuk mendapat sokongan Parti Demokratik berhubung rang undang-undang kenaikan cukai jualan di negara itu.

Rombakan secara tidak menyeluruh tersebut menyaksikan pelantikan lima menteri baru beberapa kementerian termasuk Pertanian dan Keadilan serta pemecatan beberapa ahli Kabinet.

Antara yang dilantik adalah Profesor Satoshi Morimoto sebagai Menteri Pertahanan dan Yuichiro Hata anak kepada bekas perdana menteri Tsutomu Hata dipilih memegang jawatan Menteri Pengangkutan yang baru.

Rombakan itu dilihat sebagai langkah untuk menggugurkan barisan menteri yang didakwa tidak layak untuk memainkan peranan bagi menstabilkan semula ekonomi negara tersebut selepas kerugian berbilion ringgit akibat bencana berganda pada 11 Mac tahun lalu.

Sinar Harian

Euro 2012: Lahm mahu rakan bangkit

Posted: 04 Jun 2012 09:08 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KAPTEN Jerman, Philipp Lahm mencabar rakan pasukannya agar mempamerkan aksi cemerlang pada aksi pembukaan Kumpulan B menentang Portugal, Sabtu ini. Jerman, salah sebuah pasukan kegemaran menjuarai Euro hadir ke Ukraine dengan langkah kiri selepas tewas 3-5 kepada Switzerland pada aksi terakhir perlawanan persahabatan.

Malah, skuad Die Mannschaft dianggotai lapan pemain utama Bayern Munich yang tewas pada final Liga Juara-Juara, 19 Mei lalu dilihat kekurangan motivasi untuk menempuh kejohanan ini. Namun, Lahm yang juga kapten Bayern Munich percaya kekecewaan itu sudah dilupai dan mahu seluruh pasukan membina kembali keyakinan bagi memastikan misi Euro mereka berjaya.

"Adalah sangat sukar untuk mencapai keserasian, lebih-lebih lagi apabila kami tidak bermain dalam satu kumpulan sejak dua minggu lalu. "Namun begitu, perlawanan pertama nanti sangat penting bagi kami untuk mengukuhkan kedudukan," katanya.

Dalam masa sama, mampu beraksi di bahagian pertahanan kiri mahupun kanan, Lahm mengakui selesa bermain di keduadua posisi tersebut. "Saya tidak kisah diletakkan di bahagian mana sekalipun. Saya percaya mampu membantu pasukan melancarkan serangan daripada bahagian ini," katanya.

Sinar Harian

Euro 2012: Peluang Olic samar

Posted: 04 Jun 2012 09:07 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

PENYERTAAN Ivica Olic (gambar) bersama Croatia pada kejohanan Euro kali ini samar apabila mengalami kecederaan pada bahagian paha kanan.

Penyerang Bayern Munich itu mendapat kecederaan tersebut ketika aksi persahabatan menentang Norway, kelmarin. "Saya tidak boleh beri jaminan bahawa dia (Olic) akan bermain di Euro. Apa pun, kami perlu melakukan imbasan lanjut bagi mengetahui sejauh mana tahap kecederaannya," kata doktor pasukan, Zoran Batijarevic.

Sementara itu, Olic berkata, dia tidak mengalami sebarang komplikasi teruk malah kesakitan yang dirasai amat minimum. "Saya optimis mampu beraksi di Euro. Tapi, boleh atau tidak, ia bergantung kepada laporan imbasan MRI. Kita tunggu dan lihat sahaja," katanya.

Pada edisi kali ini, Croatia diundi dalam Kumpulan C bersama Itali, Republik Ireland dan juara bertahan, Sepanyol. Anak buah Slaven Bilic itu akan memulakan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Republik Ireland, 10 Jun ini.

Agency

Pokok balak hempap rumah

Posted: 04 Jun 2012 09:06 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

CHENOR - Sepasang suami isteri warga emas yang baharu pulang dari rumah anak mereka terkedu apabila melihat rumah pusaka didiami ranap teruk dihempap sebatang pokok balak berusia lebih 50 tahun.

Mangsa, Said Mat Diah, 72, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada malam sebelumnya, di mana dia dan isteri tiada di rumah kerana membantu kenduri seorang jiran berdekatan.

Menurutnya, sebatang pokok getah yang tumbang di laluan masuk ke kawasan kampung menyebabkan mereka mengambil keputusan tidur di rumah seorang anak di Kampung Awah.

"Lebih kurang jam 2 pagi sebaik selesai membantu jiran, kami bergerak pulang ke rumah namun terhalang, lalu kami ke rumah anak.

"Pada masa itu, hujan dan angin kuat. Kami perlu menunggu lama sebelum dapat pulang ke rumah," katanya kepada Sinar Harian.

Said berkata, pokok balak jenis Sentang yang tumbuh di belakang rumahnya tumbang menghempap dan meranapkan dapur serta merosakkan hampir keseluruhan bumbung.

Menurutnya, perkakas dapur dan perabot turut rosak kerana terkena hujan, namun bersyukur tiada yang cedera.

"Selain saya dan isteri, dua lagi anak tinggal bersama dan secara kebetulan, kami semua tiada di rumah," katanya.

Sinar Harian

Curi surat pajak gadai mentua

Posted: 04 Jun 2012 09:05 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Akibat terdesak mendapatkan wang bagi membeli keperluan anak dan isteri, seorang pembantu kedai runcit sanggup mencuri surat pajak gadai milik ibu mentuanya di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, tahun lalu.

Bagaimanapun, perbuatan Muhammad Azlin Shafie, 23, dari Kampung Kubur Timah, Batu Rakit, menerima pembalasan setelah dia dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM3,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Noradila Ab Latif turut mengarahkan tertuduh membayar ganti rugi ­kepada ibu mentuanya itu sebanyak RM5,000 dan jika gagal berbuat demikian, dia akan dipenjarakan selama dua bulan.

Hukuman dijatuhkan selepas Muhammad Azlin mengaku salah mencuri sekeping surat akuan gadaian milik Rohaiza Abdullah, di sebuah rumah di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, kira-kira jam 8 malam, 30 November 2011.

Dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda manakala bagi kesalahan kedua serta seterusnya, dia boleh dipenjara serta dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Haliza Abd Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa hanya menyedari surat gadaian barang kemasnya yang bernilai gadaian RM9,000 telah hilang pada 30 November 2011, kira-kira jam 8 malam.

Setelah hampir empat hari mencari, mangsa mengambil keputusan untuk ke kedai pajak gadai terbabit di Jalan Banggol, di sini, untuk bertanyakan hal kehilangan surat gadaian itu pada 4 Disember 2011 kira-kira jam 2.30 petang.

Namun jawapan yang diterima begitu mengejutkan apabila pemilik kedai terbabit memaklumkan, surat gadaian itu sudah ditebus oleh seorang lelaki bernama Tg Mahmud Tg Chik dari Kampung Kedai Manir, di sini.

Pemilik kedai itu turut memaklumkan, surat gadaian telah ditambah nilai ­gadaian dari RM9,000 kepada RM10,000 oleh tertuduh, menyebabkan nama penggadai ­dalam surat gadaian telah bertukar kepada nama tertuduh dan ini membolehkan tertuduh menjual surat gadaian itu kepada Tg Mahmud Tg Chik.

Yakin tertuduh melakukan penipuan yang melampau, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit dan susulan itu, dia ditangkap pada 16 Disember 2011 kira-kira jam 4.15 petang di kediamannya di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit, di sini.

Tertuduh yang sebelum ini telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas ­dakwaan mencuri, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagaimanapun, semalam, tertuduh menukar pengakuan kepada mengaku salah.

Sinar Harian

Penduduk sukar dapat talian Maxis, Celcom

Posted: 04 Jun 2012 09:04 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

CAMERON HIGHLANDS - Penduduk Orang Asli di kawasan Pos Betau dan kampung berdekatan mohon Kerajaan Negeri agar meminta syarikat telekomunikasi Celcom dan Maxis melebarkan perkhidmatan talian mudah alih dan jalur lebar di kawasan ini.

Seorang penduduk, Najib Tel, 35, berkata, dalam kancah era moden, mereka berasa tersisih dengan dunia luar kerana kawasan kampung itu masih belum menerima kemudahan rangkaian telefon mudah alih.

Menurutnya, mereka berasa cemburu dengan penduduk Kampung Kuala Medang dan Gugusan Felda Sungai Koyan yang sudah menikmati kemudahan telekomunikasi begitu lama dan selesa ber­hubung dengan saudara mara dan ­rakan di tempat lain.

"Untuk makluman Kerajaan Negeri, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pernah men­ziarahi penduduk Pos Betau dan kami memperoleh ­jaminan daripada ­seorang pegawai ­telekomunikasi ­bahawa Pos Betau akan diberi ­talian mudah alih, iaitu pemasangan sebuah menara tidak lama lagi.

"Sampai sekarang janji berkenaan belum direalisasikan dan kami masih mengharapkan agar teknologi rangkaian telefon mudah alih berkenaan dapat dinikmati sepenuhnya sebelum pilihan raya tidak lama lagi," katanya, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Ali Panjang, 48, berkata, ­hampir 2,000 penduduk termasuk­ ­remaja dan belia di ­kawasan itu mempunyai ­sebuah ­telefon ­selular, tetapi tidak ­dapat ­dimanfaatkan lantaran ­tidak ada talian berkenaan.

Menurutnya, mereka terpaksa ke Pekan Sungai Koyan atau ke tempat tinggi yang agak jauh dari kampung untuk menikmati perhubungan rangkaian di tempat lain.

"Tidak dinafikan, kemudahan itu juga memberi manfaat besar kepada agensi kerajaan, iaitu Klinik Kesihatan, balai penghulu, sekolah, tadika dan orang perseorangan dapat menikmati akses komunikasi dengan lebih selesa.

"Kemudahan itu juga penting kepada pengguna jalan raya dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands yang melalui kawasan Pos Betau khususnya untuk meminta bantuan kecemasan semasa perjalanan," katanya.

Sinar Harian

Guna bomoh cari anak lembam

Posted: 04 Jun 2012 09:02 PM PDT

15 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Perasaan bimbang semakin membelenggu fikiran ibu kepada remaja lembam, Mohd Suhaimi Ramli, 15, yang tidak pulang sejak 13 hari lalu.

Rohani Mohd Ali, 44, berkata, setelah berita mengenai kehilangan anaknya disiarkan di dalam akhbar, dia turut menerima panggilan orang ramai yang terserempak dengan anaknya di sekitar pusat bandar dengan menunggang basikal fixie.

Menurutnya, ada dalam kalangan jiran dan rakan anaknya itu yang memaklumkan mereka turut ternampak remaja itu menunggang basikal di Jalan Putra.

"Perasaan saya sebagai ibu sukar digambarkan kerana setiap hari memikirkan keadaan dan makan minumnya, apatah lagi dia mengalami masalah lembam.

"Usaha mencari Mohd Suhaimi masih dilakukan walaupun saya rabun. Saya tetap berusaha mencari untuk membawanya pulang," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian 2 Jun lalu, menyiarkan berita mengenai kehilangan Mohd Suhaimi yang tidak pulang ke rumahnya di Flat Seri Gemilang, Mergong, setelah keluar tanpa memaklumkan kepada sesiapa.

Ketika kejadian Mohd Suhaimi tinggal bersama kakaknya, manakala Rohani keluar bekerja namun kakaknya terlupa mengunci pintu rumah yang memberi peluang kepada remaja itu keluar.

Mohd Suhaimi, yang keluar dengan menunggang basikal fixie berwarna merah tidak membawa wang dan kad pengenalan.

Rohani berkata, mereka sekeluarga langsung tidak mempunyai sebarang masalah atau perselisihan faham dengan Mohd Suhaimi.

Selain usaha mencari di beberapa kawasan, Rohani berkata, mereka turut berikhtiar dengan cara berjumpa bomoh bagi mengesan Mohd Suhaimi.

"Bomoh memaklumkan anak saya masih berada di kawasan sekitar, termasuk pusat bandar namun tidak tahu bagaimana untuk pulang.

"Masalah lembam yang anak saya alami itu menyebabkan saya khuatir dia tidak tahu jalan untuk pulang ke rumah," katanya.

Rohani berharap kepada sesiapa yang terserempak dan menjumpai Mohd Suhaimi agar membantu membawa remaja itu pulang ke pangkuan keluarga.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Nuffnang